Mukhriz: Berdiri disisi saya untuk kembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO

“Berdiri disisi saya, untuk cari Kebenaran, yakinkan rakyat, yakinkan orang UMNO kembali, syiarkan ugama Islam, martabatkan Bangsa dan majukan Negara!”, desak Exco Pemuda UMNO Dato’ Mukhriz Mahathir di Forum UMNO PASCA PRU 12 anjuran KMU.net disebuah hotel di Petaling Jaya.

umno-pasca-pru-12.jpg

Mukhriz juga mengulas apa yang terjadi kepada UMNO hari ini ialah akibat pemimpin UMNO ada ‘Budaya Takut’; “Takut hilang jawatan, takut hilang kontrak, takut tidak mendapat sokongan Kepimpinan”. Tambah beliau lagi “Golongan muda, terutama yang berpendidikan kini menjadi tersisih dan menjauhi UMNO”.

Ahli Parlimen Batu Pahat Dr. Hj. Mohd. Fuad Zarkashi berpendapat bahawa MT UMNO perlu rombakan, sebagaimana pengharaman UMNO 4 Feb 1988, berlaku “Pembetulan, pembersihan dan ‘akhlak politik’ pemimpin”. “UMNO dipimpin oleh ramai yang suka ‘mengangguk”. Reform keatas UMNO, lebih lebih lagi Pemuda UMNO ini perlu dilakukan segera untuk mengembalikan keyakinan rakyat, terutama orang Melayu dan pandangan suara golongan muda perlu dikaji dan jadikan aspirasi untuk membuat keputusan.

Mantan Pengerusi Perhubungan UMNO Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mengulas mengenai semua pihak tidak puas hati mengenai perlaksanaan DEB dan perlu melihat semula formula yang perlu diguna-pakai.

umno-pasca-pru-12-ii.jpg

Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulas gema sorakan dan respons para hadirin hari ini merupakan “Bunyi UMNO dahulu”. Beliau juga menjelaskan sistem kuota yang diperkenalkan oleh UMNO kerana pemimpin seperti Anwar Ibrahim mampu mengulingkan seorang pemimpin UMNO yang amat berjasa seperti En. Ghaffar (Baba) tetapi sekarang bersetuju sistem kuota ini dimasuhkan kerana ahli ahli UMNO kini dilarang ‘bersuara’ dan ujud budaya takut.” Beliau juga menambah Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah mencabar beliau untuk jawatan Presiden UMNO dan beliau hampir kalah.

Tun Dr. Mahathir kini membuat ‘fikiran kedua’ mengenai Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai calon mencabar Kepimpinan dan juga menegaskan mana mana pemimpin yang berhasrat untuk menerajui parti perlu dipilih Perwakilan dan mendapat sokongan kuat akar umbi. Beliau menyokong mesyuarat agung luar (EGM) UMNO sebagaimana yang dicadangkan oleh Tengku Razaleigh tetapi menambah EGM juga wajar memutuskan sistem kuota dan undi bonus ini dimansuhkan.

Mantan Presiden UMNO ini juga mengulangi sindiran sinis mengesa PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur dan juga memberi gelaran “DYMM Sultan Abdullah Shah”, sebagai merujuk kemelut krisis dengan pihak istana.

Dalam sidang media, apabila ditanya pemberita, Mukhriz mengaku bahawa pilihan peribadi beliau untuk Presiden UMNO ialah Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak dan bersedia menimbang untuk dicalonkan sebagai Ketua Pemuda UMNO hanya selepas Dato’ Seri Hishamuddin Hussein membuat keputusan mengenai kedudukan beliau dalam pergerakan sayap kiri UMNO itu.

