Najib Razak: Terimalah Peralihan Kuasa ini

Temuramah Utusan Malaysia dengan TPM Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak pada Jumaat 11 Julai 2008, sehari selepas pengumuman ‘Plan Peralihan Kuasa’:

Terimalah peralihan ini

Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan perdana menteri.


‘‘Maaf, makanlah dulu, saya mandi sebentar… baru lepas bersenam.’’ Itulah kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyapa kami yang menunggu beliau di ruang makan di kediaman peribadinya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada hari Jumaat lalu.

Di wajah beliau menampakkan keceriaan malah tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan apa-apa tekanan biarpun pelan peralihan kuasa yang diumumkan pada Khamis lalu mencetuskan pelbagai reaksi termasuklah ada yang memberi pandangan negatif.

Sepanjang temu bual bersama wartawan Mingguan Malaysia, HASSAN MOHD NOOR, ZULKIFLEE BAKAR dan AMRAN AHMAD, senyuman sentiasa terukir di wajah Najib biarpun ada soalan yang dilontarkan agak sensitif.

Tetapi ternyata Najib sudah bersedia menghadapi apa juga soalan atau pandangan orang. Bagi beliau, ‘‘Saya sudah membuat keputusan dan akan tetap dengan keputusan saya mengikut pelan peralihan kuasa itu.’’

Dalam pertemuan itu, Najib juga sentiasa tenang mengulas satu demi satu persoalan yang ditimbulkan termasuk dakwaan kononnya pengumuman peralihan kuasa tersebut adalah ‘perangkap politik’ untuk beliau.

Malah beliau juga menyatakan kesediaan untuk berhadapan dengan apa juga tohmahan pembangkang dalam usaha mereka memburukkan imejnya sebagai bakal Perdana Menteri.

MINGGUAN: Apakah reaksi Datuk Seri apabila tempoh peralihan kuasa diumumkan oleh Perdana Menteri?

NAJIB: Walaupun saya sudah berunding perkara ini dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini dan tarikh itu dimaklumkan kepada saya lebih awal, namun apabila ia diisytiharkan, wujud perasaan terharu dan sangat insaf bahawa dengan keizinan Allah dalam jangka waktu yang disebutkan, saya terpaksa menggalas amanah dan tanggungjawab yang sangat berat.

Ini membawa satu perasaan keinsafan bahawa saya perlu melakukan bersungguh-sungguh dalam masa ini sebagai persediaan, terutamanya `menggali’ pengalaman dan menimba pengetahuan sebanyak mungkin dan memperkukuhkan lagi jaringan saya di dalam dan luar negara.

Ia membolehkan apabila tiba masanya nanti saya tidak berasa kekok atau berasa sesuatu yang agak janggal atau memiliki kekurangan yang ketara bagi menjalankan tugas dengan sebaik mungkin.

Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada perdana menteri kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan ini.

Bagaimana pula dengan reaksi di kalangan pemimpin dan ahli-ahli UMNO sendiri?

NAJIB: Reaksi itu berbeza-beza. Ada yang menyatakan bahawa tempoh itu terlalu panjang, ada yang kata sesuai dan mungkin ada pula yang menyatakan Perdana Menteri tidak perlu melakukan perkara itu.

Walau apa pun perbezaannya, tetapi pada kesudahannya saya yakin ahli-ahli UMNO akan menerimanya kerana itulah yang dirundingkan antara saya dengan Presiden parti. Kita sudah fikir apa yang terbaik untuk parti dan dengan adanya permuafakatan ini, bererti ia akan mengelak daripada pertembungan di peringkat tertinggi dalam parti yang biasanya membawa kepada akibat yang amat buruk kepada kepentingan parti.

Bilakah permuafakatan berhubung peralihan kuasa ini dicapai dan kenapa hanya diumumkan Khamis lalu?

NAJIB: Ia sudah dicapai sebelum ini dalam beberapa pertemuan yang diadakan. Antara tempoh bulan Mei dan Jun kita sudah mendapat gambaran (bila peralihan akan berlaku) tetapi dalam perbincangan itu ada perubahan dari segi apa yang kita putuskan. Sudah tentu ada pendapat yang Perdana Menteri ketengahkan dan saya utarakan, akhirnya ia berkesudahan dengan apa yang diumumkan semalam (Khamis).

Saya tidak menetap apa-apa syarat selain meminta diberi masa secukupnya untuk membuat persediaan sebelum pilihan raya akan datang. Apa yang amat penting bukannya jawatan tetapi apa yang kita hendak lakukan apabila mendapat sesuatu jawatan. Sesetengah daripada kita hanya memikirkan macam mana hendak pergi ke sesuatu tempat tetapi dalam fikiran, saya tidak melihat kepada proses (peralihan jawatan) tertentu sahaja.

Saya melihat apa yang boleh dilakukan atau mampu saya lakukan sekiranya saya dapat sampai ke tempat itu kerana ini bukanlah sebarangan jawatan. Kalau sebarangan jawatan itu, ia hanya menyentuh soal masa depan kita sebagai seorang insan atau paling banyak keluarga kita sendiri, tetapi kita bercakap soal 26 juta rakyat Malaysia yang tentu bergantung harap kepada kepimpinan kita atau pun kepimpinan sesiapa yang menjawat jawatan tertinggi dalam parti dan kerajaan.

Ada yang menyatakan tindakan peralihan ini dilakukan bagi mengelakkan Datuk Seri mencabar kedudukan Presiden dalam pemilihan parti Disember ini?

NAJIB: Macam-macam pandangan dilontarkan sebab pemerhati politik ini terlalu ramai. Macam-

macam orang yang minat sangat politik UMNO dan politik dalam UMNO. Sudah tentulah mereka tidak sependapat. Namun apa yang penting sekali bagaimana perasaan dan fikiran saya. Apakah saya yakin dan serasi dengan pelan itu. Ini kerana ia melibatkan tubuh badan saya sebagai pemimpin, jadi itulah yang paling utama sekali. Mereka patut berasa yakin bahawa apa yang saya lakukan ialah yang terbaik.

Ada yang kata, kononnya ini suatu perangkap buat Datuk Seri dan Pak Lah cuba mengambil kesempatan. Bagaimana untuk menghadapi persepsi dan andaian seperti ini?

NAJIB: Saya telah menerangkan banyak sebab dalam ucapan saya semasa perhimpunan semalam (Khamis). Apa yang penting sekali dalam fikiran saya ialah apa yang saya mahu lakukan apabila menjawat kerusi itu nanti, lebih-lebih lagi persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Jika kita memberi tumpuan dalam perkara tersebut, kita semua boleh memahami mengapa saya menerima pelan peralihan kuasa itu.

Ini kerana tindakan berkenaan akan memelihara kekuatan parti selain saya sendiri percaya kepada peralihan kuasa secara bersopan dan teratur dan mengekalkan tradisi baik dalam UMNO.

Jadi, ia adalah satu amalan yang boleh menjadi jalan keluar dalam menentukan kepimpinan parti pada masa akan datang. Maknanya, apabila wujud keperluan untuk melakukan peralihan kuasa, maka kita kembali kepada konvensyen atau tradisi dalam parti. Bagi saya, adalah sangat penting untuk mengekalkan tradisi yang amat baik ini.

Pada masa yang sama, saya cukup sedar bahawa suatu hari nanti saya juga terpaksa turun dari tampuk pemerintahan dan bila saya turun nanti, saya juga ingin turun dalam keadaan yang baik, tidak mahu menerima asakan atau desakan mana-mana pihak untuk berundur, sebaliknya turun pada masa yang saya fikir sesuai untuk berbuat demikian.

Sejarah Datuk Seri sendiri agak unik kerana tidak pernah mencabar?

NAJIB: Saya memang mengamalkan politik tidak mencabar, sejak saya mula menceburi politik negara pada tahun 1976 dan hingga hari ini iaitu sepanjang tempoh 32 tahun saya berpolitik, saya tidak pernah mencabar sesiapa melainkan jawatan itu kosong atau dikosongkan atas apa-apa sebab tertentu, saya bertindak mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Bermula sebagai Ketua Pemuda UMNO bahagian Pekan, Pahang apabila Allahyarham Cikgu Mat Ghani menyuruh saya mengambil tempat beliau dan begitu juga apabila Datuk Mokhtar Hashim habis tempoh sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya ambil alih jawatan itu.

Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, saya ambil alih jawatan beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO pada masa itu. Bila jawatan Naib Presiden UMNO dikosongkan, saya mengisi kekosongan jawatan itu. Bila Pak Lah menjadi Presiden UMNO, saya ganti beliau untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Jadi, mungkin ini qada dan qadar Allah yang menunjukkan jalan yang saya tidak perlu bertanding dan saya juga tidak tahu cara untuk mencabar seseorang kerana tidak ada pengalaman dalam perkara itu. (ketawa)

Itu tafsiran peribadi Datuk Seri tetapi ramai yang mendakwa Datuk Seri sebenarnya cuba play-

safe atau mencari jalan selamat bagi meraih jawatan.

NAJIB: Itu bukan play-safe, kalau saya mengamalkan play-safe, maka saya tidak akan menjadi ahli politik. Setiap ahli politik kena hadapi bermacam-macam persaingan dan dugaan serta cabaran kerana pilihan raya bukan sesuatu yang mudah. Pemilihan dalam parti juga boleh menyebabkan kekalahan jawatan yang ditandingi, cuma sepanjang saya berpolitik, tidak ada pertandingan satu lawan satu sahaja seperti jawatan untuk Exco Pemuda UMNO, Naib Presiden UMNO, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan saya pernah lalui semua itu. Jadi bukanlah bermakna saya takut pada pertandingan tetapi saya ada perkiraan dan pertimbangan tersendiri.

Adakah peralihan kuasa yang dilakukan ini bertepatan dengan kehendak akar umbi?

NAJIB: Saya percaya di peringkat akar umbi akan ada pelbagai pendapat. Mungkin ramai juga yang hendak masa peralihan yang lebih pendek tetapi setelah diumumkan dan saya berucap dalam perhimpunan dengan ketua-ketua bahagian mengapa saya bersetuju dengan pelan peralihan tersebut, saya percaya majoriti akan terima. Malah ramai sudah jumpa saya dan menyatakan, apa pun pendapat peribadi mereka, mereka terimalah apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri kerana itulah juga yang saya terima sebagai keputusan tetap.

Tetapi ahli-ahli UMNO mendesak mempercepatkan pelan peralihan agar dapat menyelesaikan masalah?

NAJIB: Kita telah membuat keputusan mengenai peralihan kuasa ini dan ia disambut baik di peringkat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan penerangan telah disampaikan kepada semua ketua di peringkat bahagian dan cawangan serta tiga sayap pergerakan (Pemuda, Wanita, Puteri) dalam UMNO.

Harapan saya ialah, ia dapat diterima dan disokong secara sebulat suara agar selepas ini, kita tidak terlalu memikirkan mengenai pertandingan, sebaliknya, menumpukan minda serta mengerah tenaga membangunkan negara untuk menentukan kesejahteraan rakyat.

Saya melahirkan penghargaan kepada Pak Lah kerana saya sedar adalah sesuatu yang sukar bagi seseorang untuk melepaskan jawatan, apa tah lagi jawatan Perdana Menteri. Ketika perhimpunan di PWTC itu, saya bertanya kepada semua yang hadir, tuan-tuan hendak lepaskan jawatan sebagai Ketua Bahagian yang dipegang senang atau tidak? Mereka berteriak macam-macam. Ada yang tersenyum. Saya katakan jangankan jawatan ketua bahagian dan ketua cawangan, melepaskan jawatan ketua kampung sekalipun adalah susah, inikan pula jawatan tertinggi dalam parti dan kerajaan.

Melalui keputusan peralihan ini, adakah ia akan menghalang peringkat akar umbi untuk membuat pencalonan lain bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden?

NAJIB: Kita tidak boleh paksa sebab UMNO adalah parti demokratik, suara ahli parti ialah suara keramat, kita harus terima hakikat itu. Atas sebab itulah dalam ucapan saya semasa perhimpunan tersebut, saya merayu kepada ahli-ahli parti supaya menerima pelan peralihan kuasa ini. Ini kerana itulah yang pada pendapat Presiden dan saya, jalan terbaik untuk kita pastikan kekuatan dan memulihkan UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Maksudnya, bahagian-bahagian masih ada kuasa untuk mencalonkan orang lain bagi kedua-

dua jawatan berkenaan?

NAJIB: Bahagian masih ada kuasa berbuat demikian mengikut perlembagaan tetapi kita berharap mereka menerima pelan peralihan kuasa dan membuat pencalonan bersesuaian dengan pelan tersebut.

Adakah para perwakilan akan menerangkan sehingga ke peringkat akar umbi mengenai keputusan Datuk Seri ini dan cuba menerima rasional pelan peralihan itu?

NAJIB: Saya harap Ahli Majlis Tertinggi, badan perhubungan UMNO dan juga barisan exco Pemuda UMNO, Wanita UMNO dan Puteri UMNO akan menyam-

paikan asas pertimbangan saya itu kepada peringkat akar umbi.

Bagaimana jika Datuk Seri dicabar bagi jawatan Timbalan Presiden?

NAJIB: Saya sudah membuat keputusan dan akan tetap dengan keputusan saya mengikut pelan peralihan kuasa itu. Jika saya dicabar, saya akan menghadapinya. Bagaimanapun saya berharap ia tidak berlaku.

Apa kesannya jika berlaku pertandingan di peringkat pucuk pimpinan UMNO?

NAJIB: Jika berlaku pertandingan pucuk pimpinan tertinggi ia akan menyebabkan kewujudan dua kumpulan dalam parti. Dulu kita sebut team A dan team B yang menyebabkan Kabinet berpecah, Majlis Tertinggi berpecah dan perpecahan ini akan merebak sehingga ke peringkat akar umbi. Selepas selesai pemilihan, usaha untuk menyatupadukan semula barisan pimpinan dan ahli-ahli amat sukar.

Akibat berlakunya pertandingan pada pemilihan UMNO tahun 1987, kita pernah menyaksikan penubuhan Parti Melayu Semangat 46 dan ekoran popularitinya, BN kalah teruk di Kelantan. Sehingga sekarang negeri itu masih di tangan pembangkang dan kita belum dapat menebusnya kembali. Selepas itu, pada tahun 1998 berlakunya krisis politik membabitkan Anwar Ibrahim dan menyebabkan BN hilang pegangan di Terengganu selain kehilangan banyak kerusi di beberapa negeri.

Jadi, kalau pada masa ini, selepas kekalahan di lima negeri pada pilihan raya umum yang lalu dan UMNO terus berpecah-belah, saya bimbang dan khuatir mengenai keputusan pilihan raya umum akan datang.

Saya sedar dan akui, ramai orang suka pada pertandingan atas berbagai-bagai sebab, termasuk ahli yang menjadi penyokong sehingga berlaku keadaan seperti satu pesta tetapi apa yang saya fikirkan ialah kesan yang berlaku kerana pertandingan itu sendiri. Sebab itu saya pernah mengeluarkan kenyataan semasa di London iaitu arwah ayahanda saya (Allahyarham Tun Abdul Razak Husein) ialah pengasas UMNO, dan saya tidak mahu menjadi anak yang merosakkan perjuangan beliau.

Tidakkah pengumuman peralihan kuasa ini akan menyebabkan sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Perdana Menteri selepas ini tidak akan diyakini memandangkan beliau akan melepaskan jawatan itu pada 2010?

NAJIB: Saya tidak menganggap sedemikian malah saya telah menyatakan bahawa kita tidak boleh menganggap Pak Lah berada dalam keadaan lemah sekarang ini, biarpun beliau telah mengumumkan pelan peralihan. Ini kerana sebagai Perdana Menteri, beliau masih berkuasa dan kuasa itu tidak boleh dihakis atau dikurangkan walaupun ia telah umumkan pelan peralihan. Dr. Mahathir dulupun umum tempoh peralihan dan beliau masih boleh membuat keputusan.

Mungkin ada perbezaan kedudukan Datuk Seri sekarang sebagai Timbalan Perdana Menteri dan bakal Perdana Menteri?

NAJIB: Saya tidak melihat perbezaan, tetapi apa yang pasti spekulasi tentang masa depan kepimpinan negara dapat dileraikan. Jadi maknanya, ada satu kepastian mengenai kepimpinan negara kecuali sesuatu luar biasa berlaku yang kita tidak duga sama sekali.

Kalau ikut kepada perancangan kita dan dengan keizinan Allah itulah yang akan jadi kenyataan. Kepastian itu amat disukai oleh ahli-ahli parti dan pasaran sebenarnya. Ini kerana bagi pasaran, sesuatu yang tidak menentu boleh menimbulkan pelbagai spekulasi dan andaian serta amat sukar bagi orang untuk membuat sesuatu perancangan masa depan.

Memandangkan Datuk Seri menetapkan pilihan raya umum akan datang sebagai sasaran sebenar, bagaimana untuk memastikan Barisan Nasional (BN) turut diterima rakyat dalam suasana kegawatan ekonomi yang melanda?

NAJIB: Kerajaan faham kegawatan ekonomi adalah satu kitaran yang berlaku dan apabila merudum, ia akan memakan masa yang lama sehingga bertahun-tahun untuk pulih semula. Dalam keadaan ekonomi dunia yang meleset hari ini, kita tidak boleh mengelak dan turut merasai kesannya mulai tahun ini atau tahun hadapan.

Pada masa ini, dengan keupayaan kerajaan menguruskan pentadbiran negara termasuk ekonomi, kita mesti membuat perancangan dan keputusan yang sesuai dari aspek makro-ekonomi Malaysia.

Parti pembangkang cuma tahu menggunakan pendekatan popular, tidak mengira apa yang bakal berlaku dalam berpuluh-puluh tahun akan datang atau jangka masa panjang dan sederhana. Asalkan dapat menjadi popular, itu sudah dianggap mencapai matlamat. Sebagai sebuah kerajaan, kita perlu melihat dari perspektif yang lebih panjang, maknanya jika kita ingin melakukan sesuatu, kita perlu tahu dan pastikan tindakan berkenan akan membawa kepada kemampanan dan kestabilan.

Dalam hal harga minyak sebagai contoh, kerajaan terpaksa membenarkan Petronas membelanjakan sebahagian daripada keuntungan untuk membuat pelaburan dalam aktiviti membangunkan kawasan telaga minyak baru sama ada di dalam dan luar negara.

Apabila kita berbuat demikian, pendapatan akan menjadi lebih besar pada masa hadapan berbanding tindakan sebaliknya dalam hal ini. Tetapi, mengikut parti pembangkang, mereka mahu menggunakan kesemua keuntungan Petronas untuk mengurangkan harga minyak. Kerajaan juga boleh berbuat demikian mengurangkan harga minyak tetapi tindakan itu hanya penyelesaian jangka pendek dan masa depan negara dan rakyat terjejas dalam jangka masa panjang.

Tetapi melalui pendekatan popular itulah, ia membolehkan pembangkang mencapai kejayaan dalam pilihan raya baru-baru ini?

NAJIB: Kerajaan harus membuat dua tindakan iaitu pertama, memperkenalkan dasar bertanggungjawab tetapi pada masa yang sama, tidak lari daripada asas memenangi hati nurani rakyat. Kedua, kita mesti menjadi kerajaan yang tahu kaedah terbaik dalam memberi penerangan dan mampu berhujah mengenai apa jua tindakan kerajaan demi kebaikan agar rakyat dapat memahami tindakan itu.

********************************************

Apakah untuk kebaikan UMNO dan Negara, kita mampu menerima  dan keberkesanan ‘Peralihan Kuasa’ yang hanya akan berbuat kuasa 24 bulan lagi?  Apa akan berlaku dalam tempoh selama itu kepada kita semua, sedangkan semenjak empat bulan ini pun sudah macam macam yang akan meninggalkan kesan strategik kepda orang Melayu dan Negara telah pun berlaku.

Apakah Tun Dr. Mahathir Mohamad, orang yang memainkan peranan paling utama dan bertanggung jawab dalam keputusan perlantikan Dato’ Seri Najib Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri, awal 2004,  akan menerima penjelasan ini seadanya atau bertindak memberikan tekanan makin sengit agar TPM Najib bangkit dan berbuat sesuatu agar PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dicabar Disember ini?

Ramai ahli UMNO akar umbi mengharapkan TPM Najib bangkit mempertahankan ‘roh’ UMNO asal sebagai parti mewakili  aspirasi orang Melayu (Pada 1946 UMNO berjaya mengembeling sebilangan besar sokongan orang Melayu untuk mendesak Raja Raja Melayu menolak Malayan Union yang mana sekelian baginda telah pun tandatangani). UMNO bukan hanya untuk golongan elitis dan soal terutama seperti ‘Peralihan Kuasa’ ini hanya diputuskan oleh beberapa orang sahaja.

Published in: on July 13, 2008 at 07:28  Comments (9)