PM ‘Flip-Flop’membuat keputusan ‘Flip-Flop’ yang terbukti ‘makin mahal’!

 

Semalam Kerajaan mengumumkan perlaksanaan semula Projek Landasan Berkembar semula, selepas ianya dibatalkan sejurus MP ‘Flip-Flop’ Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Perdana Menteri, November 2003.

Walaupun projek ini dihidupkan semula, tetapi ianya akan menelan belanja dua kali lebih mahal berbanding semasa ianya mula mula diusahakan. Dijangkakan, untuk sector Ipoh-Padang Besar, projek ini akan menelan belanja melebihi RM 14 Billion. Lima tahun dulu, ini merupakan kos keseluruhan, dari Johor Bahru ke Padang Besar.

Laporan Utusan Malaysia pagi ini:

Kontraktor bumiputera bakal raih RM3.7b bina landasan berkembar

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 4 Feb. – Kontraktor dan pembekal bumiputera bakal meraih kontrak bernilai RM3.7 bilion dalam projek Landasan Kereta Api Berkembar Ipoh-Padang Besar sejauh 329 kilometer.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pakej kerja itu dikeluarkan secara berperingkat-peringkat mulai bulan ini melibatkan 62 pakej kepada kontraktor kelas A dan 69 pakej kelas B.

Menurutnya, sebanyak 180 kontraktor kelas A hingga D telah dikenal pasti untuk mengambil bahagian dalam tender terhad membabitkan 335 pakej kerja membina landasan kereta api dari ibu negeri Perak ke Padang Besar, Perlis.

Pakej kerja tersebut membabitkan pembinaan jambatan, trek, perparitan, bangunan, stesen, pengagihan utiliti dan landskap.

‘‘Kerajaan akan terus berusaha membantu kontraktor bumiputera tetapi pada masa sama mereka perlu berusaha keras membantu diri mereka sendiri dengan meningkatkan keupayaan dan kecekapan,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan surat setuju terima kepada subkontraktor bagi projek Landasan Kereta Api Berkembar Ipoh-Padang Besar di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi.

Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengangkutan Awam kemudian menyampaikan surat setuju terima (LoA) kepada 24 kontraktor bumiputera dan 10 konsultan bagi pelbagai kerja projek itu bernilai lebih RM400 juta.

Projek infrastruktur bernilai RM14.5 bilion itu dibangunkan oleh Konsortium Malaysia Mining Corporation Berhad dan Gamuda Berhad (MMC-Gamuda).

Menurut Najib, kerajaan sedang menimbang untuk memberi lebih kerja kepada kontraktor yang mempunyai tahap prestasi lebih tinggi selain akan memastikan pembayaran kepada subkontraktor dilunaskan dalam tempoh 30 hari.

‘‘Sekiranya (subkontraktor) gagal, tindakan memberhentikan kerja akan diambil. Ini penting kerana kita tidak mahu kegagalan sebilangan kecil kontraktor mengakibatkan kelewatan dalam pelaksanaan projek itu yang ditetapkan selama lima tahun,” kata beliau.

Najib juga berkata, beliau berserta Menteri Kewangan Kedua, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan akan memantau kemajuan projek itu yang akan mentransformasikan sistem pengangkutan kereta api di negara ini.

‘‘Saya ingin ingatkan konsortium, kontraktor bumiputera dan jabatan kerajaan yang terlibat bahawa kelewatan dan kegagalan bukan satu pilihan,” tegasnya.

Beliau memberitahu, landasan kereta api berkembar itu merupakan projek infrastruktur yang akan memberikan impak besar kepada pertumbuhan ekonomi negara selain menjadi pelengkap kepada inisiatif Wilayah Ekonomi Koridor Utara.

Apa yang lebih penting, katanya, pelaksanaan projek tersebut dijangka memberikan kesan limpahan ekonomi dengan Perak dianggarkan bakal menikmati peningkatan pertumbuhan 8.1 peratus, Pulau Pinang (6.8 peratus), Kedah (8.7 peratus) dan Perlis (12 peratus).

