Rakyat Terengganu kalah 0-2!

 

Keputusan Pilihanraya Kecil (PRK) P36 Kuala Terengganu diumumkan sebentar tadi. Calon Pas Abdul Wahab Endot berjaya dipilih sebagai MP Kuala Terengganu dengan majoriti sebanyak 2,631 undi mengalahkan Mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ahli Dewan Negara Senator Dato’ Wan Farid Wan Salleh.

Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak memberikan reaksi “menerima keputusan rakyat Kuala Terengganu ini”. Walaupun pelbagai habuan yang dijanjikan Kerajaan BN sepanjang kempen PRK ini, termasuk sumbangan wang ehsan royalti minyak yang  akan diberikan dan pengumuman saluran terus bantuan Kerajaan Pusat kepada lembaga pengelola sekolah vernakular, namun keputusan masih lagi tidak memihak kepada BN. Ini bermakna rakyat Kuala Terengganu memandang sepi imbuhan materialism ini dan memilih membuat keputusan tidak sesuai dengan kehendak Kepimpinan UMNO, yang meletakan calon yang rata rata menjadi buah mulut negatif pengundi.

Kekalahan BN sebagai penyandang ini berlaku dalam satu kempen dimana jentera Pemuda PAS tidaklah seagressif sebagaimana pilihanraya biasa, samada umum atau kecil, tatkala PAS sendiri mempunyai masalah dalaman yang nyata. Contoh terbaik ialah isu Hudud, yang menjadi bahan debat antara parti Pakatan Rakyat sesama sendiri. Lain ialah poster Presiden PAS Dato’ Hj. Hadi Awang, yang juga Pengerusi PAS Terengganu, yang tidak kelihatan sepanjang kempen. Ini jelas menunjukan, walaupun UMNO dan BN sering digambarkan Kepimpinan sebagai mendapat sokongan padu seluruh Malaysia, namun realitinya rakyat masih lagi memberikan mesej negatif kepada kempen mereka.

Apa yang lebih merugikan rakyat Terengganu ialah dengan keputusan ini, boleh ditafsirkan bahawa mereka sebenarnya kehilangan kedua dua jawatan Timbalan Menteri. Semasa Allahyarham Dato’ Razali Ismail menjawat Timbalan Menteri Pelajaran, Senator Dato’ Wan Farid pula menjawat Timbalan Menteri Dalam Negeri. Meletakan calon yang satu masa dahulu  Setiausaha Politik PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi  di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Dato’ Wan Farid sebagai calon P36 itu sudah memastikan Terengganu hanya mempunyai seorang Timbalan Menteri, sekiranya beliau menang. Nyata, keputusan rakyat Kuala Terengganu malam ini rakyat Terengganu kalah 0-2, kerana salah pilih calon mewakili UMNO/BN.  Rakyat Terengganu hilang kedua dua jawatan Timbalan Menteri!

Nampaknya, Kepimpinan masih lagi tidak belajar dengan masalah Pilihanraya Umum XII 8 Mac 2008, apabila mesej rakyat Malaysia begitu jelas menentukan BN kalah 5+1 negeri, satu rekod buruk parti ‘kongsi kuasa’ semenjak 1955 ini lagi. Mungkin bidalan Melayu “Sudah terhantuk, baru tergadah” tidak langsung relevan untuk memberi illustrasi sebenar sikap Kepimpinan UMNO yang begitu angkuh dan sombong untuk peka dan merealisasikam suara hati rakyat Malaysia. Kegagalan Kepimpinan UMNO untuk membuat perkiraan bijak seperti episod PRK P36 ini amat membimbangkan.

Apakah rakyat Terengganu menerima ‘keputusan kalah 0-2’ ini dengan hati terbuka dan masih memberikan undi kepada UMNO/BN pada PRU XIII 3-4 tahun akan datang lagi, terutama UMNO Terengganu sendiri mempunyai masalah yang masih belum selesai lagi. Ini satu perkembangan yang menarik dan kemungkinan, ramai ahli UMNO sendiri tidak sanggup untuk ‘tunggu dan lihat’.

Published in: on January 17, 2009 at 23:52  Comments (17)