Siapa makan cili terasa pedasnya….

 

umno_logo

Soal politik wang dalam UMNO ini makin menular sehingga merosakan parti. Usaha mereka yang sayangkan UMNO dan mahu menyaksikan UMNO bebas dibelenggu gejala penjahanam bangsa ini mula mendapat kesan reaksi yang amat negatif, sehingga sampai ketahap membinasakan. Sekarang ini, ada Pejuang Bangsa yang sehingga satu masa dahulu begitu tegar mempertahankan Perjuangan, kini dengan bersahaja membelasah dalam alam siber pemimpin unggul Bangsa Melayu, Presiden UMNO ke V Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Hujah panjang lebar menyalahkan Tun Dr. Mahathir dan membidas pemimpin pemimpin tertentu seperti Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yasin dan Dato’ Mukhriz Mahathir  kerana kesediaan mereka mengulangi saranan yang sama. Ini kerana pemimpin ini dianggap sebagai tidak wajar mengunakan ‘pengaruh’ mereka untuk meraih undi. Hakikatnya, kegagagal untuk menerima ketokohan dan kepimpinan pemimpin demikian diterima baik sebilangan besar peringkat dalam UMNO menampakan kematangan rendah penulis. Mungkin penulis begitu ‘terbelenggu’ kepada pemimpin tertentu, atas sebab sebab tertentu (termasuk kebarangkalian faktor ekonomi), sehingga analisa polar bagaimana pencalonan diterima menjadikan sesuatu yang menjadi amat sensitif.

Soal sekarang, pemimpin pemimpin tertentu seperti Dato’ Seri Mohd. Ali Rustam, Tan Sri Muhammad “Mike Tyson” Muhd. Taib, Dato’ Seri Dr. Mohd. Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin merupakan personaliti yang begitu sinonim dengan budaya ‘politik wang’. Acid test yang paling mudah ialah bukan merujuk kepada pemimpin atau ahli UMNO, tetapi bertanyakan orang awam ditepi jalan. Usulkan nama nama yang dimaksudkan Tun Dr. Mahathir itu dan tunggu reaksi spontan mereka. Mungkin, cerita yang lagi ‘enak’ dan ‘lemak’ akan mula terungkai, walaupun dikalangan orang yang bukan berkecimpung dengan politik.

Ini semua belum lagi kisah kisah dimana sampul berisi duit sehingga RM 10,000.00 di agih agihkan kepada pemimpin UMNO peringkat Bahagian dan mereka yang dipilih atau berpotensi dipilih (semasa sebelum mesyuarat agung tahunan UMNO bermula) setiap kali pertemuan tertutup dan dalam bilangan kecil, disusun secara peribadi.

Kalau tiada angin, maka tidak mungkin pohon bergoyang. Mungkin bidalan calon Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dua setengah tahun lepas “Kalau tiada beruk mengoncang pohon, maka pohon tidak bergoyang” ada kebenaranya. Dalam konteks artikel dan pelbagai saranan Tun Dr. Mahathir, Khairy merupakan salah seorang calon yang mengamalkan ‘politik wang’ ini.

Dr. Khir Toyo pula mempunyai pendekatan yang menampakan keadaan ‘terdesak’  (desperate) beliau cuba mengelak dan ‘penyamaran’ (camouflage) persepsi bahawa beliau merupakan personaliti yang antara paling ‘kasar’ memberikan sumbangan. Tidak berapa lama dahulu, beliau pernah memberikan alasan agar ahli UMNO dan masyarakat membezakan antara “Politik Wang” dan “Wang Politik”, mungkin sebagai helah ‘cara menghalalkan matlamat’.

Samada ahli dan Perwakilan UMNO bodoh atau tidak begitu mudah dan bersedia memberikan undi kepada calon yang memberikan ‘habuan’ paling lumayan, bukanlah perkara paling penting yang perlu diiktibarkan dari artikel blogger Anak Mat Lela Gila ini. Persoalan paling utama: Mengapa perlu ada calon menawarkan apa jumlah wang ringgit sekalipun, untuk apa keadaan sekalipun semasa siri mula berhasrat dan berkempen untuk bertanding apa apa jawatan?

Ini merupakan persimpangan paling strategik dan penting bagi UMNO melenyapkan budaya rasuah dalam parti nasionalis ini. Setelah prestasi buruk Pilihanraya Umum ke XII 8 Mac 2008 dan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh 24 Ogos 2008, UMNO perlu muhasabah diri mengenai persepsi masyarakat keatas parti paling ramai ahli ini, walaupun mungkin nila yang setitik dua itu semata mata. Yang nyatakan, sebab nila setitik dua inilah, rosak susu se kolah itu!

