PM: HINDRAF berbohong dengan niat jahat, mengugatkan keselamatan Negara dan bertindak melampau!

Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyelar dan mengecam dakwaan Hindu Right Action Force (HINDRAF) dengan dakwaan dusta, pembohongan berniat jahat dan manipulasi fakta sebenar dengan maklumat palsu, mengenai keadaan masyarakat keturunan India, terutama suku-keturunan Tamil (majoriti keturunan India) dalam Negara.

Menurut PM Abdullah lagi, pembohongan dan dusta pihak HINDRAF ini boleh mengugat perpaduan antara kaum dan kepercayaan, kestabilan dan harmoni masyarakat majmuk, membangkitkan kemarahan keturunan lain dan menjejas keselematan Negara.

Disamping itu, HINDRAF juga berusaha untuk memburukan nama baik Negara dan Kerajaan, dipersada antarabangsa apabila merayu kepada Perdana Menteri Britain agar keahlian Malaysia digantung, jika tidak dipecat sempena Persidangan Ketua Ketua Kerajaan Commonwealth (CHOGM) minggu lepas. Ini juga termasuk kemungkinan akan menjejaskan hubungan baik antara negara, seperti India.

Ini merupakan laporan Mingguan Malaysia pagi ini:

Hindraf berbohong – PM — Berniat tidak baik dakwa kerajaan lakukan pembersihan etnik minoriti

Oleh: LUKMAN ISMAIL

ALOR GAJAH 1 Dis. – Kumpulan Hindu Right Action Force (Hindraf) telah membuat dakwaan melampau, tidak masuk akal dan berniat tidak baik apabila menuduh kerajaan Malaysia mengamalkan pembersihan etnik minoriti di negara ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri yang ternyata marah dengan tuduhan itu menegaskan, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang menghasut dan membuat pembohongan yang boleh menggugat perpaduan kaum.

Menurut Abdullah, dakwaan yang dibuat Hindraf termasuk kononnya kerajaan berada di belakang kumpulan ekstremis yang memusnahkan kuil Hindu di Kampung Jawa, Pulau Pinang pada 15 November lalu merupakan satu pembohongan besar.

Katanya, ia seolah-olah menyamakan Malaysia dengan pembersihan etnik yang berlaku di negara Bosnia oleh pihak Serbia beberapa tahun lalu

“Saya rasa marah sebenarnya, saya jarang rasa marah tetapi ini tindakan yang tidak boleh dilayan sama sekali.

“Apakah wujud pembersihan etnik di sini? Betulkah ada pembersihan etnik? Ini adalah satu pembohongan yang ada niat tidak baik. Pembohongan seperti ini akan menimbulkan kemarahan (rakyat),” tegas Perdana Menteri.

Abdullah menegaskan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perkampungan Hadhari Melaka, di pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah di sini, hari ini.

Kejadian di Kampung Jawa itu tidak pernah berlaku, dan Abdullah berkata, ia merupakan satu cubaan hendak memperdayakan kaum India yang telah bersama-sama hidup aman dengan kaum lain dan membantu kerajaan membangun dan memakmurkan negara ini.

“Di Malaysia tak pernah berlaku perbalahan antara orang Islam dengan penganut agama Hindu. Mengapa hal ini ditimbulkan? Tentu sekali ia berbau perkauman dan mahu menggugat kestabilan perpaduan kaum dan gugat kepercayaan orang India kepada kerajaan, UMNO dan Melayu.

“Ini perbuatan yang tidak dapat kita terima dalam apa bentuk sekalipun. Ini adalah perbuatan yang terkutuk. Satu pembohongan, tohmahan yang tidak ada asas sama sekali,” kata Perdana Menteri.

Beliau turut kesal dengan tindakan Hindraf membuat aduan mengenai kaum India di Malaysia kepada kerajaan United Kingdom, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pihak antarabangsa lain yang semata-mata untuk menimbulkan keadaan yang tidak tenteram dan perbalahan antara kaum.

Semua itu katanya, mempunyai niat yang tidak baik dan cuba memperdayakan kaum India bahawa mereka golongan yang ditindas dengan mendakwa berlaku penghapusan etnik di negara ini.

