Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak petang ini menegaskan bahawa UMNO perlu muhasabah diri (do soul searching), mencari kesilapan untuk diperbaiki dan memaparkan keterampilan baru, agar rakyat kembali meyakini dan menyokong tunggak Barisan Nasional (BN) itu.
Beliau berkata demikian kepada pemimpin empat peringkat semua Bahagian UMNO dalam Selangor dalam satu pertemuan tertutup dianjurkan Perhubungan UMNO Negeri Selangor di Sheraton Subang Jaya. Turut hadir dalam majlis ini ialah Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Mohd. Ali Rustam, Ketua Wanita UMNO Dato’ Seri Rafidah Aziz, Ketua Pemuda UMNO Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, Ketua Puteri UMNO Dato’ Noraini Ahmad, Setiausaha Agung UMNO Tengku Dato’ Seri Adnan Tengku Mansor dan Bendahari Agung UMNO Dato’ Azim Zabidi.
Beliau mengingatkan bahawa di Selangor, BN hanya mampu meraih 44% undi dan realitinya, 135,000 undi telah berpindah tangan. Sekiranya tiada perubahan dilakukan, termasuk diperingkat Cawangan, “Jika kita buat lagi, tambah lagi, jangan mimpi boleh menang!”. Beliau mengingatkan bahawa pemimpin perlu menjaga gelagat dan perlakuan kerana rakyat memerhatikan mereka.
Mengenai isu “Tsunami politik” yang melanda UMNO dan BN, beliau mengaku bahwa rakyat membuat keputusan senyap senyap dan sebagai orang berkuasa yang merasakan ujud “Kekebalan politik”, UMNO dan BN gagal menilai kekuatan sebenar Pembangkang, terutama faktor Anwar Ibrahim.
Timbalan Perdana Menteri itu juga menjelaskan bahawa ‘Peralihan Kuasa dan Kepimpinan’ hanya berlaku “Apabila masa yang sesuai” dan juga tidak memberi gambaran bila dan bagaimana ianya akan berlaku.
Ini mengundang banyak persoalan dari para hadirin. Rata mereka mahu mengetahui program ‘Peralihan Kuasa dan Kepimpinan’ ini. Ada yang mengingatkan “Jangan lama sangat”.
Diakhir pertemuan, semasa ucapan pengulungan Dato’ Seri Najib menyentuh tiga perkara:
1. Soal pemilihan calon – UMNO akan mempertimbangkan bahawa proses pemilihan calon akan diperhalusi lebih teliti lagi dan sebuah mekanisma untuk mengkaji kesan seseorang calon terhadap sesebuah kawasan itu akan diusahakan dan diterima pakai
2. Soal parti komponen – UMNO perlu mencari kaedah untuk berkerjasama lebih rapat dan berkesan dan menghayati perjuangan parti komponen. Lantas, strategi ini memenangi keyakinan dan sokongan kumpulan sasar mereka
3. Soal Peralihan Kuasa dan Kepimpinan – Belum boleh menjelaskan program terperinci, termasuk bila dan kaedah kerana ianya “Terlalu besar untuk diputuskan dengan tergesa gesa” dan beliau “Akan berbincang dengan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah untuk menentukan perincian program ini”
Dalam ucapan pembukaan, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Muhammad “Mike Tyson” Muhammad Taib menytakan sokongan kuat dan tidak berbelah bagi UMNO Selangor kepada Kepimpinan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah. Walaubagaimanapun, apabila wakil wakil Bahagian UMNO diberi peluang berucap, majoriti membangkitkan soal ‘Peralihan Kuasa dan Kepimpinan’; Cara dan jadual. Ini menunjukan jelas bahawa ikrar Mike Tyson awal itu tidak bersandarkan suara dan aspirasi akar umbi UMNO Selangor, yang dengan jelas mahukan perubahan.
Mike Tyson kembali menerajui UMNO Selangor setelah PRU 12 melihatkan kekalahan BN di Selangor dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor sebelum ini Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meletakan jawatan sebagai menerima kepertanggung jawaban atas kekalahan memalukan BN itu.
*Perkembangan dikemas kini 11.50pm
Laporan Bernama.com mengenai pertemuan Dato’ Seri Najib dengan UMNO Selangor:
16 April, 2008 21:05 PM |
|