Ahli UMNO buat laporan Polis mengenai Presiden UMNO

Seorang AJK UMNO Cawangan, dalam Bahagian Sekijang, Segamat, Johor, Johari Ismail, jam 5.30 petang ini membuat Laporan Polis keatas Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana dakwaan berkenaan dimana Presiden UMNO itu mengarahkan Setiausaha Kerja UMNO Brig. Jen. (B) Dato’ Hussainay Hashim untuk mengubah minit mesyuarat yang telah disediakan bagi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis, 28 September 2006.

police-report.jpg

Laporan ini telah dibuat di Balai Polis Jalan Dang Wangi, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dalam laporan polis ini, pengadu mendakwa bahawa mesyuarat MKT sebelum 28 September 2006 itu telah membincangkan dengan terperinci usaha untuk mengagalkan mantan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad dari dipilih sebagai Perwakilan UMNO Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 15-17 November 2007 dan nama nama khusus pemimpin UMNO telah disenaraikan untuk mengambil tugasan agar Tun Dr. Mahathir dihalang dengan apa cara sekalipun.

Apa yang dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat MKT UMNO yang diminitkan itu sebenarnya dilihat hasilnya pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) UMNO Bahagian Kubang Pasu yang diadakan di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah pada Sabtu 9 September 2006, apabila mantan Presiden UMNO untuk 22 tahun dan Ketua Bahagian UMNO Kubang Pasu untuk 30 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah gagal dipilih sebagai Perwakilan UMNO Kubang Pasu ke PAU 2006.

Utusan Malaysia melaporkan pada 10 September 2006:

Dr. Mahathir gagal jadi perwakilan Kubang Pasu

 Oleh YUSRI SAHAT

JITRA 9 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad gagal untuk menjadi salah seorang perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO November ini apabila tewas dalam pemilihan pada Mesyuarat UMNO Bahagian Kubang Pasu di sini hari ini.

Bekas Presiden UMNO itu menduduki tempat kesembilan selepas memperoleh 227 undi daripada keseluruhan 15 calon yang bertanding merebut tujuh kerusi perwakilan bahagian tersebut.

Keputusan itu diumumkan oleh Ketua UMNO Bahagian Alor Star, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanifah selaku wakil Badan Perhubungan UMNO negeri ke mesyuarat itu pada pukul 5 petang.

Ketika pengumuman dibuat, Dr. Mahathir bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang sebelum itu hadir pada majlis perasmian mesyuarat itu telah berlepas pulang ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 2 petang.

Bagaimanapun, anak Dr. Mahathir, Datuk Mukhriz yang merupakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO dipilih sebagai perwakilan apabila mendapat undi kelima tertinggi.

Mukhriz memperoleh 289 undi daripada 476 perwakilan yang membuang undi pada mesyuarat tersebut.

Sebanyak 95.6 peratus daripada 493 jumlah keseluruhan perwakilan daripada 138 cawangan hadir pada mesyuarat berkenaan.

Dr. Mahathir tersenarai sebagai calon nombor satu manakala anaknya memegang tiket nombor 10.

Ahmad Bashah memberitahu, terdapat 10 undi rosak menakala satu undi didapati tidak dikembalikan ketika proses pengiraan dijalankan.

Pertandingan tersebut turut mendapat liputan meluas beberapa media asing.

Terdahulu, Dr. Mahathir bersama Dr. Siti Hasmah tiba di Dewan Wawasan kira-kira pukul 9 pagi sebelum Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang merasmikan persidangan itu tiba sejurus kemudian.

Selepas ucapan perasmian, kedua-dua mereka menjadi pemerhati di bahagian belakang dewan sebaik persidangan bermula pukul 12 tengah hari.

Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharum berharap Dr. Mahathir menerima kekalahannya dalam pemilihan perwakilan pada persidangan UMNO bahagian itu dengan hati terbuka.

Beliau bagaimanapun menegaskan kekalahan itu bukan membawa mesej bahawa ahli-ahli UMNO di bahagian tersebut melupakan jasa yang disumbangkan oleh bekas Presiden UMNO itu kepada kawasan Kubang Pasu.

‘‘Saya percaya kekalahan ini merupakan mesej bahawa ahli-ahli UMNO sayangkan Tun (Dr. Mahathir) kerana tidak mahu dilihat duduk bersama para perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO nanti.

Sementara itu di Langkawi, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kekalahan Dr. Mahathir itu adalah adat pertandingan, ada yang kalah atau menang.

Katanya, keputusan telah dibuat oleh perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu.

“Undi yang diperolehi Dr. Mahathir tidak mencukupi untuk bersama perwakilan lain ke perhimpunan agung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Langkawi di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, beliau sebelum ini telah menasihatkan supaya Dr. Mahathir tidak bertanding.

