Muhyiddin: Menggalas Tuntutan Perubahan

umno_logo2

UCAPAN

YAB TAN SRI MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

TIMBALAN PRESIDEN UMNO

 

DI MAJLIS PERASMIAN SERENTAK PERSIDANGAN PERWAKILAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2009

 

BERTEMPAT DI DEWAN MERDEKA,

PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA

KUALA LUMPUR

13 OKTOBER 2009; JAM 8.00 MALAM

 

 

MENGGALAS TUNTUTAN PERUBAHAN

 

 

Bismillahirrahmanirrahim.

 

 

 

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

 

YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil

Ketua Pergerakan Wanita

 

YB Sdr. Khairy Jamaluddin

Ketua Pergerakan Pemuda

 

YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin

Ketua Pergerakan Puteri

 

YB Naib-Naib Presiden UMNO

 

YB Setiausaha Agung UMNO

 

Ahli-ahli Majlis Tertinggi

 

Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri

 

Saudara-saudari sidang perwakilan dan para pemerhati sekalian

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah izin dan kurniaNya kita sekali lagi dapat berhimpun di Dewan Merdeka pada malam ini untuk menyempurnakan Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri 2009.

 Saya berdiri di sini di hadapan saudara dan saudari dengan perasaan bangga atas kemenangan besar UMNO dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pejuang UMNO dan Barisan Nasional yang telah menyumbangkan khidmat bakti bagi memastikan kemenangan kita.

 

Kalau tidak pohon berangan

Tidak puyuh ke Tasik Chini

Kalau tidak kerana perjuangan

Tidak kita berkumpul di sini.

 

Jiwa Baru UMNO        

 Pertemuan kita kali ini membawa pengertian besar bagi parti UMNO yang sedang menakhoda zaman.  UMNO baru sahaja melalui perubahan besar dalam sejarah kepimpinannya. Untuk sekian kalinya kita menyaksikan kepimpinan baru pada semua peringkat – dari Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri. Tahniah saya ucapkan kepada barisan kepimpinan UMNO yang baru, khususnya kepimpinan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang berada di sini pada malam ini.

 Apa yang menarik ialah YAB Presiden dan saya sendiri lahir dari madrasah pemuda UMNO. Ketiga-tiga Naib Presiden juga lahir daripada madrasah yang sama. Ketua Wanita lahir dari proses kematangan dan kepimpinan dalaman wanita. Demikianlah juga ketua pemuda dan ketua puteri lahir daripada tarbiah kepimpinan pemuda dan Puteri. Saya amat berbangga bahawa di hadapan saya pada malam ini adalah terdiri dari barisan kepimpinan masa depan UMNO yang di dalam genggaman tangan saudara saudari sekelian yang akan mencorak nasib dan masa depan agama, bangsa dan tanahair.

Saudara saudarilah yang sebenarnya mewakili jiwa baru UMNO bagi menggalas cabaran dan tuntutan perubahan di tengah-tengah landskap politik negara yang baru. Jiwa baru yang mewakili setiap suara orang Melayu, bumiputera dan rakyat Malaysia. Jiwa baru yang dibina dengan idealisme perjuangan dan setia menjadi ahli parti. Jiwa baru yang bersedia dan berani melakukan perubahan. Inilah gelombang perubahan UMNO.

 Saya yakin UMNO mahu berubah.  UMNO telah mula berubah. Dan UMNO akan terus membuat perubahan untuk kebaikan. Sebagai sebuah parti yang lahir dari suara Melayu dan yang mendapat dokongan rakyat, UMNO pasti akan melakukan perubahan untuk mencapai kebaikan. UMNO tidak tertegak sebagai parti yang statik, jumud dan beku ketika zaman sedang berubah dengan pantas. Sejarah membuktikan UMNO  adalah parti yang sentiasa menjana kekuatan, melakukan penyesuaian dan sentiasa membentuk kepemimpinan pelapis sebagai sebahagian daripada proses perubahan. Yang patah pasti tumbuh, yang hilang akan berganti.

Inilah sebenarnya yang menjadikan UMNO parti yang dinamis, berubah mengikut masa, dan membuat penyesuaian mengikut keperluan dan tuntutan zaman. Kita sedar tanpa kesediaan untuk berubah, UMNO akan diubah. UMNO mengambil serius tuntutan ke arah perubahan ini kerana proses pembugaran semula  adalah kunci kekuatan UMNO masa kini bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang. Maka haluan besar tuntutan untuk semua warga UMNO adalah untuk membuktikan bahawa kita bersedia melakukan

 

PERUBAHAN!

