Jangan bagi lagi ruang kepada ‘Ular’ yang berniat jahat!

Menteri DiJabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Nazri Aziz memberikan kenyataan ‘berlapik’ apabila menyatakan sekiranya Hindu Rights Action Force (HINDRAF), yang sudah pun hilang ‘kelayakan’ untuk bertemu Perdana Menteri Malaysia, masih bertegas juga, wajar melakukan pertemuan itu bersama sama pemimpin majoriti politik India, iaitu MIC.

Laporan Utusan Malaysia pagi ini:

Hindraf tidak layak jumpa PM

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau berpendapat pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) tidak perlu berjumpa dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana mereka telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang negara dengan menganjurkan perhimpunan haram di ibu negara bulan lepas.

“Saya tidak ada bantahan sekiranya Perdana Menteri bersetuju untuk berjumpa dengan mereka tapi kerajaan tidak perlu tunduk kepada ugutan sesiapa kerana selama ini tiada kaum yang dipinggirkan di Malaysia,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini ketika diminta mengulas hasrat Hindraf untuk menemui Abdullah bagi berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh masyarakat India di Malaysia.

Nazri berkata, sekiranya Hindraf masih ingin meneruskan hasrat itu, pertemuan itu perlu dihadiri bersama oleh MIC selaku parti politik terbesar yang mewakili masyarakat India di Malaysia.

Di Langkawi, Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin sependapat dengan Mohamed Nazri kerana pertubuhan itu tidak diiktiraf oleh sesiapapun.

“Bukan taraf seorang Perdana Menteri untuk bertemu dengan sebuah pertubuhan yang hina dan mempunyai taraf yang rendah kerana bertindak seperti samseng jalanan dengan melanggar undang-undang negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat media di Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) di sini, hari ini.

Zainuddin berkata, bukanlah taraf bagi seorang Perdana Menteri untuk bertemu dengan golongan yang telah menimbulkan huru-hara dan menggunakan cara kekerasan untuk mengugut kerajaan.

Menurut beliau, usaha untuk bertemu dengan pemimpin negara bagi meluahkan segala rasa tidak puas hati seharusnya berlangsung sebelum Hindraf mengambil tindakan untuk menganjur perhimpunan haram dan bukan selepasnya.

Zainuddin berkata, kaum India telah jauh maju berbanding zaman mencapai kemerdekaan iaitu daripada datang ke negara ini sebagai pekerja ladang, kini ramai yang menjadi golongan profesional termasuklah yang menyokong Hindraf.

“Kita juga kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh dengan mendakwa kononnya presiden India dan Ketua Menteri Tamil Nadu telah menyokong tindakan Hindraf,” kata Zainuddin.

– Bernama

Pemimpin HINDRAF tidak wajar diberikan apa apa ruang lagi untuk bertemu Perdana Menteri, setelah membelakangkan undang undang sediada (Akta Polis) dan proses perundangan (arahan Mahkamah) dan mengadakan perhimpunan haram 25 Novermber 2007, diJalan Ampang, Kuala Lumpur. Perhimpunan ini berakhir dengan keganasan apabila Polis cuba meleraikan penunjuk perasaan.

Tindakan HINDRAF yang dilihat sebagai sengaja berniat jahat untuk menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia etnik India, keturunan etnik India seluruh dunia dan mencemar dan burukan namabaik Negara dipersada antarabangsa sebenarnya wajar diklassifikasikan sebagai ‘pengkhianat’, walapun pemimpin utama HINDRAF P. Uthayakumar membuat kenyataan mendakwa bahawa sebenarnya beliau ialah seorang ‘patriot’ yang sayangkan Negara.

“Buat baik, biarlah berpada pada”, pesan orang tua tua warisan kita. Sekiranya “sudah bagi betis, hendak peha”, kemudian naik tocang sehingga berlaku KURANG AJAR pula, sehingga mendapatkan perhatian serious Raja Raja Melayu, maka kita sebenarnya wajar untuk menimbang semula semua fakta fakta dan variable dalam isu ini, sebelum apa apa ruang, peluang, rundingan, keputusan dan tindakan diambil.


Published in: on December 4, 2007 at 09:28  Comments (10)