Malam sebelum MAT UMNO Kubang Pasu diJitra itu (9.00pm, 8 September 2006), Ketua Bahagian UMNO Kubang Pasu Dato’ Johari Baharom telah mengadakan perjumpaan tertutup bersama 400 Perwakilan Cawangan seluruh Kubang Pasu di Kelab Golf Darul Ehsan, bagi berkempen agar mantan Presiden UMNO dan Ketua Bahagian UMNO selama 30 tahun itu tidak dipilih sebagai Perwakilan UMNO Kubang Pasu ke PAU. Turut serta yang berkempen dalam dewan serbaguna Kelab Golf Darul Aman malam itu juga ialah mantan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah dan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kubang Pasu Tan Sri Osman Arof dan mantan Naib Ketua UMNO Kubang Pasu yang digantung keahlian kerana politik wang, Dato’ Saad Man. Osman adalah ahli Lembaga Disiplin UMNO.

Ini pula reaksi serta merta Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah dan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mahadzir Khalid keatas kes Tun Dr. Mahathir Mohamad gagal diKubang Pasu itu, sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia:

 

Tiada tekanan ke atas perwakilan

KUANTAN 10 Sept. – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, tidak wujud gerakan atau tekanan ke atas mana-mana perwakilan pada mesyuarat UMNO Bahagian Kubang Pasu semalam supaya tidak mengundi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, beliau mahukan Dr. Mahathir dan anaknya, Mukhriz menerima baik dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh perwakilan pada mesyuarat itu.

“Tidak ada tekanan, undi itu rahsia, tiada siapa tahu perwakilan mengundi siapa semasa proses pembuangan undi berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas menutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuantan, di sini hari ini.

Mahdzir yang juga Menteri Besar Kedah berkata, kini, terpulang kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk menjemput Dr. Mahathir sebagai jemputan khas ke perhimpunan agung kelak.

“UMNO Kedah tidak campur tangan dalam hal jemputan ke perhimpunan agung, itu terpulang kepada kepimpinan pusat UMNO,” jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahdzir berkata, keputusan yang diambil oleh majoriti perwakilan Kubang Pasu adalah tepat memandangkan status Dr. Mahathir sebagai bekas presiden parti tidak boleh dicemarkan.

“Tak sangguplah nak tengok Tun duduk di tangga ayam atau terkial-kial masuk dewan sebagai perwakilan,” katanya.

Ada laporan mengatakan ada Perwakilan Cawangan yang hadir diMAT 9 September 2006 itu diberikan ‘sampul coklat’ terkandung wang RM 200.00. Ini menunjukan dengan jelas bahawa ada konspirasi pihak tertinggi UMNO, dari peringkat MKT hingga ke UMNO Bahagian Kubang Pasu mengenai usaha untuk menghalang mantan Presiden UMNO dari hadir ke PAU 2006.

Ini adalah laporan terperinci Berita MyKMU, berasaskan laporan Bernama dan Agenda Daily, mengenai MAT UMNO Kubang Pasu 9 September 2006:

Dr Mahathir Terima Kekalahan Tetapi Mendakwa Perwakilan Disogok
Posted on Monday, September 11 @ 19:26:00 MYT
Topic: MEDIA

PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau menerima kekalahannya dalam pertandingan untuk menjadi anggota perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung parti November ini, tetapi mendakwa ia disebabkan rasuah dalam kalangan perwakilan pada persidangan Umno Bahagian itu.

“Tentunya saya harus menerimanya, jika saya katakan tidak, adakah bermakna ia akan diisytiharkan tidak sah dan batal?

“Semua orang telah diminta menerima keputusan itu. Tetapi saya percaya kekalahan saya disebabkan rasuah dalam kalangan perwakilan,” katanya kepada pemberita hari Isnin selepas berucap kepada para penyokongnya di pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Untuk menyokong dakwaannya mengenai sogokan itu, Dr Mahathir berkata sampul surat berwarna coklat yang mengandungi nombor mereka yang sepatutnya dipilih, diberikan kepada sejumlah perwakilan dan mereka yang menang adalah mereka yang tersenarai.

Pada pemilihan Sabtu lepas, bekas Perdana Menteri mendapat tempat kesembilan daripada senarai 15 calon yang bertanding, bagaimanapun anaknya Datuk Mukhriz terpilih dalam senarai tujuh orang yang akan ke perhimpunan agung di Kuala Lumpur.


