Apakah keberkesanan pemansuhan MECD dan letak MARA dan Tekun bawah KKLW?

Persoalan yang dibangkitkan kami di BigDogDotCom bangkitkan disini sejurus Perdana Menteri VI Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak mengumumkan Kabinet pertamanya Khamis 9 April, mengenai apa akan jadi kepada agensi ‘Agenda Melayu’ seperti MARA setelah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kooperasi (MECD) dimansuhkan terjawab dalam Utusan Malaysia pagi ini.

Mansuh MeCD: Kerajaan tidak abai kepentingan bumiputera

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 April – Kerajaan memberi jaminan kepentingan masyarakat bumiputera di negara ini tidak akan diabaikan walaupun Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) telah dimansuhkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, konsep Kabinet ialah membuat keputusan berdasarkan tanggungjawab bersama yang membabitkan semua kementerian dan tidak memberi tumpuan kepada kementerian tertentu saja.

“Di mana-mana pun Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) boleh letak (agensi di bawah MeCD). Dulu Felda di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, kemudian dipindah ke Jabatan Perdana Menteri. Diletak di mana pun tanggungjawab agensi ini masih penting.

“Keputusan Kabinet kolektif, dasar yang dipersetujui bersama seperti pembangunan bumiputera dan usaha menterjemahkan beberapa prinsip Dasar Ekonomi Baru (DEB) ke dalam konteks sekarang, masih menjadi agenda Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis tahlil dan doa selamat serta meraikan ahli-ahli UMNO Bahagian Pagoh di kediamannya di Bukit Damansara di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin menerima memorandum daripada Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar yang antara kandungannya meminta kerajaan mewujudkan kembali MeCD bagi meneruskan agenda membela bumiputera dengan berkesan.

Agensi di bawah MeCD iaitu Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kini diserapkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) pula diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau mengetahui sebab Najib memansuhkan MeCD tetapi setakat ini tidak bercadang menjelaskan tujuannya kepada khalayak umum.

“Sesuatu perkara yang dibuat oleh Perdana Menteri dan Presiden UMNO adalah atas sebab-sebab tertentu, kadang-kadang kita susah hendak faham.

“Saya tahu apa sebab beliau buat begitu. Tetapi tidak perlu pada masa ini untuk saya jelaskan kepada khalayak umum,” katanya.

Menurutnya, sedikit masa lagi kerajaan akan membuat penjelasan terperinci sebab-sebab pemansuhan itu dan tidak pasti sama ada beliau atau Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan yang akan diarahkan oleh Perdana Menteri untuk memberi penerangan itu.

“Jaminan yang saya boleh beri ialah tiada satu pun kementerian atau agensi yang dianggap tidak penting. Jadi kita kena beri kepercayaan kepada kerajaan dan kepada pimpinan kita untuk menjelaskannya.

“Umpamanya Mara, ia badan penting selaras keputusan Kongres Ekonomi Melayu untuk membangunkan usahawan bumiputera dan mendidik anak-anak. Apakah dengan tiada MeCD peranan ini terabai? Saya tak fikir begitu, mungkin lebih utama lagi,” ujarnya.

************************

 

Kami membangkitkan perkara yang sama terus kepada TPM Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yasin pada Jumaat lepas dan beliau mengesyorkan perkara ini akan diperhalusi segera. Namun kenyataan rasmi PM Dato’ Seri Najib setakat ini belum diperolehi.

Pembaca BigDogDotCom membangkitkan: sebelum pengumuman Kabinet pada Khamis 9 April 2009, Kerajaan Persekutuan memperuntukan dua kementerian khusus untuk menjaga ‘Agenda Melayu’ iaitu Kementerian pembangunan Usahawan dan Kooperasi (MECD) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Ini bermakna, aada 2 Menteri, 4 Timbalan Menteri, 2 KSU, 4 TKSU dan berpuluh Pengarah dan Setiausaha Bahagian ditugaskan untuk melaksanakan program dibawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti Felda, Felcra, MARA, Bank Rakyat, SME Bank, Angkasa, LPKP, Tekun, UDA, PNS, PKK dan sebagainya. NGO seperti Persatuan Francais Malaysia (MFA) juga bernaung bawah MECD.

Kini, semua tanggung jawab itu dibuat oleh satu kementerian semata mata. Apa yang perlu dihasilkan (deliverables) adalah amat besar. Persoalanya, apakah keberkesanan untuk merancang dan melaksana semua program ini dengan sumber yang diperuntukan hanya untuk sebuah kementerian?

Dahulu semasa dua kementerian dengan sumber sempurna sekalipun, perlaksanaan setakat ini tidak menunjukan kesan strategik yang boleh dibanggakan. Hanya setakat memenuhi objektif sahaja.

Persoalan “Tigabelas juta Ringgit” ialah, apakah keghairahan untuk ‘menambat hati’ Bukan Melayu yang PM Dato’ Seri Najib cuba laksanakan ini, terutama setelah mesej jelas undi Cina semasa kegagalan BN di PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau akan mengakibatkan program perlaksanaan ‘Agenda Melayu’ makin tiris?

Itulah apa yang kami di BigDogDotCom risaukan. Kami amat berharap PM Dato’ Seri Najib tidak ‘terlepas pandang’ apabila merancang Kabinet pertamanya itu.

Sebagai menyingkap sejarah, ayahanda PM Dato’ Seri Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein merupakan seorang yang banyak memberikan perhatian kepada program pembangunan luar bandar, khususnya melibatkan orang Melayu. Beliau, selaku Timbalan Perdana Menteri  merupakan pengerak utama dibelakang kelahiran MARA (melalui Akta MARA), Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) pada tahun 1966 dan pemangkin kepada Kongress Ekonomi Bumiputra pertama (1965). Menteri Pembangunan Luar Bandar masa itu pula merupakan Allahyarham Tun Ghaffar Baba, yang begitu menekankan menyeluruh aspek ‘Agenda Melayu’. 

Satu perkara yang menarik ialah sejarah Tun Abdul Razak berhadapan dengan keadaan ketengangan intra-etnik dan kejayaan merumuskan formula untuk semua pihak bergerak dalam keadaan harmoni. Beliau merupakan Pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) semasa Parlimen digantung akibat peristiwa berdarah 13 Mei 1969, berjaya mengumpul semua parti politik mewakili semua kumpulan etnik untuk duduk berunding (kecuali parti Chauvinis Cina DAP), yang melahirkan Majlis Perundingan Negara dan arkitek Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 dan Barisan Nasional pada 1973. Ini bermakna beliau berjaya meredakan keadaan tegang, ‘menambat hati’ Bukan Melayu (termasuk parti Pembangkang Gerakan) untuk bersama sama duduk berunding, menubuhkan Kerajaan konsep ‘kongsi kuasa’ yang begitu effektif dan merangka dan melaksana program pembangunan yang memberi tumpuan kepada orang Melayu.

Inilah cabaran yang kami di BigDogDotCom lontarkan kepada Kepimpinan Perdana Menteri VI Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak, terutama dalam cabaran globalisasi, krisis ekonomi global dan kerenggangan hubungan intra-etnik akibat dasar liberasi PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Published in: on April 13, 2009 at 18:31  Comments (30)