Tun Dr. Mahathir: Kuatkan Kepimpinan, pulihkan semangat juang UMNO dan perangi rasuah

umno_logo2

“Kepimpinan memainkan peranan amat penting untuk membangunkan sesebuah organsiasi”,  pesan Presiden UMNO V Tun Dr. Mahathir Mohamad. “Kepimpinan akan menentukan nasib pengikut (rakyat) mereka. Contoh yang baik ialah Maharaja Meiji, yang berjaya meletakan asas agar negara dan bangsa Jepun untuk menjadi maju”.

“Pulihkan semangat juang UMNO”, mengulas bagaimana akar umbi UMNO sendiri tiris semangat dan kurang yakin keatas Kepimpinan, antara tahun 2004 hingga 2008 dan akibatnya, UMNO dan BN mengalami kekalahan teruk dalam Pilihanraya Umum ke XII (PRU 12) 8 Mac 2008 yang tidak pernah dilihat sebelum itu. Pemimpin UMNO peringkat akar umbi bersedia dan sanggup memberikan sokongan ‘palsu’ kepada pemimpin peringkat Bahagian dan seterusnya proses ini dipanjatkan ke peringkat Kepimpinan, tanpa menyelami aspirasi sebenar akar umbi UMNO dan rakyat.

Mesej jelas ini diamanahkan kepada akar umbi UMNO Bahagian Pandan di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU), Janda Baik, Pahang. Ini merupakan ucapan beliau pertama secara rasmi atas platform UMNO, semenjak kembali menyertai setelah ‘keluar bersyarat’ parti nasionalis April lepas.

Isu Kepimpinan ini dikupas lebih dalam melalui  isu Jambatan-Mengantikan-Tambak-Johor kerana terdapat pemimpin UMNO yang terus memberikan sokongan kepada Kepimpinan, sehingga sanggup membelakangkan aspirasi sebenar akar umbi dan maruah negara dan bangsa dan memberikan kelebihan kepada Singapura. Pemimpin menengah menjadi golongan yang mengharapkan Kepimpinan menjaga kepentingan mereka ini sebenarnya membudayakan ‘sokong Boss’ dan memberikan gambaran palsu aspirasi akar umbi UMNO dan  rakyat. Akibatnya, penyokong akar umbi UMNO Johor yang merasakan kecewa kerana Kepimpinan yang menbadik dada dan memberikan ‘gambaran’ bahawa parti amat kuat dan mendapat sokongan padu, memilih untuk meluahkan ‘perasaan’ dan ‘menyuarakan’ melalui kertas undi semasa pilihanraya. Akibatnya, UMNO dan BN  gagal mendapat undi sebagai pilihanraya yang lepas dan kecundang di enam buah negeri dan gagal mempertahankan 2/3 majoriti dalam PRU 12.

Hari ini, akar umbi UMNO mengharapkan Kepimpinan Presiden UMNO VII Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak untuk ‘membersihkan’ parti, agar proses pembangunan negara dapat diteruskan. Ini merupakan pengharapan yang besar. Perdana Menteri Malaysia VI itu mengingatkan bahawa gejala rasuah akan lebih memburukan keadaan dan rakyat akan menolak parti, yang pada masa lepas banyak berjasa kepada Bangsa Melayu dan negara. Oleh itu, usaha ‘pembersihan’ ini perlu dilakukan segara. Namun begitu, persepsi masyarakat ialah UMNO memilih pemimpin yang boleh dan terkenal dengan rasuah, walaupun parti melalui proses pemilihan Mac lepas.

“UMNO kini berada dalam keadaan cemas!” dan memberikan contoh terdapat pemimpin yang baru dipilih melalui proses demokrasi parti baru baru, dianggap sebagai terlibat dengan rasuah sehingga dihalang untuk turun berkempen (dalam pilihanraya kecil) kerana dikhuatiri akan menjejaskan persepsi rakyat dan seterusnya undi. Ini menunjukan bahawa UMNO kini berada dalam keadaan getir dan tidak lagi diterima rakyat kerana menaikan pemimpin yang dianggap ‘rasuah’ dan kontroversi.

“Kita harus memerangi rasuah!”, tegas Tun Dr. Mahathir “Tolak segala bentuk rasuah walaupun  ramai yang akan memberikan alasan “Tak palah, kita ambik duit itu tapi kita tak undi dia, kita undi orang lain”. Percayalah, orang yang mengambil duit itu akan sedikit sebanyak terasa ‘terhutang budi’ “. Beliau menyifatkan orang yang terlibat dengan rasuah ini sebagai ‘Pengkhianat’ dan ‘Menjual Bangsa’, “Apabila orang (rakyat) tidak yakin keatas pemimpin mereka (yang dianggap mengunakan rasuah untuk menentukan kedudukan mereka dalam parti), akhirnya akan timbul kebencian”.

