Hak Perdana Menteri melantik Hakim dan Majlis Peguam sendiri amal ‘melobi’

Hari ini, perbicaraan kes Suruhanjaya DiRaja mengenai video peguam V. K. Lingam masuk ke episod yang amat diperhatikan dan menarik cukup banyak minat, semua pihak. Ini kerana mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, tampil memberi keterangan dan disoal peguam peguam kerana nama beliau terbabit dalam video yang diumum oleh Penasihat PKR Anwar Ibrahim September lepas.

Tun Dr. Mahathir menegaskan bahawa keputusan untuk melantik calon calon Kehakiman, terutama yang tertinggi adalah hak mutlak beliau, sebelum dimajukan untuk perkenaan DYMM Raja Raja dan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan keputusan ini tidak boleh dipengaruhi sesiapa atau mana mana pihak, termasuk mereka dalam badan Kehakiman sendiri ataupun pegamal guaman, termasuk Majlis Peguam.

Utusan.com melaporkan:

Saya tidak dipengaruhi’ — Pelantikan Ahmad Fairuz adalah keputusan sendiri – Tun Mahathir

Oleh NOR ZAINAH NORDIN dan NOOR AZMAH IBRAHIM

tun-dr-mahathir-in-rci.jpg

TUN Dr. Mahathir Mohamad melambaikan tangan kepada jurugambar dan orang awam sebelum meninggalkan Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar Halim Khalid.


KUALA LUMPUR 17 Jan. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara pada 2001 dan 2002 adalah keputusannya sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa.

Bekas Perdana Menteri itu yang kelihatan tenang ketika memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja di sini hari ini berkata, walaupun mendengar pandangan pelbagai pihak secara rasmi atau semasa acara sosial, keputusan akhir adalah di tangannya.

Dalam hal ini, katanya, beliau tidak perlu menjelaskan kenapa beliau membuat keputusan sedemikian ketika itu.

‘‘Itu hak mutlak saya (sebagai Perdana Menteri) untuk membuat keputusan. Saya tidak perlu beritahu sesiapa,’’ katanya.

Dr. Mahathir, 84, disoal oleh pegawai pengendali suruhanjaya, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan mengenai urusan pelantikan hakim-hakim termasuk Ahmad Fairuz.

Beliau adalah saksi kesembilan hari keempat prosiding siasatan mengenai kesahihan rakaman klip video memaparkan Datuk V.K. Lingam berbual melalui telefon dengan seseorang yang dikatakan Ahmad Fairuz.

Bekas Perdana Menteri yang memakai sepasang sut kelabu memasuki bilik persidangan pada pukul 10.02 pagi diiringi tiga peguamnya, Tunku Sofea Jewa, Datuk Dr. Yaacob Hussein Merican dan Datuk N. Chandran serta beberapa orang pegawai polis.

Sejurus memasuki bilik persidangan, Dr. Mahathir tunduk hormat kepada panel suruhanjaya malah sempat tersenyum kepada peguam dan orang awam serta wartawan sebelum mengambil tempat di kandang saksi yang telah tersedia air mineral dan sekotak tisu.

Anak perempuan beliau, Datin Paduka Marina yang memakai baju kurung hijau berbunga coklat yang tiba pada 9.50 pagi untuk mengikuti prosiding, sempat bersalaman dengan peguam pemerhati termasuk Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan.

Pada permulaan prosiding, Tunku Sofea menyampaikan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja kesediaan Dr. Mahathir memberi kerjasama penuh dengan menjawab semua soalan yang dikemukakan kepadanya sebaik mungkin.

‘‘Tun memberi jaminan menjawab semua soalan yang dikemukakan walaupun dari segi undang-undang, ia tidak relevan atau terkeluar daripada skop terma-terma rujukan suruhanjaya ini.

‘‘Beliau mahu menjawab soalan-soalan itu walaupun peguam menasihati beliau supaya tidak menjawabnya,’’ kata beliau.

Mendengar kenyataan Tunku Sofea, Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor berkata, suruhanjaya berperanan mengawal prosiding dan mereka akan melaksanakan tugas itu sebaik-baiknya.

Pada pukul 10.06 pagi, Dr. Mahathir mengangkat sumpah dalam bahasa Melayu dengan suara yang perlahan.

Ketika 30 dokumen yang menjadi bahan bukti dikemukakan kepadanya, beliau meneliti setiap halaman sebelum mengesahkan ia adalah surat-menyurat antaranya dengan Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah berhubung pelantikan hakim-hakim pada 2001 dan 2002.