“Penghapusan etnik ini seperti berlaku di Bosnia apabila pihak Serbia sentiasa menyerang dan membuat segalanya-galanya supaya orang Bosnia itu tidak wujud lagi tetapi kita tidak lakukan perkara itu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Hindraf juga berbohong apabila menganggap kerajaan tidak berlaku adil terhadap agama lain dan beliau percaya dakwaan itu adalah untuk menimbulkan kebencian di kalangan orang India terhadap kerajaan.

“Orang India telah mainkan peranan mereka jadi penyokong kuat kerajaan Malaysia, kerajaan Barisan Nasional. Tentunya mereka tahu kita bersikap adil dan saksama.

“Selama 50 tahun kita merdeka, tidak pernah kita ada apa-apa pun hingga tidak ada perbalahan dengan orang India, orang India telah memainkan peranan mereka menjadi penyokong kuat kepada kerajaan Malaysia dan Barisan Nasional, tentu sekali mereka tahu kerajaan bersikap adil dan saksama,” katanya.

Abdullah berkata, walaupun beliau seorang Islam tetapi sedia membantu kumpulan agama Hindu yang datang memohon bantuan membaiki kuil-kuil mereka di kawasan beliau di Kepala Batas.

Katanya, bantuan yang diberikan itu kerana kerajaan mahu berlaku adil dan tidak menganggap penganut agama lain sebagai musuh sebaliknya sebagai rakan.

Malahan, jelas beliau, kerajaan juga sentiasa membantu kaum India melalui pelbagai isu yang dibawakan oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu selaku pemimpin kaum India terbesar di negara ini.

“Justeru, saya harap rakyat Malaysia buat penilaian terhadap tuduhan ini terutama bagi kaum India yang diperdaya oleh kumpulan ini,” tegas Perdana Menteri.

Abdullah memberi amaran, hasutan seperti ini boleh menimbulkan perbalahan antara kaum di negara ini khususnya melibatkan orang Melayu dan India.

Sehubungan itu, beliau menyeru kaum India di negara ini tidak terpengaruh dengan pembohongan kumpulan terbabit manakala kaum-kaum lain pula diminta tidak menunjukkan simpati terhadap Hindraf.

Ditanya mengenai tindakan undang-undang yang akan diambil ke atas kumpulan terbabit, Abdullah berkata, beliau akan mendapatkan laporan penuh dari semasa ke semasa daripada pihak polis berhubung aktiviti kumpulan terbabit sebelum sebarang tindakan dilakukan.

“Kita ada undang-undang dan Perlembagaan. Kumpulan ini akan berdepan dengan tindakan undang-undang dan (selama ini) kita berjaya sebab kita patuhi (undang-undang dan Perlembagaan). Kita berpegang kuat pada Rukun Negara,” katanya.

Pada 25 November lalu, kumpulan yang menamakan diri mereka Hindraf telah mengadakan perhimpunan haram di ibu kota yang kemudiannya bertukar menjadi ganas apabila penyokong pertubuhan itu bertindak agresif melontar batu dan besi ke arah polis.

Perhimpunan tersebut tidak mendapat permit daripada pihak polis kerana bimbang ia menggugat keselamatan orang awam, yang kemudian berakhir dengan empat anggota polis cedera, dua daripadanya parah.

Bernama.com pula melaporkan:

01 Disember, 2007 16:47 PM

 

Hindraf Melampau, Kata Perdana Menteri

ALOR GAJAH, 1 Dis (Bernama) — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata tindakan Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang mendakwa kerajaan Malaysia melakukan penghapusan etnik adalah perbuatan yang melampau.

Perdana Menteri yang nyata marah dengan dakwaan itu berkata tuduhan dan pembohongan yang tidak berasas itu boleh menimbulkan kebencian di kalangan rakyat dan menyebabkan perbalahan kaum.

“Saya rasa marah sebenarnya, saya jarang rasa marah tetapi ini tindakan yang tidak boleh dilayan sama sekali,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perkampungan Hadhari peringkat negeri di Dataran Pantai Perkelahan Tanjung Bidara dekat sini, hari ini.

