Apakah MPEN akan mempunyai ‘Agenda Melayu’?

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Dato’ Seri Mohd. Najib Tun  Razak tengahari ini mengumumkan senarai anggota Majlis Perundingan Ekonomi Negara (National Economic Advisory Council). Sembilan orang pakar ekonomi akan dilantik, termasuk dari luar negara.

Laporan Utusan Malaysia:

Sembilan pakar ekonomi anggotai MPEN

10/07/2009 3:28pm

 

Oleh ZABRY MOHAMAD (zj)
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

 

PUTRAJAYA 10 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan sembilan tokoh untuk menganggotai Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN).

Menurut Perdana Menteri, kesemua mereka merupakan pakar ekonomi tempatan dan luar negara.

“Penglibatan dan penggabungan tokoh-tokoh pakar tempatan serta luar negara yang berpengalaman luas dan mendalami dari segi perspektif global adalah untuk memberi pandangan dan syor yang komprehensif bagi merangka strategi model ekonomi baru yang berkesan.

“Ia bertujuan mengatasi cabaran ekonomi negara untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mereka yang dilantik ialah:

1. Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak

Beliau merupakan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia; ahli Majlis Inovasi Negara dan penasihat kepada Institut Penyelidikan Pengajian Tinggi Kebangsaan.

2. Datuk Andrew Sheng

Beliau merupakan bekas Ketua Pakar Ekonomi Bank Negara dan ahli Majlis Ekonomi. Beliau juga ialah Ketua Penasihat Suruhanjaya Kawalan Perbankan China dan Ahli Lembaga Kawalan Pusat Kewangan Qatar.

3. Datuk Dr. Zainal Aznam Mohd. Yusof

Beliau ialah ahli Majlis Ekonomi; bekas Timbalan Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) serta pernah menjadi perunding kepada Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unido), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dan Bank Dunia.

4. Datuk Dr. Hamzah Kassim

Beliau ialah ahli penasihat Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF) dan bekas Pengarah Kajian ISIS. Beliau pernah menyediakan Rancangan Induk Teknologi Industri dan memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam industri di peringkat antarabangsa dan sektor awam.

5. Datuk Nicholas S. Zefferys

Beliau merupakan penasihat korporat yang mempunyai 40 tahun pengalaman dalam jawatan pengurusan strategik di syarikat multinasional merentasi beberapa bidang industri termasuk elektronik, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan serta kewangan. Pada masa ini beliau merupakan ahli lembaga pengarah beberapa syarikat dalam dan luar negara.

6. Dr. Mahani Zainal Abidin

Beliau ialah Ketua Pengarah ISIS dan pernah memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pasukan Petugas Khas Globalisasi serta Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

7. Dr. Yukon Huang

Pada masa ini, beliau ialah Penasihat Kanan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB). Beliau merupakan pakar dalam bidang kewangan dan pembangunan meliputi Wilayah Asia Timur serta bekas Kesatuan Soviet.

8. Dr. Horni J. Kharas

Beliau merupakan Fello Kanan Pusat Pembangunan Wollfensohn, Brookings Institution dan Ketua Pakar Ekonomi Wilayah Asia Timur di Bank Dunia. Kepakarannya meliputi bidang perancangan dasar bagi pembangunan ekonomi, pembangunan sektor swasta dan perdagangan antarabangsa.

9. Profesor Dr. Danny Quah

Beliau adalah Ketua Jabatan Ekonomi di London School of Economics (LSE). Beliau juga menjadi pensyarah di Universiti Harvard dan penasihat kepada Bank of England, Bank Dunia serta Lembaga Kewangan Singapura.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz, 59, dilantik sebagai Pengerusi MPEN berkuat kuasa 1 Jun lalu. – Utusan

****************************

 

Secara kasarnya, mereka yang dilantik ini merupakan pakar yang berpenglaman. Cabaran untuk menentukan ekonomi negara mampu bertahan dan kemudian bersaing dalam kegawatan kewangan yang sedang melanda seluruh dunia hari ini adalah amat berat.

