UMNO PJ Selatan: PM ‘Flip-Flop’ Abdullah wajar undur setelah PRU 12

Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya Selatan (PJS) Kapt. (B) Dato’ Zahar Hashim malam ini menegaskan bahawa dalam sebuah negara maju, Kepimpinan wajarnya telah meletakan jawatan apabila parti yang dipimpin itu mengalami penyusutan sokongan rakyat dan prestasi menurun dan tidak sebaliknya mendabik dada cuba member alasan yang dikira sebagai ‘memutar belitkan’ maklumat (spin). Yang dimaksudkan ialah kenyataan PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi setelah keputusan Pilihanraya Umum ke XII 8 Mac 2008.

Ahli UMNO PJS telah menyertai dua program melibatkan Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Mantan Naib Presiden UMNO Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah. Ini dijelaskan Kapt. Zahar lagi sebagai hak ahli dan sesekali tidak bermaksud penyertaan ini melambangkan mereka anti PM ‘Flip-Flop’ Abdullah.

Ini merupakan ucapan pembukaan pertemuan tertutup antara Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Muhammad “Mike Tyson” Muhammad Taib dengan UMNO PJS di Dewan Serbaguna PJS 4. Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Perhubungan UMNO Selangor Dato’ Raja Idris dan Ketua Wanita UMNO Selangor Datin Paduka Syarifah Noli. 350 orang Ketua Cawangan, Ketua Wanita Cawangan dan AJK Cawangan UMNO seluruh Petaling Jaya Selatan hadir dimajlis ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa beliau amat konsisten dengan kritikan keatas PM ‘Flip-Flop’ Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin, yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO semenjak tahun 2005. Walaubagaimanapun, segala kritikan yang dibuat oleh Kapt. Zahar dilakukan dalam forum forum tertutup anjuran UMNO.

*Perkembangan dikemaskini pada 11.15pm

Dalam ucapanya, Tan Sri Muhammad menyentuh mengenai masalah dalaman UMNO seperti soal kesetiaan dan UMNO sendiri sudah tidak lagi mendekati akar umbi dan rakyat. Mike Tyson tidak langsung menyentuh mengenai PM ‘Flip-Flop’ Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin, sebagai faktor utama penyebab UMNO hari ini sudah tidak lagi diyakini dan mendapat sokongan rakyat.

*Perkembangan dikemas kini pada Sabtu, 12 April 2008 12.30am

Apabila Ketua Cawangan UMNO PJS mula bercakap, mereka menyalahkan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah keatas apa yang UMNO alami pada PRU 12 dan mahukan perletakan jawatan serta merta. 3 Ketua Cawangan menambah dengan menyebut nama “Khairy Jamaluddin” dengan terang, sebagai faktor utama kenapa rakyat menolak UMNO/BN. Timbalan Pengerusi Tetap UMNO PJS Yahya Samad, veteran UMNO yang telah menjadi ahli semenjak 1963, dengan lantang mendesak agar PM ‘Flip-Flop’ Abdullah meletakan jawatan dengan segera.

Desakan pemimpin UMNO peringkat cawangan dalam PJS agar PM ‘Flip-Flop’ Abdullah untuk berundur secara terhormat ini adalah untuk menyelamatkan maruah, sebelum beliau mendapat pencalonan sedikit dan menerima malu yang lebih besar.

Dalam ucapan pengakhir pertemuan, Mike Tyson menberi alasan bahawa PM ‘Flip-Flop’ Abdullah bukanlah faktor utama kekalahan UMNO di 5 + 1 negeri, gagal meletakan Menteri Besar pilihan atas 2 negeri dan prestasi menurun dalam 5 negeri lain semasa PRU 12. Alasan ini ialah kerana Johor, Melaka dan Negeri Sembilan belum lagi jatuh kepada Pembangkang. Menurut Mike Tyson lagi, sebab utama kekalahan UMNO/BN di Selangor ialah faktor ‘kuil Hindu’, ‘penyapu’, isu ‘Keris’ yang dilihat Bukan Melayu sebagai angkuh, faktor Anwar Ibrahim dan Mantan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelas bahawa pemimpin UMNO seperti Mike Tyson berada dalam ‘sindrom penafian’ (denial syndrome) dan pendekatan yang dibawa, walaupun semasa bertemu akar umbi akan mengakibatkan ahli UMNO makin meluat kepada Kepimpinan. Inilah yang dimaksudkan sebagai “Sokong membawa rebah”!