Beliau berkata Hindraf mempunyai niat yang tidak baik apabila melakukan banyak pembohongan dan cuba memperdayakan kaum India bahawa mereka golongan yang ditindas dengan mendakwa berlaku penghapusan etnik di negara ini.

“Penghapusan etnik ini seperti berlaku di Bosnia apabila pihak Serbia sentiasa menyerang dan membuat segalanya-galanya supaya orang Bosnia itu tidak wujud lagi tetapi kita tidak lakukan perkara itu,” katanya.

Abdullah yang turut kesal dengan tindakan Hindraf membuat aduan mengenai kaum India di Malaysia kepada kerajaan United Kingdom, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pihak antarabangsa lain, berkata ia semata-mata untuk menimbulkan keadaan yang tidak tenteram dan perbalahan antara kaum.

Beliau berkata hari ini Hindraf cuba hendak memperdayakan kaum India yang telah bersama-sama hidup aman dengan kaum lain dan membantu kerajaan membangun dan memakmurkan negara ini.

“50 tahun kita merdeka, tidak pernah kita ada apa-apapun hingga tidak ada berbalahan dengan orang India, orang India telah memainkan peranan mereka menjadi penyokong kuat kepada kerajaan Malaysia dan Barisan Nasional, tentu sekali mereka tahu kerajaan bersikap adil dan saksama,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka dalam apa juga pembangunan yang berlaku di negara ini.

“Saya bantu mereka, macam-macam saya bantu mereka, mereka hendak wang untuk baiki kuil mereka, saya bantu sebab kita menghormati agama lain, dan mereka bukan bermusuh dengan kita, mereka duduk bersama-sama bermaufakat dengan elok dan bekerjasama, ini yang telah berlaku,” katanya.

Perdana Menteri tidak mahu rakyat terutamanya kaum India membenarkan diri mereka diperdayakan dengan dakwaan kumpulan berkenaan dan begitu juga kaum lain diharap tidak akan menunjukkan apa-apa simpati kepada kumpulan itu.

“Adakah ini yang kita cari, di Malaysia tidak ada masalah antara Islam dan Hindu, tidak pernah berlaku, tidak ada pergaduhan di sini, mengapa perkara seperti ini ditimbulkan, tentu apa yang dilakukan ini ada berbau perkauman dan tujuan untuk memporakperandakan keamanan dan kesejahteraan rakyat kita,” katanya.

Katanya tindakan Hindraf yang hendak “menangguk di air keroh” itu tidak boleh dibiarkan kerana negara mempunyai undang-undang dan perlembagaan yang mana semua pihak perlu mematuhinya dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan.

“Kita berjaya sebab kita mematuhinya, kita pegang kuat pada Rukun Negara,” katanya dan menurutnya polis sentiasa memantau apa yang berlaku di negara ini termasuk kegiatan oleh pengikut Hindraf.

“Jadi saya harap rakyat Malaysia akan membuat penilaian dengan kenyataan seperti ini (oleh Hindraf) terutama sekali bagi kaum India yang diheret oleh kumpulan ini, diperdayakan oleh kumpulan ini,” katanya.

Beliau berkata sejak sekian lama, kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada pelbagai permintaan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu untuk memperbaiki sosial dan ekonomi masyarakat India.

“Sama ada permintaan untuk menjadi senator, wakil rakyat, semua kita beri perhatian. kita beri sokongan. Orang India tahu ada kumpulan seperti Hindraf nak cucuk mereka dan nak buat bermacam kenyataan supaya mereka tidak seronok dengan kita,” katanya.

Beliau tidak mahu Malaysia yang sedang membangun dengan baik digugat oleh kumpulan berkenaan.

Ditanya adakah kerajaan bercadang untuk melucutkan kewarganegaraan anggota Hindraf, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan undang-undang.

Perdana Menteri berkata melakukan demontrasi jalanan kononnya untuk membuat perubahan dan tuntutan adalah cara yang tidak betul termasuk oleh kumpulan yang bergelar “BERSIH” mengenai pilihan raya, bulan lepas.

Pada pilihan raya akan datang, beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan untuk menggunakan dakwat khas dan peti undi lutsinar bagi memastikan ketelusan.

