UMNO perlu melakukan transformasi untuk mengembalikan keyakinan rakyat

Semalam Pilihanraya Kecil DUN N41 Manek Urai berjaya disempurnakan. Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah diumumkan sebagai pemenang mengalahkan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti amat tipis 65 undi. Perubahan mengurangkan majoriti sebanyak 95% merupakan kejayaan yang memberansangkan.

Laporan Utusan Malaysia:

Petanda angin perubahan

 

Oleh ZAINI RABAN, TARMIZI ABDUL RAHIM dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

TRONOH 14 Julai – Kekalahan tipis calon Barisan Nasional (BN) kepada calon Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai hari ini menunjukkan angin perubahan daripada rakyat bertiup kuat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan mengurangkan majoriti Pas pada pilihan raya umum lepas yang melebihi 1,200 undi merupakan satu isyarat jelas bahawa rakyat mahukan pembaharuan.

”Saya rasa bersyukur walaupun kita kalah 65 undi. BN berjaya kurangkan majoriti tetapi malangnya kita tidak dapat undi yang boleh meletakkan kita dalam keadaan menang.

”Saya rasa kita tidak harus kecewa kerana keputusan ini menunjukkan ada peningkatan sokongan yang cukup jelas kepada BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-52 di Universiti Teknologi Petronas di sini malam ini.

Muhyiddin mengulas mengenai kegagalan BN merampas kerusi DUN Manek Urai selepas calonnya tewas kepada Pas dengan majoriti tipis 65 undi.

Pas mengekalkan kerusi DUN Manik Urai setelah calonnya, Mohd. Fauzi Abdullah mengalahkan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, keputusan itu juga menunjukkan petanda rakyat sudah mula memahami dan boleh menilai kepimpinan berwibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa pembaharuan kepada negara

******************************

Ini pula laporan Utusan Malaysia dari Laut Merah:

Bukti rakyat kembali yakin kepada BN – Najib

15/07/2009 11:39am

SHARM EL-SHEIKH 15 Julai — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau berpuas hati dengan perubahan yang berlaku pada pilihan raya kecil Manik Urai kerana ia menunjukkan usaha-usaha yang dilakukan sepanjang 103 hari beliau menjadi Perdana Menteri mulai diterima rakyat, terutama pengundi Melayu.

Katanya walaupun Barisan Nasional (BN) tewas dengan majoriti 65 undi, keputusan itu amat memberangsangkan lebih-lebih lagi ia berlaku di kawasan majoriti Melayu.

“Mudah-mudahan sokongan dan kepercayaan rakyat yang kian bertambah ini akan berterusan,” kata Najib yang juga Pengerusi BN kepada wartawan Malaysia di bandar peranginan Mesir di Laut Merah ini untuk menghadiri sidang kemuncak ke-15 Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

 Pas mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Manik Urai setelah calonnya Mohd Fauzi Abdullah mengalahkan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti 65 undi setelah memperoleh 5,348 undi berbanding BN, 5,283 undi.

 “(Keputusan) ini bererti keyakinan rakyat terhadap BN sudah dapat kita pulihkan dan sekiranya kita meneruskan usaha-usaha yang telah dimulakan, saya percaya kedudukan Barisan Nasional akan menjadi lebih mantap lagi InsyaAllah. – Bernama

*************************

Secara realistik, keputusan Manek Urai adalah terlalu awal untuk merumuskan bahawa UMNO dan BN mula diterima semula oleh pengundi, sebagaimana kedudukan pra-Pilihnaraya Umum XII (PRU 12) 8 Mac 2009. Pemimpin dan ahli UMNO wajar mengambil pendekatan realistik untuk menilai kedudukan mereka sebenar dan masih terlalu awal untuk membuat sebarang ketetapan pra-matang, terutama untuk memuaskan diri dan ego masing masing. Sekiranya mendabik dada merupakan satu kesilapan besar!

UMNO belum boleh selesa dengan keputusan ‘hampir menang’ PRK DUN N41 Manek Urai ini. Banyak faktor perlu diambil kira dalam pertimbangan untuk menilai kedudukan UMNO dihati rakyat, walaupun BN beroleh kejayaan paling baik semenjak kegagalan berturut bagi semua Pilihanraya Kecil (PRK) semenjak PRU 12 lepas.

Analisis keadaan dengan keputusan PRK DUN Manek Urai perlu dikaji secara realistik dan total. Isu isu seperti krisis intra-PAS dan  intra-Pakatan Rakyat  sebenarnya mendapat perhatian masyarakat Malaysia, termasuk orang di Kuala Krai.

Penawaran pembinaan jambatan baru yang amat diperlukan masyarakat setempat merupakan faktor yang perlu dipertimbangkan bagi sebuah kawasan pendalaman Ulu Kelantan. Ada kemungkinan pengundi Manek Urai bersedia mengadaikan kerusi DUN ini kepada UMNO untuk pembangunan yang amat diharapkan. Ini kerana walaupun sekiranya UMNO berjaya merampas DUN Manek Urai, ianya tidak akan menjejas kuasa PAS dalam Kerajaan Negeri Kelantan dan rakyat Manek Urai akan beroleh banyak menafaat sebelum PRU akan datang, yang dijangkakan sekurang kurangnya tiga tahun lagi dan pengundi Manek Urai boleh mengembalikan kerusi DUN tu kepada PAS setelah segala ‘kemanisan’ imbuhan Kerajaan Pusat dapat dinikmati sepenuhnya.

Faktor calon BN juga menjadi ‘kelebihan’ mengapa pengundi Manek Urai membuat pertimbangan yang berbeza dengan PRU 12, yang hanya berlaku enam belas bulan lepas. Ini adalah satu faktor yang UMNO patut berbangga kerana menengahkan calon yang amat diterima pengundi setempat dan sesuai dengan aspirasi akar umbi parti dan rakyat. Pengarah Pilihanraya Dato’ Mustapha Mohamad, yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan yang baru dilantik juga sesuatu yang diterima baik akar umbi. Ini berbanding dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan semasa Presiden UMNO VI PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi , iaitu Tan Sri Anwar Musa, yang rata rata tidak senangi rakyat, maupun akar umbi UMNO sendiri.

wang_bangsa_perwakilan

Untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat kembali kepada UMNO dan sebagai rakan kongsi tunjang BN, ianya memerlukan banyak pembetulan. UMNO perlu melalui proses melakukan ‘pembersihan’ secara menyeluruh dan mengenepikan pemimpin yang dianggap sebagai mengamalkan ‘politik wang’ dan ‘rasuah politik’. Paling penting, ianya perlu dilakukan segera dan bukan sekadar meminda perlembagaan parti hanya untuk kunun kunun ‘mendemokrasikan’ UMNO. Sebagaimana pesan Presiden UMNO V Tun Dr. Mahathir Mohamad selalu, “Pemimpin bukan setakat perlu bersih, malah perlu dilihat sebagai bersih”. Setelah ‘Peralihan Kuasa’ pertukaran jawatan Presiden UMNO 15 minggu lepas, tindakan yang diambil keatas pemimpin UMNO yang dianggap sebagai ‘korup’ dan ‘tidak bersih’ setakat ini masih belum berjaya meyakinkan rakyat yang mendambakan pembaharuan. Malah ada pemimpin yang dilihat sebagai ‘tidak bersih’ dan ‘korup’ masih lagi diberi tempat dalam parti.

Pemimpin semua peringkat dan sayap UMNO juga perlu berinteraksi secara menyeluruh dan konsisten dengan ahli akar umbi dan rakyat. UMNO perlu dibudayakan dalam kehidupan secara total seharian masyarakat, terutama dikalangan orang Melayu sebagaimana yang berjaya dipupuk dalam negeri Johor. Pemimpin UMNO perlu menjadi tempat rujukan bagi rakyat dan menghayati sepenuhnya slogan PM Dato’ Seri Najib “Rakyat didahulukan, prestasi diutamakan”. Secara ringkas, UMNO perlu mengurus ekspektasi (managing expectation) dengan baik dan berkesan agar kekal relevan dihati orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Perjuangan UMNO memartabatkan kepentingan orang Melayu tidak harus dilihat sebagai membelakangkan kepentingan etnik lain atau negara. Peningkatan kedudukan, kemampuan dan taraf sosio ekonomi Orang Melayu dan Bumiputra sebagai penduduk majoriti negara ini secara automatik akan meningkatkan kepentingan seluruh Malaysia. Ini kerana apabila orang Melayu berjaya ditingkatkan, kuasa beli dan kekuatan ekonomi dalaman juga akan dijana. Masyarakat peniaga runcit yang rata dikuasai Bukan Melayu juga yang akan meraih keuntungan. UMNO dalam proses perancangan ini, wajar mengambil pertimbangan kepentingan nasional tanpa mengorbankan kepentingan dan hak orang Melayu.

UMNO sebagai sebuah organisasi yang paling ramai ahli dalam negara ini perlu peka kepada aspirasi rakyat. Menghayati Perjuangan dan keseluruhan proses bagaimana orang Melayu boleh sampai takat ini dan peka mengenai elemen dikalangan Melayu yang mahu hancurkan Bangsa Melayu demi kepentingan sendiri merupakan perkara wajib ahli UMNO pertimbangkan secara serious.

Inilah waktu paling sesuai bagi pemimpin UMNO semua peringkat dan sayap untuk membuktikan bahawa Perjuangan yang mereka rela pikul ini sebenarnya memerlukan pengorbanan, sesuai dengan warisan pemimpin UMNO terdahulu yang berjaya meningkatkan martabat orang Melayu, memerdekakan tanah air dan membawa agenda pembangunan. Sejarah UMNO bermula dengan pengorbanan. Perjuangan tidak akan memberi sebarang erti tanpa pengorbanan. Perjuangan yang berasaskan kesediaan berkorban akan menentukan keyakinan rakyat dikembalikan dan UMNO/BN terus diberikan kepercayaan, penghormatan dan harapan untuk memajukan agama, bangsa dan tanahair.

DULU, KINI dan SELAMANYA!

Published in: on July 15, 2009 at 11:52  Comments (6)