Published in: on April 11, 2008 at 22:09  Comments (13)  

PM ‘Flip-Flop’ Abdullah bertemu UMNO Johor hari ini

Presiden UMNO PM ‘Flip-Flop’ Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini bertemu UMNO Johor di Grand Ballroom, Seri Pacific Hotel, Johor Bahru. Setakat ini, pertemuan masih berjalan dan tiada maklumat terperinci yang keluar dari dewan bankuasi itu kerana semua alat perhubungan diminta dipadamkan dalam suasana yang dijangkakan hangat.

Sebelum ini, PM ‘Flip-Flop’ Abdullah telah bertemu UMNO Sabah dan perwakilan yang hadir secara terbuka dan lantang menyuarakan perasaan dan permintaan mereka. Ada laporan menyebut sekurang kurangnya 20 Bahagian UMNO dari Johor mahukan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah ‘bercuti’ dan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak memangku jawatan Perdana Menteri, sehingga pemilihan pada Perhimpunan Agung UMNO 16-20 Disember 2008 ini.

Semalam, UMNO Kedah dan Pulau Pinang bertemu Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak dan hasilnya tidaklah memberangsangkan bagi Kepimpinan UMNO. Jelas, akar umbi kini tidak segan silu lagi menyuarakan pandangan mereka dan mahukan perubahan kepada Kepimpinan.

*Perkembangan dikemas kini 5.20pm

Ketua Penerangan UMNO Johor Dr. Mohd. Fuad Zarkashi telah kelihatan keluar Grand Ballroom pada jam 5.10pm. Lima minit kemudian Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin menyusuli.

*Perkembangan dikemas kini pada 5.50pm dan Laporan Lengkap Pertemuan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah dengan UMNO Johor

Maklumat dari perwakilan yang menghadiri menyuarat tertutup tersebut, melaporkan hanya tiga orang Ketua Bahagian, mewakili UMNO Johor bercakap.

Ketua Bahagian pertama, bercakap panjang lebar mengenai keresahan ahli UMNO mengenai soal Krisis Kepimpinan UMNO yang melanda, semenjak UMNO kalah di 5 + 1 negeri, gagal meletakan Menteri Besar pilihan dalam 2 negeri dan prestasi yang menurun dalam 5 negeri lain, termasuk Johor.

Ketua Bahagian ini menegaskan bahawa UMNO tidak mahu lagi mendengar sebarang penjelasan tetapi sebaliknya mahukan satu penyelesaian kepada kemelut Krisis Kepimpinan UMNO hari ini. Proses peralihan kuasa dan Kepimpinan UMNO hanyalah penyelesaian yang ada dan diterima majoriti ahli UMNO dan umumnya, rakyat.

Oleh itu, ‘Flip-Flop’ Abdullah diminta menyediakan plan dan jadual peralihan kuasa dan Kepimpinan, sebagai program mengukuhkan UMNO. Dengan adanya rancangan dan jadual peralihan Kepimpinan, ianya akan meredakan suasana tegang dan tidak tenteram akar umbi UMNO seluruh negara.

Contoh diberikan berkaitan proses peralihan kuasa dan Kepimpinan ialah pasca peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Parlimen telah digantung selepas berlaku rusuhan kaum dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah mengambil alih fungsi Kerajaan. Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj telah ‘melepaskan Kepimpinan’ kepada Tun Razak Hussein sebagai Pengarah MAGERAN. Pada September 1970, Tunku telah berundur sebagai Perdana Menteri dan pada tahun 1971, Tun Razak Hussein mengambil alih sebagai Presiden UMNO. Pada Ogos 1973, Parti Perikatan digantikan dengan Barisan Nasional dan ianya menjadi kerajaan kongsi kuasa yang lebih mantap. Proses peralihan kuasa dan Kepimpinan adalah terancang dan rakyat kembali tenang.

Peralihan kuasa dan Kepimpinan yang dirancang sebagaimana yang dilakukan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, apabila mengumumkan perletakan semua jawatan pada Ucapan Pengulungan Presiden Perhimpunan Agung UMNO 22 Jun 2002 dan akhirnya berundur sepenuhnya selepas selesai Persidangan OIC, pada 31 Oktober 2003 diterima baik rakyat dan semuanya berlaku dalam keadaan tenang juga dihuraikan sebagai contoh.