*Perkembangan terkini Selasa 1 April 2008 9.00pm:

Bernama.com membuat laporan:

 

01 April, 2008 20:14 PM

Mahathir Cadang EGM Pinda Perlembagaan Umno Mansuh Undi Bonus

PETALING JAYA, 1 April (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mesyuarat agung khas atau luar biasa (EGM) Umno, jika diadakan, perlu meminda perlembagaan Umno bagi memansuhkan peraturan undi bonus bagi pertandingan jawatan parti Disember depan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata jika ada desakan ramai, Majlis Tertinggi (MT) Umno akan setuju mengadakan mesyuarat khas itu yang juga perlu mengkaji punca kekalahan besar Umno yang menerajui Barisan Nasional pada pilihan raya umum 8 Mac lepas. “Saya tertarik dengan cadangan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah supaya Umno) mengadakan mesyuarat khas membincangkan kekalahan…tapi perlu juga bincang soal undi bonus,” katanya pada forum “Umno Pasca Pilihan raya Umum ke-12” di sebuah hotel di sini hari ini.

Forum anjuran Mykmu.net turut dihadiri anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, anggota Exco Pemuda Umno dan anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Ketua Penerangan Umno Johor yang juga anggota Parlimen Batu Pahat Dr Puad Zarkashi.

Tengku Razaleigh yang merupakan Ketua Umno Bahagian Gua Musang baru-baru ini mencadangkan mesyuarat agung khas diadakan bagi membolehkan pimpinan Umno akar umbi memberi pendapat berhubung kekalahan BN di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang serta kegagalan merampas Kelantan daripada PAS.

Dr Mahathir berkata beliau mengakui undi bonus diperkenalkan semasa beliau menerajui Umno dulu, tetapi menurutnya, pada masa itu anggota Umno bebas mencalonkan sesiapa untuk bertanding.

Sebaliknya, beliau berkata kini anggota Umno takut pada kepimpinan parti dan memberi contoh ketika Tengku Razaleigh mengumumkan hasrat bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan lepas, bahagian-bahagian yang berjanji akan mencalonkan beliau tidak berbuat demikian.

Beliau berkata dalam senario Umno hari ini, apa yang penting ialah bagi anggota Umno untuk bersuara secara berani memberitahu pendapat mereka mengenai apa yang salah mengenai parti dan kepimpinannya.

Dr Mahathir memberi amaran jika anggota Umno tidak berani mulai sekarang menyuarakan apa yang benar, maka Umno akan menghadapi jalan kehancuran kerana jika tunggu sampai pilihan raya akan datang, apa juga pendapat yang disuarakan adalah terlambat.

Malahan katanya, Umno akan menjadi tidak relevan, jika negeri-negeri yang sekarang ditadbir kerajaan campuran PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP menunjukkan prestasi baik hinga menyebabkan pelbagai kaum termasuk orang Melayu terus menyokong pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Ketika sesi soal jawab, Dr Mahathir berkata peluang harus diberi kepada sesiapa yang tampil ke hadapan untuk bertanding jawatan presiden Umno.

“Walaupun dulu kata (Timbalan Presiden Datuk Seri) Najib (Tun Tazak) patut ganti…tapi tak tahu kenapa…(sekarang) saya tukar fikiran.

“Masa itu kita buat penilaian apakah Najibkah…Muhyiddinkah (Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin) …sesiapa,” kata Dr Mahathir.

Sambil menegaskan beliau tidak mahu menyokong pemimpin yang tidak baik bagi parti dan negara, Dr Mahathir berkata Umno boleh dipulihkan jika semua anggota berani menyuarakan pendapat.

Dr Mahathir berkata beliau tidak gentar disingkir daripada parti akibat kelantangannya menyuarakan pendapat, kerana beliau pernah mengalaminya sebelum ini.

Mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang ramai pihak menganggap telah memperkayakan segelintir pihak, Dr Mahathir berkata tidak ada apa yang salah dengan dasar itu, tetapi yang salah adalah pada pemimpin.

— BERNAMA

*Foto adalah ehsan Photo-Bloggo-Journo Jinggo

 

Published in: on April 1, 2008 at 13:51  Comments (39)