Dr Mahathir dakwa perwakilan UMNO Kubang Pasu disogok (Agendadaily)
<!—
—>
Inilah politik…gambar atas di muka depan – Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Osman Aroff sedang posing kepada para jurugambar sejurus duduk di dalam Dewan Wawasan,Jitra pagi Sabtu ketika mereka sama-sama menghadiri mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu.Menariknya di sini pada Jumaat malam Osman yang juga pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu semasa Dr Mahathir mengetuainya dulu adalah salah seorang yang berucap di satu perjumpaan dengan para perwakilan di Kelab Darul Aman dekat Alor Star.Mengunakan istilah orang Kedah,Osman ‘ balon sakan’ Dr Mahathir di perjumpaan itu dan meminta para perwakilan tidak mengundinya.Bersamanya berucap senada pada malam itu ialah bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Datuk Saad Man.Mereka yang tidak ada jiwa politik yang kental mungkin tidak boleh duduk ‘macam tak ada hal’ begini.Dua gambar dibawah di muka depan pula menunjukkan suasana dewan kosong ketika mesyuarat perwakilan sedang berlangsung.Ini dirakamkan tidak lama selepas jam 5.05 petang bila keputusan pemilihan perwakilan bahagian itu untuk ke Perhimpunan Agung UMNO diumumkan oleh wakil Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Hanafiah.Mesyuarat yang bertenaga dan penuh debaran sejak bermula jam 9.00 pagi terus kempis selesai sahaja keputusan pemilihan diumumkan.Dr Mahathir tewas dapat nombor sembilan dikalangan 15 calon.

Akibat tidak cukup korum Pengerusi Tetap UMNO Bahagian telah menangguhkan mesyuarat ketika pengulongan perbahasan sedang berjalan.

Seluruh fokus mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu kali ini ialah pemilihan tujuh orang perwakilan untuk pergi ke Perhimpunan Agung UMNO di PWTC November ini.Ia biasanya satu hal kecil yang tidak menjadi bahan berita.

Bagi para wartawan mesyuarat perwakilan ini adalah satu media event yang cukup istimewa kerana belum pernah berlaku seorang bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO bertanding merebut nak jadi perwakilan.

Lebih lapan jam para wartawan termasuk dari agensi berita luar negara terpacak di sekitar dewan yang terletak di tepi Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Bukit Kayu Hitam.Ia amat meletihkan tetapi cukup mengasyikan.

Ini kerana satu persaingan politik peringkat nasional secara kebetulan dibawa ‘ masuk kampong.’

Semua orang cuba membayangkan suasana jika Dr Mahathir lepas masuk ke Dewan Merdeka,PWTC sebagai seorang perwakilan. “ How…what happen…sure interestinglah ,”kata seorang rakan wartawan.

Ketika pengumuman keputusan dibuat Dr Mahathir sudah terbang pulang ke Kuala Lumpur.Kalangan wartawan tercari-cari kalau-kalau beliau masih berada di rumahnya di Titi Gajah tidak jauh dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim,Kepala Batas,Alor Star.

Cuma sekitar jam 6 petang para wartawan menerima panggilan dari pembantu Datuk Mukhriz Mahathir memberitahu beliau akan mengadakan sidang akhbar di rumah itu.

Kelihatan beberapa orang penyokong Mukhriz berkumpul di luar rumah sedang bersembang sesama sendiri.Wajah mereka jelas murung.

Raut wajah yang sama terpancar pada Mukhriz sepanjang sidang akhbar itu dimana beliau diantara lain menyifatkan kempen pemilihan itu adalah luar biasa intensifnya.Beliau menilai ia 10 kali ganda lebih hebat dari tempo pemilihan perwakilan dimasa lampau.

Katanya bilik-bilik hotel sekitar Alor Star habis ditempah sepanjang hari-hari akhir menjelang mesyuarat perwakilan itu.Beliau merujuk kepada orang luar yang ramai datang berkempen.

Malah Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu Datuk Johari Baharom sendiri mengakui suasana kempen ibarat pilihanraya kecil.

Sebagai orang yang ibarat kata mempunyai the last say Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri ini mengejutkan ramai pihak bila tampil memberi ucapan semasa majlis perasmian yang terang-terang ‘ menegur ’ bekas bosnya secara berdepan.

Beliau mengimbas kembali kata-kata Dr Mahathir mengenai pentingnya perpaduan dalam parti dan krisis-krsis politik yang dilalui semasa zaman pentabirannya.

Dr Mahathir kelihatan mendengar secara bersahaja ucapan bekas Setiausaha Politik beliau itu selama 25 minit.

Bekas Perdana Menteri itu terpaksa menelan pil yang lebih pahit bila Menteri Besar Kedah Datuk Mahadzir Khalid dalam ucapan perasmiannya menyambung bicara hal-hal yang sama selama 35 minit di depan beliau dan para perwakilan yang tidak lama lagi akan memangkah undi.

Pada waktu yang sama di sekitar dewan kempen-kempen secara senyap terus berjalan.

Ada yang mengedarkan risalah menyokong pemilihan Dr Mahathir.Tiga akhbar tabloid yang memuatkan berita muka depan menyokong Dr Mahathir juga diedarkan kepada orangramai.

