Petisyen menyokong desakan Mukhriz mengesa PM Abdullah berundur

Isnin 10 Mac 2008 lepas, Exco Pemuda UMNO Dato’ Mukhriz Mahathir, yang juga MP Jerlun berkias menegur Kepimpinan agar “Melakukan yang terbaik untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional”, selepas kekalahan di 5 + 1 negeri dan prestasi buruk seluruh Negara. Kemudian, pada Rabu 12 Mac 2008, Mukhriz menghantar sepucuk surat peribadi kepada PM Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan mengesa agar berundur dari semua jawatan.

suratmukhriz011.jpgsuratmukhriz021.jpg

Sesuai dengan prinsip kepertanggung jawaban (accountability) dan melunaskan tanggung jawab fardu kifayah (sesuai dengan prinsip kedua Islam Hadhari – Kerajaan yang bertanggung jawab dan diyakini rakyat) kepada rakyat, masyarakat dan Negara, PM Abdullah wajar berundur kerana rata rata rakyat sudah hilang keyakinan dengan pentadbiran dan kemampuan Kepimpinan beliau.

Sebagai menyahut langkah berani dan tidak mementingkan diri sendiri Mukhriz itu, demi Agama, Bangsa dan Tanahair, maka sebuah petisyen awam online ini dikhaskan kepada semua pengguna alam siber untuk sama sama menyokong dan menunjukan kesungguhan mendesak agar PM Abdullah berundur dari semua jawatan serta merta.

Sila e mail semua sokongan (lengkap dengan nama penuh, no. MyKad/IC, no- telefon (dan no. keahlian UMNO, sekiranya ada) – sebagai membuktikan kesahihan penanda tangan petisyen) kepada:

petitbadawi@gmail.com

dan/atau

petition against Abdullah Badawi

 

Sekian, terima kasih. Allah selamatkan Malaysia, tanahair tercinta!

Published in: on March 15, 2008 at 22:51  Comments (29)  

Mukhriz konsisten mengesa PM Abdullah berundur untuk kepentingan Bangsa dan Negara

Serangan dan ‘putar belit’ (spin) keatas surat MP Jerlun Dato’ Mukhriz Mahathir pada Rabu 12 Mac 2008 kepada Perdana Menteri dan Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi agar meletakan semua jawatan serta merta, sudah pun bermula. Hari ini, PM Abdullah membuat kenyataan kepada media seolah olah Mukhriz tidak konsisten dalam kenyataanya, sepanjang minggu ini.

Dipetik dari Bernama.com:

14 Mac, 2008 21:51 PM

Abdullah Serah Tindakan Ke Atas Mukhriz Kepada Pemuda Umno

 

PUTRAJAYA, 14 Mac (Bernama) — Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kepada Pergerakan Pemuda Umno untuk mengambil tindakan terhadap Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, yang juga anggota exco Pemuda mengenai desakan Mukhriz meminta Abdullah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Saya lepaskan kepada Datuk Seri Hishammuddin (Tun Hussein, Ketua Pemuda Umno) untuk mengambil tindakan yang sewajarnya (terhadap Mukhriz), katanya kepada Bernama dalam satu temubual di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian setelah diminta mengulas mengenai sepucuk surat yang ditulis oleh Mukhriz dan dihantar kepada Perdana Menteri di mana Mukhriz menggesa agar Abdullah bertanggungjawab ke atas keputusan pilihan raya umum pada 8 Mac dan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Sehari sebelum dia hantar surat itu pada saya, dia telahpun keluarkan satu kenyataan mengatakan dia sokong dan dia memahami apa yang berlaku itu merupakan satu collective responsibility (tanggungjawan bersama) dan beberapa kenyataan lain yang dilihat sebagai kenyataan positif terhadap saya.

“Tiba-tiba dia tukar pulak…hanya sehari setelah itu hantar surat bukan hanya pada saya tetapi juga Datuk (Seri) Najib (Tun Razak) dan seluruh negara.

“Ini pada saya bukanlah satu cara atau pendekatan yang baik. Ini adalah satu reaksi daripadanya sebagai ahli pergerakan Pemuda Umno, yang telah pun mengambil keputusan untuk sokong saya dan pucuk pimpinan parti.

“Dia juga telah mengatakan saya dan Najib diberi sokongan untuk memimpin parti dan kerajaan…ini satu perbuatan (menulis surat yang meminta beliau meletakkan jawatan) yang menyalahi pendekatan dan pendirian yang telah dibuat oleh Umno dan Pergerakan Pemuda Umno,” kata Abdullah.

— BERNAMA

Ini pula kenyataan Ketua Pemuda UMNO Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, atas isu yang sama dan bagaimana Mukhriz disifatkan sebagai membelakangkan prinsip dan amalan pergerakan itu.

Dipetik dari Bernama.com:

14 Mac, 2008 22:55 PM

Surat Mukhriz Bukan Pendirian Pemuda Umno – Hishammuddin

 

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jika benar anggota Exconya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir ada menulis surat meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk berundur, ia dibuat secara peribadi.

Beliau berkata permintaan Mukhriz supaya Perdana Menteri berundur berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) di lima buah negeri pada pilihan raya umum Sabtu lepas bukan merupakan pendirian Pemuda Umno.

Pergerakan itu tetap berpegang kepada kenyataan yang dibuat sebelum ini untuk berdiri teguh di belakang Abdullah selaku Presiden Umno dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sekiranya pendirian meminta YAB Perdana Menteri berundur itu dikeluarkan atas sifat peribadinya, maka secara peribadi saya menganggap bahawa cara dan masa ianya dibuat adalah tidak sesuai.

