Exco Pemuda UMNO Dato’ Mukhriz Mahathir malam ini berkata “Akan berlaku satu lagi Tsunami politik Disember ini”, sambil memberikan alamat bahawa orang Melayu akan bertindak menentukan apa yang penting bagi mereka. “Sebab no. 1 kita kekalahan dalam PRU 12 ialah sebab Kepimpinan yang lemah dan tak mampu selesai masalah”.
Beliau juga merayu kepada golongan professional muda Melayu agar “Biar kita sendiri tentukan bila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihentikan dan bukan orang lain yang minta!”.Apabila bercakap panjang lebar mengenai DEB, Mukhriz menolak gesaan ramai golongan professional muda Melayu bahwa DEB sudah tidak relevan lagi kerana hanya mereka sudah berjaya dan mampu mencari rezeki dan membina kehidupan, sedangkan ramai lagi masih lagi bergantung kepada program program pendidikan, pembangunan ekonomi dan infrastruktur. “Datanglah ke Jerlun dan lihat dan rasakan sendiri kehidupan kemiskinan tegar”, sambil mengundang generasi kedua dan ketiga urbanit yang kini rata rata berpelajaran dan berjaya mendapat kareer stabil dan lumayan.
Ahli Parlimen Jerlun ini juga menjelaskan bahawa modal insan yang cuba yang ujudkan oleh PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal kerana terdapat professional Melayu hari ini lebih berminat keluar negara untuk mencari rezeki dari menyumbang kepada negera sendiri.
Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi pula mengingatkan hadiri agar “Berbudi kepada apa yang diturunkan, yang memberikan menafaat kepada orang Melayu”, sambil membuat rujukan kepada DEB. Atas topik yang sama, hadirin digesa untuk menjaga bagaimana asas ‘persetujuan’ lahirnya negara ini dan sekiranya ada pihak meminta DEB untuk dihapuskan, maka beliau mempersoalkan bahwa adakah rakyat keturunan Bukan Melayu ini sanggup untuk melepaskan sama sekali sistem sekolah vernakular yang mereka begitu bersungguh sungguh pertahankan itu, sebagai timbal-balas.
Beliau mengingatkan bahawa semenjak empat tahun kebelakangan ini, PM ‘Flip-Flop’ Abdullah belanja terlalu banyak wang untuk program ‘Islam Hadhari’, yang sepatutnya patut dibelanja bagi orang Melayu generasi muda menghayati warisan bangsa dan sejarah.
*Perkembangan Khamis 1 Mei 2008 2.30pagi
Semasa sessi soal jawab, Mukhriz menjelaskan kenapa Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak menjadi pilihan beliau sebagai Presiden UMNO selepas PM ‘Flip-Flop’ Abdullah. Beliau amat yakin dengan kebolehan dan kemampuan Dato’ Seri Najib memimpin negara kerana “Buat masa ini pun, Dato’ Seri Najib mempengerusikan 36 jawatankuasa Kabinet. Oleh itu, urusan mengurus (hal hal operasi) negara terletak pada beliau walaupun tidak diberikan tanggungjawab”.
Dalam banyak sessi penerangan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah yang dihadiri Mukhriz, beberapa kali pengerusi menutup majlis tanpa memberikan hadirin berinteraksi dengan Presiden UMNO dengan alasan “Kerana PM ‘Flip-Flop’ Abdullah telah jelaskan semuanya, maka kita berakhir disini sahaja” dan ini menimbulkan tidak puas hati pemimpin akar umbi kepada parti.
Sebagai menyambung mengenai soal DEB, Mukhriz menjelaskan bahawa semenjak dasar affirmative action ini dilaksanakan, pertumbuhan negara lebih pesat dan semua pihak, termasuk Bukan Melayu mendapat nikmat dan kebaikan, walaupun tidak secara langsung. Program program DEB seperti membasmi kemikinan melalui pelajaran, kesihatan dan infrastruktur nyata memberi peningkatan kualiti hidup kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum. Sejarah menunjukan bahawa setelah berlaku krisis matawangan dan ekonomi pada 1997-98, negara tidak mengalami keadaan buruk seperti apa yang berlaku di Indonesia dimana harta rakyat keturunan Cina dan Bukan Pribumi dirosakan teruk dalam siri rusuhan luar kawalan kerana kemarahan rakyat Pribumi apabila mereka dilanda kesempitan hidup.
Kemudian beliau menyingkap dalam sebuah makan malam anjuran KL Business Club pada 14 Jun 2007 dimana PM ‘Flip-Flop’ Abdullah mengiyakan soalan mengenai setelah cadangan mengecualikan DEB dalam Wilayah Pembangunan Iskandar dibuat Pengerusi Panel Penasihat IDRA Tun Musa Hitam, bahawa DEB akan seluruhnya dihentikan perlaksanaan bagi peringkat negara pula.
Dalam soal Perjuangan pula, beliau bercakap panjang lebar mengenai semangat yang perlu disematkan dalam sanubari. Sambil itu, beliau memberi pandangan mengenai soal “Keris”. “Biarlah Keris itu terhunus dihati hati kita dan sentiasa terhunus, bagi Bangsa dan Ugama”. Beliau menyusuri pengalaman peribadi semasa diAmbon lapan tahun dulu apabila sendiri menyaksikan bagaimana penduduk majoriti (golongan Maluku Islam) merana kerana kepentingan strategik mereka dikuasai sepenuhnya oleh golongan minoriti (yang berugama Roman Katolik), terutama apabila terjadi pergaduhan berdarah antara kaum.
Apabila seorang graduan UUM mencadangkan bahawa Anwar Ibrahim merupakan kepimpinan alternatif kepada PM ‘Flip-Flop’ Abdullah, bangkit pula seorang wanita professional berusia tiga puluhan menolak dengan keras cadangan itu dengan hujah bahawa Anwar merupakan “Pengkhianat Negara!” dan ianya mendapat reaksi sokongan hebat hadirin.
Akramsyah pula mencabar golongan professional muda Melayu untuk berani masuk kedalam UMNO, berjinak jinak dengan Perjuangan dan beruasaha membuat perubahan, disebalik hanya membuat rungutan diluar, tanpa benar benar memahami isu sebenar akar umbi dan apa permasalahan rakyat yang cuba ditangani pemimpin, walaupun diperingkat Cawangan.