Tun Dr. Mahathir: Tiba masa Melayu perlu ‘menderhaka’ dan ada ‘Majlis Presiden’ untuk UMNO

 

Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad petang ini mengutarakan konsep ‘Majlis Presiden’, sebagai badan penasihat rasmi dalaman UMNO, untuk memberikan pandangan dan teguran strategik kepada seorang Presiden UMNO. Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita selepas majlis pelancaran buku Allahyarham Tan Sri Basir Ismail “Management Astray: Resuscitation Ailing Organisation”.

dscn4178.jpg

Beliau masih lagi menegaskan bahawa masih lagi ujud “Iklim Takut” (Climate of fear) dalam UMNO dan pemimpin dan ahli tidak berani bersuara dan berkata benar, walaupun keadaan meruncing seperti sekarang. “Selepas kekalahan dalam 5 + 1 negeri dan prestasi buruk BN/UMNO seluruh Negara, pemimpin UMNO masih lagi kata “Kami sokong Kepimpinan” ujar mantan Presiden UMNO untuk lebih 22 tahun itu.

Malah beliau mengulas bahawa dalam peringkat mesyuarat, termasuk Majlis Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO, semua pemimpin hanya berkata “Kami sokong Kepimpinan” dan “Bila saya meminta PM Abdullah meletak jawatan, tiada siapa menyahutnya tetapi dibelakang, ada antara mereka berjumpa saya dan mengatakan sebaliknya!”

Apabila diminta mengulas usaha mantan Naib Presiden UMNO Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah untuk mengajak 18, 000 pemimpin UMNO peringkat Cawangan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), Tun Dr. Mahathir bersetuju kerana ianya tepat dan UMNO perlu membincangkan hala tuju UMNO dan orang Melayu. Terutama apabila berlaku keadaan ahli UMNO sendiri mengundi Pembangkang. “Ini berlaku bukan kerana ahli UMNO tidak sayang parti, ini berlaku kerana mereka tidak suka kepada Kepimpinan!” tegas beliau.

Tun Dr. Mahathir menjelaskan bahawa masa yang amat sesuai untuk orang Melayu ‘menegur’ Kepimpinan. Beliau member tafsiran sejarah bahawa orang Melayu pada masa silam amat taat dan tidak menderhaka kepada Raja dan akibatnya, orang Melayu terjajah selama 450 tahun. Hanya pada tahun 1946, orang Melayu berani bangkit, ‘menderhaka’ dan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dan hasilnya, orang Melayu berjaya membebaskan diri dari belengu penjajahan.

Mungkin masanya amat sesuai bagi orang Melayu ‘menderhaka’ kembali, untuk mengembalikan ‘hak’ mereka. Ini mengundang soal mencabar Kepimpinan dan kemungkinan berlaku perpecahan kepada UMNO, maka reaksi beliau ialah “UMNO masa saya pun biasa berpecah. Dua kali. Sekali Tengku Razaleigh cabar saya dan sekali lagi kes Anwar. Namun UMNO berjaya dipulihkan dan orang Melayu kembali bersatu, dalam masa terdekat. Lihat bagaimana UMNO begitu kuat dalam tahun 2004 (Walaupun kes Anwar Ibrahim memecahkan UMNO dan sokongan orang Melayu)”.

Apabila diminta mengulas mengenai dua orang MP UMNO menolak jawatan Timbalan Menteri, Setiausaha Agung UMNO/BN dan Pengerusi UMNO/BN Selangor meletakan jawatan, Tun Dr. Mahathir berkata mereka berbuat demikian kerana “Tidak dapat jadi Menteri” dan menambah “Sepatutnya mereka memberikan alasan bahawa Perjuangan Bangsa lebih utama dan menolak Kepimpinan!”.

‘Majlis Presiden UMNO’ yang dicadangkan Tun Dr. Mahathir ini boleh dianggotai golongan professional dan bebas (independent), iaitu tidak semesti pemimpin politik, selagi mereka menjadi ahli UMNO. Apabila ditanya apakah ‘Tingkat Empat’ merupakan badan bertindak sebagai ‘Majlis Presiden UMNO’, beliau memberikan reaksi sinis bahawa “Mereka diturunkan oleh Malaikat (created by Angel)”. Kepada soalan cadangan agar penggal Kepimpinan dihadkan, beliau menjawab “Mungkin ianya bagus dan perlu dikaji. Tetapi ianya tiada makna sekiranya Presiden UMNO dihadkan tempoh dan dalam tempoh masa itu, ‘mengatur’ agar menantunya akan mengambil alih sebagai Presiden selepas itu”.