Dan memastikan bahawa UMNO tetap

RELEVAN!

Perubahan dan Relevan — kedua-duanya saling berkaitan, ibarat ruh dan jasad, ibarat aur dan tebing, yang satu menyokong yang lain, yang satu memperkuat yang lain. Tidak ada ertinya sekiranya kita hanya mampu berubah tetapi tidak menjadikan UMNO releven dengan putaran masa. Justeru, UMNO perlu menjadi releven memahami suara, bahasa, gaya dan nuansa politik baru. UMNO perlu menjadi releven dalam dunia terbuka tanpa sempadan dan di tengah-tengah ledakan maklumat dan ilmu. UMNO perlu terus menjadi releven dengan mewakili suara orang Melayu, Bumiputera dan rakyat keseluruhannya.

 

Mendepani Cabaran

 Saudara dan saudari sekalian,

Parti kita pada saat ini sedang diuji dengan cabaran dan tantangan yang getir. Apa yang dikatakan tsunami politik sewaktu Pilihan Raya Umum 2008 bagai menghasilkan musibah berupa trauma yang masih terbekas di sanubari kita. Bagi kebanyakan orang, trauma ini masih belum kebah.

Dalam suasana segetir ini, kita seolah-olahnya sedang berada di pinggiran tebing yang curam. Di hadapan kita lurah yang dalam, sementara di belakang kita gunung-ganang dan cenuram yang tinggi. Dalam keadaan sedemikian, kita sebenarnya tiada pilihan. Jika kita terus berarak ke tebing, kita akan tersungkur ke lurah dan rebah buat selama-lamanya. Kita berada di persimpangan bagaikan dalam nestapa zaman gila seperti yang disebut oleh pujangga Ronggowarsito dalam syairnya “Jaman Edan” atau Zaman Gila:

 

Mengalami jaman edan,

Sulit rumit dalam bertindak,

Ikut gila tak sampai hati,

Jika tak ikut – larut,

Bakal tak dapat rezeki,

Kelaparanlah akhirnya,

Namun sudah takdir kehendak Allah,

Lebih mujur bagi yang ingat (pada Tuhan)

Dan tetap waspada

 

Gambaran zaman edan turut dapat dirasakan hari ini apabila rakyat dihidangkan dengan fitnah dan pembohongan sehingga kekeliruan dan kepalsuan menjadi kebiasaan. Khabar angin, provokasi, cerita palsu dan berita sensasi sengaja direka untuk membangkitkan rasa benci terhadap musuh. Masyarakat sukar untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan, antara kebaikan dan kemungkaran. Akhirnya, yang benar menjadi palsu, yang palsu menjadi benar. Yang ma’ruf menjadi mungkar, yang mungkar menjadi ma’ruf. Yang adil menjadi zalim, yang zalim menjadi adil. Yang hak menjadi batil, yang batil menjadi hak. Ini adalah hasil tangan-tangan mereka yang melakukan kerosakan atas nama kebebasan, kesaksamaan, keadilan dan juga atas nama agama. Matlamat menghalalkan cara, walaupun taruhannya sebuah bangsa dan negara. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 11-12:

 

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ لَا تُفۡسِدُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ قَالُوٓاْ إِنَّمَا نَحۡنُ مُصۡلِحُونَ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلۡمُفۡسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشۡعُرُونَ

 

Yang bermaksud: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya”.

 

(Al-Baqarah: 11-12)

 

Golongan yang membuat bencana dan kerosakan ini menjadi angkuh dan sombong ketika tuhan menguji mereka dengan sedikit kuasa. Lalu mereka berarak di jalan-jalan raya konon menunjuk jaguh kuasa, mereka menentang suara demokrasi konon kuasa rakyat bersama mereka, mereka mengherdik kehakiman Negara konon dikasi oleh adikuasa, mereka membentak polis konon dikawal kuasa mereka, malah mereka menyanggah Suruhanjaya Pilihanraya bila keputusan-keputusan tidak berpihak pada mereka. Mereka alpa dengan peringatan Allah agar tidak memecah belahkan umat, agar tidak menabur fitnah, agar tidak menghina dan mencaci sesama manusia. Mereka berasa tidak berdosa ketika kononnya bercakap tentang keadilan dan keIslaman, tetapi terus menggugat dan meruntuhkan nilai keIslaman mereka.