Nordin : “Sila rujuk C26. Adakah ini surat Tun Dzaiddin kepada Tun berhubung pelantikan Tun Ahmad Fairuz sebagai Presiden Mahkamah Rayuan?’’

Dr. Mahathir : “Ya, saya sahkan ini surat Tun Dzaiddin kepada saya.’’

Nordin : “Di perenggan ketiga, benarkah Tun Dzaiddin mencadangkan nama Tun Ahmad Fairuz dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan?’’

Dr. Mahathir : “Benar.”

Nordin : “Sila rujuk C27. Boleh sahkan ini adalah surat Tun kepada Tun Dzaiddin?’’

Dr. Mahathir : ‘’Ya, saya sahkan.’’

Nordin : ‘’Di perenggan kedua, adakah Tun menyatakan persetujuan dengan cadangan Tun Dzaiddin melantik Tun Ahmad Fairuz sebagai Presiden Mahkamah Rayuan?’’

Dr. Mahathir : ‘’Ya, saya bersetuju.’’

Nordin : “Adakah Tun dipengaruhi mana-mana pihak untuk melantik Tun Ahmad Fairuz sebagai Presiden Mahkamah Rayuan?’’

Dr. Mahathir : “Dalam membuat persetujuan, saya mendengar percakapan orang walaupun saya tak minta pandangan mereka. Tetapi dalam perbualan dan perjumpaan sosial, ada orang bercakap dan saya ambil kira. Keputusan akhir adalah keputusan saya sendiri.”

Nordin : “Adakah Tun dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam pelantikan Tun Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara?’’

Dr. Mahathir : “Tidak secara khusus tetapi saya memang dengar pandangan-pandangan secara tidak rasmi dalam perbualan saya atau ada acara sosial. Saya ambil kira pandangan ini. Tapi keputusan akhir adalah keputusan saya sendiri.’’

Melihat

Ketika disoal Nordin sama ada beliau pernah melihat klip video rakaman perbualan telefon mengenai pelantikan hakim-hakim, Dr. Mahathir berkata, beliau menontonnya di televisyen.

Nordin kemudian meminta bekas Perdana Menteri melihat transkrip perbualan dalam klip video terbabit ketika menjawab soalan-soalan seterusnya.

Nordin : “Dalam transkrip itu, terdapat kata-kata ‘‘…Tentang memo kita, saya dah bincang dengan Tun Eusoff Chin dan kami telah hantar memo itu kepada PM (Perdana Menteri)…’’ Adakah Tun ada terima apa-apa memo daripada Tun Eusoff Chin dan Lingam mengenai pelantikan hakim-hakim?’’

Dr. Mahathir : “Saya tak ingat terima apa-apa memo daripada Datuk V.K. Lingam tapi sebagai Perdana Menteri, saya ada terima surat daripada Tun Eusoff Chin walaupun saya tak ingat.’’

Nordin : “Menurut Lingam (dalam klip video itu) Tun Dzaiddin mencadangkan lima nama dan dua nama ditolak. Adakah benar Zainuddin Ismail ditolak kerana dia pertikaikan pelantikan Ahmad Fairuz dan Tan Sri Mohtar (Abdullah)?’’

Dr. Mahathir : “Saya tak sedar ada pertikaian mengenai pelantikan hakim-hakim.’’

Menjawab soalan Nordin sama ada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengatur pertemuan antara beliau dengan Ahmad Fairuz, Dr. Mahathir menjawab: “Tidak.”

Beliau turut menafikan dipengaruhi oleh Tan Sri Vincent Tan dalam memutuskan pelantikan enam Hakim Mahkamah Rayuan dan ahli perniagaan itu tidak pernah bertemu atau berhubung dengannya tentang pelantikan Ahmad Fairuz sebagai Hakim Besar Malaya.

Dr. Mahathir juga menafikan beliau mengarahkan Tengku Adnan menghubungi Vincent Tan untuk berbincang setiap kali beliau (Dr. Mahathir) menerima surat daripada Dzaiddin.

Beliau turut menafikan kandungan perbualan klip video yang menyebut Lingam, Tengku Adnan dan Vincent Tan menemuinya berhubung cadangan Dzaiddin melantik Allahyarham Tan Sri Abdul Malek Ahmad sebagai Hakim Besar Malaya.

Kepada soalan sama ada Abdul Malek ditolak kerana beliau antibekas Perdana Menteri itu, Dr. Mahathir berkata: “Dia ditolak tetapi sebabnya bukan itu.’’

Persidangan suruhanjaya bersambung esok.