“Diharapkan pembaharuan yang akan diperkenalkan kepada UMNO akan menerima keyakinan akar umbi dan rakyat”, beliau mengulas mengenai pembaharuan dalam UMNO yang akan diperkenalkan dan anggap sebagai ‘ lebih mendemokrasikan’, “Yang akan menghalang dari gejala rasuah ialah pegangan kita kepada Perjuangan UMNO”.

Negarawan berumur 84 tahun itu lagi mengingatkan hadirin kepentingan untuk mengenali sejarah, agar benar benar menghayati sebenar apa yang berlaku masa lepas. “Tanah air ini dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu. Ini diiktriraf masyarakat antarabangsa, termasuk Barat. Maknanya, pada asal ini bumi untuk orang Melayu” dan terus mengupas bagaimana kealpaan dan perbuatan berpecah belah dan mementingkan diri sendiri mengakibatkan Raja Raja Melayu sedia mengadaikan tanahair dijajah dan kemudian penjajah membanjiri dengan immigran, untuk memenuhi keperluan pembangunan ekonomi mereka. Kebanjiran immigran ini kemudian menimbulkan ketidak sama rataan pembangunan antara etnik yang masih lagi cuba diperbaiki sehingga hari ini.

Beliau juga mengupas bagaimana orang Melayu bersatu dan mendapat kekuatan politik yang jitu apabila UMNO ditubuhkan sehinggakan Malayan Union berjaya digagalkan dan menerajui proses Kemerdekaan. “Tunku (Abdul Rahman Putra) mendapat sokongan kuat rakyat sehingga sedia memberikan satu juta orang keturunan Cina dan India kerakyatan (sebagai syarat Britain untuk memberikan Kemerdekaan)”, sambil mengupas bahawa mandat besar yang diperolehi Perikatan yang diterajui UMNO pada pilihanraya 1955, datang dari kekuatan sokongan padu orang Melayu, yang merupakan 85% pengundi berdaftar dan layak mengundi.

“Orang Melayu berkebolehan”, amanah Tun Dr. Mahathir “Orang Melayu perlu berusaha keras untuk membuktikan kebolehan yang ada. Ini tanggung jawab UMNO untuk membangunkan kebolehan orang Melayu, agar menjadi bangsa yang berjaya”.

“Jangan kerana kemewahan yang dirasai (sekarang, terutama setelah segala program pembangunan yang diusahakan UMNO berjaya membangunkan bangsa setelah Merdeka), orang Melayu menjadi leka”, beliau mengesa hadirin berfikir mengenai nasib bangsa dan berusaha keras untuk menentukan kejayaan Bangsa Melayu. “Kikis sikap yang akan merugikan kita dan jangan bergantung kepada orang lain (untuk memainkan peranan yang sepatutnya orang Melayu buat sendiri)”.

Mengulas mengenai cadangan ‘perpaduan’ dengan PAS untuk mengukuhkan orang Melayu, “Apakah PAS bersedia untuk membelakangkan kepentingan (parti) mereka demi menentukan kepentingan Melayu diutamakan?”.

Kesungguhan pemimpin unggul Bangsa Melayu ini agar UMNO dipulihkan dan kekuatan Melayu dipadukan, agar orang Melayu dapat dimajukan amat jelas apabila diakhir ucapan, beliau mengungkap “Saya tidak akan pejam mata dengan tenang selagi semua ini tidak dibetulkan”.

* Dikemas kini 230pm

Apabila ditanya dalam sidang media, Tun Dr. Mahathir mengatakan beliau lebih berminat untuk bertemu akar umbi UMNO seperti program ini dan mengukuhkan UMNO dari berkempen dalam pilihanraya kecil Manek Urai awal Julai ini.

Setuju dengan cadangan mendemokrasikan UMNO dengan membenarkan 60,000 pemimpin peringkat Cawangan mengundi memilih Kepimpinan berbanding sistem sekarang, beliau mengulangi lagi bahawa termasuk cadangan pembaharuan ini, UMNO telah melalui tiga kali pindaan perlembagaan bagi menentukan proses memilih Kepimpinan menepati aspirasi akar umbi dan gejala rasuah politik dapat dikurangkan. “Yang penting bukan pembaharuan, tetapi sikap ahli UMNO. Sekiranya mereka menghayati Perjuangan asal, maka gejala rasuah ini tidak akan berlaku”.

Published in: on June 27, 2009 at 11:58  Comments (6)