 Oleh yang demikian, hayatilah peringatan sejarawan Islam Ibn Khaldun dalam karyanya Muqaddimah. Dalam kitaran sejarah, kejatuhan sesuatu bangsa itu bermula dengan menularnya sikap mementingkan diri serta lunturnya semangat kesepaduan di kalangan generasi terkemudian. Mereka lupa bahawa kemakmuran yang mereka kecapi adalah hasil daripada perjuangan, pengorbanan dan kesatuan hati generasi terdahulu dalam membangun jiwa dan mengangkat maruah bangsanya. Pertelagahan dan perbalahan sesama sendiri menjadi lumrah apabila nafsu serakah terhadap kuasa dan harta bermaharajalela. Apabila sikap ini sudah menular dan tidak dapat dibendung lagi, bangsa ini akan rebah.

Melihat ke dalam masalah ini, kita mesti berfikir sejenak, bermuhasabah diri, membetulkan langkah, membulatkan tekad, mempertautkan hati dan bersama-sama mara mendaki ke puncak. Kita mesti belajar dari pengalaman lalu dan memperbetulkan diri. Dengan berbekalkan sejarah dan tradisi kita memperkukuhkan keyakinan, dengan berbekalkan semangat dan iltizam kita melangkah ke hadapan, dengan berbekalkan sumpah keramat penubuhan parti, kita membela agama, bangsa dan negara.

Sesungguhnya, masa berlalu dan pemimpin silih berganti. Namun persetiaan untuk menggalas perjuangan luhur UMNO membela agama, bangsa dan tanah air demi kesejahteraan rakyat mesti ditunaikan.

 

Tegak kita pada yang hak

Duduk kita pada yang elok

Membela rakyat tahan dikerat

Membela bangsa tahan binasa

 

Tradisi perjuangan kita membela bangsa tidak pernah padam meskipun terpaksa berhempas pulas dalam gelombang sistem politik demokrasi.  Kita sedar demokrasi tidak mengenal rekod pencapaian dan sejarah perjuangan silam. Sebuah parti yang banyak berjasa dan gah berkuasa sekalipun boleh rebah sekiranya tidak lagi diterima oleh rakyat.

 Sejarah parti-parti kemerdekaan di Negara-negara serantau banyak memberi pengajaran dan keinsafan. Parti Golkar di Indonesia tidak lagi sekental dulu.  Parti Nacionalista di Filipina telah lama tumpas. Yang paling mutakhir tumbang ialah Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun yang telah banyak berjasa membangunkan semula negara Jepun selepas Perang Dunia Kedua.

Apakah yang menyebabkan parti-parti ini kecundang? Apakah jasa dan bakti parti-parti ini kepada pembangunan, kemajuan dan kemakmuran negara masing-masing tidak lagi dikenang oleh rakyat? Apakah rakyat mempunyai kehendak dan aspirasi yang berbeza daripada apa yang mampu ditawarkan oleh parti-parti ini? Atau apakah parti-parti ini menjadi angkuh dan pemimpinnya tamak oleh kerana terlalu lama berkuasa?

Tidak dapat dinafikan bahawa sejarah perjuangan UMNO telah berjaya melakukan transformasi sosio-ekonomi yang besar  di kalangan orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya sehingga muncul generasi baru kelas menengah yang penuh dengan idealisme baru dan tuntutan baru.  Pemimpin UMNO pula tidak pernah lupa dari mendambakan diri kepada rakyat. Persoalannya kini ialah apakah UMNO bersedia untuk mengisi pengharapan baru rakyat hari ini yang tentunya lebih tinggi berbanding ketika UMNO ditubuhkan dahulu.

Saya tetap yakin dan percaya, seperti Parti Kongres di India dan Parti Kuomintang di Taiwan yang pernah tewas, tetapi bangkit semula dengan citra politik yang baru, maka UMNO dan BN juga akan bangkit semula dan mengulangi kegemilangannya.  UMNO mampu menempuh cabaran ini dan memenuhi harapan baru. Ini kerana UMNO adalah parti yang pragmatik dan pantas membaca keadaan serta berani membuat perubahan.  

 

Haluan Perubahan

 

Saudara dan saudari sekalian,

Alhamdulillah, UMNO/BN masih kekal memerintah, meskipun kita gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen, dan tewas di beberapa buah negeri. Peristiwa ini janganlah melunturkan daya juang kita. Kita pernah melalui babak-babak tragis dan jatuh bangun dalam perjuangan. Namun setiap kali kita melaluinya kita menjadi semakin kental dan berpantang maut sebelum ajal.  Justeru, saudara saudari sekelian, marilah kita bingkas bangun segera merapatkan saf, bermula dengan wahdatul fikr (kesatuan minda), dihayati dengan wahdatul qalb (kesatuan hati), bergerak dengan wahdatul amal (kesatuan amal), dan menuju wahdatul hadaf (kesatuan matlamat) untuk melakukan perubahan dan pembaharuan demi kelangsungan perjuangan parti.

