Erti “Korban” melayari sepanjang 1428H

Hari ini, umat Islam diMalaysia akan menyambut Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Qurban, 1428H. Walaupun wukuf diArafah ialah pada hari Selasa 18 Disember 2007, namun Majlis Raja Raja telah menetapkan bahawa Khamis 20 Disember 2007.

aidil-adha.gif

Sambutan “Korban” yang dirayakan umat Islam seluruh dunia ialah apabila memperingati sejarah Allah s.w.t. memfirmankan Nabi Ibrahim A.S. untuk menyembelihkan anakandanya sendiri, Nabi Ismail A.S. Sebagai seorang Rasul yang taat kepada Pencipta seluruh alam semesta yang tidak berbelah bagi itu, Ibrahim A.S. menurut perintah Allah s.w.t. tanpa ragu ragu walaupun syaitan cuba mempengaruhi agar hambaNya itu meragui perintah Tuhan.

Dalam masyarakat Melayu-Islam Malaysia moden, “Korban” musim Zulhijjah ini membawa maksud apabila orang orang berkemampuan bersedekah ternakan seperti lembu, kerbau, kambing dan kadang kala dewasa ini, unta, untuk sedikit ‘kemewahan’ dan nikmat kepada golongan kurang berada dan bernasib baik. “Korban” ialah ibadah tahunan yang meneruskan pengertian mengenang, membantu dan meringankan sedikit permasalahan orang lain, terutama masyarakat sekeliling kita dan rakan-taulan dan saudara-mara terdekat.

Walaubagaimanapun, “Korban” kali ini disenarai dari sudut majoriti yang ‘berkorban’ untuk kepentingan segelintir, termasuk dari perspektif peribadi. Blog ini ingin menyingkap erti “Korban” secara kasar dan sekali lalu, dari sudut politik tanahair dalam tempoh setahun ini.

Setahun ini, “Korban” membawa pengertian lain dan konnotasi negatif. Tahun 1428H ini memperlihatkan berpuluh ribu umat Islam dan rakyat Malaysia, berada dalam serba kekurangan dan kesusahan serta cabaran amat getir apabila Selatan Semenanjung Malaysia dilanda bencana banjir besar bermula lewat tahun 2006, sedangkan Perdana Menterinya berdendang bercuti dan bersantai disamping keluarga dan sahabat terdekat diPerth, Australia, termasuk dengan besar hati merasmikan sebuah restoran nasi kandar.

Dalam tahun ini juga, menyaksikan rakyat Malaysia ber”Korban”, melalui syarikat milik penuh Kerajaan, Penerbangan Malaysia Berhad membelanjakan RM 200 juta sebuah pesawat eksekutif serba mewah baru sedangkan TUDM beroperasi dengan tiga buah pesawat eksekutif mewah lain sediada.

Mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesa ahli ahli UMNO agar sedia untuk ‘mengorbankan’ Kepimpinan, demi UMNO dan kepentingan taktikal dan strategik orang orang Melayu, semasa berada diJohor Bahru, bandaraya kelahiran UMNO, pada 10 Februari 2007.

Kepentingan strategik Melayu dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (satu plan pembangunan mega-gergasi yang sangat bercita cita tinggi, dilancarkan November 2006 sempena nama DYMM Sultan Iskandar Al Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan Johor), secara terbuka diperjelaskan akan di”korban”kan secara terancang dan berstruktur, dalam satu wawancara bersama Pengerusi panel penasihat IDRA mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam.

Kemudian, Tun Dr. Mahathir juga apabila secara terbuka “memberikan sokongan” kepada satu masa dulu seteru politik semasa dalam UMNO iaitu Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah, kini sedia ‘mengorbankan’ kepentingan peribadi dalam satu syarahan diUniversiti Malaya dan mengimbau kembali pemikiran Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Rakyat Malaysia juga ter”korban” apabila orang kepercayaan Perdana Menteri Kalimullah Hassan dan menantu PM Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin ‘bermain silap mata dan sandiwara-panggung bangsawan semata mata’ apabila mengumumkan kembalinya mereka dalam ECM Libra setelah kunun kunun ‘menjualkan kepentingan mereka’ dalam syarikat bank pelaburan butik itu Ogos tahun lepas, selepas skandal ‘ECM Libra-Avenue Capital’ hebat diperkatakan.

Kronisma dalam pentadbiran PM Abdullah mula menjejaskan rakyat, termasuk DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong apabila sistem diLapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu rosak dan semua penerbangan dibatalkan/tunda.

Proton, sebuah syarikat berteknologi tinggi dan pemangkin utama Negara kedalam industri pembuatan mekanikal dan status negara maju, yang telah perlahan lahan dibina dengan pelaburan besar, keringat dan pengorbanan banyak imbuhan rakyat Malaysia, di’korban’kan secara sistematik dalam pentadbiran PM Abdullah.