Pemimpin UMNO Bahagian ini, yang juga baru baru ini dipilih menjadi Ahli Parlimen juga menekankan bahawa proses peralihan kuasa dan Kepimpinan UMNO ini akan memperlihatkan kehebatan dan pengkukuhan UMNO dan akan ini mengembalikan keyakinan dan seterusnya sokongan rakyat kepada UMNO dan BN.

Ketua Bahagian kedua meminta proses peralihan kuasa Perdana Menteri ini disegerakan dan peralihan Kepimpinan UMNO dilakukan kemudian. Ini penting agar jentera Kerajaan dan proses pembangunan masyarakat dapat diteruskan serta merta dan keresahan rakyat dikurangkan. Mantan seorang pemimpin Pemuda UMNO dan sekarang Ahli Parlimen penggal kedua ini menyuarakan pendapat yang dilihat sebagai mewakili suara golongan muda UMNO Johor.

Ketua Bahagian ketiga menguatkan lagi desakan agar berlaku peralihan kuasa dan Kepimpinan terancang dan meminta agar tiada tindakan diambil kepada pemimpin UMNO yang bangkit menyuarakan permintaan agar berlaku proses peralihan kuasa dan Kepimpinan ini. Pemimpin ini kini telah beralih tempat dari seorang Ahli Parlimen kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Johor.

Jelas bahawa UMNO Johor telah sebulat suara berpakat untuk menyokong penuh rancangan pembaharuan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah untuk UMNO dan mendesak, dalam penyampaian beradab agar PM ‘Flip-Flop’ Abdullah berundur dan ianya perlu dilakukan secara terancang, tertib dan paling penting sekali, dengan segera. Pertemuan berjalan dalam suasana yang lebih tenang, berbanding dengan pertemuan dengan UMNO Sabah pada Isnin dan Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak bertemu UMNO Kedah dan Pulau Pinang semalam.

Malam ini, giliran Naib Presiden UMNO dan Mantan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu UMNO Johor di Sofitel, Senai. Dijangkakan, akan dilakukan post mortem mengenai pertemuan dengan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah ini.

*Perkembangan dikemaskini 10.15pm

Ini pula laporan Bernama.com, mengenai pertemuan di Johor Bahru itu:

11 April, 2008 22:13 PM

Abdullah Akan Bincang Dengan Najib Mengenai Pelan Peralihan Kuasa

JOHOR BAHARU, 11 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan berbincang dengan Datuk Seri Mohd Najib Razak mengenai pelan peralihan kuasa kepada timbalannya itu, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini.

Beliau berkata Abdullah memberitahu perjumpaan tertutup dengan Badan Perhubungan Umno Johor di sini bahawa beliau akan berbincang secara terperinci mengenai pelan tersebut dengan Najib yang juga Timbalan Presiden Umno.

“Tempoh peralihan dan sebagainya tidak disebut secara terperinci… hal-hal berkaitan dengan bila masa dan sebagainya beliau akan bincang dengan Datuk Seri Najib,” kata Muhyiddin kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan berkenaan di sebuah hotel di sini.

Beliau berkata Abdullah telah pun secara terbuka sebelum ini menyatakan bahawa Najib bakal menggantikan beliau.

Abdullah, yang juga Presiden Umno memberitahu Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno untuk jentera penerangan parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur Sabtu lepas bahawa Najib adalah penggantinya dan beliau akan menyerahkan jawatan apabila tiba masanya.

Muhyiddin, yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh, berkata pada perjumpaan itu juga, Abdullah menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan berkaitan pilihan raya umum lepas seperti punca kekalahan, isu berkaitan sokongan pengundi bukan Melayu dan pengundi muda.

“Beliau juga menyatakan ada inisiatif sedang dirangka untuk menangani masalah-masalah ini supaya parti lebih kuat lagi,” katanya.

Beliau berkata Abdullah meminta pimpinan di semua peringkat membantu dalam perkara berkenaan.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Johor, Nor Aslina Zainal Abidin pula berkata Badan Perhubungan Umno Johor telah bertanyakan kepada Abdullah sama ada beliau mempunyai pelan peralihan kuasa.