“Dalam keadaan sekarang apa yang lebih utama ialah bagaimana penyusunan parti dapat dilakukan demi kebaikan semua kerana institusi lebih penting dari segala-galanya,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Hishammuddin juga berkata Pemuda Umno masih berpegang kepada pendirian bahawa sebarang keputusan melibatkan kepentingan parti mesti dibuat secara kolektif dan bukan oleh individu.

Agensi berita asing hari ini mengeluarkan laporan memetik Mukhriz, Pengerusi Biro Antarabangsa pergerakan itu, mengaku menghantar surat kepada Abdullah, dua hari lepas meminta pemimpin itu supaya meletakkan jawatan.

— BERNAMA

Sebenarnya, PM Abdullah membuat kenyataan berdasarkan laporan media yang telah di’putar-belit’kan (spin), oleh pihak pihak tertentu. Mukhriz adalah konsisten dengan kenyataan yang dibuat di Seberang Perai pada Isnin, 10 Mac 2008, iatu “Merayu agar Kepimpinan mendengar ‘mesej jelas’ rakyat” dan “Yakin Kepimpinan akan membuat ‘keputusan terbaik’ untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat kepada BN dan UMNO”.

Walaubagaimana pun, setakat ini, tiada ‘tindakan terbaik diambil untuk mengembalikan keyakinan rakyat’ oleh Kepimpinan. Mesej yang disampaikan jelas oleh rakyat hampir dibiarkan terabai dan usaha usaha ‘menyimpang pandangan’ (diversion) rakyat kepada permasalahan sebenar sedang berlaku. Contohnya, demonstrasi yang berlaku di Pulau Pinang hari ini berkemungkinan akan di’perkuda’kan oleh Kepimpinan sebagai “Rakyat, terutama memerlukan Kepimpinan untuk mempertahankan kepentingan mereka”. Walhal, BN gagal dalam negeri PM Abdullah sendiri dan ini sebenarnya sesuatu yang memalukan!

‘Tanggung jawab kolektif’ sebagaimana yang disebut oleh Mukhriz semasa soal jawab dalam sidang media Isnin itu bermaksud bahawa semua pihak dalam parti perlu memikul kesan prestasi buruk dan kekalahan BN dalam PRU 12. Namun begitu, soal ‘kepertanggung jawaban’ (accountability) merupakan aspek yang mesti dipikul mutlak Kepimpinan dan bukanya akar umbi, dalam kegagalan dan prestasi buruk BN itu.

Soal ‘kepertanggung jawaban’ (accountability) ini juga berkait rapat dengan manifesto BN pada PRU 11 2004 dimana rakyat dijanjikan ‘keterbukaan’ (transparency). Apabila pengaharapan rakyat begitu besar yang tidak dilunaskan, maka ‘mesej jelas’ itu dizahirkan dalam peti undi, lebih lebih lagi setelah rakyat dicabar PM Abdullah semasa Ucapan Penggulungan Presiden Perhimpunan Agung UMNO 9 November 2007.

Tiada yang bercanggah dalam kenyataan Mukhriz pada hari Isnin dan surat peribadi yang dihantar pada hari Rabu. Malah, ianya cukup konsisten. Namun begitu, ada pihak pihak terutama yang menguasai media perdana cuba memutar belitkan (spin) keadaan sehingga mereka mula percaya dan menghayati ‘putar belit’ (spin) mereka sendiri. Pemimpin parti komponen sendiri telah meluahkan ‘kekecewaan’ mereka dan ditafsirkan dari pelbagai sudut. Ada yang enggan menyertai Kabinet (samada menang atau kalah), kerana mungkin tidak sanggup memikul kepertanggung jawaban manakala ada pula ‘berkias’ atas isu ‘penasihat’ PM Abdullah, yang wajar ‘diganti’. Ini semua sealiran sebagai ‘mesej rakyat’ yang disebut Mukhriz Isnin lepas dan suratnya dua hari lepas itu.

Kepimpinan wajar ‘fokus’ kepada permasalahan yang ditafsirkan rakyat dalam ‘mesej jelas’ mereka, termasuk ada dikalangan akar umbi UMNO sendiri yang dipercayai yang memberikan undi kepada Pembangkang. Sebaliknya, Kepimpinan hari ini menitik beratkan ‘birokrasi’ parti seperti “cara dan masa ianya dibuat adalah tidak sesuai” dan “Dalam keadaan sekarang apa yang lebih utama ialah bagaimana penyusunan parti dapat dilakukan demi kebaikan semua kerana institusi lebih penting dari segala-galanya” membatasi apa ‘mesej jelas’ yang dihantar.

Jelas rakyat, terutama ahli UMNO dan orang orang Melayu sendiri hari ini amat dahagakan ‘kepimpinan’ dan ‘tindakan drastik’ untuk membetulkan keadaan. Ini lebih lebih lagi mereka yang baru dapat kuasa dinegeri seperti Pulau Pinang dan Selangor sudah mencabar untuk tidak melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tidak kurang juga dikalangan pemimpin UMNO yang merasakan bahawa tindakan Mukhriz ini akan menjejaskan peluang beliau untuk dilantik kedalam pentadbiran Kerajaan, terutama banyak kerusi perlu diisi kerana ketirisan tokoh yang sesuai. Namun begitu, ada kemungkinan besar pemimpin pemimpin ini ‘salah congak’ dan Mukhriz sebenarnya tidak berminat untuk menyertai pentadbiran sekiranya ‘mesej jelas’ rakyat ini akan diabaikan.

PM Abdullah wajar berundur, demi Agama, Bangsa dan Tanahair dan tidak menyimpang, semata mata kerana cuba ‘mempertahankan’ keenakan berkedudukan dan berkuasa!

Published in: on March 15, 2008 at 02:05  Comments (35)