*Perkembangan terkini, Sabtu 22 Mac 2008 1.16am

Bernama.com membuat laporan ini:

21 Mac, 2008 23:13 PM

 

Dr Mahathir Sokong Cadangan Mesyuarat Agung Luar Biasa

Hantar berita ini kepada rakan Versi bolehcetak berita ini

 

 

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau menyokong cadangan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah supaya Umno mengadakan mesyuarat agung luarbiasa pada 11 Mei depan.

Beliau berkata mesyuarat agung luarbiasa itu perlu diadakan bagi membincangkan sebab-sebab mengapa Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno hilang majoriti dua pertiga dan mengalami kekalahan di lima buah negeri pada pilihan raya umum lepas.

Beliau mendakwa banyak orang termasuk anggota Umno mengundi parti pembangkang bukan kerana mahu menyokong parti lawan, tetapi disebabkan mereka tidak menyukai kepimpinan parti tersebut.

“Tetapi mereka takut untuk menyuarakan pendapat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk “Management Astray: Resuscitating Ailing Organisations” yang ditulis Allayarham Tan Sri Basir Ismail, di sini.

Ditanya sama ada beliau menyokong hasrat Tengku Razaleigh bertanding jawatan Presiden Umno bagi memulihkan parti itu, beliau berkata soal siapa mahu bertanding sepatutnya dibincangkan selepas mesyuarat agung luar biasa tersebut.

Dr Mahathir berkata: “Mungkin ada orang lain juga berminat nak jadi presiden, jadi kena beri peluang kepada semua orang. Bukan soal presiden, soalnya Umno. Apa yang kita lihat pada pilihan raya lepas ramai anggota Umno telah mengundi parti lawan.

Beliau berkata rasa takut untuk menyuarakan pendapat di kalangan anggota Umno tampak jelas kerana tiada seorangpun anggota Umno yang berani menyokongnya semasa beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan berikutan kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum. “Namun saya berjumpa dengan banyak daripada mereka ini yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan pucuk pimpinan (sekarang),” dakwa beliau.

Beliau mendakwa anggota Umno sekarang tidak berani menyuarakan pendapat mereka tentang kepimpinan parti kerana takut diambil tindakan sekiranya mengatakan sesuatu yang tidak disukai kerajaan.

Ditanya sama ada Umno kemungkinan berpecah jika Tengku Razaleigh mencabar presiden parti, Dr Mahathir berkata semasa beliau menjadi presiden Umno dan Perdana Menteri, Umno berpecah sebanyak dua kali tetapi bercantum semula.

Dr Mahathir juga mencadangkan Umno meminda perlembagaannya untuk memperuntukkan penubuhan majlis presiden untuk menasihatkan presiden kerana “kita tidak boleh mengamanahkan terlalu banyak kuasa pada satu orang”.

Beliau berkata anggota majlis itu tidak boleh dipilih oleh bahagian parti kerana mereka kemungkinan dimanipulasi, dan mereka sepatutnya terdiri daripada anggota parti yang tidak cenderung kepada mana-mana pihak serta orang luar daripada golongan profesional.

Katanya perkara itu perlu kerana akhir-akhir ini Majlis Tertinggi Umno didapati tidak efektif berikutan anggota menganggap tindakan mengkritik pucuk pimpinan sebagai sikap tidak hormat.

Mengenai 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan amal Melayu yang bersepakat menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) untuk menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik, beliau berkata ia baik tetapi perlu dilihat kepada tujuan ia ditubuhkan.

Mengenai tiada wakil Wanita Umno dalam Kabinet, beliau berkata mereka sepatutnya memprotes tetapi beliau mendengar “pemberontakan itu hanya sekerat jalan sahaja dan selepas itu kata, saya sokong”.

Ditanya mengenai ada cubaan membeli anggota Parlimen dari BN untuk menyertai pembangkang, beliau secara sinis berkata ia berlaku pada kedua-dua pihak dan `ia sangat demokratik’.

— BERNAMA

 

 

Published in: on March 21, 2008 at 17:36  Comments (56)