“Tong peti undi yang lutsinar, semua orang tahu bila bawa ada kertas undi di dalamnya. Begitu juga untuk undi pos, orang lain pun boleh datang tengok, apa yang dilakukan semasa undi pos, semua nak periksa seolah tak percaya pada siapa pun, mereka sahaja perlu dipercayai,” katanya.

Perdana Menteri berkata kalau kerajaan Malaysia penipu, sudah lama ia diketepikan kerana rakyat bukan bodoh dan tidak boleh diperbodohkan.

“Kita terus memerintah, 50 tahun (merdeka) menjadikan negara kita ini berjaya, ekonomi kita meningkat, mengikut maklumat statistik yang muktahir sekali ekonomi naik 67 peratus, semua penunjuk kepada arah kita maju dan ekonomi kita bertambah baik,” katanya.

Abdullah yang mengakui masih ada kelemahan dan ada kerja yang belum dilaksanakan oleh kerajaan berkata: “mana ada pemimpin dalam dunia kata aku telah buat segala-galanya, semuanya sudah sempurna, tidak ada yang miskin, tidak ada yang melarat, tidak ada memerlukan bantuan.”

Beliau berkata pembangunan adalah proses yang mengambil masa yang lama dengan memberikan contoh dasar pembasmian kemiskinan yang dimulakan sejak wujudnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan masih dilaksanakan sehingga hari ini.

“Ramai yang masih miskin, kita tidak boleh kata selepas 20 tahun DEB dilaksanakan maka berhenti segalanya-galanya, tak payah buat apa-apa lagi,” katanya.

— BERNAMA

 

Cara dan trend membawa apa apa isu pihak pihak tertentu dijalanan juga diselar Perdana Menteri dalam ucapan diMelaka ini. Kebelakangan ini, perhatian antarabangsa cuba ditarik melalui proses seperti Perarakan “Walk For Justice”, Perhimpunan/Perarakan Haram BERSIH dan terbaru, Perhimpunan/Perarakan Haram HINDRAF, yang jelas bertentangan dengan undang undang, sebagai termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang telah diluluskan oleh Parliamen melalui Akta Polis.

Dalam perhimpunan/perarakan haram anjuran BERSIH pada 10 November 2007, yang nyata sekali diperkudakan Pemimpin dan pihak Pembangkang, ada pula pihak pihak cuba mengaitkan DYMM SPB YDP Agong dan Raja Raja Melayu sebagai kunun kunun memberi ‘perkenan’ dan ‘restu’ dan ‘menyokong’ usaha yang jelas membelakangkan undang undang sediada dan sekaligus, meletakan Raja Raja Melayu sebagai membelakangkan prinsip ‘Raja BerPelembagaan’, sebagaimana menjadi asas penubuhan dan sistem Negara ini.

Oleh kerana ujud percubaan memanipulasi kunun kunun membabitkan baginda Tuanku, maka Istana Negara telah mengadakan sidang media khas untuk menafikan pembohongan ini dan kemudianya disusuli pula titah tegas baginda DYMM Sultan Pahang dan DYTM Raja Muda Perak.

Jelas ini memberikan tamparan hebat kepada Perhimpunan/Perarakan Haram 10 November itu.

Namun begitu, masih lagi ujud segelintir masyarakat majmuk Malaysia, terutama golongan professional dan perpelajar disekitar Lembah Klang, yang masih lagi bertegas dalam proses membetulkan keadaan melalui jalan perhimpunan/perarakan dijalanan, yang mereka rancang akan diadakan secara aman, walaupun tiada mendapat permit Polis.

Walaupun begitu dan ada yang sanggup memberikan jaminan perhimpunan terbuka/perarakan tanpa permit Polis ini akan menjadi aman, namun akan ujud anasir anasir dikalangan masyarakat madani ini yang akan menyalah gunakan kesempatan dan kelonggaran apa juga peluang yang diberikan untuk menimbulkan perasaan tersinggung, marah dan akhirnya berlaku pergaduhan dan kekacauan.

 

Published in: on December 2, 2007 at 08:04  Comments (16)