Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary Tokoh Maal Hijrah 1429H

Dermawan terkemuka Tan Sri Syed Mokhtar Shah Syed Nor Al Bukhary telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan1429H oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Tunaku Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Tuanku Sultan Mahmood, dalam sebuah upacara gilang gemilang di Putrajaya International Convention Centre hari ini.

syed-mokhtar.jpg

Tokoh perniagaan yang banyak menyumbang kepada amal jariah ini sememangnya layak untuk diberikan penghormatan sedemikian. Sebuah badan NGO yang ditubuh beliau, Yayasan Al Bukhary, berjaya membangunkan masjid, surau, madrasah, rumah anak anak yatim, rumah orang orang tua dan menyumbang pelbagai bentuk kepada pembangunan dan pengekalan seni dan warisan Islam serta amal amal jariah berbentuk sumbangan pelajaran, pembiayaan rawatan dan penjagaan mereka yang kurang bernasib baik.

Bernama.com mempunyai laporan mengenai anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan ini:

10 Januari, 2008 18:38 PM

Syed Mokhtar Albukhary Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan Hantar berita ini kepada rakan Versi bolehcetak berita ini

 

 

PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) — Tokoh korporat dan Pengerusi Yayasan Albukhary Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary hari ini diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429H pada sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa di sini.

Beliau menerima hadiah berupa piala, pingat dan wang tunai RM80,000 yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir pada majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Syed Mokhtar, 57, yang ditemui pemberita kemudian menyifatkan asuhan sejak kecil oleh ibunya Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat menjadi nadi utama kejayaan dan kesenangan yang dimilikinya sekarang.

“Sejak usia saya remaja lagi ibu sudah mendidik saya untuk mengagihkan separuh daripada pendapatan yang diperolehi kepada golongan yang memerlukan dan sehingga sekarang tanggungjawab itu terus menjadi satu kewajipan buat diri saya katanya.

Selepas hampir dua dekad melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan menderma secara peribadi akhirnya beliau menubuhkan Yayasan Albukhary pada 1996, yang menjadi pelaksana program-program kebajikan.

Sejak penubuhannya sehingga tahun lepas sebanyak RM1 bilion disumbangkan untuk membiayai pelbagai program kebajikan.

Ditanya apakah perancangan yang akan dilakukan dengan wang tunai yang diperolehi, beliau berkata: “Duit itu saya akan berikan kepada ibu… kerana atas didikan dan asuhan ibu, saya dapat menikmati segala kejayaan dan kesenangan dengan rezeki daripada Allah.”

Syed Mokhtar, yang mula berjinak dalam perniagaan sebagai pengusaha daging dan merasai pahit getir dunia perniagaan, berpendapat bahawa untuk mencapai apa jua kejayaan didikan agama dan ilmu amat penting.

Meskipun beliau tidak dapat meneruskan pelajaran kerana kesempitan wang ketika itu, kurniaan rezeki daripada Allah SWT mendorong beliau membantu golongan kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi sebagaimana impiannya dulu.

“Saya tak dapat nak meneruskan pelajaran kerana tak cukup duit.. jadi melalui yayasan tersebut mereka yang terdiri daripada pelajar miskin yang kurang cerdik akan diberi bantuan dalam Program Tuisyen Albukhary,” katanya.

Sejak program tuisyen itu dilaksanakan pada 2001 di 500 pusat tuisyen, setiap tahun lebih 20,000 pelajar menyertai kelas itu dan mereka yang berjaya cemerlang menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Syed Mokhtar berkata bantuan turut diberikan kepada umat Islam di dunia seperti di Pakistan, Uganda, Afrika Selatan dan Lebanon dengan 300 pemegang biasiswa Albukhary dari lebih 40 buah negara Islam kini belajar di Malaysia.

Selain membantu dalam bidang pendidikan melalui penubuhan Universiti Antarabangsa Albukhary, Syed Mokhtar turut menyediakan Pusat Perubatan Albukhary di Kompleks Albukhary yang terletak di Alor Setar yang dilengkapi dengan pusat dialisis dan bakal mempunyai 36 unit mesin haemodialysis.

Melalui yayasan itu, sebanyak 20 buah masjid dibina termasuk menyumbang kepada projek membaik pulih Masjid Negara selain membina Muzium Kesenian Islam pada 1998 serta membiayai golongan fakir untuk menunaikan Haji setiap tahun.

— BERNAMA

 

Syed Mokhtar memulakan berniaga sebagai pemborong beras dan gula, kini dikatakan bernilai melebihi USD 2 billion kerana ‘penguasaan’ empayar perniagaanya yang merangkumi industri pertanian (Bernas), pembinaan (IJM), logistik (PTP dan Senai Airport), pembuatan dan pertahanan (MMC), perbankan (Bank Muamalat), perniagaan runcit (MPH), perniagaan kommoditi (MARDEC) dan sebagainya. Namun begitu, beliau sebenarnya tidak memegang satu saham atau menjadi pengarah pun dalam mana mana diantara syarikat syarikat ini.

