Ku Li: Plan Peralihan Kuasa ‘diluar’ Perlembagaan dan mempersendakan kehendak akar umbi

 

Calon yang menawarkan diri bagi jawatan Presiden UMNO pemilihan parti kali ini Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah tengahari ini menegaskan bahawa Kepimpinan dan MT UMNO membelakangkan kepentingan parti, semangat demokrasi dan bertindak diluar Perlembagaan apabila menerima ‘Plan Peralihan Kuasa’ dijadualkan Jun 2010 yang diumumkan oleh Presiden UMNO PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, selepas mesyuarat tergempar MT UMNO semalam.

“Peralihan Kuasa ini tidak mendukung aspirasi akar umbi. Biar akar umbi yang tentukan siapa paling layak memimpin parti dan bukan pemimpin yang buat keputusan itu”, apabila mengadakan sidang media khas di pejabat peribadi beliau di Jalan Langgak Golf. “UMNO sudah hilang aroma demokrasi dan pemimpin hanya mengambil keputusan yang memihak bagi kepentingan mereka semata mata”.

“Perlembagaan parti diperkudakan untuk menjaga  kedudukan sesetengah pemimpin”. Kesanya, tambah MP Gua Musang itu ialah “Satu tindakan khianat dan mempersendakan perasaan akar umbi, yang mahukan angin perubahan dalam Kepimpinan. UMNO kini terdedah  sebagai bahan kelucuan bukan sahaja dalam negara, tetapi termasuk diluar”.

Semalam, sebilangan besar pemimpin peringkat MT UMNO, termasuk Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yasin, yang selama ini lantang membidas PM ‘Flip-Flop’ Abdullah untuk berundur demi kepentingan parti dan orang Melayu, menerima baik keputusan yang dicapai pagi semalam.

Pemimpin yang telah aktif berkecimpung dalam persada perdana parti semenjak 45 tahun dahulu itu mengesa agar Bahagian UMNO membawa usul menolak keputusan MT UMNO semalam, apabila mesyuarat Bahagian UMNO bermula 9 Oktober ini.

Dalam sessi soal jawab, Tengku Razaleigh belum lagi memikirkan soal siapa yang paling sesuai menjadi ‘regu’ dalam pemilihan parti akan datang ini.

Apabila ditanya, beliau bersetuju kemungkinan bahawa PM ‘Flip-Flop’ Abdullah hanya melepaskan jawatan Presiden UMNO sahaja sebagaimana Plan Peralihan Kuasa yang telah diumumkan itu, menjelang pemilihan dijadual semula Mac 2009 tetapi mengekalkan kedudukan sebagai Perdana Menteri Malaysia sehingga Jun 2010.

Tengku Razaleigh, yang pernah menjawat Naib Presiden dan Bendahari Agung UMNO dan juga pernah mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti April 1987 menjelaskan beliau mempunyai rancangan strategik untuk Malaysia sekira berjaya dipilih sebagai Presiden UMNO pusingan ini dan menjawat Perdana Menteri. Beliau berhasrat untuk menaikan pendapatan kapita rakyat Malaysia dari USD 4,000 sekarang ini kepada USD 10,000 dalam tempoh lima tahun.

 

Published in: on September 27, 2008 at 14:58  Comments (6)  

‘Peralihan Kuasa’ dibawa hadapan: Bolehkah UMNO percaya PM ‘Flip-Flop’ Abdullah lagi?

Semalam, MT UMNO mengadakan mesyuarat khas hanya selepas dua  minggu pertemuan terakhir. Dalam mesyuarat ini, diumumkan bahawa pemilihan jawatan tertinggi parti ditunda tiga bulan lagi melewat jadual asal 18 Disember 2008. Soal ‘Peralihan Kuasa’ lebih awal daripada jadual asal Jun 2010 yang diumumkan pada 10 Julai 2008 menjadi bahan perbincangan.

Laporan Utusan Malaysia:

Peralihan lebih awal – Keputusan mesyuarat khas MT UMNO semalam

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN
dan HERMAN HAMID

NAJIB Tun Razak menyatakan sesuatu kepada Abdullah Ahmad Badawi semasa sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar ZAINI HUSIN


KUALA LUMPUR 26 Sept. – Peralihan kuasa yang dipersetujui antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlaku setahun lebih awal daripada pelan asal pada 2010.

Bagi membolehkan proses peralihan tersebut berjalan lancar, Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual berlangsung pada Disember ini akan ditangguhkan kepada Mac depan.

Mesyuarat bahagian yang akan bermula 9 Oktober ini bagaimanapun diteruskan mengikut jadual.

Keputusan menangguhkan perhimpunan agung parti itu yang juga membabitkan pemilihan peringkat tertinggi dicapai pada mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan oleh Abdullah di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ditanya sebab penangguhan, Presiden UMNO itu berkata, ia bertujuan “mempermudahkan pelan peralihan kuasa lebih awal.”

“Kalau kita nak awalkan (peralihan), tidak adalah lagi original (pelan asal) 2010 itu… tak timbullah perkara itu,” kata Perdana Menteri ketika ditanya adakah pelan peralihan kuasa pada Jun 2010 akan dikekalkan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas itu.

Mengulas keputusan MT meneruskan mesyuarat bahagian di sebalik desas-desus mengenai penangguhannya, Perdana Menteri berkata, ia bagi menghormati keputusan akar umbi dan mengelakkan timbul perbalahan.

“Itulah sebaik-baiknya kerana kita memegang dan menghormati keputusan yang telah dibuat, yang telah pun jelas dan semua pun bersedia untuk mengadakan mesyuarat masing-masing,” ujarnya.

Ketika diminta menjelaskan maksud peralihan kuasa awal, beliau berkata: “Ia adalah untuk membuat penyerahan segala apa juga yang diperlukan, peraturan-peraturan apa yang hendak saya laksanakan nanti. Apa juga dengan ini akan diputuskan antara saya dan Najib.”

Ditanya adakah ini bermakna beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan parti Mac depan, beliau memberitahu, pengumuman mengenai keputusannya akan dibuat sebelum mesyuarat bahagian bermula pada 9 Oktober ini.

Abdullah bagaimanapun menyangkal andaian bahawa keputusan melaksanakan pelan peralihan kuasa lebih awal dibuat kerana menerima banyak tekanan termasuk daripada anggota MT.

“Tidak. Tidak ada kena-mengena semua itu. Ia semua berhubung kait dengan kerja saya. Bila kerja habis, habislah,” katanya.

Menurut Abdullah, tidak ada sebab anggota MT mengenakan tekanan untuk beliau melepaskan jawatan, malah perkara itu tidak langsung ditimbulkan pada mesyuarat hari ini.

Perdana Menteri turut menolak kemungkinan bercuti lebih awal ekoran perubahan pelan peralihan kuasa itu.

“Saya akan bercutikah? Tak tahu pula. Macam mana awak tahu? Tidak, tidak… saya tak akan bercuti. Saya ada banyak kerja hendak dibuat,” katanya.

Abdullah yang ditanya kesediaannya melakukan pengorbanan besar dengan mengundur diri demi kebaikan UMNO menegaskan, beliau sayangkan parti itu dan tidak akan sekali-kali meninggalkannya biarpun dalam keadaan sukar.

“Saya tidak pernah tinggalkan parti, saya tidak menyertai UMNO 46 (Semangat 46), saya tidak sertai parti lain, malah saya tidak pernah berada atas platform pembangkang untuk menentang UMNO.

“Tidak ada rekod saya menentang parti pada bila-bila masa pun,” tegasnya.

