‘Peralihan Kuasa’ dibawa hadapan: Bolehkah UMNO percaya PM ‘Flip-Flop’ Abdullah lagi?

Semalam, MT UMNO mengadakan mesyuarat khas hanya selepas dua  minggu pertemuan terakhir. Dalam mesyuarat ini, diumumkan bahawa pemilihan jawatan tertinggi parti ditunda tiga bulan lagi melewat jadual asal 18 Disember 2008. Soal ‘Peralihan Kuasa’ lebih awal daripada jadual asal Jun 2010 yang diumumkan pada 10 Julai 2008 menjadi bahan perbincangan.

Laporan Utusan Malaysia:

Peralihan lebih awal – Keputusan mesyuarat khas MT UMNO semalam

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN
dan HERMAN HAMID

NAJIB Tun Razak menyatakan sesuatu kepada Abdullah Ahmad Badawi semasa sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar ZAINI HUSIN


KUALA LUMPUR 26 Sept. – Peralihan kuasa yang dipersetujui antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlaku setahun lebih awal daripada pelan asal pada 2010.

Bagi membolehkan proses peralihan tersebut berjalan lancar, Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual berlangsung pada Disember ini akan ditangguhkan kepada Mac depan.

Mesyuarat bahagian yang akan bermula 9 Oktober ini bagaimanapun diteruskan mengikut jadual.

Keputusan menangguhkan perhimpunan agung parti itu yang juga membabitkan pemilihan peringkat tertinggi dicapai pada mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan oleh Abdullah di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ditanya sebab penangguhan, Presiden UMNO itu berkata, ia bertujuan “mempermudahkan pelan peralihan kuasa lebih awal.”

“Kalau kita nak awalkan (peralihan), tidak adalah lagi original (pelan asal) 2010 itu… tak timbullah perkara itu,” kata Perdana Menteri ketika ditanya adakah pelan peralihan kuasa pada Jun 2010 akan dikekalkan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas itu.

Mengulas keputusan MT meneruskan mesyuarat bahagian di sebalik desas-desus mengenai penangguhannya, Perdana Menteri berkata, ia bagi menghormati keputusan akar umbi dan mengelakkan timbul perbalahan.

“Itulah sebaik-baiknya kerana kita memegang dan menghormati keputusan yang telah dibuat, yang telah pun jelas dan semua pun bersedia untuk mengadakan mesyuarat masing-masing,” ujarnya.

Ketika diminta menjelaskan maksud peralihan kuasa awal, beliau berkata: “Ia adalah untuk membuat penyerahan segala apa juga yang diperlukan, peraturan-peraturan apa yang hendak saya laksanakan nanti. Apa juga dengan ini akan diputuskan antara saya dan Najib.”

Ditanya adakah ini bermakna beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan parti Mac depan, beliau memberitahu, pengumuman mengenai keputusannya akan dibuat sebelum mesyuarat bahagian bermula pada 9 Oktober ini.

Abdullah bagaimanapun menyangkal andaian bahawa keputusan melaksanakan pelan peralihan kuasa lebih awal dibuat kerana menerima banyak tekanan termasuk daripada anggota MT.

“Tidak. Tidak ada kena-mengena semua itu. Ia semua berhubung kait dengan kerja saya. Bila kerja habis, habislah,” katanya.

Menurut Abdullah, tidak ada sebab anggota MT mengenakan tekanan untuk beliau melepaskan jawatan, malah perkara itu tidak langsung ditimbulkan pada mesyuarat hari ini.

Perdana Menteri turut menolak kemungkinan bercuti lebih awal ekoran perubahan pelan peralihan kuasa itu.

“Saya akan bercutikah? Tak tahu pula. Macam mana awak tahu? Tidak, tidak… saya tak akan bercuti. Saya ada banyak kerja hendak dibuat,” katanya.

Abdullah yang ditanya kesediaannya melakukan pengorbanan besar dengan mengundur diri demi kebaikan UMNO menegaskan, beliau sayangkan parti itu dan tidak akan sekali-kali meninggalkannya biarpun dalam keadaan sukar.

“Saya tidak pernah tinggalkan parti, saya tidak menyertai UMNO 46 (Semangat 46), saya tidak sertai parti lain, malah saya tidak pernah berada atas platform pembangkang untuk menentang UMNO.

“Tidak ada rekod saya menentang parti pada bila-bila masa pun,” tegasnya.

Ditanya sama ada UMNO mempunyai cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Presiden selama tiga penggal seperti yang diamalkan MCA ketika ini, beliau berkata, parti itu tidak mempunyai rancangan untuk berbuat demikian.

**********************************************

Disebut dari sumber yang menghadiri mesyuarat MT UMNO tersebut, PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangkakan mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sebelum Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian bermula 9 Oktober ini.

Dalam perkembangan yang begitu dinamik dan intensif sekarang ini, terlalu banyak pergerakan berlaku disemua peringkat, termasuk MT UMNO dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri mengenai keresahan akar umbi. Kenyataan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad “Mike Tyson” Muhd. Taib sebagaimana disiarkan Bulletin Utama TV3 malam tadi menyebut “He (PM ‘Flip-Flop’ Abdullah) has his ears on the ground” (PM ‘Flip-Flop’ Abdullah ‘mendengar’ suarahati akar umbi).

