Ketua UMNO PJ Selatan gesa “hantu” dihalau dari Pemuda UMNO

Ketua UMNO Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Dato’ Zahar Hashim mengesa agar Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein meneruskan memimpin Pergerakan Pemuda UMNO. Kapten Dato’ Zahar membuat gesaan demikian semasa ucapan beliau dimajlis Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda UMNO Petaling Jaya Selatan yang berlangsung sebentar tadi di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya Selatan. Dato’ Hishamuddin adalah tetamu khas yang dijemput untuk merasmikan mesyuarat.

Beliau menyifatkan dalam ucapan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO ini adalah umpama sebuah rumah “berhantu” sehingga ketua rumah ini ingin meninggalkan rumahnya. Beliau mengesa agar “hantu” dalam rumah ini dihalau sebaliknya. Jelas, Kapten Dato’ Zahar berkias “hantu” itu ialah orang no. 2 dalam pergerakan itu. Ini mendapat reaksi seronok dari para perwakilan yang hadir.

Dato’ Zahar terus menghuraikan bahawa nenda Dato’ Hishamuddin, Dato’ Onn Jaafar tidak sempat menyiapkan kerja kerjanya membangunkan Bangsa Melayu didalam UMNO. Juga ayahandanya, Dato’ Hussein Onn. Hujah kedua pula sumbangan melalui kedudukan Ketua Pemuda UMNO amatlah besar dan signifikan kepada pembangunan Bangsa Melayu. Hujah ketiga bahawa sekiranya ditakdirkan YAB Dato’ Seri Mohamed Najib Tun Razak mengantikan sebagai Presiden UMNO, tiada sebab kenapa Dato’ Hisham masih lagi sebagai Ketua Pemuda UMNO, yang juga Naib Presiden UMNO de facto tidak boleh dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO kepada Dato’ Seri Najib kerana ini adalah ibarat sejarah berulang semasa pemergian Tun Dr. Ismail Abdul Rahman; anak Tun Razak melantik anak Tun Hussein sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Dato’ Zahar juga mengingatkan Pemuda UMNO bahawa Kepimpinan Pemuda UMNO perlu orang yang sebati pernah berjuang dengan dan untuk UMNO, sebaik baiknya mereka yang pernah menjadi ahli MKT UMNO. Beliau mengimbau sejarah dimana seorang di”parachut”kan kedudukan Ketua Pemuda UMNO; iaitu bagaimana Anwar Ibrahim pernah ditatang kedalam Pergerakan Pemuda UMNO dan kemudian akhirnya menghancurkan UMNO. Jelas bahawa peristiwa itu perlu diambil iktibar dan tidak dibiarkan sejarah berulang lagi.

Sememangnya gesaan dan peringatan Dato’ Zahar ini wajar diperhalusi dan timbangkan oleh Ketua dan seluruh warga Pergerakan Pemuda UMNO untuk kebaikan pergerakan itu dan UMNO secara amnya.

Dulu, Kini dan Selamanya

 

 

 

 

 

 

 

Published in: on August 12, 2007 at 00:42  Comments (6)