Abdullah Ahmad Badawi yang kematian isteri, berkahwin semula dengan Jeanne Abdullah pada Jun tahun ini. Sempena perkahwinan ini, satu analisa kepimpinan sebagai Perdana Menteri yang telah disenaraikan oleh seorang mantan pegawai Jabatan Perdana Menteri, telah diterbitkan semula dalam blog ini, sebagai ‘hadiah perkahwinan’.

PM Abdullah juga cuba ‘mengorbankan ‘ memori, keyakinan dan kepercayaan rakyat Malaysia kepada Bapa Pembangunan Malaysia Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein apabila menyamakan diri beliau kepada Perdana Menteri Malaysia ke II itu.

“Korban” juga membawa erti bahawa Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sanggup “mengaku kesilapan memilih penganti” apabila mengulangi kenyataan konsisten mengenai kepincangan pentadbiran PM Abdullah sehingga sampai keperingkat “menjadi busuk”, termasuk mengulas kenyatan mantan Ketua Polis Negara Tun Mohd. Hanif Omar mengenai pasukan Polis dewasa ini.

‘Kiblat’ dasar luar negara juga telah menjadi “Korban” dizaman pentadbiran PM Abdullah walaupun beliau sendiri pernah menjadi Menteri Luar Negeri selama 8 tahun dalam pentadbiran Tun Dr. Mahathir.

Ada pihak pihak yang sengaja melupakan sejarah ‘pengorbanan’ dan peranan utama yang dimainkan orang orang Melayu untuk mencapai Kemerdekaan, termasuk kesediaan untuk ‘bertolak-ansur’ dan ‘berkongsi-kuasa’.

“Korban” ialah apabila Malaysia diperlihatkan bagaimana Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2008 diDewan Rakyat yang tidak konsisten dan apabila ditanya pemberita, secara selamba meminta perkara itu dirujuk kepada Menteri Kewangan II.

“Melayu mudah lupa” merupakan pesan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terpapar sebagai realiti, ditafsirkan dengan perbuatan “mengorbankan” jasa dan kenangan keatas ‘orang tua’ di”korban”kan sama sekali.

Telekom Malaysia merupakan asset Negara yang paling terkini sekali di”korban”kan, terutama dari sudut pembangunan Negara dan masyarakat. Syarikat GLC yang menjadi salah satu tunggak KLCI kini mengorak langkah kearah memfokus kepada ‘keuntungan, pulangan pelaburan, penambahan nilai dan kedudukan menguasai pasaran’ melampau objektif utama dan asal syarikayt ini diujudkan, bina dan korporatkan.

22 Oktober lepas merupakan genap setahun pertemuan-empat-mata Perdana Menteri dan mantan Perdana Menteri dimana 19 point telah diutarakan sebagai bahan perbincangan. Sehingga hari ini, rakyat Malaysia masih belum lihat perkembangan permasalahan yang menjadi perhatian begitu banyak pihak dalam segala aduan yang dimajukan itu.

Masyarakat Malaysia telah diingatkan semula mengenai seluruh “Korban” yang Negara tempuhi selama empat tahun dibawah pentadbiran PM Abdullah Ahmad Badawi.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Ke II dan ahli MKT UMNO yang dilantik, Dato’ Mohd. Norza Zakaria pula cuba ‘mengorbankan’ pemikiran dan kuasa-minda orang orang Melayu apabila salah mendefinisikan cara pentadbiran dan kewibawaan kepimpinan PM Abdullah Ahmad Badawi.

Ada ahli UMNO yang sedia ‘berkorban’ dan membelakangkan kepentingan peribadi, apabila membuat laporan Polis mengenai Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai “Konspirasi diperingkat tertinggi mengagalkan mantan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad dipilih sebagai Perwakilan UMNO Kubang Pasu 9 September 2006”, sewaktu Perhimpunan Agung UMNO tahun 2007.

Terbaru ini, dunia diperlihatkan Perdana Menteri ‘Flip-Flop’ mengarahkan Peguam Negara dengan kadar segera untuk menimbang semula semua pertuduhan ‘HINDRAF 31’, selepas 13 NGO Hindu dan Presiden MIC bertemu beliau. Menjelang Isnin, Mahkamah Sesyen Shah Alam membebaskan 31 orang yang dituduh cuba membunuh seorang anggota Polis semasa bertugas walaupun sebelum itu, Peguam Negara yang sama memohon mahkamah untuk menafikan jaminan kerana ‘kes yang berat’.

Ini sekaligus mengkhianati prinsip ‘Rule of Law yang wajar dilaksanakan tanpa ‘memilih bulu’ dan tradisi semua Perdana Menteri Malaysia sebelum ini yang membuat keputusan demi kepentingan Negara dan rakyat dan bukan populariti politik dan peribadi.

“Korban” kini jelas membawa pengertian yang berbeza untuk rakyat Malaysia dan orang orang Melayu, yang rata rata berugama Islam sempena menyambut pesta “Qurban” setahun ini.

Published in: on December 20, 2007 at 08:41  Comments (4)