Dr Mahathir yang secara peribadi tidak turun berkempen dari cawangan ke cawangan yang berjumlah 138 buah dalam bahagian itu nampaknya bertaruh pada ingatan perwakilan cawangan-cawangan pada nama besarnya sebagai bekas Ketua UMNO Bahagian itu dan bekas Perdana Menteri serta Presiden UMNO.

Langkah perang saraf terakhir beliau ialah menghadirkan diri dalam dewan duduk di barisan pemerhati sepanjang kira-kira sejam pembuangan undi berjalan sejurus selepas waktu rehat selepas majlis perasmian.

Ramai juga perwakilan yang datang bersalaman dengannya selepas mereka membuang undi.

Wajah-wajah tension jelas terbayang pada wajah kebanyakan mereka sekitar dewan semasa penantian selepas pembuangan undi berakhir pada jam 1.50 hinggakan keputusan diumumkan pada jam 5.05 petang.

Satu negara,khususnya orang-orang politik menunggu saat itu dengan penuh debaran.

Ramai yang kong bateri telefon bimbit kerana jenuh terpaksa melayan SMS dari rakan di sana sini yang dari masa ke semasa yang tak sabar nak tahu keputusan.

Wartawan Agendadaily sendiri menerima lebih 100 SMS yang berulang-ulang masuk dari masa ke semasa sepanjang tempoh itu.

Jumlah kehadiran anggota polis yang beruniform dan berpakaian biasa di sekitar dewan juga adalah luar dari kebiasaan pada sesuatu mesyuarat perwakilan UMNO bahagian.

Kehangatan pemilihan ini mungkin memerlukan mereka jaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan.

Dicelah-celah itu ada juga mengambil kesempatan meluah rasa.Seorang lelaki yang sudah berusia berdegar-degar bercakap kepada mereka yang duduk semeja semasa sedang minum petang di luar dewan.

Walaupun ketika itu keputusan belum diumumkan dia mempersoalkan tentang kempen menghentam Dr Mahathir di sekitar Kubang Pasu.

“Depa semua ni dah lupa…..”katanya dengan nada marah.

Satu insiden yang menarik perhatian ramai juga berlaku.Ini bila seorang wanita keturunan Cina yang datang untuk melihat mesyuarat itu bercakap dengan nada kuat di luar lobi dewan memuji Dr Mahathir.

Ramai yang berkerumum di situ bila seorang yang perwakilan UMNO bahagian itu datang menegurnya jangan campur hal UMNO.

Perwakilan itu pula ditegur oleh seorang ahli UMNO lain agar jangan tidak bercakap kasar kepada wanita berkenaan.

Dari semuanya 496 perwakilan cawangan-cawangan seramai 472 hadir dalam mesyuarat itu.

Dr Mahathir mendapat 227 undi iaitu separuh dari perwakilan dicelah ‘perang’ yang hebat itu.

Apakah cakap lelaki tua tadi dan wanita Cina itu memberi gambaran Kubang Pasu sudah terpecah dua?

“Ah …sekejap saja tu….nanti OKlah tu ,”kata seorang ketua cawangan UMNO yang tidak mahu namanya disebut.

Tidak kurang menarik suasana pengumuman nama-nama mereka terpilih yang hanya disambut dengan tepukan kecil oleh mereka di dalam dewan.

Ramai yang meluru keluar dari dewan itu dengan wajah yang bercampur-campur.Ada juga kedengaran bisik-bisik kecewa.

Sekalipun pastinya lega dapat mengatasi satu cabaran terbesar besar dalam karier politiknya Johari kelihatan menerima ‘ berita kemenangannya ‘ biasa-biasa saja.

Yang nyata tidak ada suasana perayaan….setelah berentap sakan.- 11/9/2006

Ini pula reaksi Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai dakwaan mantan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai ‘rasuah’ untuk mengagalkan beliau dipilih Perwakilan UMNO Kubang Pasu.

September 12, 2006 17:04 PM

Dr M’s Bribery Allegation In Kubang Pasu Polls ‘Very Serious’ – PM E-mail this news to a friend Printable version of this news

 

 

HELSINKI, Sept 12 (Bernama) — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi has described as “very serious” the allegation by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad that bribery was one of the reasons for his failed bid to be elected as a Kubang Pasu Umno delegate.

The Prime Minister and Umno president however said the party had the mechanism to deal with such things.

He said the Kubang Pasu Umno division might be queried and be asked to submit a report to the party leadership on the conduct of last Saturday’s election in which Dr Mahathir lost in his bid to become one of the seven elected delegates from the division to the Umno general assembly in November.

