Dasar Ekonomi Baru: Identiti, Jatidiri dan Keyakinan Melayu

Ucapan YB Dato’ Mukhriz Mahathir

Presiden ANSARA

Mesyuarat Agung Tahunan 2008 (MAT2008 )

Persatuan Lepasan Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA)

27hb Julai 2008, Jam 3.00 ptg

Bilik Wilayah, Aras 5, PWTC

Assalamua’laikum wbt saya ucapkan kepada semua perwakilan dan pemerhati yang hadir pada petang ini.

Terlebih dahulu suka saya mengajak kawan-kawan untuk bersama saya bertafakur sebentar untuk membaca surah alfatihah dan sedekahkan kepada guru-guru, kepimpinan Negara, sahabat handai dan mereka yang kita kasihi yang telah meninggalkan kita. Kesemua mereka ini telah menyentuh dan berbakti kepada kita. Walaupun sedikit, mereka telah meninggalkan jejak di dalam diri kita untuk menjadikan kita lebih bijaksana dan berjasa.

Al-Fatihah

Kawan-kawan yang saya kasihi sekelian,

Sebagai anak MRSM saya berasa amat berbangga apabila melihat institusi pengajian melayu kita ini dapat melahirkan anakbangsa yang bukan setakat berjaya, malah dikenali dan diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai insan-insan yang cemerlang.

Mereka ini memberi kekuatan kepada kita. Mereka menjadi pendorong kepada adik-adik kita yang masih lagi di bangku persekolahan. Mereka menjadi inspirasi kepada generasi muda. Mereka ini menjadi mercu tanda ketamadunan agama Islam dan bangsa melayu. Mereka ini memberi pengiktirafan kepada kepimpinan bangsa Melayu di bumi Malaysia. Dan kerana mereka jugalah, kita boleh bertumpang megah dan mendabik dada sebagai hasil kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Melayu sebelum kita yang memerintah bumi bertuah ini sejak kemerdekaannya lebih setengah abad yang lalu.

Saya mewakili kawan-kawan barisan exco pusat dan di peringkat cawangan-cawangan di seluruh Negara ini merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada wira ANSARA kita, Angkasawan Negara YBhg Dato’ Dr Sheikh Muszapar yang telah membawa Jalur Gemilang ke angkasa lepas, YBhg Dato’ Dr Azahari yang diiktiraf dunia sebagai salah seorang pakar bedah jantung terkemuka, YBhg Dato’ Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mayban Berhad, dan ramai lagi anak-anak MRSM seperti mereka yang tidak kurang berjaya dan dikenali dunia.

Kepada mereka ini dan kesemua yang tidak dapat saya namakan seorang demi seorang, saya dengan rendah diri ucapan jutaan terima kasih dan mendoakan kejayaan tuan-tuan dan puan-puan yang berterusan.

Kawan-kawan sekelian,

Saya percaya kita semua biasa atau pernah dengar teka-teki ini:

“Yang mana dulu? Ayam atau telurnya?”

Jawapan kepada teka-teki ini tidak ada yang betul dan juga tidak ada yang salah. Tapi pada saya, yang penting adalah ironinya yang tersirat.

Melihat kepada kejayaan anak-anak MRSM, baik di dalam Negara, di luar Negara mahupun di angkasa lepas, kita kadang-kadang lupa untuk berterima kasih kepada mereka yang telah membolehkan kejayaan kita ini.

Kita kadang-kadang terlupa untuk mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa kita, kepada guru-guru kita, kepada rakan-rakan, malah lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada makcik kantin yang menyediakan makanan kita sewaktu di asrama dulu. Inilah ironinya teka teka ini – bahawa telur tak akan wujud tanpa ayam dan juga sebaliknya.

Saya sendiri mengaku bahawa saya tidak mungkin mampu menjadi seorang manusia yang berguna jika tidak kerana mereka dan juga kawan-kawan yang banyak mengajar ilmu dan kemahiran hidup sewaktu di sekolah dulu. Untuk itu, saya ucapkan, “Terima kasih….”

Menyorot kejayaan bangsa Melayu di bumi Malaysia bertuah ini,

Kita sebagai anak MRSM adalah juga hasil kejayaan sebuah kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Melayu yang menggubalkan Dasar Ekonomi Baru.

Dasar yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak bagi memastikan bangsa Melayu dapat bersaing pada aras yang sama dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia ini, telah melahirkan bijakpandai dari kalangan kita. Dasar ini telah juga melahirkan ramai graduan, professional, usahawan, jutawan dan tidak kurang juga pemimpin-pemimpin Negara di pelbagai lapisan masyarakat pada hari ini.

Dasar ini memudahkan anak bangsa kita untuk menikmati peluang-peluang pendidikan, pekerjaan dan perusahaan yang mana tanpanya, kita perlu berusaha 10 kali ganda untuk mendapatkannya. Malah kita menikmati biasiswa, bantuan makanan, perubatan, asrama dan persekolahan, buku serta tenaga pengajar yang tinggi kelayakan, demi memastikan akan lahir satu generasi pelapis yang akan menaikkan – seterusnya memertabatkan kedudukan bangsa Melayu di kalangan bangsa-bangsa lain di dunia.

Dasar ini diiktiraf bukan sahaja dari segi kejayaan bangsa melayu pada hari ini, malah menjadi ikutan dan asas kepada beberapa Negara-negara membangun lain di dunia.

Namun begitu,

Dasar Ekonomi Baru ini juga ada hikmah yang tersirat:

Kalau saya boleh mengingatkan Tuan-tuan dan Puan-puan kepada satu babak di dalam filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, ahli nujum kepada negeri Masai telah memberi satu teka teki kepada Pak Belalang yang merupakan Ahli Nujum Negara Beringin Rendang dalam pertaruhan sultan-sultan menggadaikan kedaulatan Negara mereka.

Ahli Nujum : Jika ahli nujum bijak bestari, di manakah kekuatan Laksamana Hang Tuah? Di kerisnya kah? Atau di tenaganya kah?

P Ramlee: Itu senang!

Jawapan kepada teka teki ini saya percaya tuan-tuan dan puan-puan pun tahu, dan tak perlulah saya mengucapkan dialog sehingga habis.

Maksud yang hendak saya sampaikan di sini adalah, bahawa seperti juga teka teki ahli nujum Sultan Masai itu, hikmah tersirat Dasar Ekonomi Baru itu juga bukan pada perkataan-perkataan tulisan dasarnya, mahu pun pula pada perlaksanaannya.

Hikmah sebenar Dasar Ekonomi Baru ialah pada ‘Identiti, Jatidiri dan Keyakinan Melayu”.

Identiti Melayu adalah aset kita yang paling besar. Identiti Melayu memberikan kita hak di atas bumi Malaysia. Identiti Melayu menjadikan kita unik dan istimewa. Identiti Melayu ini jugalah yang membolehkan kita berkomunikasi, bersahabat, bersaudara dan menjadi warga dunia. Ia adalah ibarat passport kita untuk bersaing, berganding bahu serta berjelajah ke seluruh pelusok nusantara dan seantero dunia.

Inilah sebenarnya yang cuba diperkasakan oleh pemimpin-pemimpin Negara melalui Dasar Ekonomi Baru. Bukan untuk memberi kekayaan, tetapi sebenarnya untuk memberi kita keyakinan untuk bangkit, untuk maju, dan untuk bersaing dengan warga dunia yang lain memandangkan kita baru sahaja belajar bertatih setelah dijajah selama lebih 400 tahun.

Inilah yang menjadi pegangan dan kepercayaan saya selama di ANSARA. Saya percaya kepada pembentukan satu ‘Value System’ yang merangkumi konsep dan semangat Dasar Ekonomi Baru ini.

Value System yang saya maksudkan ini secara ringkasnya adalah sebuah budaya yang memerlukan kita untuk berusaha lebih gigih untuk berjaya.

Ibaratkan seorang pelari pecut 100m di sukan olimpik. Untuk layak, kita mesti berlari dengan pantas. Untuk bersaing, kita mesti mampu berlari sepantas pelari-pelari yang lain. Tetapi kita mahu menang, dan untuk itu kita mestilah berlari lebih laju daripada kesemua pelari yang ada. Bagi mencapai kekuatan ini, kita perlukan kepercayaan pada identiti Melayu, kita perlukan kepercayaan pada Jatidiri kita, kita mestilah mempunyai kepercayaan dan keyakinan yang tinggi pada kemampuan kita sebagai bangsa yang sehebat yang terbaik di dunia ini!

Saya percaya bahawa kita sebagai anak-anak Dasar Ekonomi Baru, boleh memainkan peranan sebagai penyokong, sebagai jurulatih malah sebagai pelari pecut ini demi kejayaan masa depan Agama Islam, Bangsa Melayu dan Tanahair Malaysia yang bertuah ini.

