01 Mei, 2008 20:57 PM |
|
Pemuda Umno Harus Suburkan Peranan Pendesak Dalam Sampaikan Mesej Rakyat Kepada Pucuk Pimpinan
KULAI, 1 Mei (Bernama) — Pemuda Umno harus menyuburkan peranan sebagai pendesak dalam menyampaikan mesej rakyat kepada pucuk pimpinan selaras dengan hasrat akar umbi yang mahukan perubahan kepimpinan dan kemajuan negara.
Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata sudah tiba masanya anggota-anggota Pemuda tidak perlu takut dikatakan tidak menyokong kepimpinan, sebaliknya meletakkan Umno di landasan yang betul demi kemajuan orang Melayu dan seluruh rakyat negara ini.
“Ahli-ahli kita malah rakyat juga melihat Pemuda sebagai saluran untuk sampaikan maklumat kepada pucuk pimpinan. Kadang-kadang bila pemimpin buat sebarang keputusan, ia mendapat reaksi dari akar umbi. Jadi, peranan Pemuda adalah untuk sampaikan mesej dan sekiranya benar-benar tidak setuju maka biarlah Pemuda yang mainkan peranan itu.
“Peranan seperti ini seringkali dilakukan dulu, walaupun Pemuda tidak sependapat dengan kepimpinan tetapi kerana sebenarnya ia mencerminkan permintaan ramai, akhirnya pemimpin terima juga pandangan dan pendirian Pemuda. Jadi, ini peranan pendesak yang harus dimainkan Pemuda,” katanya.
Mukhriz yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata demikian kepada pemberita selepas majlis dialog anjuran Pemuda Umno Bahagian Tenggara di sini Khamis. Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Tenggara Suhaimi Khalid.
Beliau berkata Pemuda Umno di bawah kepimpinan Ketuanya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jangka masa 10 tahun ini dilihat turut memainkan peranan sebagai pendesak yang dilakukan secara berhemah.
“Hishammuddin mahu Pemuda dilihat sebagai kumpulan yang bersifat intelektual dan berhemah dalam hujah dan dalam masa yang sama berpegang teguh kepada perjuangan Umno,” katanya.
Sementara itu, Mukhriz berkata beliau mengalu-alukan ramai anggota Pemuda bertanding merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno pada pemilihan Disember depan sebagai membuka ruang membawa visi masing-masing untuk memperjuangkan Umno.
Katanya perebutan itu sewajarnya dilakukan secara berhemah dan beliau sendiri berazam menawan kembali lima negeri yang tewas kepada pembangkang selain mengembalikan martabat Umno.
“Saya harap ramai yang tampil bertanding. Kita buka ruang supaya semua orang boleh bawa misi yang mahu disampaikan,” katanya.
— BERNAMA