Riong Kali: Agenda ‘Bunuh’ Boss untuk Singapura?

Dilemma perlantikan MB Terengganu kebelakangan ini dan kemungkinan akan merebak menjadi krisis perlembagaan ini sebenarnya permasalahan politik, yang ada peluang diselesaikan dengan berunding. Malangnya, media menjadi dalang dan membawa isu ini menjadi keruh dan rumit.

Jika dikaji, perlantikan MB Terengganu dan seterusnya Exco Kerajaan Negeri sebenarnya mempunyai banyak masa lagi (iaitu tempoh maksima 60 hari selepas Pilihanraya). Namun begitu, isu ini diberikan liputan media begitu luas dan seolah olah ‘memalu gendang’ (drumming up supports) untuk membangkitkan emosi rakyat, dengan bertopengkan segala sudut sudut universal seperti ‘demokrasi’ dan sistem ‘Raja Berperlembagaan’.

Jalan rundingan belum lagi habis diterokai (exhaustive), namun begitu cara akhbar dan stesyen TV, terutama anak syarikat Media Prima seperti NST, TV3 dan NTV7, seolah olah secara intensif memaparkan pihak istana ‘tidak munasabah’ dan gagal menghormati Perlembagaan Persekutuan. Rujukan rujukan perundangan dipaparkan bersama, untuk memperkuatkan hujah berbanding fungsi sebagai pelapor berita. Kenyataan demi kenyataan media dipaparkan saban hari. Ini tidak lain dari proses untuk ‘memutar belitkan’ (spin) maklumat dan propaganda.

Bukan payah untuk menelah, siapa dalang dibelakang ‘putaran belit’ (spin) maklumat ini. Nama yang akan terpapar dalam minda orang ramai ialah Kalimullah “Riong Kali” Masheerul Hassan (Peluang terakhir Malaysia mengunakan nama tambahan kepada Kali ini ialah “Bentong Kali”, seorang penjenayah ganas-notorious!). Timbalan Pengerusi dan Mantan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP ini ialah seorang ‘pakar putar belit’ (master spinner) yang cukup diketahui umum.

Methodologi beliau ialah memperkudakan segala saluran yang ada untuk propaganda dan mengeruhkan keadaan, apabila emosi rakyat di’palu’ dan ‘main’kan. Ini terutama apabila UMNO/BN mengalami kekalahan teruk di 5 + 1 negeri dan prestasi buruk dalam negeri dalam PRU 12 baru baru ini dan isu ini di’perkuda’kan sepenuhnya untuk mengalih perhatian (diversion) rakyat.

Sebelum ini, Negara sudah melihat keberkesanan rancangan strategik propaganda Riong Kali untuk ‘membunuh’ kareer politik Boss sendiri, perlahan lahan dan begitu konsisten dan terancang. Secara tidak langsung, UMNO/BN yang Boss sendiri terajui di’bunuh’ sama, secara sistematik.

Contohnya, siri propaganda NST, TV 3 dan NTV 7, terutama projek projek korridor ekonomi yang rata rata dirasakan “tidak masuk akal”, dicanang canangkan sehingga rakyat menjadi mual. Kempen berterusan ‘keterbukaan dan mengkritik dalaman’ yang dijana NST dan TV3, sebenarnya memburukan keadaan dan makin menjadikan keyakinan rakyat, terutama mereka yang terpelajar dan urbanit, makin tiris. Dalam masa kempen PRU 12 sendiri, cara dan penampilan kenyataan memburukan (demonise) Mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dibuktikan menjadi menjadi produktiviti songsang (counter productive); “Senjata makan tuan”.

Sudah diketahui ‘siapa’ dan ‘bagaimana’ dalam plot strategik ini. Kini, persoalanya ialah ‘kenapa’?

Riong Kali merupakan personaliti yang amat dikaitkan rapat dengan Singapura. Beliau merupakan korresponden Straits Times di Malaysia untuk sekian lama dan dalam masa yang sama, menjadi penulis ucapan PM ‘Flip Flop’ Abdullah. Sebelum itu, beliau pernah ‘gagal’ saringan agensi ‘keselamatan’ Negara seperti Cawangan Khas Polis dan Kor Risik ATM apabila beliau mula mula diambil sebagai Setiausaha Akhbar Allahyarham Tun Ghaffar Baba semasa menjawat Timbalan Perdana Menteri 20 tahun dahulu.

Riong Kali juga pernah dikatakan meminta Kementerian Pelancongan dan semua agensi dibawahnya untuk “Memberikan kerjasama sebaik mungkin dengan Singapura”, terutama dari sudut media, kunun kunun ‘arahan’ Perdana Menteri semasa PM ‘Flip-Flop’ Abdullah Ahmad Badawi menjawat kedudukan No.1 itu empat tahun lalu.

Kemudian menyumbang secara langsung kepada ketirisan keyakinan rakyat kepada Malaysia Airlines, hanya untuk menjadi ‘kelebihan’ (advantage) kepada Air Asia. Akhirnya, teka teki hubungan beliau dengan pemilik Air Asia terjawab apabila Tony Fernandes diumumkan sebagai pemegang saham dan pengarah ECM Libra, terutama setelah Riong Kali “bermain wayang” dengan pengumuman penjualan kepentingan beliau dalam pengambil alihan korporat paling kontroversi dekad ini, pada Ogos 2006.

Awal 2006, Riong Kali membenarkan karikatur menghina Rasulullah S.A.W. dipaparkan dalam NST. Cara dan putar belit (spin) NST mengenai reaksi rakyat apabila Projek Jambatan Indah Mengantikan Tambak Johor bermula April 2006 masih lagi segar dalam ingatan rakyat. Jun 2006, beliau membohongi rakyat Malaysia dalam kolumn mingguanya mengenai isu “Tun Dr. Mahathir bertemu PM ‘Flip-Flop’ Abdullah’ di Tokyo”. Artikel artikel yang ‘membelakangi’ Kehakiman dan pro-minoriti dan golongan liberal, seperti kes Lina Joy pada Mei 2007 juga tidak membantu ‘keyakinan’ majoriti rakyat dan golongan urbanit kepada Kerajaan.

Apakah Riong Kali dengan secara sengaja, membawa kegagalan keberkesanan Media Prima sebagai alat propaganda tradisi ‘swasta’ untuk bertindak sebahagian dari perancangan menjahanamkan kareer politik Boss, UMNO dan/atau BN? Atau Riong Kali kini menjadi ‘tali barut’ Singapura untuk secara strategiknya menjahanamkan sistem politik Malaysia, yang diterajui oleh UMNO dan ini sebahagian proses ‘Pengkolonian Semula Barat’ (melalui Singapura dan saluran media, pencetus pemikiran rakyat)?

Kalau pun tidak, ‘pengkhianatan sistematik’ Riong Kali kepada Boss dan UMNO (selaku Tuan Punya) sudah menjadi sebab relevan beliau wajar dan patut dipecat!

Published in: on March 24, 2008 at 20:15  Comments (17)