Najib Razak membelakangkan Laporan Razak

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Mohamed Najib Tun Razak hari ini mengesahkan bahawa sukatan pelajaran sekolah aliran Cina merupakan sebahagian dari integrasi pembangunan pendidikan Malaysia dan semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menerima pendidikan berkualiti. Beliau membuat pengesahan ini selepas menerima Anugerah Pusat Emas (Pendidik) Antarabangsa ABE-Edward De Bono 2007 dalam satu majlis anjuran ABE diMandarin Oriental Kuala Lumpur malam ini.

Bernama online membuat laporan berikut.

Semasa berkata demikian, beliau menerima tepukan gemuruh dari tetamu yang hadir, yang rata rata 70% terdiri dari golongan masyarakat dan persatuan persatuan perniagaan Cina dalam majlis yang dianjurkan oleh AJK Dato’ Seri Azim Zabidi, Bendahari Agung UMNO. Jelas sekali pengumuman seperti ini memang ditunggu tunggu oleh masyarakat Cina Malaysia yang majoritinya begitu tegar memperjuang dan pertahankan hak golongan minoriti keturunan bangsa Asia Timur ini keatas pendidikan aliran Mandarin.

Kewajaran Kerajaan majoriti Melayu ter’main’ kedalam sentimen isu ini amat diragui. Ramai percaya, agenda integrasi nasional perlu bermula seawal peringkat sekolah rendah. Dengan adanya peluang mudah begitu ramai anak anak keturunan Cina keatas pendidikan aliran Cina, maka mereka diperingkat awal lagi sudah dilatih untuk ‘terasing’ dari kumpulan etnik lain, terutama anak anak keturunan Melayu, yang juga majoriti penduduk Malaysia. Sekolah, terutama peringkat terawal merupakan medan paling baik untuk memupuk semangat muhibbah antara kaum dan membiasakan kanak kanak belajar, bermain dan bertoleransi dikalangan masyarakat majmuk Malaysia moden.

Alangkah malangnya apabila Kerajaan sekarang meng’iya’kan kewujudan pendidikan aliran Cina yang sepatutnya dikurangkan secara berperingkat dan masyarakat Malaysia bergerak kearah sistem pendidikan kebangsaan, sebagaimana yang digariskan melalui Laporan Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960 dan seluruh Ordinan Pelajaran 1957 dan Akta Pelajaran 1961.

Yang nayatanya, dikawasan urban dan suburban, kemudahan pendidikan aliran Cina makin pesat bertambah dan aktivis aktivis Cina seperti Dong Zhong begitu tegas dan tegar memperjuangkan pendidikan aliran Cina ini, atas alasan ‘mempertahankan’ kebudayaan Cina dikalangan masyarakat Tiong Hua Malaysia.

Sebaliknya, dengan pengesahan dan pengumuman ini, Dato’ Seri Najib menguatkan lagi hujah hujah perjuangan aktivis Dong Zhong ini dan dalam masa yang sama, membelakangkan Laporan Razak, yang menegaskan kepetingan mewujudkan sistem pendidikan satu aliran peringkat kebangsaan untuk semua warga, tanpa mengira kumpulan etnik dan bahasa ibunda. Ini untuk menjamin agenda integrasi nasional terpelihara dan generasi masyarakat majmuk Malaysia biasa tinggal bersama dan mempunyai kefahaman dan toleransi yang tinggi dan mendalam antara satu sama lain. Ini penting untuk mewujudkan ‘Bangsa Malaysia’ yang harmonis dan bergerak seiring tanpa sebarang prasangka dan sifat kecurigaan.

Pengumunan ini sememangnya akan mendapat reaksi negatif dari NGO Melayu seperti GPMS dan GAPENA, yang sepanjang hujung minggu baru ini menganjurkan debat tertutup 50 jam tanpa henti bertajuk “sembang sembang kopi-o”, yang dianjurkan bersama KEKWA mengenai isu isu yang melibatkan orang orang Melayu, termasuk pendidikan. Anak seorang pemimpin agung Perjuangan, yang sendiri sedang dalam proses untuk menjadi pemimpin utama membelakangkan perkara yang ayahanda sendiri perjuangkan, untuk kebaikan Negara.

Bukanlah agenda integrasi nasional merupakan usaha berstruktur dan sistematik Negara menghakis dan menghalang pembangunan budaya dan perkembangan bahasa kumpulan etnik Bukan Melayu diMalaysia dan memberikan ruang untuk cemuhan dan tuduhan ‘perkauman’ dipolitik dan lemparkan secara mudah oleh pihak pihak tertentu, terutama perjuangan politik cauvinisma. Perjuangan cauvinisma pro-pendidikan aliran Cina ini juga menolak konsep ‘sekolah wawasan’, sebagai penyelesaian ‘jalan tengah’. Namun ada agenda strategik yang lebih besar terlalu perlu diutamakan agar generasi Malaysia akan datang berada dalam keadaan harmonis, aman dan bersatu sebagai warga jitu dan berintegrasi rapat dan kemas.

Jika diperhalusi bagaimana negara negara lain, terutama yang maju di Barat yang mengamalkan sistem pendidikan satu aliran, kumpulan etnik minoriti masih lagi mampu mengekalkan ciri ciri kebudayaan, bahasa ibunda dan agama mereka melalui program program kelas hujung minggu @ Sunday school. Masyarakat Melayu keluarga TLDM yang berkhidmat begitu lama dalam projek kapalselam diCherbourg dan Brest, Perancis semenjak 2003 juga mengamalkan cara yang sama untuk mengekalkan ciri ciri Melayu-Islam mereka. Oleh itu, memang ada penyelesaian lain tanpa pihak pihak yang cuba menangguk diair keruh dalam isu isu melibatkan kebudayaan, bahasa ibunda dan ugama sesuatu kumpulan ethnik mempolitikan dan menjadikan ianya sebagai sentimen berbaur perkauman yang akan hanya mengeruhkan perasaan pra-sangka dan kecurigaan antara kaum etnik diMalaysia ini.

Apakah atmosfera politik sekarang begitu meruncing sehinggakan pemimpin politik Melayu sanggup kompromi keatas isu yang sebelum ini menjadi asas kepada penghalang kejayaan integrasi nasional dan berusaha keras memenangi hati pengundi pengundi keturunan Cina? Apa akan jadi kepada generasi Malaysia akan datang apabila kanak kanak pelbagai keturunan etnik sejak amat muda lagi mereka tidak dibiasakan untuk bergaul, bermain, belajar bersama sama dan menghilangkan perasaan pra-sangka dan kecurigaan antara sesama mereka? Sejauh mana kejayaan masyarakat majmuk pelbagai etnik ini akan berkesan memacu Malaysia ketahap lebih tinggi lagi sekiranya mereka gagal ‘bersatu’?

Tepuk dada, tanya selera!

Published in: on August 28, 2007 at 04:59  Comments (5)