‘‘Selain itu, kajian oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) mendapati projek tersebut akan meningkatkan taraf sosioekonomi negara yang dinilai melalui kadar pulangan dalaman ekonomi iaitu sebanyak 14.7 peratus berbanding kadar biasa sebanyak 10 peratus hingga 12 peratus bagi projek pengangkutan,” katanya.

Beliau menambah, projek berkenaan dijangka mencipta 105,000 peluang pekerjaan merangkumi perkhidmatan pengurusan, profesional, perkeranian dan buruh mahir selain memberi kesan limpahan setempat kepada sektor perumahan, makanan, perhotelan, hiburan dan peruncitan.

Ironinya, projek ini pernah disifatkan oleh PM ‘Flip-Flop’, atas nasihat ‘Budak budak tingkat empat’ sebagai “membazir” dan “perbelanjaan mega yang tidak perlu”. Dalam laporan Utusan ini, projek ini diteruskan semula walaupun pernah dibatalkan kerana ia mampu menjana pertubuhan ekonomi yang progressif.

Walaupun PM ‘Flip-Flop’ Abdullah merupakan sebahagian dari Kabinet yang memutuskan untuk membuat keputusan agar projek projek infrastruktur “mega” seperti projek landasan berkembar ini, bakun dan sebagainya, semasa zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun sejurus selepas mengambil alih, beliau membatalkan secara unilateral keputusan yang dibuat sebelum itu serta merta.

Sekiranya projek ini tidak dibatalkan empat tahun dahulu, kemungkinan besar sistem Landasan Berkembar Keretapi sepanjang Barat Semenanjung Malaysia ini telah siap sekarang dan sudah beroperasi. Kebarangkalian cadangan keretapi Singapura-Kunming hampir menjadi kenyataan makin besar, ianya juga dijangka akan membawa pertubuhan ekonomi kerana perdagangan yang berjaya dijalinkan dan pemangkin bagi sektor pelancongan.

Dari sudut kos melepas pula, kajian perlu dibuat setelah lebih empat tahun projek ini dimansuhkan dan kini dimulakan semula, untuk menanggarkan berapa banyak kerugian Negara, ekonomi dan masyarakat perlu tanggung, kerana peluang penjanaan dan pertumbuhan ekonomi dinafikan tanpa sistem infrastruktur logistik canggih ini.

Bukan sahaja kos pembinaan makin mahal, peluang pertumbuhan ekonomi dan kadar pembangunan ekonomi, terutama dikawasan pertanian yang rata rata menjadi kawasan pertanian utama orang orang Melayu (iaitu sepanjang korridor utara antara Taiping ke Padang Besar) dinafikan. Keputusan asal membatalkan projek infrastruktur sangat penting ini sebenarnya membelakangkan dasar meningkatkan industri asas tani Negara dan ianya dilaksana semula selepas NCER dilancarkan, menunjukan proses Kerajaan membuat keputusan hari ini tidak komprehensif.

Ramai percaya, projek ini dihidupkan semula kerana ianya ada kena mengena sokongan Singapura terhadap projek projek seperti ini, lebih lebih lagi Menteri Mentor Lee Kuan Yew, kebelakangan ini mula ‘memuji’ Malaysia selepas bertahun tahun mempunyai sejarah membidas dan memperlekehkan apa apa berkenaan Malaysia. Semenjak PM ‘Flip-Flop’ Abdullah mengambil alih, dasar dengan Singapura sudah mula berubah, termasuk memberi ruang syarikat seperti Temasek mempunyai kepentingan dalam syarikat syarikat strategik Malaysia, seperti Alliance Bank dan Telekom Malaysia, walaupun mereka amat ‘mencemburui’ jika Malaysia melakukan sebaliknya.

Published in: on February 5, 2008 at 12:07  Comments (6)