Muslihat Ezam kembali kepada UMNO

Kemasukan Mantan Ketua Angkatan Muda PKR Ezam Md. Nor kembali kedalam UMNO dua hari lepas, yang diberikan layanan VVIP oleh Presiden UMNO PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan sesuatu yang begitu banyak diperkatakan, terutama peringkat akar umbi.

Dalam upacara khas tetapi luar biasa di Bangunan Parlimen, PM ‘Flip-Flop’ Abdullah menerima borang keahlian UMNO Ezam, berserta dengan RM 100.00 sebagai yuran membolehkan beliau menjadi ahli seumur hidup. Apabila ditanya pemberita samada permohonan Ezam itu akan diluluskan, PM ‘Flip-Flop’ Abdullah menjawab spontan “Kira luluslah tu”. Apakah Presiden UMNO mempunyai hak untuk memberikan kelulusan terbuka kepada mana mana pemohon, terutama seseorang yang pernah menentang calon UMNO dalam Pilihanraya Umum dan malah pernah memijak bendera keramat UMNO, Sang Saka Bangsa?

Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yasin memberikan reaksi berbeza. Laporan Utusan Malaysia:

MT perlu bincang- Muhyiddin

KANGAR 29 Mei – Penyertaan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor ke dalam UMNO perlu dibincang dan dipertimbangkan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana Ezam pernah meninggalkan parti dan menyertai parti pembangkang.

“Beliau tidak boleh diterima secara automatik sebagai anggota parti kerana MT perlu melihat rekod politiknya.

“Kalau dia orang baru dan tidak ada rekod, MT tiada masalah untuk menerimanya tetapi kalau seseorang itu ada rekod atau misalnya pernah meninggalkan parti atau dipecat daripada parti lawan, selepas itu nak masuk semula UMNO, itu kena bawa kepada MT.

“Dalam perlembagaan parti, MT ada kuasa untuk menerima atau menolak permohonannya,” katanya pada sidang akhbar selepas memberi taklimat tataetika UMNO kepada pemimpin UMNO Perlis di sini hari ini.

***************

Ketua Pemuda UMNO Dato’ Seri Hishamuddin Hussein pula apabila ditanya mengenai kemasukan Ezam semula kedalam UMNO, mempersoalkan apa yang UMNO boleh dapat dengan kemasukan ini dan keikhlasan seorang pemimpin yang tidak lama dahulu begitu berusaha menghancurkan UMNO.

Exco Pemuda UMNO Dato’ Mukhriz Mahathir juga mempersoalkan keikhlasan dan agenda sebenar Ezam kembali kepada UMNO yang diragui sebagai ‘pembuka jalan kepada Anwar Ibrahim kembali kepada UMNO’, sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia:

Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir pula berkata, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohamad Ezam Mohd. Noor kemungkinan mempunyai agenda tersendiri apabila kembali menyertai UMNO.

Tambahnya, beliau sehingga kini masih samar-samar mengenai tindakan itu kerana Ezam seperti diketahui mempunyai ‘sejarah tersendiri’ sewaktu berada dalam UMNO mahupun di luar parti.

”Saya risau apakah kemasukan Ezam menjadi satu petanda awal bahawa bekas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali menyertai UMNO,” katanya.

*******************

Sebenarnya, UMNO sekarang dalam persimpangan rumit dengan usaha Ezam kembali kepada UMNO dan Presiden UMNO PM ‘Flip-Flop’ Abdullah begitu mengalu alukan tindakan ini.

Banyak pihak melihat bahawa Ezam merupakan ‘kuda tunggangan’ Khairy Jamaluddin dijawatan Ketua Pemuda UMNO, dalam keadaan dimana Naib Ketua Pemuda UMNO itu sebenarnya amat tidak popular dikalangan akar umbi Pemuda UMNO. Sekiranya Ezam berjaya merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti 16 Disember ini, Khairy ‘berjaya’ kerana menghalang Mukhriz menduduki kerusi strategik itu dan sekaligus, akan ‘memperkudakan’ Ezam untuk terus ‘menguasai’ Pemuda UMNO. Ini mungkin percangan strategik Khairy untuk mempersediakan diri bagi merealisasikan impian menjadi Kepimpinan UMNO suatu hari nanti.

Ezam juga sebagai ‘kuda tunggangan’ Khairy untuk kunun kunun membawa perpaduan dan penyatuan Melayu, apabila Ezam kembali dan akan membawa jumlah yang signifikan orang Melayu dalam PKR kembali kepada UMNO. Ini akan di’putar belit’kan media arus perdana, yang akan menunjukan ketokohan dan kehebatan minda strategik Khairy dalam “Terus memperkuatkan UMNO”, tatkala begitu ramai orang Melayu, termasuk akar umbi UMNO sendiri berada dalam keadaan kurang yakin dan tidak menyokong parti itu. Sekiranya percaturan mebawa Ezam kembali kepada UMNO ini gagal menepati hasrat menunjukan usaha penyatuan Melayu, Khairy dengan mudah “lepas tangan” dari sebarang ‘tanggung jawab keatas eksperimen ini’.

Telahan bahawa usaha membawa Ezam kembali kepada UMNO sebenarnya membuat laluan (paving the way) agar Anwar Ibrahim kembali kepada UMNO adalah sesuatu yang menjadi fasa kedua mengenai cakap cakap ‘konspirasi’ Khairy-Anwar ini.

Apa pun, UMNO perlu berhati hati dengan pemimpin yang memang licik dan karier politik mereka selama ini berdasarkan ‘main wayang’ (deception) semata mata. Amat malang bagi orang orang Melayu dan UMNO ‘belajar dari kesilapan’ hanyalah selepas “Sudah terhantuk baru tergadah” (getting wiser after the event) kerana orang Melayu sebenarnya tidak mempunyai banyak masa dan peluang lagi, untuk membuat kesilapan besar. Terutama setelah 8 Mac 2008.

Published in: on May 30, 2008 at 23:58  Comments (13)