Khairy calon ‘pedigree’ meleset menjadi ‘under dog’?

Hari ini merupakan seminggu setelah mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian bermula dan perlumbaan untuk pencalonan jawatan tertinggi, termasuk Ketua Pemuda UMNO Malaysia giat berjalan seluruh negara. Setakat ini, calon paling berprofil tinggi iaitu Naib Ketua Pemuda UMNO dan MP Rembau Khairy Jamaluddin hanya mampu berada ditempat kedua dalam proses pencalonan berbanding Exco Pemuda UMNO dan MP Jerlun Dato’ Mukhriz Mahathir.

Semenjak Khamis lepas, senario politik Pemuda UMNO peringkat Bahagian dikejutkan dengan pelbagai keputusan yang perwakilan peringkat Cawangan lakukan. Aspirasi akar umbi Pemuda UMNO ditafsirkan dalam pencalonan yang diberikan. Hari ini Khairy membuat kenyataan seolah olah beliau pasrah bahawa sebenarnya beliau adalah bukan calon favourite.

Utusan.com.my mempunyai laporan ini:

‘Saya calon underdog

Oleh ARSHAD KHAN


KUALA LUMPUR 15 Okt. – Calon Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (gambar) menganggap dirinya kini hanya seorang calon underdog atau calon bukan pilihan untuk merebut jawatan tertinggi Pergerakan Pemuda UMNO.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, berdasarkan perkembangan pencalonan semasa, semua pihak pastinya tahu siapa yang menjadi calon pilihan masa kini.

Khairy bagaimanapun, yakin beliau akan tetap melepasi kuota 39 pencalonan yang diperlukan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO.

“Insya-Allah saya yakin lepasi (kuota yang diperlukan),” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Pergerakan Puteri UMNO Malaysia bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau berkata, perkembangan mesyuarat Pemuda peringkat bahagian pada minggu ini akan menjadi penentu sama ada dirinya memperoleh pencalonan yang cukup atau tidak.

Khairy setakat ini sudah mendapat 20 pencalonan daripada pelbagai Pemuda bahagian di seluruh negara untuk jawatan itu.

Pencalonan tertinggi jawatan Ketua Pemuda UMNO kini berpihak kepada Datuk Mukhriz Tun Mahathir manakala calon lain, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menerima 12 pencalonan. Seorang lagi calon, Datuk Zahidi Zainul Abidin hanya menerima satu pencalonan.

Ditanya peluangnya untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda, Khairy berkata, ia sukar untuk diramal kerana perjalanan ke arah itu masih jauh.

Menurut Khairy, beliau tidak berputus asa walaupun pencalonan daripada Pemuda bahagian tidak memihak kepada dirinya.

“Apabila keadaan jadi macam ini, maka kita kena menyakinkan balik akar umbi, kena kerja lebih kuat lagi untuk mendapatkan sokongan daripada rakan-rakan lain,” ujarnya.

*********************************************

Realitinya, Khairy dilihat selama ini dalam persada politik perdana sebagai sebaliknya. Sebagai seorang yang menerima begitu hebat sokongan media semasa mengumumkan bertanding jawatan bertaraf Naib Presiden Ramadhan lepas, beliau dipaparkan sebagai calon ‘pedigree‘ dan dilihat sebagai mendabik dada dengan keangkuhan.  Kesediaan beberapa Exco Pemuda UMNO untuk hadir memberikan sokongan moral semasa pengumuman di Rembau itu menunjukan Khairy sedang dalam tempo ber’gear’ tinggi. Namun begitu, reliatinya, ‘populariti’ dan penerimaan beliau diperingkat akar umbi Pemuda UMNO tidak sebagaimana diharapkan.

Terdapat usaha usaha beberapa kepimpinan peringkat Pemuda UMNO Bahagian yang cuba memanipulasikan proses untuk pencalonan, seperti yang berlaku di Kuala Selangor hujung minggu baru ini. Namun, aspirasi akar umbi untuk menentukan suara mereka, yang secara lantang berani mahu lakukan perubahan, didengar dan jadikan ketentuan Pemuda UMNO Bahagian.

Setakat ini, Mukhriz yang asalnya calon under dog sebenar berjaya meraih 40 pencalonan berbanding Khairy 20 dan Dato’ Seri Dr. Mohd. Khir Toyo 12. Kadar 4:2:1  ini jelas memberi gambaran bagaimana calon yang benar benar menawarkan kemampuan untuk memimpin lebih diterima berbanding dengan calon yang berprofil tinggi dan sering mendapat perhatian.

Tidak dapat tidak, kedudukan Khairy sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO (yang berjaya meriah kedudukan ini pada Ogos 2004 tanpa pencalonan – satu aura seorang menantu Presiden UMNO PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bukan atas kemampuan sendiri) makin jelas terserlah apabila Pemuda UMNO peringkat Bahagian membuat perkiraan masing masing atas hala tuju UMNO. Akar umbi Pemuda UMNO makin matang membuat perkiraan survival UMNO terletak atas bahu dan keputusan yang mereka buat sekarang.

Aura Khairy sebagai anak didikan Oxford, penglibatan sebagai tokoh korporat muda, peranan projek sosial besar dan menerima perhatian media yang begitu intensif seperti ‘MyTeam’ dan sokongan dan liputan media mengenai gaya hidup dan aktiviti seharian dan kelompok memang meletakan beliau sebagai seorang ‘pedigree‘. Walaubagaimanapun, kedudukan ‘Budak Tingkat Empat’ memberi pengaruh kepada keputusan yang dibuat PM ‘Flip-Flop’ Abdullah dikaitkan amat rapat dengan Khairy. Malah, empat tahun setengah PM ‘Flip-Flop’ Abdullah memerintah berkait dan sinonim dengan Khairy Jamaluddin.

Semoga momentum “berani berubah” yang Pemuda UMNO peringkat Bahagian tunjukan seminggu ini diteruskan dan memberikan gambaran aspirasi sebenar pembezaan ‘antara kaca dan permata’ atau dalam Bahasa Inggerisnya (dalam konteks pengunaan terma ‘under dog‘), ‘between a pedigree and pariah‘.

Published in: on October 16, 2008 at 07:52  Comments (21)