Ditanya sama ada UMNO mempunyai cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Presiden selama tiga penggal seperti yang diamalkan MCA ketika ini, beliau berkata, parti itu tidak mempunyai rancangan untuk berbuat demikian.

**********************************************

Disebut dari sumber yang menghadiri mesyuarat MT UMNO tersebut, PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangkakan mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sebelum Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian bermula 9 Oktober ini.

Dalam perkembangan yang begitu dinamik dan intensif sekarang ini, terlalu banyak pergerakan berlaku disemua peringkat, termasuk MT UMNO dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri mengenai keresahan akar umbi. Kenyataan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad “Mike Tyson” Muhd. Taib sebagaimana disiarkan Bulletin Utama TV3 malam tadi menyebut “He (PM ‘Flip-Flop’ Abdullah) has his ears on the ground” (PM ‘Flip-Flop’ Abdullah ‘mendengar’ suarahati akar umbi).

Persoalan sekarang, apakah PM ‘Flip-Flop’ Abdullah masih lagi boleh dipercayai dan cakap cakap beliau masih lagi boleh dipegang? Kemampuan beliau untuk ‘mengubah fikiran’, selepas berbincang dengan keluarga amat membinggung dan menakjubkan.

Akar umbi UMNO masih lagi segar dalam ingatan masa ini, dua tahun dahulu apabila Perdana Menteri ke IV Tun Dr. Mahathir Mohamad bertemu PM ‘Flip-Flop’ Abdullah di Kompleks Seri Perdana dan secara berstruktur, menyenaraikan 19 isu dan aduan mengenai keputusan yang dibuat dan penglibatan keluarga dalam pentadbiran. PM ‘Flip-Flop’ Abdullah menjelaskan kemudian bahawa beliau tidak perlu menjawab satu persatu isu yang dibangkitkan Tun Dr. Mahathir dan “akan melakukan yang sewajarnya, untuk membetulkan keadaan”. Hingga hari ini, tiada tindakan yang boleh dianggap positif yang dilaksanakan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah setelah isu yang menjadi begitu rambang buah mulut rakyat dibangkit secara bersemuka itu.

Soal kuasa MT UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti, buat kali kedua juga dipertikai banyak pihak. Penangguhan kali pertama mungkin boleh disabitkan kepada Pilihanraya Umum ke XII  (PRU 12) yang amat ditunggu tunggu. Tetapi, apa justifikasi penangguhan kali ini? Apakah MT UMNO mempunyai kuasa untuk mengganguh buat kali kedua, hanya menjaga kepentingan dan maruah seorang pemimpin, yang selama ini sudah tidak lagi menerima hormat sebagai seorang Presiden dari akar umbi sendiri?

Mungkin, dengan tafsiran dari sudut perundangan, boleh dipertahankan justifikasi penangguhan kedua ini. Namun begitu, apakah akar umbi menerima keputusan ini? Wajarkan UMNO memberikan peluang dan ruang bagi seorang Presiden UMNO untuk mempertahankan kepentingan dan maruah peribadi, setelah selama ini parti nasionalis Melayu ini berikan begitu banyak konsessi kearah itu, sehingga rakyat menghantarkan ‘mesej jelas’ pada PRU 12?

Apapun, tekanan perlu diletakan dalam semua peringkat UMNO, samada Kepimpinan, Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan agar PM ‘Flip-Flop’ Abdullah terus dengan program mengundurkan diri dalam tempoh terdekat dan Kepimpinan diterajui personaliti lain, terutama membawa kehadapan ‘Plan Peralihan Kuasa’. Mungkin ini aspirasi paling sesuai bagi majoriti 3.2 ahli UMNO, yang mewakili orang Melayu, etnik terbesar Malaysia.

Calon Presiden UMNO Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah akan memanggil sebuah sidang media dipejabat beliau diLanggak Golf jam 130 tengahari ini. Perkembangan akan dikemaskini.

Published in: on September 27, 2008 at 08:31  Comments (5)