Sidang media Dato’ Mukhriz

Exco Pemuda UMNO Dato’ Mukhriz Mahathir, yang juga MP Jerlun akan memanggil sebuah sidang media di Bilik Meranti, Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur jam 5.30pm ini.

Ini adalah susulan kepada pengumuman kejutan Mantan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar bersyarat dari UMNO di Alor Setar semalam. Tun Dr. Mahathir mengesa ahli UMNO keluar ‘bersyarat’ dari UMNO dan membubarkan Cawangan UMNO tetapi meminta agar tidak menyertai parti lain. Mereka dinasihatkan kembali menjadi ahli UMNO setelah ada Kepimpinan lain mengantikan PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menerajui UMNO, BN dan Kerajaan Persekutuan.

*Perkembangan terkini 6.25pm

KENYATAAN MEDIA

UNTUK KELUARAN SEGERA

20 MEI 2008

YB DATO’ MUKHRIZ MAHATHIR

AHLI PARLIMEN JERLUN

EXCO PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA

Merujuk kepada tindakan ayahanda saya, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad di Alor Setar, Kedah semalam, yang mengumumkan keluar dari parti sehinggalah YAB Dato’ Seri Abdulah Hj Ahmad Badawi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, saya dengan ini membuat kenyataan seperti berikut:

1. Saya amat faham dan bersetuju bahawa tindakan ayahanda saya adalah kerana sayangnya beliau kepada UMNO. Saya juga percaya bahawa bagi mencapai matlamat tindakan tersebut, terdapat lebih dari satu cara perlaksanaanya. Maka dengan itu, saya mengumumkan bahawa saya TIDAK AKAN MELETAKKAN JAWATAN DI DALAM UMNO,SEBAGAI AHLI PARLIMEN JERLUN MAHUPUN SEBAGAI AHLI UMNO. SAYA AKAN TETAP SETIA SEBAGAI AHLI UMNO DAN AKAN MENJADI SUARA YANG LANTANG MENEGUR KEPINCANGAN KEPIMPINAN PARTI;

2. Seterusnya, saya serta rakan-rakan yang sependirian dengan saya dengan ini MENDESAK SEKERAS-KERASNYA AGAR YAB DATO’ SERI ABDULLAH HJ AHMAD BADAWI MELETAKKAN JAWATAN SEBAGAI PERDANA MENTERI MALAYSIA, PRESIDEN UMNO DAN PENGERUSI BARISAN NASIONAL DENGAN SEGERA;

3. Kami juga mendesak agar Majlis Tertinggi UMNO MEMBUKA SELUAS-LUASNYA SEGALA RUANG DEMOKRASI PARTI YANG TERMAKTUB DI DALAM PERLEMBAGAAN PARTI yakni dalam bentuk pemansuhan sistem kuota, membenarkan Mesyuarat Agung Luar Biasa diadakan, tidak menghalang ahli-ahli UMNO untuk mengadakan majlis bersama pemimpin atau tokoh Melayu, dan tidak mengeluarkan sebarang bentuk arahan, kekangan atau larangan yang menafikan prinsip-prinsip demokrasi dalam parti; dan

4. Selanjutnya, kami MENGGESA AHLI UMNO KHUSUSNYA DAN RAKYAT MALAYSIA AMNYA, menyuarakan bantahan mereka terhadap kepimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi secara terbuka dan lantang melalui surat peribadi, sms, surat kepada media serta melalui sidang-sidang media, bagi MEMBERI TEKANAN AGAR YAB DATO’ SERI SEGERA MELETAKKAN JAWATAN SEBAGAI PERDANA MENTERI, PRESIDEN UMNO DAN PENGERUSI BARISAN NASIONAL.

Ini adalah pendirian saya pada waktu ini. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengubah pendirian saya ini sekiranya keadaan tidak beransur pulih.

Sekian.

*Perkembangan terkini 7.15pm

Semasa sessi soal jawab, Mukhriz menjelaskan bahawa beliau belum lagi berunding pengundi Jerlun dalam isu keluar UMNO yang banyak pihak membuat jangkaan dan andaian. Beliau memilih untuk masih setia dengan UMNO kerana begitu banyak kerja perlu dilakukan untuk memulihkan parti dan tidak akan berganjak dari terus mendesak PM ‘Flip-Flop’ Abdullah meletakan semua jawatan. Keputusan ini tidak didorong mana mana pihak.

Exco Pemuda UMNO itu juga menjelaskan bahawa Tun Dr. Mahathir ada membincangkan tindakan beliau mengumumkan keluar bersyarat dari UMNO, tetapi beliau tidak pula membincangkan sebaliknya. Beliau mengaku bahawa keputusan beliau untuk terus bersama UMNO akan mengecewakan ayahandanya dan akan bertemu ayahandanya untuk menjelaskan tindakan beliau.

Beliau menegaskan bahawa menurut tradisi UMNO, Timbalan Presiden akan mengambil alih seorang Presiden. Apabila ditanya siapa yang paling layak menjadi Presiden, beliau berkata atas ahli UMNO untuk menentukan calon itu.

Apabila ditanya apakah tindakan ini (terus mendesak PM ‘Flip-Flop’ Abdullah meletak jawatan) akan memporak perandakan UMNO, beliau menjawab “UMNO sekarang ini sudah pun porak peranda!”. Beliau terus menjelaskan bahawa dengan Kepimpinan yang lemah, Malaysia tidak lagi menjadi destinasi menarik untuk pelaburan asing langsung (FDI) dan antara buktinya pengumuman Tun Dr. Mahathir semalam memberi kesan negatif kepada Bursa Malaysia hari ini.

Untuk soalan kenapa beliau gagal menghadiri majlis makan tengahari bersama PM ‘Flip-Flop’ Abdullah diParlimen siang tadi, beliau menjelaskan bahawa beliau sedar ianya dianjurkan hanya untuk MP BN menyatakan terus sokongan kepada PM ‘Flip-Flop’ Abdullah dan beliau memilih untuk setia kepada parti dan Perjuangan, bukan Kepimpinan.

*Perkembangan dikemaskini 7.30pm

Laporan Bernama.com:

20 Mei, 2008 19:24 PM

Mukhriz Tidak Akan Keluar Umno

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) — Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata beliau tidak akan keluar daripada Umno bagi mengikut jejak langkah bapanya yang semalam mengumumkan untuk meninggalkan parti itu.

Mukhriz, yang juga anggota exco Pemuda Umno, bagaimanapun sependapat dengan bapanya mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meletak jawatan dengan segera “bagi menyelamatkan Umno”.

“Saya akan tetap setia sebagai ahli Umno dan akan menjadi suara yang lantang menegur kepincangan kepimpinan parti,” katanya kepada pemberita di sebuah hotel di sini.

Mukhriz berkata beliau faham dan setuju tindakan bapanya keluar parti kerana tidak yakin dengan kepimpinan Abdullah serta mahu menyelamatkan Umno.

Katanya Majlis Tertinggi Umno perlu membuka seluas-luasnya ruang demokrasi kepada anggota Umno untuk menyuarakan pandangan mereka termasuk melalui mesyuarat agung luar biasa.

— LAGI

*Perkembangan dikemaskini 21 Mei 2008 6.45pm

Video dalam format Youtube sidang media Dato’ Mukhriz 20 Mei 2008

Published in: on May 20, 2008 at 15:13  Comments (22)