Persoalan sekarang, apakah lantikan yang dibuat ini tepat dan bersesuaian dengan kehendak dan keadaan sebenar negara?

Dua dari ahli yang dilantik merupakan pakar yang berpengalaman dalam Bank Dunia, iaitu Dr. Huang, Dr. Kharas dan Prof. Dr. Quah. Samada pengalaman pakar ini relevan atau tidak dengan konteks keperluan negara, masih lagi menjadi kemusykilan. Yang nyatanya, sistem kewangan Wall Street dan The City hampir lumpuh dan memerlukan begitu banyak suntikan modal agar bank dan syarikat modal Barat ini tidak muflis dan menyeret ekonomi yang sudahpun merundum ini. Namun begitu, perlantikan mereka ini sebagai penasihat untuk menyelesaikan masalah ekonomi Malaysia menjadi tanda tanya dan apakah mereka akan membawakan preskripsi dunia kewangan Barat, yang sudah terbukti terlalu banyak kepincangan dan gagal, termasuk untuk ekonomi gergasi seperti Amerika Syarikat.

Semasa Malaysia dilanda kegawatan ekonomi akibat serangan oleh penyangak matawang bermula pertengahan 1997, preskripsi sistem kewangan Barat untuk menaikan faedah pinjaman mula digunakan dan akhirnya membawa padah. Akibatnya, banyak syarikat gulung tikar dan muflis apabila kekangan kredit menyempitkan kemampuan syarikat ini beroperasi dan menyelesaikan kommitmen kewangan dan pasaran modal masing masing. Ini termasuk syarikat Bumiputra yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (pada masa itu).

Contohnya ialah apabila pemaju gergasi Melayu Dato’ Sulaiman Manan terpaksa mengadaikan syarikatnya Taiping Consolidated Berhad kepada YTL Corporation Berhad dan hartanah bernilai tinggi seperti Lot 10, Star Hill, J W Marriott dan Sentulraya terlepas ketangan Bukan Bumiputra sebegitu sahaja kerana dasar yang diguna pakai untuk tidak membela syarikat yang tidak mampu menyelesai kommitmen kewangan. Ini adalah preskripsi kewangan Barat yang diterapkan Menteri Kewangan ketika itu Anwar Ibrahim.

Apabila Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan mengambil alih jawatan Menteri Kewangan pada 1 September 1998, sehari kemudian diumumkan dasar kawalan modal, termasuk mengeluarkan Ringgit dari pasaran matawang dan mengikat kepada nilai kekal berbanding pada US Dollar. Kesanya adalah serta merta dan sistem kewangan dan pasaran modal mula ‘berhenti berdarah’. Akibatnya proses pemulihan ekonomi mula boleh dilakukan walaupun indeks komposit BSKL jatuh sehingga 291 mata. Satu plan tindakan untuk menangani institusi kewangan yang menghadapi masalah hutang tidak berbayar ( NPL) dan suntikan modal diusahakan serta merta dan menunjukan kejayaan yang memberangsangkan. Preskripsi ini terntaya bersesuaian dengan keperluan Malaysia ini diguna pakai berbanding penyelesaian Barat, yang sebenarnya berpaksikan sistem kewangan Yahudi Neo Con.

Satu lagi preskripsi yang dimestikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah MTEN berunding setiap pagi untuk menganalisa, membincangakandan memberi penyelesaian. Apabila keputusan dibuat, MTEN akan menentukan plan intu diselia rapi dan keputusan yang diambil secara rambang dianalisa untuk mengukur keberkesanya. Pendekatan cara ini merupakan gerak-kerja orang Melayu secara kolektif masa dikampung (menghalusi, berpakat dan bergotong royong untuk membuat kerja), maka apa apa masalah dapat ditangani segera dan kejayaan diperolehi dengan masa dan sumber yang sedikit. Yang paling utama ialah preskripsi yang diguna pakai tidak mengorbankan orang Melayu, terutama golongan usahawan dan korporat, lebih lebih lagi dalam persimpangan tekanan dan kekangan senario krisis kewangan rantau dan benua.