Cara dan pendekatan Syed Mokhtar dalam urusan perniagaan memang cenderung kepada menunaikan tanggung jawab sebagai usahawan Muslim dan juga menunaikan kepertanggung jawaban korporat kepada Islam dan masyarakat Muslim setempat. Zakat dikeluarkan dengan taat terhadap semua keuntungan dan simpanan syarikat syarikat dibawah naungan beliau. Disamping itu, seluruh syarikat dan perniagaan dibawah ’empayar perniagaan’ Yayasan Al Bukhary akan sepenuhnya mengunakan perbankan, instrumen dan sistem kewangan dan insurans Islam dalam segala urusan, berbanding sistem konvesyenal menjelang 2010.

Majalah mingguan terkemuka global Time Magazine pernah menyifatkan anak kelahiran Kedah ini sebagai ‘Yang terpilih’ (The chosen one). Beliau setakat ini tidak pernah mengecewakan amanah dan penghormatan yang diberikan untuk membangunkan perniagaan yang beliau ‘beli’ atau ambil alih. Ini termasuk konglomerat Kumpulan DRB-Hicom, yang sekaligus melihatkan beliau menguasai bank kedua, iaitu EON Bank. Kini beliau diberitakan meluaskan jajaran perniagaan ke persada antarabangsa seperti di Iran dan Saudi Arabia, sebagai pemain utama bertaraf global dan disegani.

malaysian_billionaires.jpg

Walaupun dalam serba serbi kemewahan, penguasaan kewangan dan kedudukan sebagai tokoh korporat ternama, sebagai seorang insan, usahawan berusia 55 tahun ini hidup dalam keadaan yang serba serdehana dan tidak bermegah megah, walaupun lebih dari mampu. Beliau pernah dilihat menaiki pesawat sebagai penumpang kelas ekonomi dan tinggal dalam kediaman serdehana semasa mengerjakan haji dan umrah, berbanding dengan tokoh tokoh korporat yang setaraf denganya. Beliau merupakan anak Melayu yang kini tersenarai dalam Forbes sebagai seorang billionaire, dalam kedudukan ke 754 dunia.

kuala_lumpur_islamic_arts_museum_malaysia.jpg

Sumbangan beliau kepada khazanah seni Islam dan pembangunan pendidikan sahsiah Islam Negara amatlah tidak terhingga nilainya, seperti dengan terbina dan dibangunkan Muzium Kesenian Islam, di Jalan Lembah Perdana (sebelah Masjid Negara), Kuala Lumpur. Yaysan Al Bukhary juga membina Kolej Yayasan Al Bukhary diAlor Star, Kedah. Secara peribadi, beliau menyumbang kepada bakal bakal haji yang telah tua tetapi masih lagi tidak mampu untuk mencapai ketahap minima (kerana kos mengerjakan jahi meningkat setiap tahun) yang dibenarkan untuk mengerjakan ibadah sekali seumur hidup itu. Dikatakan beratus orang jemaah warga emas dapat menunaikan hajat setiap tahun dengan sumbangan ikhlas dermawan ini.

al-bukhary-complex-alor-star.jpg

Jelas sekali pemilihan insan mulia dan pemurah bernama Syed Mokhtar ini amat wajar dan bertepatan, kerana sumbangan ikhlas beratus juta ringgit dan usaha beliau tanpa penat dan jemu selama ini, untuk membangunkan umat Islam di tanahair ini dan juga peringkat antarabangsa. Semoga Allah s.w.t. melimpahkan lebih banyak kemurahan rezeki kepada beliau, yang nyata disumbangkan semula kepada masyarakat dan pembangunan ummah.

Sesungguhnya, sambutan Maal Hijrah yang dirayakan 1 Muharram setiap tahun adalah memperingati dan menghayati peristiwa dimana baginda Rasulullah S.A.W. berhijrah dari Mekkah ke Madinah, dengan membawa pengharapan baru untuk meneruskan penyebaran agama Allah dan dakwah. Proses penghijrahan ini membawa iktibar pelbagai sudut; berubah dari buruk kepada baik, penerimaan golongan Mujahirin oleh Ansari dengan hati terbuka, kasih sayang dan sifat persaudaraan dan membawa pembangunan kepada kebaikan dan kemajuan. Semua ini ujud dalam diri, pendekatan dan tindakan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1429H.

 

Published in: on January 11, 2008 at 00:03  Comments (38)