Satira mantan Menteri KEPUNDEK

Pada awal minggu lepas, semasa sedang minum pagi bersama sahabat lama teman dari Selatan Tanah Air, beliau memberikan satu teka teki pada teman. Bunyinya :-

 

Yeop, dimanakah terletaknya kekuatan UniKL? DiNAMAnya kah atau diMANAnya kah……..?

 

Kepala teman yang masih berdengung dengan isu negeri teman yang dah jadi Negara Isketambola, teman gagal menjawab. Melihat teman seperti beruk pening tengah menggoyang dahan pokok, sahabat teman memberikan jawapannya.

 

Kampus baru Universiti Kuala Lumpur (UniKL), sebuah institusi milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini sedang giat dibangunkan di Pasir Gudang, Johor. Sudah tentulah kekuatan UniKL terletak pada “MANA”nya dan bukan “NAMA”nya. Teman terus terkedu.

 

Jika difahami sekali imbas ianya kelihatan biasa, tiada yang tidak biasa, kecuali yang biasa-biasa sahaja.

 

UniKL yang masih belum mempunyai kampus tetap di Kuala Lumpur, telah menemui ‘rumah’ mereka di Pasir Gudang. Tambah menarik lagi, waktu keputusan membina tapak UniKL dibuat, Menteri  KEPUNDEK yang bertanggung jawab adalah YB Dato’ Seri Khaled Nordin. Kebetulan yang lebih hebat lagi adalah, kontraktor utama projek tersebut adalah Trans Resources Corporation Sdn Bhd (TRC), sebuah syarikat yang mana Dato’ Khaled pernah menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah dan kini masih banyak membantu beliau dalam karier politiknya.

 

Teman makin keliru…… teka teki yang asalnya meniru cerita Nujum Pak Belalang kelihatan semakin kompleks. Teman terus hirup kopi panas (yang bukannya dari bontot kuali).

 

“Itu belum cukup panas” tambah sahabat teman. Beliau terus bercerita dengan teman, dia ada bersembang dengan seorang Pak Syed beberapa hari lepas, yang merupakan seorang ‘broker maut’. Menurut Pak Syed tersebut, syarikat beliau akan dapat projek hampir RM15juta dari TRC untuk UniKL. Bila sahabat teman tanyakan bagaimana beliau akan jalankan projek tersebut, secara bersahaja beliau maklumkan bahawa sudah ada “sub-kon” yang menunggu beliau. Ditanya selanjutnya macamana dia boleh cukup yakin untuk dapat galas projek tersebut, dengan bangga beliau menceritakan bahawa Dato’ Khaled telah memberikan pengesahan dan TRC akan ikut arahan Dato’ Khaled tanpa bantahan.

 

Teman tambah teruja…. selamanya ini teman dok dengar orang cakap TRC tu “Tunggu Richard Cakap”. Terpikio pulak teman, kalau macam ni susahlah syarikat-syarikat nak buat kerja. Teman ada terdengar sekarang TRC amat serius dalam kerja mereka, tak macam dulu…..

 

Teman maklumkan kepada sahabat teman, mungkin Dato’ Khaled dah takde kuasa sebab menteri yang jaga MARA sekarang ni Dato’ Noh Omar. Kata beliau, projek ni dah terlepas dari pinggan Dato’ Noh.

 

Selepas sahabat teman beredar, teman telefon orang kuat TRC untuk cari info. Dulu beliau pernah maklumkan kepada teman yang dia akan dilantik jadi GM setelah lama berkhidmat dan membuktikan kemampuan beliau kepada TRC. Teman bangga juga dengan sahabat teman yang sorang, dengan kelulusan yang tak seberapa pun dia mampu membuktikan kemampuan.

 

Teman tanyakan pasal jawatan beliau, beliau kata dia juga mungkin tak berminat lagi untuk jadi GM sebab TRC memerlukan perhatian khusus beliau. Lagipun beliau terpaksa membimbing kontraktor-kontraktor kecil bumiputra untuk maju. Terdetik dalam hati teman, beruntung sahabat teman yang satu ni, syarikat cukup sayang dengan beliau.

 

Bila teman tanya mengenai persoalan yang dibangkitkan oleh sahabat teman yang satu lagi, beliau jawab memang ada senarai recommend, bukan sahaja dari Dato’ Khaled. Bila teman tanya lagi pasal pengaruh Dato’ Khaled, beliau tidak menjawab.

 

Apa pun teman rasa mungkin elok jika Lembaga Disiplin UMNO dan SPRM memantau pembahagian kontrak tersebut, manalah tahu kot-kot ada segelintir syarikat sahaja yang mendapat menafaat dengan jumlah yang besar sebagai kickback kepada ‘pelaburan’ menaja mana-mana calon yang ingin bertanding dalam PAU penghujung Mac nanti.

* Satira yang diterima melalui e-mail ini dinukil oleh sifulan yang mengaku menjadi ‘broker’ Mantan Menteri KEPUNDEK ini dengan Perwakilan UMNO sebuah negeri. Kami di BigDogDotCom amat menyokong kuat cadangan penulis e-mail agar Lembaga Dispilin UMNO dan SPRM memantau kontrak yang dimaksudkan, walaunpun tiada laporan rasmi dibuat. Ini amat penting agar calon yang menawarkan diri sebagai Naib Presiden UMNO ini bebas dari salahguna kuasa/rasuah, terutama ianya akan memberi kesan kepada UMNO yang perlu ‘membersihkan diri’ sesuai dengan aspirasi rakyat. Perdana Menteri VI Tun Dr. Mahathir Mohamad juga menyarankan agar personaliti yang ‘tidak bersih’ digugurkan dari Kabinet.

Published in: on March 16, 2009 at 11:20  Comments (5)