“(Kedah Umno liaison chief) Datuk Seri Mahdzir Khalid and Kubang Pasu Umno head Datuk Mohd Johari Baharum should know better. I leave it to them,” he told Malaysian journalists covering his attendance at the Sixth Asia-Europe Meeting (Asem) which ended here Monday.

Among others, Dr Mahathir had alleged that some delegates were given RM200 each in an envelope which also contained a piece of paper listing the favoured candidates.

Speaking to a group of supporters who turned up at the Perdana Leadership Foundation in Putrajaya yesterday, Dr Mahathir, who is also former Umno president, said he accepted his defeat but said he lost because people used money to win in the elections.

Abdullah said he had told Mahdzir and Johari not to bring in outsiders to meddle in the Kubang Pasu Umno affairs.

“I still remember telling them not to bring in outsiders to ‘disturb’ the Umno members or the Kubang Pasu division.

“This is Kubang Pasu affairs, let the Kubang Pasu Umno members make their decision,” he added.

— BERNAMA

Dikhabarkan semasa Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan arahana agar tiga helai minit mesyuarat KMT UMNO sebelumnya yang akan disahkan pada mesyuarat MKT UMNO 28 September 2006 itu, ahli MKT UMNO Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim telah menegur bahawa perbuatan itu menyalahi peraturan mesyuarat. Namun begitu PM Abdullah masih berdegil dan arahan itu dilaksanakan. Dalam mesyuarat MKT UMNO itu juga, ahli UMNO Bandar Tun Razak dan juga seorang blogger, Zahrin Md Yasin telah dipecat dari menjadi ahli UMNO walaupun Lembaga Disiplin UMNO hanya mencadangkan bahawa beliau digantung keahlian.

Sehari selepas mesyuarat MKT UMNO 28 September 2006, lima orang Perwakilan Cawangan UMNO Kubang Pasu yang mendakwa mereka telah diberikan ‘sampul coklat’ untuk “tidak memilih Tun Dr. Mahathir Mohamad” sebagai Perwakilan UMNO Kubang Pasu, telah datang ke Kuala Lumpur dan membuat laporan kepada Lembaga Disiplin UMNO diMenara Dato’ Onn, PWTC, berserta dengan akuan bersumpah.

Salah seorang dari pengadu tersebut, Ismail Taib telah dipukul tiga orang lelaki dihadapan rumahnya diJitra, Kedah pada 15 November 2006. Laporan Polis telah dibuat mengenai kes ini. Sehingga hari ini, tiada tindakan diambil samada aduan mengenai salah laku politik wang untuk menghalang mantan Presiden UMNO dipilih sebagai Perwakilan UMNO Kubang Pasu ke PAU 2006, maupun kes Ismail Taib dipukul. Jelas kempen yang dianjurkan Dato’ Johari Baharom di Kelab Golf Darul Aman pada 8 September 2006 dan penglibatan Tan Sri Osman Arof dan Dato’ Saad Man, ahli yang digantung dalam ‘kempen songsang’ itu.

Pelbagai reaksi timbul dari episod ini. Seorang Ahli MKT UMNO Dato’ Nazri Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa tuduhan mantan Presiden UMNO mengenai rasuah dalam pemilihan UMNO Kubang Pasu adalah liar. Ada ahli UMNO pula mengesa agar Ketua Bahagian UMNO Kubang Pasu Dato’ Johari Baharom meletakan jawatan. Portal politik terkenal Malaysia Today.net pula menyifatkan skandal episod menghalang mantan Presiden UMNO dipilih sebagai Perwakilan UMNO Kubang Pasu sebagai “Dollahgate“.

police-report-ii.jpg

Amat menarik untuk melihat perkembangan episod ini setelah Laporan Polis ini dibuat. Episod ini juga disifatkan banyak pihak sebagai mengurangkan keyakinan orang orang Melayu dan integriti mengenai Kepimpinan Tertinggi UMNO hari ini.

*Gambar foto adalah ehsan photo-journo-blogger Minaq Jinggo

 

Published in: on November 6, 2007 at 18:25  Comments (3)  

PM: Kenaikan minyak tidak boleh dielakan lagi dan hormati keputusan undang undang walaupun soal tempat ibadat

Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyebut bahawa kenaikan harga runcit minyak adalah satu yang tidak dapat dielakan lagi. Beliau membuat kenyataan ini semasa taklimat tertutup pra-persidangan dengan Ketua Ketua Bahagian UMNO seluruh Negara diDewan Merdeka, petang tadi.

Menurut Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu lagi, Negara sedang menanggung bil subisidi bahan bakar yang begitu besar untuk minyak dan gas asli dan begitu banyak sumber Negara disalurkan kepada subsidi ini agar harga runcit dapat dikekalkan. Namun begitu, Negara juga membelanjakan banyak subsidi juga kepada bahan bahan keperluan seharian seperti beras.

