Muhyiddin ‘berseorangan’ diatas, namun mewakili aspirasi akar umbi

“Saya berseorangan dalam Perjuangan ini!” tegas Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yasin kepada UMNO Pagoh baru baru, apabila menjelaskan kedudukan beliau ‘menentang arus’. Naib Presiden UMNO paling veteran dalam perkhidmatan hari ini itu, begitu konsisten dalam kritikan Kepimpinan PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilihat sedang membawa UMNO kepada kehancuran.

Beberapa dasar dan keputusan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah juga dibidas Muhyiddin dalam majlis samada terbuka atau tertutup, atas platform UMNO atau NGO. Ini merupakan sifat ‘Kepimpinan’ yang begitu ramai akar umbi dambakan, kerana kelemahan ‘Kepimpinan’ PM ‘Flip-Flop’ Abdullah yang mengakibatkan akar umbi UMNO sendiri mula merasa bosan, gusar dan tidak sabar.

Beliau merupakan antara pemimpin UMNO yang paling lantang menyuarakan menentang sistem kuota yang beliau secara peribadi menganggap sebagai “Menghalang proses demokrasi”.

“Biarlah siapa nak bertanding diberikan peluang. Biar ahli UMNO yang tentukan kesesuaian seseorang calon itu”, menjelaskan kedudukan beliau. “UMNO ialah parti akar umbi”.

Muhyiddin sebenarnya begitu konsisten dengan gesaan ini. Semasa menjadi Pengerusi Keahlian UMNO, beliau pernah membentangkan kepada Presiden UMNO ketika itu Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad mengenai cadangan menghapuskan sistem kuota, apabila UMNO dilihat sebagai tidak popular semasa pasca Pilihanraya Umum ke X November 1999 dan kebangkitan gerakan ‘Reformasi’.

Namun begitu, Muhyiddin tidaklah berseorangan dalam Perjuangan membetulkan dan meletakan UMNO kelandasan yang betul. Beliau merupakan nama yang disebut sebut menjadi pilihan utama Bahagian UMNO sebagai calon Timbalan Presiden pada pemilihan parti 18 Disember 2008. Antara nama nama yang popular untuk calon Presiden ialah TPM Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak dan MP Gua Musang Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah.

Kebarangkalian kedua dua calon ini mendapat pencalonan Bahagian UMNO kejawatan Presiden adalah lebih baik dari PM ‘Flip-Flop’ Abdullah. Tidak kira siapa antara dua ini menjadi calon Presiden UMNO, Muhyiddin tetap menjadi pilihan popular yang bermain dibibir pemimpin UMNO peringkat Cawangan dan Bahagian.

Setakat ini, 20 Bahagian dari Johor, 20 Bahagian dari Sabah dan 18 Bahagian dari Perak disebut sebut bersedia mencalonkan Muhyiddin kejawatan Timbalan Presiden. Begitu juga kesemua 3 Bahagian di Perlis. Yang lebih menarik lagi, setakat ini dianggarkan 142 Bahagian UMNO dari 191 yang sedia menamakan Muhyiddin sebagai calon Timbalan Presiden. Sekiranya 30% jumlah ini boleh didiskaun, maka masih ada kekal 100, satu jumlah yang amat selesa bagi seseorang calon bertanding.

Analisa pemerhati politik, kebarangkalian TPM Najib dicalonkan sebagai Presiden UMNO adalah lebih baik dari Tengku Razaleigh. Ini kerana pencalonan Najib merupakan mengekalkan tradisi UMNO seorang Timbalan Presiden akan mengantikan Presiden dan berbanding dengan Tengku Razaleigh, Najib merupakan anggota pentadbiran yang berterusan semenjak 1978.

Jika benar anggaran ini, maka lebih baik bagi Presiden ‘Flip-Flop’ Abdullah mengundurkan diri secara terhormat sebelum proses mesyuarat agung tahunan dan pemilihan peringkat Bahagian UMNO bermula 9 Oktober 2008. Ini dilihat sebagai cara menyelamatkan ‘maruah’ Kepimpinan parti nasionalis paling utama negara. Sumber terdekat juga menyebut bahawa PM ‘Flip-Flop’ Abdullah sedang menimbangkan secara serious “mesej akar umbi” ini.

Ini semua merupakan aspirasi akar umbi yang mahukan pembaharuan dalam Kepimpinan UMNO. Populariti Muhyiddin, yang dilihat sebagai ‘berani berubah’, akan menjadi sokongan agar TPM Najib mengorak langkah secara terbuka, tatkala menerima ‘tekanan’. Mantan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad masih lagi tetap dengan pendirian memberikan sokongan kepada Tengku Razaleigh sebagai calon Presiden, semenjak pertemuan di Cyberjaya 16 hari lepas. Ramai penganalisa melihat ‘tekanan’ yang diberikan Tun Dr. Mahathir merupakan pemangkin bagi menentukan TPM Najib ‘berani berubah’ dan membawa aspirasi akar umbi.

Semoga Perwakilan Cawangan ke Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian UMNO bermula 9 Oktober ini ‘berani berubah’, demi kepentingan orang Melayu.

Published in: on September 23, 2008 at 01:33  Comments (19)