Mukhriz: ‘Yakin’ Kepimpinan mendengar mesej rakyat dan lakukan terbaik

Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mukhriz Mahathir, yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia yang telah dipilih dengan undi tertinggi pada pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Ogos 2004, hari ini mengesa agar semua pihak bertenang dan Kepimpinan parti mendengar mesej rakyat dan melakukan yang terbaik (Do the right thing). Mesej yang dimaksudkan ialah kekalahan buruk BN di lima negeri dan prestasi menurun secara amnya diseluruh Negara.

Beliau menegaskan bahawa rakyat telah membuat keputusan dan semua pihak perlu menerima keputusan itu dengan keterbukaan, rasa insaf dan rendah diri. Kenyataan ini dibuat disebuah hotel di Seberang Perai, Pulau Pinang sebentar tadi.

dscn4128.jpg

Mukhriz juga merayu agar Kepimpinan menimbang ‘suara hati’ rakyat yang begitu jelas dan melakukan yang ‘terbaik dan berpatutan’ untuk mengembalikan keyakinan rakyat, termasuk melakukan perubahan yang sesuai. Beliau meminta semua pihak perlu bertenang dan bertindak rasional dalam kekeliruan sekarang, dimana empat buah Kerajaan Negeri berubah kuasa dan BN untuk pertama kalinya, hilang 2/3 majoriti. Hari ini, indeks KLCI jatuh mendadak 123 mata keparas 1,173 mata.

Dalam soal jawab dengan media, beliau menegaskan bahawa rakyat Malaysia sekarang sudah matang dan tidak melakukan tindakan luar kawal sebagai reaksi kepada keadaan sekarang. Apabila ditanya apa bentuk perubahan yang perlu dilakukan, Mukhriz berkata bahawa UMNO dan BN mempunyai mekanisma untuk melakukan perubahan yang bersesuaian dan ini pernah dibuktikan.

Setakat ini, Mukhriz sahajalah pemimpin UMNO yang menegur Kepimpinan secara terbuka agar mendengar dan meneliti ‘mesej rakyat’ yang ditafsirkan dalam Pilihanraya Umum XII Sabtu lepas dan apa yang tersirat sebenarnya mempunyai makna mendalam. Kesopanan ‘teguran’ ini dibuat secara berkias adalah dengan sengaja itu, adalah sesuai dengan budaya masyarakat Melayu. Ini terutama apabila Mukhriz pernah dibidas hebat oleh pemimpin pemimpin UMNO kerana komen langsung “Tiada yang baru” (Nothing new) kepada Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO November 2006.

 *Perkembangan terkini, Utusan Malaysia Selasa 11 Mac 2008

Dipetik dari Utusan Malaysia:

Mukhriz minta pucuk pimpinan dengar suara rakyat

Oleh HABIBAH OMAR dan WAN NAJIB WAN DAUD

BUTTERWORTH 10 Mac – Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir meminta pucuk pimpinan mengambil langkah segera bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

Tanpa menjelaskan mengenai langkah-langkah tersebut, beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu lalu telah memberi mesej yang jelas bahawa suara rakyat di peringkat bawahan perlu diambil kira.

‘‘Langkah berkenaan boleh dilakukan dalam banyak cara kerana dengan terlepasnya lima negeri ke tangan pembangkang bukan perkara kecil dan memerlukan pendekatan drastik untuk memulihkan keyakinan rakyat.

‘‘Semua pihak perlu mengambil tanggungjawab di atas kekalahan itu, bukan sesuatu yang baru apabila ketidakpuasan rakyat disuarakan di dalam forum-forum namun kita tidak mendengar suara berkenaan, sekarang mesej yang jelas telah diberikan oleh rakyat,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sini hari ini.

Beliau pada mulanya dijadualkan mengadakan sidang akhbar di Hotel Sunway Seberang Perai namun telah menukarkan lokasi ke Hotel Pearl View di sini atas sebab-sebab tertentu.

Lebih 500 penyokongnya hadir untuk memberikan sokongan kepada Mukhriz.

Ditanya mengenai khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan bahawa beliau mengadakan sidang akhbar berkenaan untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan, Mukhriz berkata:

‘‘Tidak. Saya difahamkan ada SMS yang dihantar mengatakan bahawa saya akan melakukannya (desak letak jawatan), saya tidak pasti siapa dalang itu.

‘‘ Tapi saya menerima panggilan dan SMS yang menyatakan rasa sedih dan kecewa di atas kecundang BN di beberapa negeri, sebelum ini kita tidak pernah kalah seperti ini, ia adalah satu peringatan,”.

Namun, katanya beliau yakin Perdana Menteri akan melakukan perkara yang difikirkan wajar malah sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Abdullah akan mendengar suara rakyat.

 


 

Published in: on March 10, 2008 at 17:33  Comments (51)