Harga minyak mentah dipasaran antarabangsa hari ini mencecah USD 96.00/tong. Kali terakhir harga runcit petrol dan diesel dinaikan ialah pada kadar RM0.30/liter, pada Mac 2006. Masa itu, harga pasaran minyak mentah adalah pada hanya USD 60.00/tong. Subsidi runcit bahan bakar kini melebihi 2 ½ kali ganda sejak kenaikan terakhir itu dan Presiden UMNO menjelaskan bahwa lebih baik subsidi yang besar ini dilaburkan kepada program yang lebih memberikan menafaat strategik seperti pendidikan dan kesihatan.

Dalam taklimat tertutup ini juga, PM Abdullah menjelaskan bahawa Presiden MIC dan Menteri Kerja Raya hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa memandang kebelakangan ini banyak kuil kuil ‘haram’ Hindu yang dirobohkan di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Melaka, maka pemimpin MIC itu tidak akan mengadakan sambutan ‘Rumah Terbuka’ sempena Deepavali yang akan disambut pada 8 November ini.

Soal kuil ‘haram’ Hindu ini, termasuk diatas tanah persendirian dan milik Kerajaan, telah banyak kali diperkatakan oleh pelbagai pihak. Sebagai contoh, Perak mempunyai 60% penduduk Islam berbanding kurang 10% penduduk Hindu. Namun begitu, hanya terdapat 600 masjid dan surau berbanding 2,000 kuil dan shrine penganut Hindu seluruh negeri itu.

PM Abdullah juga menambah bahawa dalam kes kontroversi terbaru di Shah Alam baru baru ini, ianya melibatkan tanah persendirian dan pihak mahkamah telah membuat keputusan bahawa kuil yang didirikan tanpa kebenaran itu wajar dirobohkan. PM Abdullah mengingatkan pemimpin pemimpin UMNO bahawa semua pihak perlu menghormati undang undang dan hak orang lain, sebagaimana yang diputuskan melalui proses mahkamah dan agar bersedia untuk mengosongkan tanah milik orang lain. Keputusan tiada kompromi ini juga akan diambil keatas surau juga, sekiranya ianya didirikan atas tanah milik persendirian atau Kerajaan tanpa kebenaran. Walaupun Islam merupakan ugama Persekutuan Malaysia dan majoriti warga Malaysia ialah berugama Islam, ini tidak bermakna surau boleh didirikan sesuka hati dimana mana.

wanita-pemuda-puteri-umno-2007.jpg

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak memberi ucapan berjudul “Angkasakan Tamadun Bangsa” sempena perasmian serentak Mesyuarat Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO diDewan Merdeka malam tadi.

Dipetik dari Bernama.com:

05 November, 2007 23:32 PM

Angkasakan Tamadun Bangsa Melayu, Kata Najib Hantar berita ini kepada rakan Versi bolehcetak berita ini

 

 

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bangsa Melayu perlu meneruskan perjuangan ke arah mengangkasa dan mengantarabangsakan tamadun bangsa.

Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu bertujuan menggemilangkan atau memartabatkan sesuatu daripada apa yang sudah dicapai ke tahap yang lebih tinggi dalam persaingan global kini.

Katanya bangsa Melayu yang sudah sekian lama “berkampung di hulu dan membumi di darat” perlu menerokai proses pengantarabangsaan dan pengangkasaan yang kini sudah sampai ke tahap kedua-dua saranan berkenaan.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata `Bangsa Angkasa’ atau ‘space nation’ sentiasa mempunyai impian tertinggi dan mempunyai tamadun yang hebat dengan hasrat pada satu ketika kelak peradaban yang dibina mampu mencapai tahap terbilang, setinggi dan seluas angkasa selain menjadi rujukan dan tanda aras kepada seluruh dunia.

“Dalam persaingan global sekarang ini tidak cukup dengan mengantarabangsakan Melayu. Oleh itu, tamadun bangsa Melayu dan bangsa Malaysia akan terus kita angkasakan. Semuanya bermula dengan impian besar, impian yang kini semakin menjadi realiti.

“Kita perlu menggali sains dan teknologi, memiliki pengetahuan dan kemahiran, menguasai pelbagai bahasa, menjana ilmu, mengukuhkan iman, berbudaya cemerlang dan bercita-cita setinggi angkasa,” katanya.

Najib berkata demikian ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang membawa tema “Mengangkasa Tamadun Bangsa”.

Beliau berkata istilah “mengangkasa” yang dimaksudkan ialah suatu pencapaian setinggi mungkin yang dijadikan wawasan dan bukan sekadar terbang ke angkasa atau naik ke langit, tetapi melambangkan usaha sehabis baik untuk menjadikan impian yang dianggap mustahil dapat menjadi realiti pada suatu masa nanti.

