“Dah terhantuk, baru nak tergadah….”

Isu pembinaan kuil Hindu dikawasan majoriti Melayu Seksyen 23 Shah Alam menajdi lebih rumit dan komplikated. Setelah beberapa NGO mengadakan demonstrasi membantah keputusan Kerajaan Selangor, maka Kepimpinan Kerajaan Ketuanan Rakyat kini mengumumkan kesediaan berbincang untuk mengatasi masalah yang dibangkitkan itu.

Laporan Utusan Malaysia:

Isu kuil: Selangor sedia bincang

SHAH ALAM 29 Ogos – Kerajaan negeri sedia berbincang bagi menyelesaikan isu pembinaan kuil di Seksyen 23 di sini, selepas penduduknya mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) semalam bagi membantah cadangan tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya mengadakan pertemuan itu secara terbuka pada 5 September ini.

Bagaimanapun, katanya, pertemuan itu hanya terhad kepada para penduduk Seksyen 23 selain dihadiri pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

”Perbincangan itu nanti bukan hanya sekadar mendengar pendapat masyarakat setempat tetapi juga memberi peluang kepada kerajaan negeri menjelaskan fakta sebenar dan alasan keputusan menempatkan semula kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menteri Besar turut menggesa para penduduk di kawasan itu supaya bertenang dan tidak membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh fakta-fakta yang tidak benar selain sengaja diapi-api oleh pihak tertentu yang berniat jahat terhadap kerajaan negeri.

Beliau juga kesal dengan perarakan tersebut yang disifatkan sebagai mempunyai unsur-unsur provokatif.

Semalam, kira-kira 200 orang penduduk Seksyen 23, di sini bertindak mengadakan perhimpunan bagi membantah cadangan kerajaan negeri sejurus selepas solat Jumaat dengan berarak ke bangunan SUK.

Tindakan itu dibuat sebagai tanda bantahan mereka terhadap keputusan kerajaan negeri yang mahu mengalihkan kuil dari Seksyen 19 ke kawasan mereka di Seksyen 23 yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Sebaliknya, mereka mahu supaya tapak kuil dialihkan ke kawasan tapak cadangan asal iaitu di Seksyen 22.

Malah, menurut penduduk, perhimpunan itu sebenarnya adalah jalan paling akhir terpaksa dilakukan berikutan keengganan kerajaan negeri mengadakan sebarang pertemuan serta penerangan mengenai cadangan itu kepada mereka sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23, Ibrahim Sabri ketika dihubungi hari ini berkata, tindakan membawa kepala lembu dalam perhimpunan itu bukan untuk menghina agama kaum tertentu.

Sebaliknya, ujar beliau, ia adalah simbol bahawa pemimpin kerajaan negeri adalah ‘bodoh’ seperti haiwan tersebut dan mudah dicucuk hidung apabila mahu menjayakan sesuatu projek tanpa mengambil kira pandangan rakyat di kawasan yang hendak dibangunkan.

Beliau juga turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang baru sekarang mahu mengadakan perbincangan dengan penduduk mengenai pembinaan rumah ibadat itu.

Katanya, penduduk di kawasan itu tidak pernah diberi ruang dalam perbincangan pembinaan rumah ibadat itu sehinggalah pihaknya bertindak membantah serta mengadakan perhimpunan semalam.

Ibrahim turut melahirkan rasa kesal dengan kenyataan kerajaan negeri termasuklah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad kepada media hari ini yang memutarbelitkan keadaan dengan mengaitkan tindakan penduduk semalam adalah samseng, berunsurkan politik serta dipengaruhi oleh UMNO.

”Kenapa baru sekarang mereka mahu berbincang dengan penduduk sedangkan sebelum ini tidak, sehinggalah kerajaan negeri buat keputusan pindahkan kuil dari Seksyen 19 ke kawasan kami?

”Malah kita kesal kerana bantahan yang kita lakukan ini diputar-belit (pemimpin negeri). Kita lakukan perhimpunan ini atas dasar menyatakan pendirian kita yang tetap menolak pembinaan kuil di kawasan itu,” katanya.

Beliau menjelaskan, tindakan mereka semalam bukan atas landasan atau pengaruh mana-mana parti politik termasuk UMNO.

Sebaliknya kata Ibrahim, ahli jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23 itu dianggotai oleh mereka yang menjadi ahli UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas sendiri.

***************

Ironinya, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23 itu merupakan ahli PKR. Sebelum ini, terjadi kontroversi dalam polisi dan pendekatan penguatkuasaan penjualan minuman beralkohol dalam negeri Selangor, dimana Exco dari parti berbeza mengambil ketetapan yang amat bercanggah.

Inilah terjadi apabila pengundi membuat pilihan atas emosi dan kesanya, mereka yang dikalangan “Tidur sebantal, mimpi lain lain” diberikan kuasa. ‘Kongsi-kuasa’ PKR-DAP-PAS Selangor yang mempunyai aspirasi berbeza dan tidak mempercayai antara satu sama lain ini amat ketara dan menyerlah. Mungkin Kerajaan Selangor lepas bukanlah model paling ideal untuk memenuhi segala aspirasi rakyat, terutama yang makin sofistikated dan mencabar dalam era globalisasi dan ujud dikalangan rakyat merupakan masyarakat yang dambakan ‘civil liberty’. Namun, kepentingan asas (fundamental) dan keperluan majoriti sentiasa diutamakan.

Arwah nenek Kawan selalu mengingatkan, “Jangan terhantuk baru nak tergadah”. Makna kasarya hari ini ialah: Padan muka orang Melayu Selangor yang beremosi dan percaya sangat untuk bagi undi pada PKR, PAS dan paling sia sia, DAP!

Published in: on August 30, 2009 at 06:49  Comments (27)