Persoalan sekarang, apakah PM ‘Flip-Flop’ Abdullah masih lagi boleh dipercayai dan cakap cakap beliau masih lagi boleh dipegang? Kemampuan beliau untuk ‘mengubah fikiran’, selepas berbincang dengan keluarga amat membinggung dan menakjubkan.

Akar umbi UMNO masih lagi segar dalam ingatan masa ini, dua tahun dahulu apabila Perdana Menteri ke IV Tun Dr. Mahathir Mohamad bertemu PM ‘Flip-Flop’ Abdullah di Kompleks Seri Perdana dan secara berstruktur, menyenaraikan 19 isu dan aduan mengenai keputusan yang dibuat dan penglibatan keluarga dalam pentadbiran. PM ‘Flip-Flop’ Abdullah menjelaskan kemudian bahawa beliau tidak perlu menjawab satu persatu isu yang dibangkitkan Tun Dr. Mahathir dan “akan melakukan yang sewajarnya, untuk membetulkan keadaan”. Hingga hari ini, tiada tindakan yang boleh dianggap positif yang dilaksanakan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah setelah isu yang menjadi begitu rambang buah mulut rakyat dibangkit secara bersemuka itu.

Soal kuasa MT UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti, buat kali kedua juga dipertikai banyak pihak. Penangguhan kali pertama mungkin boleh disabitkan kepada Pilihanraya Umum ke XII  (PRU 12) yang amat ditunggu tunggu. Tetapi, apa justifikasi penangguhan kali ini? Apakah MT UMNO mempunyai kuasa untuk mengganguh buat kali kedua, hanya menjaga kepentingan dan maruah seorang pemimpin, yang selama ini sudah tidak lagi menerima hormat sebagai seorang Presiden dari akar umbi sendiri?

Mungkin, dengan tafsiran dari sudut perundangan, boleh dipertahankan justifikasi penangguhan kedua ini. Namun begitu, apakah akar umbi menerima keputusan ini? Wajarkan UMNO memberikan peluang dan ruang bagi seorang Presiden UMNO untuk mempertahankan kepentingan dan maruah peribadi, setelah selama ini parti nasionalis Melayu ini berikan begitu banyak konsessi kearah itu, sehingga rakyat menghantarkan ‘mesej jelas’ pada PRU 12?

Apapun, tekanan perlu diletakan dalam semua peringkat UMNO, samada Kepimpinan, Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan agar PM ‘Flip-Flop’ Abdullah terus dengan program mengundurkan diri dalam tempoh terdekat dan Kepimpinan diterajui personaliti lain, terutama membawa kehadapan ‘Plan Peralihan Kuasa’. Mungkin ini aspirasi paling sesuai bagi majoriti 3.2 ahli UMNO, yang mewakili orang Melayu, etnik terbesar Malaysia.

Calon Presiden UMNO Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah akan memanggil sebuah sidang media dipejabat beliau diLanggak Golf jam 130 tengahari ini. Perkembangan akan dikemaskini.

Published in: on September 27, 2008 at 08:31  Comments (5)  

The URI to TrackBack this entry is: https://bigdogdotcom.wordpress.com/2008/09/27/peralihan-kuasa-dibawa-hadapan-bolehkah-umno-percaya-pm-flip-flop-abdullah-lagi/trackback/

RSS feed for comments on this post.

5 CommentsLeave a comment

  1. siapa yang setuju ‘peralihan kuasa’ ini?
    nampaklah yand mengkritiknya tiada kuasa.

  2. […] out from UMNO. Even there are skepticism about him wanting  still to be nominated, despite the strong views MT UMNO thrown against him three weeks ago, it is still pertinent that the pressure to show him the door. […]

  3. […] dari bentuk mengeluarkan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah atau membuat transformasi dalaman? Mungkinkah PM ‘Flip-Flop’ Abdullah sebenarnya tidak boleh dipercayai lagi dan apa apa janji yang diberikan, sebenarnya hanya tidak lebih melepaskan tengkok sendiri apabila […]

  4. […] ‘Peralihan Kuasa’ dibawa hadapan: Bolehkah UMNO percaya PM ‘Flip-Flop’ Abdul… […]

  5. […] September saw the month of UMNO leaders gearing up for nominations, as annual meetings will start within the month’s time. UMNO Youth Exco Mukhriz announced his ‘Berani Berubah’ campaign for the movement top job. Highly controversial defacto Law Minister Zaid Ibrahim resigned and Anwar Ibrahim, now deemed a ’short seller and compulsive liar’. We at BigDogDotCom made a projection of retail petrol going at RM 2.0o/litre and was honoured when Tun Dr. Mahathir dedicated his “Blogging to unblock” book, based on his infamous blog chedet.com. PM ‘Flip-Flop’ Abdullah had the intention not carry on with the announced ‘Transition of Power Plan’ due March 2009, but had stern opposition even at UMNO MT level. Of course, UMNO members are skeptical about PM ‘Flip-Flop’ Abdullah not doing the ‘Flip-Flopping’. […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

<span>%d</span> bloggers like this: