PM ‘Flip-Flop’ Abdullah umumkan Sektretariat pantau politik wang dalam parti?

Hari ini, pemimpin veteran Pemuda UMNO Dato’ Mazlan Harun akan membuat laporan kepada BPR berdasarkan keatas surat Ketua Bahagian PJ Selatan Kapten (B) Dato’ Zahar Hashim kepada Lembaga Disiplin UMNO pada 11 Julai 2008, mengenai salah laku politik wang dan salah guna jentera dan kedudukan Kerajaan bagi tujuan berkempen untuk jawatan dalam parti.

Ironinya, semalam Presiden UMNO PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa sebuah Sekretariat akan diujudkan untuk memantau amalan politik wang  semasa proses mesyuarat Cawangan dan Bahagian UMNO seluruh negara.

Utusan online melaporkan:

Sekretariat UMNO pantau politik wang

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ibu pejabat UMNO telah menubuhkan sebuah sekretariat untuk memantau mesyuarat cawangan dan bahagian di seluruh negara bagi memastikan tidak berlaku gejala politik wang pada pemilihan parti kali ini.

Presiden UMNO berkata, sekretariat yang mempunyai kakitangan yang mencukupi itu bertanggungjawab memantau perjalanan mesyuarat berkenaan supaya ia mematuhi etika parti.

“Langkah ini selaras dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan parti supaya perjalanan mesyuarat cawangan dan bahagian serta kempen diawasi oleh ibu pejabat UMNO,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Wanita Bersama Pemimpin di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam yang mendedahkan perjalanan mesyuarat cawangan UMNO bahagian itu sejak tiga minggu lalu adalah yang terburuk dalam sejarah kerana dicemari gejala politik wang, kehadiran anasir luar dan dipenuhi pelbagai ugutan serta ancaman.

UMNO sedang mengadakan pemilihan cawangan secara berperingkat dari 17 Julai hingga 24 Ogos ini yang turut menyaksikan pemilihan pelbagai jawatan di peringkat itu.

Selepas pemilihan cawangan, UMNO akan mengadakan pemilihan peringkat bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November sebelum diikuti pertandingan jawatan peringkat tertinggi parti pada Perhimpunan Agung dari 16 hingga 20 Disember.

Menurut Abdullah, ibu pejabat UMNO memberikan perhatian serius terhadap gejala politik wang kerana tidak mahu ia berterusan sehingga merosakkan parti.

Mengenai pungutan pendapat yang dilakukan oleh Merdeka Center baru-baru ini yang menunjukkan popularitinya di kalangan rakyat semakin merosot, Abdullah berkata, ia adalah perkara normal.

“Setiap ahli politik ada masa turun dan naiknya. Apa yang penting bagi saya ialah apa yang dibuat untuk rakyat dan negara,” ujarnya.

Ditanya mengenai tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang membuat tuntutan ganti rugi RM4.7 bilion ekoran pembatalan beberapa projek mega di negeri itu, Perdana Menteri menegaskan, pihaknya tidak akan melayan desakan itu kerana Kerajaan Pusat tidak pernah berhutang apa-apa dengan kerajaan negeri itu.

“Pembatalan itu dibuat kerana kita perlu memberikan keutamaan kepada projek- projek lain yang lebih penting dan kita akan terus berpegang kepada keputusan ini,” ujar beliau.

*************************************

Apakah kewajaran Sekretariat ini ditubuhkan sekiranya penyelewengan politik wang dan salah guna kuasa dan kedudukan bagi tujuan berkempen untuk jawatan parti itu dilakukan oleh pemimpin politik yang berjawatan Kerajaan, termasuk PM ‘Flip-Flop’ Abdullah sendiri?

Apakah sekiranya ada pemimpin UMNO berjawatan penting dalam Kerajaan melakukan sumbang politik wang dan salah guna kuasa dan kedudukan untuk kepentingan jawatan parti mereka, tindakan akan diambil termasuk Lembaga Disiplin UMNO bersidang dan keadilan (menurut Perlembagaan UMNO) dicapai?

Pada 18 September 2006, lima orang Ahli UMNO Bahagian Kubang Pasu membuat laporan kepada Lembaga Disiplin UMNO mengenai konspirasi tertinggi politik wang untuk menghalang Mantan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad dari dipilih secara demokratik sebagai Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO Novemeber 2006. Namun begitu, tiada tindakan yang diambil dari Lembaga Disiplin UMNO, termasuk siasatan yang menyeluruh.

Dengan pengumuman ini, akal siapakah yang PM ‘Flip-Flop’ Abdullah cuba hina?

Bak kata bidalan lama Inggeris nukilan seniman agung William Shakespeare “The bigger the lie is, the more people will believe in it“. Apakah pembohongan pusingan ini cukup besar untuk menipu lebih ramai orang, terutama Ahli UMNO?

Published in: on August 5, 2008 at 08:52  Comments (15)