Dr Quah merupakan penasihat Monetary Authority of Singapore (MAS), salah satu organisasi yang merumitkan proses warga kerja rakyat Malaysia yang menyumbang  kedalam Central Provident Fund (CPF) mengeluarkan simpanan hari tua mereka walaupun tidak lagi berkerja di Singapura. Dianggarkan 300,000 tenaga kerja terlibat dan majoriti mereka ini orang Melayu.

Bukankah wajar komposisi ahli MPEN sekurang kurangnya mewakili demografi taburan warga Malaysia menurut etnik? Persoalan seterusnya apakah MPEN akan mempunyai ‘Agenda Melayu’, sedangkan majoriti ahli yang dilantik adalah dikalangan  setakat Bukan Melayu, malah Bukan Warga Malaysia dan lebih buruk lagi, berfalsafah sistem kewangan Barat?

Menurut senarai yang dilantik, kemungkinan hanya tiga orang ahli merupakan mereka yang layak disifatkan sebagai berperasaan nasionalis dan akan mengambil kira ‘Agenda Melayu’ dalam membuat sebarang pertimbangan sebelum bersetuju untuk mencapai apa apa keputusan. Ini amat tidak memberansangkan kerana mereka hanya merupakan minoriti satu pertiga dari MPEN. Dijangkakan MPEN akan lebih mirip membuat keputusan yang sealiran dengan preskripsi ekonomi yang ditaja dan amalkan ekonomi Barat.

Pengerusi MPEN Tan Sri Amirsham Abdul Aziz merupakan personaliti kewangan yang boleh disifatkan sebagai ‘gagal’. Ini kerana beliau merupakan Pengarah Urusan Maybank yang sepatutnya bertanggung jawab dalam skandal melibatkan pelaburan Bank Internasional Indonesia  yang menyaksikan kerugian beratus juta Ringgit dan Maybank terpaksa mengadakan rights issue modal untuk menampung kerugian pelaburan yang gagal. Beliau juga merupakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (yang bertanggung jawab keatas EPU) semasa keputusan menaikan harga runcit petrol sebanyak 78 sen secara mendadak menjadi harga RM2.70 seliter. Kesan kenaikan ini masih belum dapat dipulihkan sehingga hari ini kerana kenaikan harga barangan, kos pengeluaran dan indeks harga, yang menjadi bebanan berat majoriti rakyat Malaysia, terutama orang Melayu. Daya pembelian rakyat Malaysia, terutama orang Melayu menguncup dengan drastiknya akibat tindakan terburu buru ini.

Keputusan untuk melantik MPEN hari ini amat dikhuatiri tidak akan memberikan sebarang pertimbangan kepada ‘Agenda Melayu’, yang amat penting untuk Malaysia memandangkan 65% warga Malaysia adalah dikalangan orang Melayu dan Bumiputra, yang masih memerlukan bantuan dan perancangan untuk mereka sama kedudukan dan mampu bersaing dengan etnik lain. Menjaga kepentingan orang Melayu wajar menjadi agenda utama negara agar kestabilan dapat dijamin dan proses pemulihan ekonomi berjalan lancar.

Diharapkan ini bukanlah ‘hadiah kejutan’ (surprise gift – shock treatment) untuk orang Melayu sempena ‘Perayaan 100 Hari sebagai PM’ yang begitu digembar gemburkan ini. Pengumunan MECD dikecualikan dalam senarai Kabinet 9 April 2009, ‘Biasiswa Nasional’  dan liberalisasi pasaran modal sudah cukup memberikan kejutan kepada mereka yang sensitif atas kepentingan ‘Agenda Melayu’ untuk kesejahteraan strategik dan kestabilan sosio-politik Malaysia secara total.

Published in: on July 11, 2009 at 00:03  Comments (32)