“Kita tidak minta Pak Lah berundur tetapi ada bunyi-bunyi bahawa contohnya pada zaman (Perdana Menteri pertama Allahyarham) Tunku Abdul Rahman di mana proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar kepada (Allahyarham) Tun Abdul Razak Hussein, begitu juga di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad proses peralihan kuasa berjalan lancar kepada Pak Lah.”

Ketua Penerangan Umno Johor, Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ketua Umno Batu Pahat berkata pelan peralihan kuasa tersebut akan menjawab persoalan-persoalan yang timbul di kalangan rakyat dan meningkatkan sokongan mereka terhadap kerajaan.

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Johor Baharu Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, UMNO Johor tidak meminta Abdullah berundur sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO semasa mesyuarat hari ini.

Shahrir yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata mesyuarat itu yang berjalan dalam suasana ikhlas, mesra dan terbuka hanya membincangkan senario politik parti itu dan Barisan Nasional pada masa ini dan masa depan.

“Beliau tahu. Beliau telah menyatakannya banyak kali. Tidak ada desakan supaya beliau meletak jawatan. Sebab beliau telah pun mengumumkan rancangannya sendiri untuk menyelesaikannya dengan Datuk (Seri) Najib,” kata beliau.

Pemberita berulang kali meminta Shahrir menjelaskan hal itu dan beliau menunjukkan notanya mengenai mesyuarat tersebut.

“Abdullah akan bereskan perkara itu dengan (Datuk Seri) Najib selepas Perhimpunan Agung UMNO. Kita akan bekerjasama sehingga perhimpunan agung,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu.

Ditanya sama ada ini akan diselesaikan semasa perhimpunan itu, Shahrir berkata ia akan diselesaikan selepas perhimpunan kecuali terdapat cabaran terhadap jawatan presiden parti oleh mana-mana anggota semasa perhimpunan.

“Nota saya betul-betul (menyatakan) apa yang telah diperkatakan (di mesyuarat itu),” tegas Shahrir.

Ditanya mengenai ahli-ahli UMNO di Kedah dan Pulau Pulau yang meminta Abdullah meletak jawatan, Shahrir berkata pemberita perlu berhati-hati dalam situasi sedemikian dengan tidak menyebut laporan media dan mesti membezakan sama ada ia benar-benar keputusan sepakat hasil satu perbincangan atau pandangan tertentu yang dilahirkan oleh kalangan tertentu saja.

Sama ada golongan akar umbi dapat menerima keputusan Abdullah, Shahrir menjawab: “Pihak akar umbi saya tidak ada masalah. Akar umbi mana yang anda cakapkan?”.

Mengenai rumusan mesyuarat itu, beliau berkata ini akan diumumkan oleh parti dan kerajaan dari masa ke masa.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan mesyuarat hari ini sebagai perbincangan dari hati ke hati yang berjalan dengan baik tanpa sebarang desakan.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata Umno Johor telah menyampaikan keputusan yang dirasakan perlu disampaikan kepada Abdullah demi kebaikan dan pengukuhan parti pada masa akan datang.

“Apa yang kita sampaikan itu rahsia. Tetapi tiada soal-soal desakan meminta Pak Lah berundur, sebaliknya mesyuarat hari ini lebih kepada melihat bagaimana soal-soal pengukuhan parti,” katanya.

— BERNAMA

*Perkembangan dikemaskini 11.45pm

Semasa bertemu UMNO Johor, Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyddin Yassin mengulas mengenai cadangan “peralihan kuasa dan Kepimpinan” yang disuarakan oleh 3 orang Ketua Bahagian, mewakili UMNO Johor kepada PM ‘Flip-Flop’ Abdullah petang tadi.

Laporan Utusan Malaysia:

PM, Najib bincang pelan peralihan kuasa – Muhyiddin

JOHOR BAHRU 11 April – Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan berbincang dengan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelan peralihan kuasa kepada timbalannya itu, kata Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata, Abdullah memberitahu perjumpaan tertutup dengan Badan Perhubungan UMNO Johor di sini bahawa beliau akan berbincang secara terperinci mengenai pelan tersebut dengan Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO.

“Tempoh peralihan dan sebagainya tidak disebut secara terperinci… hal-hal berkaitan dengan bila masa dan sebagainya beliau akan bincang dengan Datuk Seri Najib,” kata Muhyiddin kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan berkenaan di sebuah hotel di sini.

Beliau berkata Abdullah telah pun secara terbuka sebelum ini menyatakan bahawa Najib bakal menggantikan beliau. Abdullah, yang juga Presiden UMNO memberitahu Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO untuk jentera penerangan parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur Sabtu lepas bahawa Najib adalah penggantinya dan beliau akan menyerahkan jawatan apabila tiba masanya.

Muhyiddin, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh, berkata pada perjumpaan itu juga, Abdullah menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan berkaitan pilihan raya umum lepas seperti punca kekalahan, isu berkaitan sokongan pengundi bukan Melayu dan pengundi muda.

Published in: on April 11, 2008 at 16:23  Comments (19)  

Tun Dr. Mahathir berucap diKajang

Mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad akan berucap dalam majlis “Krisis Kepimpinan Pasca PRU12: Dimana Silapnya?”, anjuran UMNO Bahagian Ulu Langat di Hotel Oriental Crystal, Kajang pada Sabtu, 12 April 2008 jam 2.00 petang.

Mantan Naib Presiden UMNO Tan Sri Sanusi Junid juga akan hadir dimajlis tersebut.

Published in: on April 11, 2008 at 14:12  Comments (1)  

Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Simpang Renggam

ZAKARIA BIN DULLAH

KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN SIMPANG RENGGAM

JOHOR DARUL TAKZIM

013-7679000

Kenyataan Akhbar

PARTI TIDAK AKAN BERPECAH DISEBABKAN KRITIKAN

Kekalahan calon-calon UMNO dan Barisan Nasional di seluruh negara dalam Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu menuntut kepada satu tindakan drastik bagi mengenal pasti segala punca kelemahan, kesilapan dari segi pentadbiran, perlaksanaan serta pengurusan di peringkat parti mahupun kerajaan. Oleh sebab itu, untuk memastikan perubahan yang akan dilakukan benar-benar menepati sasaran yang sepatutnya, kepimpinan parti dan kerajaan seharusnya telah cukup bersedia untuk menerima sebarang kritikan, teguran, pandangan dan nasihat daripada semua pihak jikalau kita benar-benar ikhlas untuk menerima dan memperbaiki segala kelemahan tersebut. Kita mengharapkan juga teguran dan kritikan daripada pelbagai pihak benar-benar ikhlas bagi memastikan parti UMNO dan kerajaan Barisan Nasional akan terus kukuh dan dapat mentadbir kerajaan dengan memastikan keselesaan, keamanan dan kemajuan negara dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat pada masa akan datang.

Saya secara peribadi, menyangkal tanggapan bahawa segala kritikan dan teguran yang diberikan kepada kepimpinan parti dan kerajaan itu boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dikalangan ahli-ahli parti, sekiranya pemimpin dan pengikut itu bertanggungjawab, ikhlas, jujur serta berintegriti tinggi dalam menerima kritikan tersebut.

Oleh yang demikian, pada peringkat generasi muda, kami mengalu-alukan sebarang teguran, kritikan, nasihat, dan pandangan yang ikhlas dalam usaha mengembalikan kegemilangan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional pada masa akan datang.

Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab kami juga untuk menegur, memberi pandangan dan sedikit mengkritik kelemahan-kelemahan atas dasar sayangkan parti kerana kami menuntut jaminan hidup yang lebih selesa, selamat dan aman untuk diri kami dan cucu cicit kami sepertimana yang rakyat kecapi semenjak merdeka sehingga ke hari ini di atas usaha gigih pejuang-pejuang dan pemimpin-pemimpin terdahulu.

Saya juga berpendapat, mereka-mereka yang telah diamanahkan dalam memegang jawatan parti dan kerajaan supaya lebih menumpukan kepada tugasan dan tanggungjawab sebenar yang sepatutnya mereka laksanakan, bukan menuding jari menyalahkan mana-mana pihak atau menidakkan segala kebenaran yang telah diutarakan oleh sesiapa sahaja demi kebaikan bersama. Mereka-meraka yang gagal melaksanakan perkara tersebut boleh diketegorikan sebagai orang yang tidak amanah terhadap kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat, parti dan kerajaan yang mereka wakili.

Sekian, wassalam.

ZAKARIA DULLAH (0137679000)

KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN SIMPANG RENGGAM

Published in: on April 11, 2008 at 00:43  Comments (4)