Pada masa ini, katanya, orang Melayu berada pada satu tahap dan seharusnya pada hari esok dan lusa, tamadun setinggi angkasa itu sepatutnya sudah berada di depan mata.

Beliau berkata perancangan seterusnya memerlukan “peta jalan dan batu tanda” yang hebat dan pelaksanaan yang cekap bagi memastikan kegemilangan.

Najib berkata untuk mengangkasa tamadun bangsa, lima teras diperlukan iaitu bangsa glokal yang berminda kelas pertama sebagai peneraju, ilmu dan pendidikan sebagai landasan pembinaan, agama dan budaya sebagai asas peradaban, pertumbuhan dan pengagihan ekonomi sebagai kekuatan dan kestabilan politik sebagai prasyarat.

“Memiliki sejarah peradaban yang gemilang itu penting, tetapi yang lebih utama ialah zaman ini dan akan datang itu mestilah lebih gemilang. Nostalgia warisan lepas adalah untuk teladan dan sempadan,” katanya.

Mengungkap kembali ucapannya pada majlis sama tahun 2005, Najib berkata Melayu Glokal iaitu yang berakar nasional dan berakal internasional adalah satu dimensi baru yang menuntut lonjakan ke hadapan dengan memperkukuhkan daya saing untuk berlumba menjadi yang terbaik di pentas dunia dalam pengantarabangsaan tamadun bangsa.

Katanya apa yang paling penting untuk menjadi Melayu Glokal ialah melalui minda yang diasah dan diasuh dengan sempurna, bermula daripada otak yang sihat yang membentuk minda, akal dan pemikiran yang merupakan kunci untuk membuka pintu kejayaan.

“Jika kita ingin maju, gunakanlah kapasiti minda ke tahap maksimum untuk bertarung di gelanggang dunia. Sesungguhnya, pertarungan pada masa kini dan masa hadapan merupakan pertarungan minda,” katanya.

Katanya peristiwa Israk Mikraj di mana Nabi Muhammad s.a.w diangkat Allah s.w.t ke langit Sidratul Muntaha, sewajarnya mempesona imaginasi dunia, untuk meneroka sesuatu yang belum terfikir oleh manusia.

Sebagai contoh literal maksud mengangkasa tamadun bangsa, Najib berkata tepat pada 9.21 malam, 10 Okt 2007 lepas seluruh negara dan dunia Islam seharusnya bergembira kerana dikurniakan seorang angkasawan, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha

Katanya Dr Sheikh Muszaphar disifatkan berjaya sebagai angkasawan meneroka alam ciptaan Tuhan, mengharumkan nama Malaysia dan menjadi orang Melayu Islam pertama berada dalam bulan Ramadan dan Syawal di angkasa lepas.

“Kita akan terus melangkah ke era penerokaan baru untuk memahami ilmu dan teknologi aeroangkasa. Usaha ini bukan sekadar menghantar seorang angkasawan, tetapi adalah simbol impian satu bangsa yang boleh mencapai kejayaan setinggi bintang,” katanya.

Kejayaan ini juga memberi semangat bahawa sebenarnya anak Melayu, anak Malaysia mampu mencapai ke puncak pelbagai kegemilangan dan semoga ia akan terus menjana motivasi dalam kalangan anak bangsa, menjadi idola generasi muda dan teladan rakyat Malaysia untuk menempa nama dalam semua bidang agar menggenggam kemanisan kejayaan perjuangan, katanya.

Menyentuh pembangunan tamadun, apabila diutarakan hasrat mengangkasa hadarah atau tamadun ia adalah sejajar dengan gagasan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang gagasan Islam Hadhari iaitu pendekatan Islam yang menekankan aspek tamadun, katanya.

Najib berkata jika diteliti dalam perjalanan membina peradaban 50 tahun negara dan 61 tahun UMNO ternyata jalan-jalannya tidaklah terlalu mudah dan tidak juga terlalu sukar.

Beliau berkata ketika berada di persimpangan, pemimpin negara telah membuat pilihan yang tepat iaitu tidak mabuk kuasa tetapi lebih mengutamakan permuafakatan demi membina negara majmuk ini.

Najib berkata penyambung warisan iaitu generasi baru kepada pejuang dan rakyat zaman merdeka sedang meneruskan perjuangan untuk 50 tahun kedua pembinaan negara umpama sebuah larian berganti-ganti yang panjang yang kini berada di tangan kiri dan kanan setiap pemimpin, yang besar atau kecil dalam dewan serta di luar sana.

“Jika saya katakan pewaris pejuang dan pembina peradaban itu adalah kita semua, ya benar, kitalah orangnya; Mamat dan Dollah, Timah dan Joyah, Sabran dan Suparman; Fidah, Hisham dan Ani; Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban.