Mungkin ini masa paling sesuai bagi calon calon seperti Dato’ Seri Mohd. Ali Rustam, Tan Sri Muhammad “Mike Tyson” Muhd. Taib, Dato’ Seri Dr. Mohd. Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin sebaliknya berusaha secara serious untuk menyisihkan persepsi masyarakat mengenai penglibatan mereka ini dengan ‘Politik Wang’. Ini adalah cabaran yang konstruktif paling baik untuk mereka, sekiranya mereka benar benar serious untuk memimpin UMNO dan menyangkal persepsi buruk dan rambang masyarakat. Gaya hidup mereka sendiri perlu memberikan refleksi bahawa mereka membelanjakan wang ringgit dengan pendapatan yang wajar mereka perolehi, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai penjawat awam.

Yang menghairankan, bagaimana pemimpin seperti Mike Tyson yang pernah ditangkap dengan percubaan menyeludup sejumlah amat besar wang dari Australia (walaupun dibebaskan dengan sebab teknikal semata mata), masih lagi diberikan peluang untuk bertanding jawatan tertinggi parti, kalau bukan sebab ‘Politik Wang’? Apakah Bahagian UMNO yang memberikan pencalonan terlalu bodoh dan bebal sehingga tidak langsung teringat peristiwa lebih sepuluh tahun lampau itu?

Cerita cerita yang begitu terbuka diketahui umum semasa menjadi Menteri Besar Selangor kurang dari lapan tahun, termasuk salah guna kuasa dan kedudukan menbawa isteri dalam missi rasmi Kerajaan negeri keluar negara adalah persepsi masyarakat yang amat payah disangkal lagi.

Dalam forum “UMNO Pasca PRU 12: Satu Penilaian” anjuran portal politik MyKMU.net di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 1 April 2008, apabila ‘Politik Wang’ dibangkitkan semasa Dr. Khir Toyo sedang menjadi panelis, para hadirin tanpa segan silu bangkit dan ‘boo’ beliau. Ini jelas menunjukan bertapa sinonimnya persepsi masyarakat mengenai pemimpin tertentu apabila soal ‘Politik Wang’ dibangkitkan.

Sebagai seorang muda berumur hanya 28 tahun, Khairy mampu membeli 9 juta saham ECM Libra merupakan satu misteri membinggunkan jika difikirkan mendalam, tanpa mengambil kira elemen ‘rasuah’ ini. Namun apabila media menjolok beliau dengan nama “The most richest 28 years old unemployed man in the country“, tidak boleh disalahkan lagi persepsi masyarakat.

Calon jawatan tertinggi yang merupakan seorang Ketua Menteri pula sewenang wenang ‘salah guna’ kuasa eksekutif beliau untuk memberikan anugerah teringgi dan bintang kebesaran negeri yang membawa gelaran tertentu kepada sejumlah ramai pemimpin UMNO, sebagai ‘imbuhan’ untuk meraih sokongan. Itu belum khabar menegnai jam jam jenama Rolex yang diagih agihkan sebagai “tanda penghargaan” kepada pemimpin peringkat Bahagian yang datang bertemu beliau.

Jika tidak, janganlah salahkan pemimpin unggul bangsa dan negara yang begitu berjasa seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekiranya masayarakat secara rata rata berpendapat pemimpin tertentu itu amat sinonim dengan ‘Politik Wang’. Setiap kali pertandingan itu, politik itu sebenarnya permainan persepsi, yang melebihi segalanya. Pemimpin yang dinyatakan Tun Dr. Mahathir itu, menangguk keadaan pertandingan untuk menentukan mereka terus diberikan kuasa.

Bukankah demi survival Bangsa Melayu dan Negara, UMNO perlu diselamatkan dari pemimpin sebegini? Dalam apa keadaan pun, UMNO amat perlu dicaturkan oleh pemimpin seperti Tun Dr. Mahathir, bagi mengelakan pemimpin korup dan boleh dikorup seperti mereka ini dari diberikan tempat untuk kuasa!

Masa yang amat sesuai bagi Tun Dr. Mahathir menyenaraikan nama pemimpin yang wajar Perwakilan UMNO tolak, bagi kepentingan  dan survival Bangsa Melayu dan Negara!


Published in: on November 27, 2008 at 00:34  Comments (26)