Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad petang ini berkempen di Kampung Kandis, dekat Kokdiang, Jerlun, Kedah. Beliau merayu agar pengundi pengundi dalam kawasan Parlimen P005 Jerlun agar mengundi anaknya, Exco Pemuda UMNO Dato’ Mukhriz Mahathir.
Beliau berkata, dahulunya kawasan Kokdiang ini merupakan sebahagian dari kawasan Parlimen Kubang Pasu, dimana mantan Presiden UMNO pernah menjadi MP disitu selama 30 tahun. Oleh demikian, wajar kali ini diberikan sokongan yang sama kepada anaknya, yang menjadi pilihan parti sebagai calon.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Dato’ Mukhriz Mahathir, calon BN untuk DUN Kota Siputeh Dato’ Abu Hassan Sarif , calon BN untuk DUN Air Hitam Dato’ Osman Aziz, Ketua UMNO Bahagian Jerlun Dato’ Abdul Rahman Ariffin dan barisan pemimpin UMNO Bahagian Jerlun. Tempat begitu penuh sesak dengan penduduk tempatan untuk melihat dengan dekat calon mereka dan menyapa mantan Perdana Menteri yang sangat dihormati dan menjadi kebanggaan seluruh warga Kedah itu.
Dalam ucapanya lagi, Tun Dr. Mahathir berseloroh mengatakan anaknya sebenarnya ‘lebih tua’ dari dirinya, walaupun beliau sudah hampir 83 tahun. Ini kerana Mukhriz sudah jarang rambutnya sedangkan ayahnya masih lebat dan penuh rambut. Jenaka ini menghiburkan semua yang hadir, termasuk media!
Pengerusi majlis juga berseloroh dimana jentera UMNO sekitar P005 Jerlun menghadapi masalah kerana banyak poster calon BN untuk kerusi Parlimen ‘hilang’ kerana “Terlalu ramai mengambil souvenir! Maklumlah, calon BN begitu tampan dan menarik!”. Mukhriz juga mengambil kesempatan ini untuk meluangkan masa bersama sama penduduk tempatan. Jelas beliau begitu ppopular dikalangan pengundi wanita dan kaum ibu.
Semasa sidang media selepas jamuan teh, Tun Dr. Mahathir berkata beliau menasihatkan anaknya, sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat “Kena rajin balik tengok kawasan, dengar masalah rakyat. Jangan jadi macam saya, kuat tidoq!”.
Malam ini Tun Dr. Mahathir dijadualkan untuk berucap di UMNO Bahagian Jerlun, Wisma Jerlun, Air Hitam, Kedah jam 8.30 malam.
*Perkembangan terkini, pada Sabtu 1 Mac 2008 12.30pagi
Malam ini, bertempat di Wisma Jerlun, lebih 4,000 orang segenap lapisan masyarakat Jerlun berkumpul untuk melihat dengan dekat calon Parlimen P005 Jerlun Dato’ Mukhriz Mahathir dan mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kedua pemimpin anak beranak ini telah tiba dari sembahyang Isyak di Masjid Kerpan. Turut hadir bersama ialah Ketua Bahagian UMNO Jerlun Dato’ Abdul Rahman Ariffin dan calon BN untuk DUN Kota Siputeh dan Air Hitam, Dato’ Abu Hassan Sarif dan Dato’ Osman Aziz.
Dato’ Rahman, menyingkap kisah pengalaman bertugas sebagai pegawai KCS dan berkhidmat dalam Kubang Pasu. Ketegasan Dr. Mahathir menjadi inspirasi kepadanya. Beliau juga menafikan sekeras keras khabar angin bahawa beliau cuba mengkhianati calon calon BN yang dinamakan. Rahman menegaskan bahawa ketaat setiaan beliau kepada parti tidak berbelah bagi.
Dalam ucapan, Tun Dr. Mahathir menjelaskan bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri, terdapat usaha untuk mencalonkan anak anak beliau dalam Pilihanraya. Tetapi beliau menolak cadangan itu kerana tidak mahu dipandang sebagai mengamalkan ‘pilih bulu’ (nepotism). Beliau juga menegaskan bahwa pencalonan Mukhriz dalam pusingan ini adalah atas keputusan kepimpinan parti dan beliau sama sekali tidak terlibat dalam mana mana proses itu, termasuk melobi. Tun Dr. Mahathir juga mengumumkan bahawa beliau akan kembali untuk ‘membantu’ kempen Mukhriz pada 5 Mac 2008 sehingga selesai pembuangan undi.
