Pembangunan korridor ekonomi oleh GLC modal ucapandasar Presiden UMNO

 umno-ga-2007.jpg

Pagi ini, bermula Perhimpunan Agung UMNO dengan ucapandasar Presiden UMNO yang berjudul “Memperkukuh Keyakinan, Mencapai Era Baru”. Presiden UMNO PM Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memilih mengutarakan agenda pembangunan mega korridor ekonomi (WPI, NCER dan WEPT, yang telah dilancarkan dalam tempoh setahun ini), sebagai modal meraih sokongan ahli ahli UMNO dan orang orang Melayu, golongan pengundi terbesar Negara.

07 November, 2007 09:13 AM

Perhimpunan Agung Umno 2007 Bermula Hantar berita ini kepada rakan Versi bolehcetak berita ini

 

 

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) — Perhimpunan Agung Umno 2007 bermula hari ini dengan majlis perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Acara yang dinanti-nantikan semua pihak ialah ucapan dasar presiden yang akan disampaikan Abdullah selaku presiden parti dalam suasana negara masih meraikan kejayaan sepanjang 50 tahun mencapai kemerdekaan dan Umno pula sedang memperkemaskan persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-12.

Ucapan dasar itu turut menarik perhatian pemerhati politik di dalam dan luar negara bagi mengetahui hala tuju politik parti yang menjadi tulang belakang kepada parti pemerintah Barisan Nasional (BN).

Banyak pihak menjangkakan Abdullah akan menegaskan mengenai perancangan negara untuk tempoh 50 tahun akan datang berdasarkan kepada pengumuman beliau mengenai Misi 2057 tidak lama dulu.

Lebih 2,500 anggota perwakilan dari 190 bahagian akan mengambil bahagian dalam perhimpunan agung itu, yang akan berlangsung selama tiga hari sehingga Jumaat ini.

Perhimpunan agung kali ini turut disertai lebih 50 perwakilan Kelab Umno luar negara di seluruh dunia serta lebih 60 anggota delegasi parti-parti politik luar negara yang diundang khas.

Perwakilan parti politik luar negara itu mewakili 27 parti dari 25 negara, termasuk Afghanistan, Kemboja, China, Cuba dan India.

— BERNAMA

Pembangunan korridor korridor ekonomi gergasi ini akan diterajui oleh GLC, sebagai pemain utama untuk menentukan perlaksanaanya. WPI diterajui Khazanah Holdings Bhd., Sime Darby Bhd. pula dipertanggung jawabkan memacu pembangunan dalam NCER dan Petronas pula dalam WEPT.

Kepentingan kedudukan peranan GLC dalam korridor korridor ekonomi dan proses menambah-nilai-harta (wealth creation) agenda utama Khazanah terlah dijadikan teras dan modal ucapandasar Presiden UMNO pagi ini.

Bernama.com mempunyai laporan awal:

07 November, 2007 11:30 AM  

Abdullah Mahu GLC Juarai Keupayaan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerajui usaha membantu meningkatkan keupayaan dan kredibiliti syarikat dan individu bumiputera.

Beliau berkata GLC hendaklah sama-sama mengambil tanggungjawab, mendukung wawasan kerajaan terutamanya usaha melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, mewujudkan sistem vendor dan menjalinkan program usaha sama secara berkesan dengan syarikat bumiputera.

“Sebagai syarikat berkaitan kerajaan, GLC wajib menghayati aspirasi negara, aspirasi bangsa,” kata Abdullah dalam ucapan dasar selaku Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Abdullah berkata GLC harus berperanan sebagai pemangkin untuk membolehkan berlakunya proses pemindahan teknologi asing kepada syarikat tempatan dan syarikat bumiputera dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

“Saya berbangga dengan kejayaan GLC. Saya akan lebih berbangga apabila GLC turut berperanan aktif, memperbesarkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera dan mempercepatkan proses pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan,” katanya.

Perdana Menteri berkata matlamat mencapai sasaran keuntungan dengan wawasan membangunkan ekonomi bumiputera tidak seharusnya berlaku sebarang percanggahan dan tidak ada sebab syarikat dan individu tempatan harus disisihkan kerana pada hari ini sudah banyak syarikat dan individu bumiputera memiliki kemahiran dan keupayaan.

Katanya kejayaan GLC akan menjadi lebih lengkap apabila berupaya mengimbangkan usaha dengan merealisasikan program pembangunan ekonomi dan program pembangunan sosioekonomi bumiputera.

“Tidak seharusnya keistimewaan dan keyakinan diutamakan kepada syarikat-syarikat atau pakar-pakar dari luar negara sahaja,” katanya.

Abdullah berkata kejayaan GLC selepas melaksanakan program transformasi pada tahun 2004 amat memberangsangkan dan telah menyebabkan nilai pasaran saham 20 GLC terkemuka meningkat 74 peratus dan mencecah nilai RM253 bilion, sekaligus membawa impak ketara kepada prestasi Bursa Malaysia.

“Kejayaan yang diperlihatkan oleh GLC telah meningkatkan keyakinan pelabur di dalam dan di luar negara,” tambah beliau.

Abdullah berkata, amalan korporat yang lebih baik juga bukan hanya memberi manfaat kepada GLC, malah ia turut memberi faedah kepada para pemegang saham utama mereka seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad.

Ini secara tidak langsung memberikan limpahan kepada rakyat dalam bentuk dividen dan bonus, katanya.

— BERNAMA

 

Walaupun PM Abdullah mengutarakan program pembangunan GLC sebagai “menjuarai keupayaan Bumiputera”, sebenarnya ianya tidak sebagaimana yang disuratkan. Sebagai contoh ialah Malaysia Airlines. Apabila Dato’ Idris Jala diambil sebagai Pengarah Urusan Malaysia Airlines 1 Disember 2005, beliau telah menjanjikan ‘tiada cadangan untuk pemberhentian kakitangan’ dan ‘mencari bakat dalaman’, kepada pekerja pekerja syarikat, yang majoritinya terdiri orang orang Melayu. Namun begitu, dalam tempoh 18 bulan, begitu banyak kedudukan strategik, utama, pengurusan dan professional yang dikuasai dan duduki oleh professional and pemain industri penerbangan dikalangan orang orang Melayu dalam Malaysia Airlines dibiarkan dengan mudah terlepas, melalui peluang ‘keluar’ seperti “mutual separation scheme“. Kekosongan ini kemudian dipenuhi oleh pengurusan dan professional yang bukan sahaja Bukan Melayu, malah bukan dari industri penerbangan dan tiada pengalaman kerja sesuai.

Yang nyatanya, ujud program program dalam korridor ekonomi yang dipacu GLC ini sebenarnya membelakangkan kepentingan Melayu. Sebagai contohnya ialah WPI. Pengerusi IDRA Tun Musa Hitam mengumumkan bahawa Dasar Ekonomi Baru akan dikecualikan perlaksanaanya dalam WPI, yang jelas membelakangkan kepentingan orang orang Melayu dan sekaligus meletak secara songsang kepentingan strategik orang orang Melayu.

Satu siri analisa mengenai WPI akan disiarkan dalam blog SiBongkok Tanjung Puteri, oleh seorang anak Johor yang berpengalaman, mulai hari ini.

 

 

 

Published in: on November 7, 2007 at 13:34  Leave a Comment