Saifuddin Nasution: ‘Anwarista’ kini mencari peluang politik dalam medan PAS

saiffudin-nasution-ismail.jpg

Mantan ADUN Lunas, Saifuddin Nasution Ismail kini menempa sejarah baru sebagai ahli politik Pembangkang, dalam politik Kerajaan Pembangkang. Sebagai personaliti pilihan Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan Dato’ Husam Musa, anak kelahiran Perlis Saifuddin dilantik Pengurus Besar Yayasan Tabung Tok Kenali selama dua tahun itu, kini telah diangkat sebagai Penasihat Strategik PAS, walaupun masih menjadi ahli dan penasihat strategik PKR.

Ini mengundang banyak kontroversi, samada dalam parti PKR dan PAS sendiri. Pada konvensyen tahunan PKR diSeremban Mei lepas, penasihat PKR Anwar Ibrahim terpaksa menjelas dan pertahankan kepada perwakilan tentang kedudukan Saifuddin sebagai ahli PKR dan mantan Naib Presiden PKN, yang kini dilantik kejawatan PAS itu. Biasanya, dalam amalan sebarang parti parti politik, seorang ahli ditegah mengambil bahagian, jauh lagi menduduki apa apa jawatan dalam parti politik lain, terutama yang berbayar. Tiada tindakan diambil oleh PKR, malah ianya mendapat restu dan pembelaan penasihat PKR Anwar Ibrahim, yang sememangnya ‘merajai’ parti yang ujud kerana objektif sempit beliau semata mata semenjak tahun 1999.

Pengambilan Saifuddin keatas peranan strategik dalam PAS itu juga tidak disenangi beberapa kumpulan dalam parti Pembangkang yang satu satunya masih berjaya mengekalkan sebagai Kerajaan Negeri, terutama dikalangan ‘Old Guards‘. Walaupun beliau seorang orator yang bagus, terutama dengan maklumat terkini mengenai isu isu semasa dan pengetahuan mengenai ugama Islam yang boleh dimodalkan dalam percaturan politik, namun begitu ada pemimpin PAS sendiri yang sangsi mengenai personaliti yang beberapa kali ‘melompat’ parti ini.

Saifuddin mula mula menerima perhatian awam apabila pada 9 November 1996, beliau telah ditahan Polis kerana menyerbu masuk persidangan Asia Pacific Conference on East Timor II (Apcet II) diKuala Lumpur. Ketika itu, beliau merupakan Setiausaha Kerja Pemuda UMNO dan Setiausaha Politik Menteri Pertahanan ketika mantan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO Anwar Ibrahim dipecat. Kedudukan politik Saifudin kini bertambah rumit, kerana adinda beliau, Shazlan kini bertugas dengan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Kini beliau memainkan peranan stategik dalam ‘perkongsian rapuh’ parti parti politik Pembangkang, yang sebenarnya mempunyai terlalu banyak kelemahan dan ketidak-sesuaian, samada prinsip, ideologi maupun pendekatan politik mereka. Beliau dikatakan telah ‘renggang’ dengan kepimpinan Anwar Ibrahim dan Azmin Ali, semenjak kempen pilihanraya kecil Ijok April lepas.

anwar-fr-jeff-ooi.jpg

Anwar Ibrahim dan PKR, yang kini dilihat sebagai sanggup membuat apa apa ‘stunt’ politik sekali pun kerana ‘sedang lemas’ (desperate) dalam dilemma antara ke’bankrupt’an modal politik, masalah dalaman PKR yang meruncing dan penerimaan dikalangan rakyat yang sedang menurun, disamping masih lagi kuat menerima sokongan agensi asing dan sangat akrab dengan pemimpin Yahudi Barat. Mantan peguam bela Anwar Ibrahim sendiri yang sanggup dijatuhkan hukuman kerana menghina mahkamah dan kemudian dimalukan dan kecewakan apabila kalah di kerusi Lembah Pantai pada Pilihanraya Umum November 1999 itu, kini mengecam beliau sebagai kuat menyokong “pengkhianat Negara”!

Semakin ramai orang orang Melayu yang sedar akan keadaan ini akan menyukarkan segala apa ‘sandiwara’ yang Saifuddin cuba persembahkan, yang akan dilihat sebagai satu lagi Anwarista yang cuba mengujudkan ‘pementasan bagi pihak Anwar Ibrahim’, tatkala begitu ramai pemimpin PKR dan orang orang kanan Anwar Ibrahim sendiri kecewa dan lari meninggalkanya.

Difahamkan Saifuddin kini giat aktif dalam siri siri ceramah PAS, terutama seluruh Kelantan dan sedang ‘melobi’ agar diberikan tempat dan peluang untuk bertanding dalam pilhanraya umum akan datang dalam Kelantan atas tiket PAS.

Apakah sekarang ini, Saifuddin akan berusaha untuk meng’Anwar Ibrahim’kan PAS, sedangkan ramai ahli ahli/penyokong PAS amat ‘alah’ (allergic) kepada nama “Anwar Ibrahim” dan “PKR” itu sendiri? Atau ahli ahli, penyokong dan pengundi PAS menerima personaliti politik ante-PAS mantan UMNO dan Keadilan ini? Tidakah Saifuddin dilihat sebagai personaliti politik yang tiada pendirian tetap dalam politik dan begitu mudah ‘beralih selera’? Tidakah akan berlaku konflik dalaman PAS antara ‘Old Guards dan ‘Young Turks‘, yang sememangnya payah untuk mendapat ‘keseimbangan’ itu? Dimanakah kareer politik Saifuddin ‘dalam’ PAS, apabila Murshidul Am PAS Dato’ Nik Aziz tidak lagi sebagai Menteri Besar Kelantan dan ‘Young Turks’ seperti Dato’ Husan Musa sendiri tiada ‘perlindungan’/’naungan’ dalam politik dalam PAS? Sekiranya ini berlaku, apakah Saifudin akan ‘melompat katak’ lagi, setelah pernah duduk atas ‘teratai’ politik dalam ‘danau’ UMNO dan PKR?

Persoalan persoalan ini perlukan jawapan dan ini adalah perkembangan menarik yang wajar dilihat.

Published in: on December 27, 2007 at 08:10  Comments (6)