Mukhriz: Pemuda UMNO perlu berani berubah untuk kekal relevan

Exco Pemuda UMNO Dato’ Mukhriz Mahathir hari ini menegaskan bahawa Pemuda UMNO perlu ‘berani berubah’, demi menentukan relevan, kesinambungan Perjuangan dan penerimaan serta sokongan rakyat, terutama generasi muda kepada parti nasionalis Melayu dan BN itu.

Beliau, yang juga MP Jerlun dan calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia, mengingatkan Pemuda UMNO bahawa keputusan Pilihanraya Umum ke XII (PRU 12) 8 Mac 2008 menunjukan jelas bahawa BN hilang sokongan dan undi dalam saluran 3, 4 dan 5, yang mewakili pengundi muda dan baru. Ini lebih jelas disahkan semasa Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh Ogos lepas.

Mukhriz mengatakan demikian semasa diminta berucap dalam sebuah majlis Moreh disebuah hotel di Johor Bahru malam ini. Sejumlah pemimpin dan ahli Pemuda UMNO dari bahagian sekitar Johor Bahru datang dalam majlis ramah mesra dan tidak formal itu.

Menurut Mukhriz lagi, sekiranya UMNO, terutama Pemuda UMNO gagal dan tidak berani berubah, maka peluang untuk UMNO terus menduduki sebagai pemangkin proses memartabatkan dan menjaga kepentingan Bangsa Melayu akan makin tiris.

Beliau adalah dalam rangka lawatan kerja Pemuda UMNO di sekitar Selatan Johor selama dua hari. Antara rangka lawatan ialah perbincangan dengan MB Johor, buka puasa di Tebrau dan Moreh di Tanjong Piai.

Published in: on September 20, 2008 at 23:57  Comments (21)