Saya percaya bahawa berkat sokongan dan kerjasama kawan-kawan di ANSARA, kita pasti mampu melakukannya. Bak kata pepatah, “Bulat air kerana pembetungnya, bulat suara kerana muafakat”!

Kawan-kawan yang saya hormati sekelian,

Sebagai persatuan yang mewakili ramai professional muda, ANSARA harus peka dengan perkembangan semasa. Kebelakangan ini banyak suara-suara dikalangan pelbagai pihak menyuarakan pandangan mengenai Dasar Ekonomi Baru, termasuk dari kalangan mereka yang telah menerima banyak manfaat dari DEB ini.

Sebagai penerima manfaat DEB, ANSARA perlulah tampil dalam bentuk yang konstruktif bagi membawa dan menentusahkan keyakinan kepada identiti Melayu kita ini. Semangat dan kejayaan DEB perlu diperjelaskan.

Justeru, ANSARA akan mengadakan sebuah “Seminar Sehari” bertemakan “Pengurusan Kejayaan DEB” pada 16hb Ogos 2008 akan datang ini. Saya mengalu-alukan sebarang sokongan serta tenaga sukarela untuk membantu menjayakan program yang penting ini.

Sidang Perwakilan dan Pemerhati yang saya raikan,

Saya amat mengalu-alukan suntikan semangat baru YBhg Dato’ Sazmi Miah dan Sdri Zaiton Jamaluddin kerana telah sudi untuk kembali menyumbang secara aktif dalam ANSARA. Saya yakin bahawa pengalaman luas kedua-dua tokoh ini akan dapat membantu ANSARA untuk terus cemerlang.

Saya juga amat teruja apabila Sdra Firdaus, Ketua Cawangan PDRM Kulim, yang masih muda dan berada di luar Kuala Lumpur, mampu mengembeling tenaga dan usaha menjayakan program-program di bawah Jasa Pendidikan.

Ini membuktikan bahawa generasi pelapis ANSARA sudah mampu untuk meneruskan perjuangan kita. Saya secara peribadi mengalu-alukan penyertaan lebih luas dari generasi pelapis agar kita dapat berganding tenaga dan usaha dalam menjayakan misi kita di persatuan ini.

Saudara Saudari sekelian,

ANSARA adalah persatuan kita, wadah kita dalam perjuangan adalah “Memuliakan Agama, Memartabatkan Bangsa dan Memperkasakan Tanah Air”

Kejayaan ANSARA dimasa-masa akan datang terletak pada bahu kita semua. Sokongan semua amatlah diperlukan.

Saya percaya bahawa kita mesti lebih aktif dan berusaha keras untuk menarik lebih ramai ahli untuk bersama kita. Sikap terbuka yang diamalkan oleh ANSARA selama ini mestilah digunakan sepenuhnya oleh semua ahli untuk turut bersama kita. Selain aktiviti-aktiviti rasmi yang dirangka oleh Jawatankuasa Pusat dan cawangan ANSARA, ahli-ahli juga sangat digalakkan untuk mencadang dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirasakan sesuai mengikut kehendak dan permintaan akarumbi.

Cawangan-cawangan perlu lebih aktif dan agar terus kekal relevan. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada ANSARA Jasin dan Terendak. Berkat nafas baru gembelengan tenaga barisan kepimpinan terdahulu dan yang baru, mereka kini bergiat aktif dan dapat menyumbang secara positif kepada masyarakat dan ahli.

Sidang Perwakilan yang saya hormati,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih sekali lagi kepada kawan-kawan sidang perwakilan dan pemerhati yang dapat hadir pada hari ini, jawatankuasa penganjur yang berjaya melaksanakan majlis hari ini dengan baik, dan tidak lupa juga kepada rakan-rakan media dan semua yang telah menyumbang secara langsung dan tidak langsung menjayakan perjumpaan kita ini.

Sebelum saya mengundurkan diri, suka saya akhiri dengan dua buah rangkap pantun:

Pak Belalang nujum bestari

Menyelamatkan negara dari dicuri

Hasil DEB adalah kita ini

Kini menyumbang semula kepada komuniti

Tak tumbuh maka tak melata

Kata pepatah orang tua-tua

Biarpun bangsa Melayu nampak bersahaja

Tak semestinya kita tidak mampu berjaya!

Wabillahitaufik wal hidayah, Wassalamua’laikum wbt

Published in: on July 30, 2008 at 23:58  Comments (9)