Anwar gagal pertahan formula penurunan petrol serta merta apabila berkuasa

Mantan Timbalan Perdana Menteri dan banduan salah guna kuasa Anwar Ibrahim malam ini gagal mempertahankan skima khusus dengan logik bagaimana beliau boleh menjanjikan penurunan harga runcit petrol sejurus selepas mengambil alih tampuk pemerintahan Negara.

Beliau setakat mengulangi janji manis yang kosong dan  hanya rhetorik berupa kenyataan ‘populists’ (orang yang mencari perhatian dengan kepopularism) semata mata dengan menjanjikan bahawa RM 5 billion subsidi boleh diberikan dari pelaksanaan semula perjanjian pembelian tenaga dengan pembekal tenaga bebas (IPP). Dengan RM 5 billion ini, beliau menjanjikan pengurangan serta merta RM 0.50 seliter harga runcit petrol dari RM 2.70 sekarang ini.

Setakat yang orang ramai sedar, Kerajaan membelanjakan subsidi sebanyak hampir RM 50 billion untuk mengekalkan subisidi sebanyak RM 1.20 seliter untuk harga runcit petrol. RM 5 billion patutnya hanya akan memberi kesan sebanyak 12 sen seliter harga runcit pasaran dan bukan 50 sen, sebagaimana dijanjikan secara bersahaja oleh Anwar.

Anwar mendakwa berlaku ketirisan dan kebocoran ketara dalam perjanjian pembelian tenaga, yang kununya memihak kepada pembekal tenaga bebas (IPP) dan mengaut RM billion dari keuntungan. Anwar sengaja memanipulasikan fakta bahawa beliau merupakan Menteri Kewangan semasa kebanyakan perjanjian ini ditanda tangani dan beliau pada masa itu mempunyai kuasa veto untuk menentukan perjanjian yang membebankan TNB tidak dilaksana.

Mungkin Anwar juga percayai rata rata rakyat Malaysia akan terlupa bahawa syarikat pembekal tenaga bebas seperti Kumpulan MRCB (Malakoff dan Segari) merupakan ‘kroni’ beliau, semasa menjawat Menteri Kewangan. Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan Genting dan Arab Malaysian, juga pembekal tenaga bebas yang aktif.

Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek juga berjaya memberi gambaran yang baik mengenai kemampuan Anwar membuat keputusan strategik dalam soal ekonomi dengan memberikan contoh preskripsi IMF yang Anwar bawa semasa krisis ekonomi dan kewangan 1997-8, yang sememangnya memberikan kesan buruk kepada banyak syarikat dan industri, samada IKS maupun yang gergasi.

Memperjudikan ekonomi negara dengan menjanjikan subsidi yang tidak mungkin dapat ditampung jangkamasa panjang kerana sistem menentukan harga pasaran minyak mentah bukanlah sesuatu yang Kerajaan Malaysia mampu mengawal. Kebarangkalian Anwar sebenarnya mempunyai kefahaman amat lemah mengenai sistem harga runcit petrol dan kos sebenar saringan dan penyediaan petrol, termasuk kos penghantaran dan pemasaran, adalah tinggi. Anwar juga gagal menjelaskan perjanjian pengeluaran minyak mentah yang rata rata secara majoriti dikuasai kontraktor asal industri minyak Malaysia. Petronas, yang ditubuhkan 1974, mula bergiat melombong minyak dengan sendiri lebih sepuluh tahun kemudian. Ini lebih kurang 80 tahun lewat berbanding Shell, di Sarawak.

Melemparkan sesuatu yang didambakan rakyat dengan harapan mengunung, adalah memang cara biasa Anwar untuk meraih sokongan. Subsidi yang Anwar janjikan ini lambat laun akan membebankan Kerajaan dan sebagaimana Shabery mempersoalkan, apakah wajar Malaysia berhutang untuk mengekalkan subsidi yang Anwar janjikan ini, tatkala harga pasaran minyak mentah makin naik, terutama akibat penyangak pasaran hadapan.

Anwar, dengan cara penyampaian oratori hebat yang mengaburi pemikiran, mungkin berjaya memberikan rakyat Malaysia gambaran bahawa Malaysia merupakan pengeluar penting bahan bakar paling berharga dunia itu. Malangnya, sebagai pengeluar berjumlah 700 ribu tong sehari, kedudukan Malaysia sebagai pengeluar bersih (net producer) adalah hanya 1.2% dari keperluan dunia. Memang ada kewajaran bahawa bekalan minyak sekitar perairan negara tidaklah banyak tinggal lagi kerana telaga sekitar Malaysia yang telahpun mula dikorek semenjak seabad ini (jauh lebih awal dari negara seperti Saudi dan Kuwait, pengeluar paling utama dunia). Anwar juga gagal menjelaskan bahawa Malaysia lebih bergantung kepada  pendapatan dari pengeluaran gas asli dan subsidi yang diberikan kepada bahan bakar ini sebenarnya hampir RM 2.00 seliter.

Kewajaran hujah Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mencadangkan subsidi ini ditarik berperingkat sementara peluang meningkatkan pendapatan dipelbagaikan merupakan sesuatu yang Anwar sebenarnya mampu permodalkan. Malangnya, sebagaimana biasa, kepentingan Negara dan rakyat tidak langsung, terutama jangkamasa panjang dan strategik, menjadi perkiraan Anwar, yang sememangnya mendambakan kuasa dengan apa cara sekalipun.

Kegagalan Anwar ini hanya kerana pembohongan akan berjaya menurunkan harga runcit petrol yang berjaya dilaksanakan sebagai strategi ekonomi, merupakan modal yang dicanang pra-Pilihanraya Umum ke XII, dimana harga pasaran minyak mentah pada masa itu tidaklah setinggi hari ini.

*Perkembangan dikemas kini 1.50am

Ini merupakan laporan Bernama.com:

16 Julai, 2008 01:20 AM

Anwar Tidak Kemukakan Formula Mapan Turunkan Harga Minyak

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) — Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengemukakan formula menurunkan harga bahan api yang meyakinkan dan mapan pada debat khas mengenai Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak.

Walaupun beliau berhujah dengan petah dan menarik hati penonton terutama penyokongnya menerusi retoriknya, formula yang dibentangkan berjaya dipatahkan oleh lawannya Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan.

Menteri itu, lebih banyak mengemukakan fakta mempertahankan tindakan kerajaan menstruktur semula subsidi minyak berbanding Anwar yang memilih pendekatan populis yang mengambil hati penonton.

Menurut Anwar harga bahan api boleh diturunkan 50 sen seliter sehari selepas sekira Pakatan Rakyat memerintah menerusi formula RM5 bilion digunakan bagi menampung penurunan harga minyak.

Menurutnya lagi wang itu dapat diperoleh dengan penjimatan perbelanjaan kerajaan termasuk mengatasi masalah kebocoran dan ketirisan, dan mengurangkan ‘standby’ kapasiti pengeluaran tenaga daripada 40 peratus kepada 20 peratus oleh pengeluar tenaga bebas (IPP).

“Dengan mengurangkan kapasiti itu sahaja kita telah mendapat RM2 bilion, jadi RM3 bilion lagi diperoleh melalui penjimatan dan mengatasi kebocoran,” katanya.

Mematahkan hujah-hujah Anwar pada debat anjuran Agendadaily.com di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malam ini, Ahmad Shabery berkata cadangan Anwar itu sudah tidak lagi relevan berikutan harga minyak di pasaran dunia sekarang lebih mahal berbanding harga semasa formula itu diuar-uarkan sejak sebelum pilihan raya umum Mac lepas.

Beliau menjelaskan pada masa itu harga bahan api adalah RM1.92 seliter bagi petrol dan RM1.58 seliter diesel.

Berikutan harga setong minyak di pasaran dunia mencecah lebih US$130 setong, kerajaan terpaksa menstruktur semula subsidi bahan api, menjadikan harga di pam petrol RM2.70 seliter dan diesel RM2.58 seliter.

“Kalau kerajaan mengekalkan harga minyak pada kadar yang lama, ini bermakna subsidi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan ialah sebanyak RM50 bilion.

“Ini bermakna banyak program pembangunan, termasuk sekolah, jalan, Felda, soal orang di kampung tidak dapat dijalankan hanya untuk menampung cara hidup yang berterusan yang ada pada hari ini,” kata Ahmad Shabery.

Ahmad Shabery berkata kenaikan harga minyak adalah fenomena global yang berlaku di seluruh dunia akibat banyak faktor termasuk perang Iraq, kemungkinan Amerika Syarikat menyerang Iran dan peningkatan permintaan bahan api oleh China serta India.

Beliau berkata penyelesaian kepada masalah ini bukan dengan menambah subsidi secara konvensional tetapi memerlukan satu pendekatan baru menerusi penstrukturan subsidi bagi menjamin ia benar-benar disalur dan dinikmati oleh rakyat berpendapatan rendah.

“Kalau kita terus bagi subsidi, ada syarikat asing seperti Exxon-Mobil, Shell dan sebagainya yang turut mendapat faedah daripada wang rakyat,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan negara lain turut mengambil pendekatan yang sama seperti Malaysia.

Ahmad Shabery yang turut membidas Anwar kerana mendakwa kenaikan harga minyak kerana pengurusan kerajaan yang tidak cekap, berkata malah Finland, Norway dan juga negara-negara yang dilaporkan kurang mempunyai kes rasuah tidak memberikan subsidi minyak kepada rakyatnya.

“Mereka telah menunjukkan prestasi ekonomi yang lebih baik dan Malaysia juga harus menuju ke arah itu,” katanya.

“Kalau kita mengajar rakyat kita dengan harga yang murah walaupun pada hakikatnya harga minyak antarabangsa adalah tinggi, tahun 2015 (apakah) kita akan menjadi net importer?

“Mungkin beberapa tahun lagi kita tidak ada minyak lagi.

Apakah subsidi begini akan diteruskan atau pada waktu itu baru hendak naik mendadak serta-merta daripada apa yang ada sekarang?” tanya Ahmad Shabery kepada Anwar.

Anwar bagaimanapun mempertikaikan sumber minyak negara akan habis pada 2015 dan mendakwa kemungkinan telaga minyak baru ditemui kerana negara pernah menjangka kehabisan simpanan minyak pada 2005.

Kata Anwar lagi Petronas juga giat menjalankan aktiviti mencarigali di luar negara.

Ahmad Shabery berkata Malaysia memang negara pengeksport minyak tetapi bukannya pengeluar besar, oleh itu khazanah negara perlu diuruskan dengan cermat bagi kepentingan generasi akan datang.

“Daripada keuntungan Petronas itu, sebenarnya yang telah diberi pada kerajaan ialah sebanyak 91 peratus, apa lagi yang kita nak ambil dari Petronas,” katanya disambut dengan tepukan penonton.

Ahmad Shabery, yang tidak luntur semangat menghadapi kepetahan Anwar berhujah menambah kata “Ingat Petronas kuat dan maju sekarang ini kerana siapa. Tidakkah kerana kerajaan Umno dan Barisan Nasional.

“Kehebatan yang dibuat oleh Petronas selama ini adalah dorongan yang diberikan kerajaan. Kita tidak bebankan Petronas, kita benarkan Petronas untuk menabur kembali (keuntungan),” katanya.

Penonton yang terdiri daripada 50 orang daripada Pakatan Rakyat dan 50 daripada pihak kerajaan mengikuti debat itu dengan tertib tanpa membuat sebarang kekecohan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Begitu juga dengan ratusan penyokong kedua-dua belah pihak yang memberi sokongan moral di luar dewan.

Rata-rata penonton yang ditemui berpuas hati dengan perjalanan debat itu yang mereka sifatkan sebagai menyuburkan amalan demokrasi di negara ini.

“Anwar mengambil pendekatan mencuri hati penonton menerusi retorik yang menyentuh emosi penonton tetapi kurang meyakinkan dari segi mengemukakan kaedah sedangkan Ahmad Shabery lebih banyak mengemukakan fakta-fakta kukuh dan munasabah,” komen seorang penonton yang enggan namanya disebut.

Debat kira-kira sejam itu dikendalikan oleh pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Johan Jafaar.

— BERNAMA

Published in: on July 16, 2008 at 01:13  Comments (36)