GUNA FASAL 17.5.1, 14.5.3 DAN 14.5.4 UNTUK KITA MENYELAMATKAN UMNO

Dipetik dari blog Gerbang Ruhanie:
GUNA FASAL 17.5.1, 14.5.3 DAN 14.5.4
UNTUK KITA MENYELAMATKAN UMNO

Ruhanie Ahmad

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih belum insaf bahawa UMNO mutakhir ini sedang menempah saat-saat kemusnahannya. Sebab itulah pada 20 Julai 2008, Abdullah dipetik oleh BERNAMA sebagai berkata bahawa “formula peralihan kuasa yang dibuat secara muafakat antara beliau dan timbalannya mendapat sokongan besar daripada akar umbi yang mahu melihat parti terus kukuh dan aman.”

Kenyataan di atas membuktikan bahawa Abdullah memang tersalah anggap. Kalau tidak, mana mungkin seluruh 32 cawangan UMNO dalam Bahagian Gua Musang dengan sebulat suara meluluskan usul mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah, bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti pada Disember 2008 ini?

Kalau tidak, mana mungkin satu cawangan dalam UMNO Bahagian Pekan juga membuat usul yang sama? Jika tidak disekat oleh pihak-pihak tertentu, pasti banyak lagi usul seperti ini akan diluluskan di peringkat cawangan di seluruh negara.

Tetapi, biarlah Abdullah seronok sendiri kerana inilah ciri-ciri pemimpin yang sentiasa dilanda sindrom penafian – kenyataan-kenyataannya tidak mencerminkan realiti di peringkat akar umbi.

Fasal 17.5.1

Dalam pada itu, Persidangan Cawangan UMNO yang sudah bermula hujung minggu lalu wajar menghasilkan strategi komprehensif untuk menyelamatkan parti yang sedang dilanda krisis kepimpinan dan krisis keyakinan yang amat serius di peringkat tertinggi.

Persidangan Cawangan perlu menggunakan Fasal 17.5.1 yang memberikan kuasa kepada warga akar umbi untuk “membincangkan dasar parti untuk dikemukakan kepada mesyuarat Perwakilan Bahagian” dengan sebaik-baiknya demi UMNO, agama, bangsa dan tanahair.

Gunakanlah Fasal 17.5.1 ini untuk Persidangan Cawangan mengemukakan usul ke peringkat bahagian masing-masing berkaitan usaha-usaha menyelamatkan UMNO.

Satu daripada usul cawangan yang amat relevan pada waktu ini ialah mencadangkan supaya bahagian masing-masing tidak mencalonkan Abdullah sebagai Presiden UMNO. Calonkanlah siapa sahaja asalkan bukan Abdullah. Usul ini bolehlah digubal seperti berikut:

Usul Pertama:

Berasaskan kuasa yang termaktub dalam Fasal 17.5.1 Perlembagaan UMNO; demi untuk menyelamatkan UMNO, agama, bangsa dan tanahair; maka UMNO Cawangan Kampung Juara, Bahagian Pulau Buluh, dalam Persidangan Tahunan pada 22 Julai 2008, mengusulkan kepada UMNO Bahagian Pulau Buluh untuk menggunakan Fasal 14.5.4 supaya tidak mematuhi formula peralihan kuasa yang dikemukakan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Selaras dengan ini, UMNO Bahagian Pulau Buluh hendaklah mencalonkan tokoh-tokoh lain untuk menerajui kepimpinan tertinggi UMNO. (Namakan calon-calon pilihan masing-masing.)

Jika usul di atas didapati kurang sesuai, satu lagi usul yang relevan untuk dikemukakan oleh Persidangan Cawangan kali ini adalah mendesak bahagian masing-masing mengemukakan usul ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2008 untuk memendekkan tempoh peralihan kuasa itu kepada 1 Januari 2009.

Alasannya, semakin lama Abdullah memimpin UMNO, semakin ramai orang hilang keyakinan terhadap beliau, UMNO akan hancur dan BN mungkin akan kehilangan kuasa secara total dalam PRU13. Usul yang dicadangkan bolehlah digubal seperti ini:

Usul Kedua:

Berasaskan kuasa yang termaktub dalam Fasal 17.5.1 Perlembagaan UMNO; demi untuk menyelamatkan UMNO, agama, bangsa dan tanahair; maka UMNO Cawangan Kampung Juara, Bahagian Pulau Buluh, dalam Persidangan Tahunan pada 22 Julai 2008, mendesak UMNO Bahagian Pulau Buluh menggunakan Fasal 14.5.3 untuk mengemukakan satu usul ke peringkat PAU 2008 meminta tempoh peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, dilakukan mulai 1 Januari 2009.

Oleh itu, warga UMNO akar umbi buatlah keputusan muktamad, usul manakah yang sesuai untuk diketengahkan kepada bahagian masing-masing kali ini.

Jika pilihannya adalah usul yang pertama seperti di atas, warga UMNO cawangan tidak perlu takut. Keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang menyatakan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu terus diberikan kepada penyandangnya ketika ini – Abdullah dan Najib – tidak perlu dipatuhi kerana ianya tidak berasaskan perlembagaan parti.

Perlu Berani:

Jika dipilih usul yang kedua seperti di atas, warga UMNO akar umbi juga berhak meminda tempoh peralihan itu.

Pokoknya, warga UMNO akar umbi perlu berani dalam membuat salah usul di atas kerana matlamat utama kedua-dua usul cadangan berkenaan adalah untuk menyelamatkan agama, bangsa dan tanahair.

Oleh itu, Persidangan Cawangan kali ini perlu berani mencabar peringkat bahagian masing-masing dengan mengemukakan salah satu usul di atas. Jika tidak, perwakilan cawangan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian bolehlah memilih barisan baru untuk memimpin bahagian masing-masing bagi memenuhi aspirasi warga akar umbi!

Jika bahagian masing-masing gagal memenuhi usul cadangan yang pertama seperti di atas, para perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian pula boleh menggunakan Fasal 14.5.4 untuk “mencadangkan calon-calon untuk bertanding menjadi Ahli Majlis Tertinggi.”

Fasal 14.5.3.Dan 14.5.4

Berasaskan Fasal 14.5.4 ini Perwakilan Bahagian boleh membantah jika pihak bahagian masing-masing masih terus mahu mencalonkan semula Abdullah sebagai Presiden UMNO. Jika bantahan ini menerima sokongan, ianya terpaksa diputuskan menerusi pengundian. Jika menerima undi sokongan daripada majoriti perwakilan, bahagian terpaksalah akur dengan keputusan berkenaan – tidak mencalonkan Abdullah ke jawatan Presiden UMNO.

Jika usul cadangan yang kedua seperti di atas mengenai memendekkan tempoh peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib juga tidak dipedulikan oleh peringkat bahagian, para perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian boleh menggunakan Fasal 14.5.3 yang memberikan kuasa untuk “membincangkan dasar-dasar parti untuk dikemukakan dalam Perhimpunan Agung.”

Menerusi kuasa dalam Fasal 14.5.3 ini, cadangkanlah usul mendesak bahagian masing-masing mendesak PAU 2008 memendekkan tempoh peralihan kuasa mulai 1 Januari 2009.

Huraian dua contoh di atas membuktikan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Dan, jalan yang terbuka dalam konteks ini adalah jalan yang diizinkan oleh Perlembagaan UMNO.

Selamat bersidang dan selamat majujaya dalam menyelamatkan UMNO dari kehancurannya.

Published in: on July 24, 2008 at 10:26  Comments (10)