 

Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dengan tegas menjelaskan bahawa hak beliau untuk menentukan mana mana personaliti wajar dilantik dan beliau tidak perlu menjelaskan kepada sesiapa dan mana mana pihak atas keputusan yang dibuat. Ini bersesuaikan dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dimana keputusan keputusan strategik dan sulit dibuat dengan penuh rahsia dan tidak perlu diperjelaskan, walaupun jika diminta pihak Mahkamah. Rahsia rahsia Kerajaan, terutama yang diklasifikasikan “Rahsia Besar” dan “Sulit” harus secara rasmi dikekalkan sedemekian. Ini adalah lumrah mana mana Kerajaan dalam dunia, termasuk negara negara yang mempraktikan amalan paling terbuka dan demokratik.

Semenjak kes ini timbul selepas ‘pendedahkan mengemparkan’ oleh Anwar Ibrahim pada 19 September 2007. Pemimpin yang bankrap politik lewat ini, berjaya mensensasikan pendedahan ini sebagai modal politik dan ianya berjaya menimbulkan reaksi negatif pelbagai pihak, termasuk Majlis Peguam. Ini menguatkan lagi dakwaan badan professional itu yang kunun kununya Badan Kehakiman “tidak bebas dan mudah dipengaruhi, termasuk pengamal guaman dan tokoh tokoh korporat”. Dalam tempoh singkat selepas video ini diumumkan, Majlis Peguam telah menganjurkan perarakan dan demontrasi aman tanpa permit, dari Palace of Justice ke Perdana Putra (Jabatan Perdana Menteri) untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri pada 26 September 2007.

Samada benar perlantikan jawatan tertinggi dalam Kehakiman ‘boleh dipengaruhi elemen elemen luar dan tidak fokus kepada profession mengadili undang undang’, masih lagi menjadi tanda tanya sebilangan pihak. Kenyataan mantan Perdana Menteri dalam sumpah ini secara automatiknya telah menafikan dakwaan dan kepercayaan bahawa keputusan untuk menentukan dan melantik Hakim boleh dipengaruhi pihak pihak yang berkepentingan.

Yang nyatanya, sebelum Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah bersara dari Ketua Hakim Negara dan Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Halim dilantik kejawatan tertinggi itu, banyak berlaku dimana pelbagai pihak untuk cuba melobi jawatan paling berprestij itu. Ini termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Gopal Sri Ram (yang namanya kerap diketengahkan oleh beberapa peguam yang berperanan penting agar Majlis Peguam menganjurkan “Walk of Justice” 26 September itu), sebagai yang paling layak dinaikan pangkat sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, sebenarnya sendiri secara peribadi telah cuba dua kali untuk bertemu Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Namun, usaha itu gagal dan permohonan itu temu janji itu ditolak.

Seorang Setiausaha Politik Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir ketika itu, juga mantan pengamal guaman, pernah diundang oleh Pesuruhjaya Tinggi Britain Bruce Cleghorn ke kediaman rasminya di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur, untuk makan malam. Setibanya disana, didapati seluruh Exco Majlis Peguam hadir di makan malam tersebut dan masing masing mempunyai calon untuk diketengah dan hujahkan sebagai Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Borneo dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Nampaknya, Exco Majlis Peguam sendiri mengamalkan perbuatan ‘melobi’ ini, atas apa juga alasan. Jelas disini bahawa Majlis Peguam, sebagai penguasa badan pengamal professional yang sepatutnya bersifat ‘neutral’, jika boleh ‘dimain’ dan ‘pengaruhi’ oleh agenda politik, seperti mantan banduan Anwar Ibrahim, lambat laun akan disedari dan keyakinan masyarakat secara automatik akan tiris dan menurun.

Dirumuskan maka Majlis Peguam sebenarnya yang wajar dipersalahkan sekiranya keyakinan keatas Badan Kehakiman menurun, kerana personaliti dalam NGO eksklusif dan elitis itu sendiri, “Mengata dulang, paku serpih” atau bidalan Inggerisnya “Pot calling the kettle, black!“.

*Update as of 9.00am Tuesday, 18 January 2008

Ini merupakan sebahagian dari transkrib dua jam mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad memberikan keterangan dan disoal siasat dalam Suruhanjaya DiRaja itu.

Published in: on January 18, 2008 at 02:30  Comments (1)  

The URI to TrackBack this entry is: https://bigdogdotcom.wordpress.com/2008/01/18/hak-perdana-menteri-melantik-hakim-dan-majlis-peguam-juga-melobi/trackback/

RSS feed for comments on this post.

One CommentLeave a comment

  1. Tun M memang seorang yang tenang. ini membuktikan beliau berada di paksi yang benar


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: