PM ‘Flip-Flop’ Abdullah berdalih untuk berundur dan hanya pergi bila sedia

Presiden UMNO PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini berkata bahawa beliau mahukan peralihan kuasa yang licin tetapi bukanlah terburu buru untuk mengundur. Beliau berucap dalam satu taklimat khas Yang Berhormat Barisan Nasional di PWTC jam 3.00 petang tadi.

Beliau juga menjelaskan bahawa UMNO perlu kukuh dahulu sebelum beliau berundur. Ini adalah respons kepada desakan pelbagai pihak dalam UMNO seperti Mantan Presiden Tun Dr. Mahathir Mohamad, Exco Pemuda Dato’ Mukhriz Mahathir dan Ketua Penerangan UMNO Johor Dr. Mohd. Fuad Zarkashi dalam 3 minggu pertama selepas Pilihanraya Umum ke XII (PRU 12) 8 Mac 2008, agar PM ‘Flip-Flop’ Abdullah berundur untuk kebaikan dan proses pemulihan UMNO bermula. UMNO Kedah, Pulau Pinang dan Johor juga mendesak mesej yang sama minggu lepas.

Nampaknya PM ‘Flip-Flop’ Abdullah masih lagi gagal “mendengar” mesej rakyat, yang begitu lantang selepas keputusan PRU 12 diumumkan dan mesej lantang akar umbi UMNO sendiri, termasuk pemimpin peringkat Bahagian. Sebelum ini, PM ‘Flip-Flop’ Abdullah menyalahkan ahli UMNO dibeberapa Bahagian sebagai mensabotaj pilihanraya, mengakibatkan UMNO kalah di 5 + 1 negeri dan prestasi menurun di selebihnya seluruh Malaysia.

Jika benar sebagaimana didakwa, persoalan penting sebenarnya bukanlah “Siapa sabotaj UMNO/Bagaimana mereka sabotaj UMNO/Bila mereka sabotaj UMNO/Dimana mereka sabotaj UMNO” tetapi yang paling utama dan perlu diberikan perhatian serious ialah “Mengapa ahli UMNO sanggup sabotaj parti sendiri?”.

‘Sindrom penafian’ (denial syndrome) inilah sebenarnya akan menyebabkan ahli UMNO sendiri makin marah dan hilang keyakinan kepada Kepimpinan. Itu belum lagi seluruh rakyat Malaysia. Sabtu lepas, Mantan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa bahawa Pembangkang memang amat seronok UMNO terus dipimpin PM ‘Flip-Flop’ Abdullah kerana ianya akan makin mengurangkan keyakinan dan sokongan rakyat kepada UMNO dan mendesak “UMNO perlu dibetulkan dan hentikan “Pembohongan”.

*Perkembangan dikemaskini 5.00pm

Pagi tadi, ahli UMNO Perak berbondong bondong berkumpul diIpoh kerana Mesyuarat Pengurusan UMNO bertemu UMNO Perak, telah datang untuk menyuarakan sokongan terbuka mereka Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyddin Yassin, yang masa dilihat sebilangan besar ahli UMNO sebagai peneraju Kepimpinan UMNO. Ini lebih lagi setelah temuramah khas Muhyiddin dengan Mingguan Malaysia menegaskan proses peralihan kuasa perlu berlaku segera.

Walaubagaimanapun, Najib masih dilihat sebagai ‘beralas’ dalam pengumuman beliau mengenai proses peralihan kuasa dan Kepimpinan, yang begitu banyak diperkatakan ahli UMNO seluruh negara.

Dipetik dari Bernama.com:

14 April, 2008 16:56 PM

Pelan Peralihan Kuasa Akan Dirunding – Najib

IPOH, 14 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno mempunyai cara dalaman, pengalaman dan tradisi untuk melaksanakan proses peralihan kuasa pucuk pimpinan kerajaan dan parti.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau akan berjumpa dan berunding dengan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perkara itu.

“Saya nyatakan biarlah saya dan PM berjumpa dan berunding atas perkara ini apabila sampai masanya…biarlah perkara ini dirundingkan kerana soal masa yang sesuai, dan kaedah sebagainya, kita tidak tentukan. Biarlah perkara ini dirundingkan dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika diminta mengulas desakan beberapa pemimpin Umno supaya pelan peralihan kuasa parti dan kerajaan disegerakan.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengetuai jawatankuasa pengurusan Umno dalam perjumpaan tertutup dengan pemimpin Umno Perak empat peringkat di ibu pejabat Umno Perak di sini.

Najib mengakui bahawa perkara mengenai pimpinan parti dan kerajaan telah dibangkitkan dalam perjumpaan berkenaan.

Menurut beberapa pemimpin Umno Perak, sebahagian besar wakil yang berucap dalam perjumpaan itu mendesak supaya pelan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri kepada Timbalannya disegerakan.

“Kami dalam proses kumpulkan pandangan dan akan serahkan kepada PM,” kata Najib ketika diminta mengulas mengenai desakan itu.

Beliau berkata Perdana Menteri telah pun membuat kenyataan dan pengakuan terbuka mengenai perkara itu.

“Bagilah masa dan tempoh untuk beliau untuk tentukan tindakan selanjutnya dan peluang kepada beliau membetulkan beberapa perkara yang pada pendapat PM perlu dilakukan,” katanya.

Najib berkata badan pengurusan telah mendengar pandangan dan cadangan yang disuarakan oleh Umno Perak dan intipati kepada perkara yang dibangkitkan, antara lain, ialah usaha memulihkan Umno dan Barisan Nasional (BN) memerlukan perancangan yang terratur, persediaan awal serta strategi politik yang bijak dan berkesan.

“Pendekatan dalam usaha pemulihan, memperteguhkan Umno dan BN, mesti melihat kepada pendekatan yang menyeluruh dan holistik supaya segala aspek yang perlu diberi perhatian diberikan perhatian,” katanya.

Seorang ketua bahagian yang enggan dikenali berkata perjumpaan berkenaan hangat apabila mereka yang berucap meluahkan secara terbuka masalah yang menyebabkan kekalahan teruk BN dalam pilihan raya lepas, antaranya soal pemilihan calon dan kepimpinan parti.

Pagi tadi, sejurus sebelum ketibaan Najib dan anggota jawatankuasa pengurusan, beberapa sepanduk direntang di hadapan bangunan berkenaan, antaranya tertera tulisan “Kami Sokong Najib & Muhyiddin” dan “Kami Mahu Pembaharuan” selain setiap sepanduk memaparkan gambar kedua-dua pemimpin itu.

Selain Najib, anggota jawatankuasa Umno yang hadir ialah Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Wanita Datuk Seri Rafidah Aziz.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kampar Datuk Mohd Radzi Manan berkata pucuk pimpinan parti tidak harus menafikan dan tidak memberi perhatian kepada suara-suara yang mahukan peralihan kuasa disegerakan.

“Rata-rata rakyat dan ahli Umno menunggu pembaharuan dan menerima baik apabila Perdana Menteri menamakan Najib sebagai pengganti…soalnya sekarang ialah bila dan cara mana. Tsunami politik pilihan raya sudah berlalu, sekarang tsunami yang kuat ialah di dalam Umno sendiri,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan itu.

Radzi berkata “mood” sebahagian besar pimpinan dan akar umbi Umno adalah supaya peralihan kuasa segera dilakukan dengan secara tersusun dan teratur.

Beliau juga secara terbuka mendesak Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli meletak jawatan bagi memberi laluan kepada pemimpin yang lebih bersemangat untuk memulihkan Umno Perak selepas kekalahan dalam pilihan raya umum lepas.

— BERNAMA

*Perkembangan dikemaskini 5.30pm

Presiden UMNO PM ‘Flip-Flop’ Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 16-20 Disember 2008.

Dipetik dari Utusan Malaysia:

Abdullah umum tanding jawatan Presiden

14/04/2008 5:05pm

KUALA LUMPUR 14 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan UMNO Disember ini.

Mengenai pelan peralihan kuasa, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan bila ia akan dilaksanakan. – Utusan

*Perkembangan dikemaskini 6.30pm

Dalam pada itu, ada pemimpin UMNO masih lagi terperangkap dalam ‘Sindrom penafian’ ini dan enggan menerima ‘mesej jelas’ akar umbi UMNO yang mahukan peralihan kuasa dan Kepimpinan. Menteri Dalam Negeri Dato’ Syed Hamid Al Bar cuba menenteramkan keadaan dengan menegaskan bahawa “Menurunkan pemimpin bukan tradisi UMNO”. Beliau lupa bahawa dua Presiden UMNO terawal, Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra, walaupun berjasa besar pada Bangsa Melayu, parti dan Negara, terpaksa berundur apabila aspirasi Kepimpinan mereka tidak lagi relevan kepada akar umbi UMNO.

*Perkembangan dikemaskini 9.00pm

Laporan Bernama.com mengenai taklimat khas PM ‘Flip-Flop’ Abdullah di PWTC:

14 April, 2008 20:10 PM

Saya Tak Mahu Tinggal Parti Dalam Kelam Kabut, Kata Abdullah

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau mahu peralihan kuasa kepada penggantinya berjalan dalam keadaan lancar dan baik kerana ia sangat penting.

“(Penting peralihan) dalam keadaan baik supaya parti yang ditinggalkan berada dalam keadaan baik.

Saya tak mahu tinggalkan parti dalam keadaan kelam kabut.

“Saya kata pada (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) selamat maju jaya, itu masalah anda bukan masalah saya, tentu itu bukan caranya.

Takkan kita nak… tiba-tiba… mana Pak Lah? dia dah berhenti dah.

Itu bukanlah caranya,” kata Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas perjumpaan dengan Anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat, Dewan-dewan Undangan Negeri Barisan Nasional di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

“Dulupun begitu juga, masa (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) hendak menyerahkan kuasa kepada saya pun begitu juga, jadi begitulah cara kami,” katanya mengulas mengenai desakan kalangan Umno supaya berlaku peralihan kuasa kepada penggantinya.

Beliau berkata pelbagai pandangan diberikan kepadanya mengenai peralihan kuasa termasuk ada yang mahukan secepat mungkin, ada yang memberikan masa kepadanya. “Biarlah, saya dengar sahaja.

Saya ada dua telinga, saya bukan pekak. Dalam amalan demokrasi semua orang nak bercakap, apa boleh buat.

Kalau kita tutup mulut dia kata aa… ni tutup mulut, takut ni, tak bebas… nak cakap cakaplah,” kata Presiden Umno itu.

Menjawab soalan mengenai peralihan kuasa itu, Abdullah berkata ia hanyalah pendapat sesetengah pihak dan bukannya akar umbi.

Mengenai mesyuarat dengan Umno Johor minggu lepas, beliau berkata jelas mereka memberi sokongan kepadanya sebagai Presiden Umno dan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada pemilihan parti Disember ini.

Selepas itu, katanya, beliau dan Najib akan berfikir mengenai hal-hal yang berkaitan dengan peralihan kuasa itu.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding sekiranya ada pertandingan kerusi presiden pada pemilihan Umno berkenaan, beliau berkata: “Kenapa pula saya tidak bertanding? Awak beritahu saya?”

Mengenai Umno bahagian yang mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), antaranya membincangkan kuota pencalonan bagi pemilihan Disember ini dan bagi membolehkan EGM peringkat pusat diadakan, beliau berkata sekiranya mereka hendak bermesyuarat mereka perlu mengikut peraturan.

Ditanya tentang kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Abdullah berkata: “Mereka boleh mengumumkan apa sahaja yang mereka mahu.

Mereka boleh kata apa sahaja. Keputusan adalah hak saya, orang boleh cakap apa sahaja yang mereka suka.”

Rais dilaporkan berkata adalah menjadi hak anggota Umno untuk meminta Abdullah meletak jawatan atau mengumumkan pelan peralihan kuasa.

Semalam, Muhyiddin dipetik sebagai berkata parti itu akan hanyut dan tidak boleh bangkit lagi sekiranya tidak dilakukan perubahan segera terhadap pucuk pimpinan parti.

Sementara itu, Abdullah berkata beliau juga yakin anggota dewan rakyat Barisan Nasional akan patuh dan setia kepada parti berkenaan, walaupun pembangkang mendakwa adanya undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat kelak.

Sementara itu, Najib berkata perkara yang penting semasa proses peralihan kuasa ialah ia berlangsung dalam keadaan yang baik dan teratur.

“Apa juga berlaku Perdana Menteri akan berunding dengan saya apabila sampai masanya. Ini supaya parti kita tidak berlaku sebarang masalah dalam peralihan kuasa dan seterusnya kekuatan parti akan terus terjamin,” katanya.

Najib berkata beliau bukanlah orang yang menentukan tempoh sebenar berapa lama proses peralihan kuasa itu akan berlaku.

“Bukan bagi saya untuk menentukannya (berapa lama). Perdana Menteri ada kebijaksanaan dalam menentukan masa dan caranya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau diberi peluang memimpin parti, Najib berkata: “Saya hanya akan menjawab apabila tiba masanya”.

Mengenai isu sabotaj yang berlaku pada pilihan raya umum baru-baru ini dalam kalangan parti komponen BN, beliau berkata isu itu perlu disiasat dengan fakta serta pertimbangan yang rasional sebelum diambil sebarang tindakan.

Beliau mengakui ada menerima laporan mengenainya. “Kita mesti tunggu laporan dan berhati-hati dalam hal ini. Kita tidak boleh dengan mudah menuding jari pada mana-mana pemimpin (bahawa) dia melakukan sabotaj dan sebagainya,” katanya.

— BERNAMA

Published in: on April 14, 2008 at 16:48  Comments (11)