Tumpuan khas diberikan kepada pengundi Melayu Permatang Pauh

Hari ini, kempen Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh masuk ke gear yang lebih tinggi. Pemimpin kanan PAS Dato’ Seri Hadi Awang dan Dato’ Dr. Harun Din dijangkakan akan turun padang berkempen bagi calon PKR, Mantan Timbalan Perdana Menteri dan banduan salah guna kuasa Anwar Ibrahim.

Sokongan parti Islam ini amat signifikan kepada kempen Anwar. Ini kerana sedikit sebanyak, setelah pengakuan bersumpah laknat Saiful Bukhari Azlan diliwat Anwar di Masjid Wilayah minggu lepas telah mengurangkan sokongan orang Melayu sekitar Permatang Pauh bagi calon PKR itu. Dengan endorsement ini, maka ia akan mengembalikan sokongan padu kepada Anwar.

Sekiranya usaha taktikal ini tidak berapa meninggalkan kesan kepada kempen Anwar, maka dijangkakan Murshidul Am PAS Dato’ Nik Aziz Nik Mat juga akan dibawa ke Permatang Pauh esok. Walaupun beliau uzur, usaha ini akan diteruskan juga untuk menentukan Anwar menang dengan majoriti yang amat selesa.

Tumpuan khusus diberikan kepada sokongan pengundi Melayu sekitar Permatang Pauh kerana undi Bukan Melayu, terutama keturunan Cina kepada Anwar dan PKR adalah begitu padu. Ini kerana masyarakat Cina amat berharap agar Anwar mendapat tempat dalam persada politik perdana, termasuk mempunyai peluang sebagai Perdana Menteri Malaysia, walaupun beliau akan dibelenggu dengan kes jenayah yang sememangnya akan berpanjangan.

Walaupun Pengarah Pilihanraya BN Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak merupakan pemimpin yang jauh lebih baik dengan ucapan yang jauh lebih bermutu berbanding dengan Anwar, namun begitu momentum yang dapat dijana oleh BN dalam kempen Permatang Pauh ini jauh lebih meleset berbanding dengan apa yang berjaya dilakukan PKR.

Dalam pada itu, kempen PKR di Permatang Pauh amatlah berstruktur dan effisyen. Jentera kempen dan sokongan kempen amatlah cekap, termasuk pengurusan media dan bahan untuk propaganda. Ianya begitu professional sehinggakan mirip kempen Barrack Obama, calon parti Democrat di Pilihanraya Presiden AS hujung tahun ini.

Kini yang menjadi misteri, dari mana sumber kewangan PKR untuk menjana kempen politik begini effisyen. Keahlian PKR tidaklah seberapa. Namun begitu, jentera PKR amatlah mantap dan mampu menyediakan kemudahan logistik yang cukup baik, termasuk pusat media yang lengkap dan canggih. Para petugas media juga disediakan kemudahan shuttle untuk membawa petugas meliputi keseluruhan program kempen.

Ini semua amat berbeza dengan kemudahan yang disediakan PKR semasa Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Pilihanraya Umum ke 12 Mac lepas. Di Sarawak, jentera PKR hampir lumpuh kerana pembiayaan ‘tidak turun’, walaupun pemimpin yang datang dari Kuala Lumpur ketika itu menginap dihotel bertaraf 4/5 bintang sekitar bandar bandar besar dan menyewa kenderaan pacuan empat roda mewah untuk kegunaan mereka.

Persoalan sekarang, mana datang pembiayaan untuk kempen kali ini? Apakah PKR tiba tiba mendapat penjanaan kewangan luar, terutama apabila Anwar bertanding, hanya kerana Anwar ialah ‘Darling of the West, especially Neo Conservative Jews’? Atau Anwar, yang hilang pencen sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana dihukum penjara, memang sebenarnya berada dan mampu menjana kempen Pilihanraya Kecil Parlimen dengan magnitud yang sebegitu, yang sememangnya berjuta Ringgit belanja?

Published in: on August 23, 2008 at 10:19  Comments (21)