Rombongan Tun Dr. Mahathir meninggalkan majlis untuk ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada 11.00 malam.
*Perkembangan terkini, Sabtu 1 Mac 2008, 9.00pagi
Ini laporan Utusan Malaysia, pagi ini:
Mukhriz Mahathir janji berkhidmat sebaik ayah
JITRA 29 Feb. – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir bersedia memberikan khidmat yang terbaik seperti khidmat ayahnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Menurutnya, beliau akan mengambil contoh kepimpinan bapanya yang sentiasa mengutamakan rakyat dan mempunyai wawasan yang jauh demi memajukan negara.
“Sebaik mana khidmat yang ayah berikan ketika menjadi wakil rakyat di Kubang Pasu, sebaik itu juga khidmat yang akan saya berikan kepada penduduk Jerlun,” ujarnya ketika melawat peti undi di Kampung Kandis, Kodiang di sini hari ini.
Turut hadir memberi sokongan kepada Mukhriz ialah bapanya, Dr. Mahathir; calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif; calon BN bagi DUN Ayer Hitam, Datuk Othman Aziz; Ketua Wanita UMNO Jerlun, Datuk Maznah Hamid serta bekas ahli Parlimen Jerlun, Datuk Abd. Rahman Ariffin.
Penduduk kampung seramai 500 orang sanggup meredah hujan menunggu kehadiran Mukhriz dan Dr. Mahathir ke kampung mereka yang membuktikan kehadiran Mukhriz sebagai calon baru BN sentiasa dinantikan.
Mukhriz berkata, beliau mahu penduduk Jerlun memberi sokongan kepadanya seperti mana mereka menyokong bapanya ketika beliau masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri kerana hanya BN sahaja mampu meneruskan kemajuan bagi rakyat.
“Kemajuan yang kita capai dahulu patut dikekalkan dan BN sahaja yang mampu meneruskan apa yang telah kita capai sekarang.
“Jangan kerana kita tersilap membuat pilihan, anak cucu kita yang akan merana di masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Tun Dr. Mahathir menyifatkan Mukhriz merupakan seorang anak yang rajin, malah lebih rajin daripada beliau sendiri.
‘‘Saya bukan mahu memuji anak sendiri namun itulah hakikat peribadi Mukhriz yang sebenar. (Berbanding) saya malas, nak tidur sahaja,” kata beliau sambil berseloroh.
Dr. Mahathir berkata, jika Mukhriz menang dalam pilihan raya ini, beliau hendaklah mengambil berat mengenai masalah rakyat di dalam kawasannya serta menggunakan kepercayaan yang telah diberi rakyat untuk membantu mereka.
Langkawi mahukan Mukhriz wakili mereka
Inilah kenyataan pengundi pengundi Langkawi pagi semalam, yang disuarakan melalui Pengerusi Tetap UMNO Bhg. Langkawi dan mantan ADUN Kuah Ismail Yaacob, bersama sama Ketua Komponen BN (MCA, Gerakan dan MIC) Langkawi, sebagai reaksi kepada kenyataan unilateral Setiausaha UMNO Bhg. Langkawi Mohd. Saiful Mustaffa yang wujud elemen pembohongan dan memutar belitkan fakta.
Dipetik dari Utusan Malaysia, pagi ini:
Pemimpin Langkawi sokong Mukhriz
LANGKAWI 19 Feb. – Para pemimpin Barisan Nasional (BN) di Langkawi menyokong Datuk Mukhriz Tun Mahathir bertanding di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Langkawi, Johari Bulat berkata, setakat ini, 33 tandatangan pemimpin yang menyokong pencalonan itu telah diperoleh.
‘‘Ini menunjukkan Mukhriz mendapat sambutan baik di Parlimen Langkawi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Johari, tujuh ahli jawatankuasa Bahagian UMNO Langkawi serta beberapa pemimpin MCA dan MIC bersetuju untuk menyokong Mukhriz.
Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Sungai Itau, Maton Mahmud berkata, selepas 17 tahun berkhidmat kini sudah tiba masanya Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Abu Bakar Taib memberi laluan kepada Mukhriz.
Menurut beliau, pencalonan Mukhriz akan membolehkannya meneruskan perjuangan bapanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membangunkan pulau legenda itu.
Ketua MCA Bahagian Langkawi, Datuk Chew Liau Weng pula berkata, beliau kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu bahawa Mukhriz tidak layak dicalonkan di kerusi Parlimen berkenaan semata-mata kerana beliau bukan anak kelahiran Langkawi.
Liau Weng berkata, Abu Bakar memang dihormati dan disenangi di Langkawi, tetapi beliau perlu memberi laluan kepada muka baru untuk terus memajukan pulau berkenaan.
Ketua MIC Bahagian Langkawi, Manogaran Thopasamy berkata, orang Langkawi tidak akan lupa jasa Dr. Mahathir yang membangunkan pulau itu.
Beliau juga yakin Mukhriz mampu membawa pembangunan lebih cemerlang ke Langkawi.
Jelas orang Langkawi rata rata “tidak mudah lupa” dan mahukan pembaharuan, dengan tenaga muda yang lebih terdedah dan pengalaman luas kepada industri tulang belakang ekonomi Langkawi.
Orang UMNO Langkawi sendiri meluahkan perasaan tidak senang hati yang terbuku dalam sanubari hati mereka usaha segelintir pihak pihak tertentu, untuk mengekalkan Dato’ Paduka Abu Bakar Taib, yang sudah pun mewakili masyarakat Langkawi semenjak 1990 lagi.
Ini juga dengan secara tidak langsung, memaparkan bahawa orang orang Langkawi menghargai jasa Tun Dr. Mahathir Mohamad yang secara bersungguh sungguh berusaha membawa pembangunan langsung dan perubahan.
*Perkembangan terkini pada 3.45ptg, Rabu 20 Februari 2008
Sokongan padu dari pemimpin pemimpin peringkat AJK Bahagian dan Cawangan UMNO Langkawi kepada Dato’ Mukhriz Mahathir makin intensif, terutama selepas menafikan kenyataan unilateral Setiausaha Bahagian UMNO Langkawi Mohd. Saiful Mustaffa disiarkan petang Isnin 18 Februari 2008 dan kemudian dipaparkan dalam berita TV malam itu. Jelas apa yang dinyatakan Saiful bukanlah reflektif kepada sentimen sebenar, samada pemimpin peringkat Cawangan maupun akar umbi UMNO Bahagian Langkawi.
Bernama.com menyiarkan berita ini:
20 Februari, 2008 15:33 PM
LANGKAWI, 21 Feb (Bernama) — Sokongan kepada anggota exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya umum 8 Mac ini “hampir mencapai 100 peratus”, demikian menurut Pengerusi Tetap Umno Bahagian Langkawi Johari Bulat.
Katanya beliau “tidak putus-putus” menerima panggilan telefon hari ini daripada ketua-ketua cawangan Umno dan anggota parti komponen Barisan Nasional yang menyokong Mukhriz bertanding di Langkawi.
“Walaupun mereka menghubungi saya secara individu ia tetap perkembangan baik selepas 33 daripada 91 ketua cawangan di Langkawi menyatakan pendirian secara terbuka semalam menyokong pencalonan Mukhriz,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Baru-baru ini Mukhriz, dari Bahagian Kubang Pasu, mengumumkan kesediaannya bertanding bagi kerusi Langkawi tetapi kenyataan itu menyebabkan Umno bahagian itu mengadakan mesyuarat tergempar pada 12 Feb untuk membantah dengan alasan Mukhriz bukan anak tempatan dan mahukan penyandang Datuk Abu Bakar Taib terus bertanding.
Ketua Umno cawangan Bendang Baru, Ismail Yaakob berpendapat penduduk Langkawi sedia menerima siapa saja calon Barisan Nasional manakala ahli-ahli Umno akan kembali bersatu selepas kata sepakat dicapai.
Pada pilihan raya 2004, Abu Bakar menewaskan Zubir Ahmad dari PAS dengan majoriti 10,772 undi.
— BERNAMA