“Persoalannya, adakah kita sudah bersedia, untuk mendukung amanah menggalas perjuangan mengangkasa tamadun bangsa?” soalnya.

Katanya membina peradaban memerlukan usaha yang berterusan lantaran itu, minda Melayu perlu dipacu dengan pembelajaran dan latihan mengenai pemikiran positif, kreatif, lateral, proaktif dan inovatif.

Ia dicernakan melalui pengubahan minda Melayu melalui kepimpinan transformasi, bekerja sebagai satu pasukan, menjayakan agenda Melayu, melalui pegangan akidah dan terus membina generasi muda, iaitu resipi untuk kekuatan mental bangsa Melayu Glokal yang berminda kelas pertama.

“Percayalah bahawa umat Melayu boleh maju. Percayalah bahawa kita boleh berjaya. Kita boleh maju dan berjaya untuk mencapai apa sahaja citra dan cita-cita mulia. Syarat utamanya ialah melalui ilmu dan pendidikan.

“Oleh itu, pelaburan terpenting sesebuah keluarga Melayu bukan untuk memiliki tanah, rumah dan kereta besar sahaja. Namun, yang nombor wahid adalah untuk memastikan anak-anak, cucu-cicit kita menguasai ilmu dan berjaya dalam pendidikan setinggi mungkin,” katanya.

Najib juga mengungkapkan serangkap pantun enam kerat:

Aman, makmur, harmoni,

Tamadun bangsa, diangkasakan,

Di tanah air tercinta ini,

Satu idealisme perjuangan,

Mari bersama kita renungi,

Tanpa noktah, tiada kesudahan.

— BERNAMA

Dato’ Seri Najib mengulangi gesaan bahawa Negara wajar menentukan Wawasan 2020 untuk membina Negara sebagai taraf negara maju dan Bangsa Melayu berjaya diangkat sebagai bangsa maju, dijayakan dahulu menjelang 2020 sebelum mengorak langkah kepada 2057. Beliau juga menyentuh konsep Melayu Glokal, yang menjadi thema ucapandasar Timbalan Presiden Perhimpunan Agung UMNO 2005.

Timbalan Presiden UMNO ini juga menyentuh Agenda Melayu perlu dijadikan agenda nasional, disamping DEB, Wawasan 2020, Missi Nasional dan lain lain.

* (Tambahan terkini) Dipetik dari Utusan Malaysia, Selasa 6 November 2007:

Agenda Melayu agenda nasional – TPM

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Agenda Melayu merupakan satu agenda nasional kerana jika kaum Melayu maju ia akan menguntungkan semua pihak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Presiden UMNO berkata, dengan matlamat agenda Melayu dicapai, perpaduan rakyat juga akan bertambah kukuh sementara negara pula akan terus bersinar di ufuk yang aman dan makmur.

Beliau berkata, agenda tersebut meliputi sosioekonomi, pendidikan, pembangunan yang adil serta usaha mendaulatkan agama Islam demi maslahat umum.

Justeru, beliau mahu semua kaum lain di negara ini memahami mengenai agenda yang telah digariskan itu.

“Agenda Melayu tetap menjadi agenda UMNO yang utama kerana Melayu masih ketinggalan dalam pelbagai bidang.

“Untuk itu kita telah menyuratkan pelbagai perkara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk membela bangsa. Kaum lain wajar sentiasa memahami bahawa jika Melayu maju, ia akan menguntungkan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO mempunyai gagasan yang besar untuk diperjuangkan dalam usaha membela nasib kaum Melayu dan rakyat di negara ini.

Antara gagasan besar itu, katanya, ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020, pendekatan Islam Hadhari, Misi Nasional, pembangunan seimbang melalui lima koridor dan Gagasan 2057.

‘‘Kita juga mesti terus memantapkan politik, menguasai ilmu dan pendidikan, memurnikan sosiobudaya serta terlibat aktif dalam ekonomi sewaktu meniti arus gelombang globalisasi,’’ katanya lagi.

Dalam ucapan itu, beliau menarik perhatian hadirin dengan menyatakan segala perkara yang berkaitan dengan persiapan rakyat dan generasi akan datang menjadi amanah kepada UMNO dan pimpinannya.

‘‘Tanggungjawab berat ini mesti kita galas, mesti kita dokong demi memastikan obor gagasan besar perjuangan bangsa terus marak menyala menyinari seluruh pelosok negara,’’ tambahnya.

Persidangan Agung UMNO 2007 akan bermula besok pagi dengan ucapandasar Ketua Wanita UMNO, Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Puteri UMNO kepada Perwakilan masing masing dan Ucapandasar Presiden UMNO pada hari Rabu, sebagai pemulaan tiga hari persidangan utama PAU 2007.

Selamat bersidang Perwakilan UMNO sekelian.

Published in: on November 6, 2007 at 02:01  Comments (3)