 Firman Allah dalam Surah Al-Shof, Ayat 4:

 

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِهِۦ صَفًّ۬ا كَأَنَّهُم بُنۡيَـٰنٌ۬ مَّرۡصُوصٌ۬

 

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”

 

Peringatan Allah ini mengingatkan kita untuk menjadi parti yang sentiasa kukuh dan mantap, bergerak sederap dan senafas, setia memikul amanah, sedia menurut perintah, meletakkan matlamat perjuangan parti mengatasi kepentingan amarah diri. Oleh itu marilah kita bersetia menterjemahkan amanat YAB Presiden agar tidak ada lagi di antara kita yang menjadi batu-api, batu ronson, kaki-cucuk, talam dua muka, pepat di luar, rencong di dalam, dan si Kitol yang lidah bercabang, langkah menyilang. Tidak ada lagi perpecahan dalaman, tidak ada lagi team A-team B seperti dulu, tidak ada lagi gerakan jatuh menjatuhkan pemimpin, tidak ada lagi budaya ugut-mengugut, dan tidak ada lagi perebutan kuasa sehingga parti menjadi mangsa. Yang ada hanya satu wadah, satu pasukan, Satu UMNO! 

Kesemuanya ini dapat kita laksanakan dengan menghayati empat rukun yang saya sebutkan tadi. Dengan terbinanya kesatuan minda, UMNO akan mempunyai visi perjuangan yang jelas. Dengan terjalinnya kesatuan hati, setiap daripada kita akan menjiwai erti perjuangan UMNO. Dengan terbentuknya kesatuan amal, kita bergerak dan bertindak di atas satu landasan dan satu pasukan. Dengan terpaterinya kesatuan matlamat, kita akan dapat mencapai tujuan perjuangan kita demi agama, bangsa dan tanahair.

 

Kesatuan Minda (Wahdatul Fikr)

Langkah pertama kita ke arah perubahan dan pembaharuan ialah kesatuan minda kita untuk memahami, menghayati dan mendalami aspirasi rakyat dan orang Melayu. Kita perlu membebaskan minda dan sikap kita daripada penjara pemikiran yang lapuk, la’ih dan sukar berubah yang menyimpang daripada perjuangan kita yang sebenar. Kita mesti menerima hakikat bahawa landskap politik negara sudah berubah, nilai dan budaya politik masyarakat Melayu sendiri juga sudah berubah. 

Kita perlu menggarap pemikiran baru tentang demokrasi yang merangkumi konsep penghakupayaan (empowerment), politik penyertaan (participatory politics) dan tadbir urus negara yang baik (good governance). Pemikiran baru ini perlu dibina dan digembleng tanpa mengorbankan matlamat asal perjuangan UMNO. Prinsip perjuangan UMNO, iaitu berjuang demi agama, bangsa dan negara adalah tetap luhur  dan releven. Kita tidak perlu apologetik dalam soal ini. Tetapi, dalam suasana pemikiran politik yang telah berubah, maka ia perlu disampaikan, diterangkan dan diwar-warkan dengan cara yang yang lebih jelas dan agresif.

 

Kesatuan Hati (Wahdatul Qalb)

Dengan menjalin kesatuan hati, kita hayati nilai politik luhur yang disanjungi oleh rakyat. Rakyat dan orang Melayu hari ini menyanjung tinggi pemimpin yang ikhlas berbakti; mendahulukan kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadi; sentiasa menunaikan janji; telus, adil, amanah dan bertanggungjawab apabila bertindak; dan sentiasa memahami denyut nadi rakyat. Dengan menghayati nilai-nilai luhur ini, saya yakin UMNO akan sentiasa dekat di hati rakyat.

Apabila kita berbakti, pastikan bakti yang dicurahkan, kidmat yang disampaikan dan bantuan yang dihulurkan benar-benar menyentuh hati rakyat. Ini bermakna kita mesti sentiasa bersatu hati untuk bersama-sama mencurahkan bakti kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. Kita mesti sentiasa bersetia dalam wadah UMNO untuk membantu rakyat tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Kita mesti sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira masa dan tempat.

Kunci kepada khidmat bakti yang menyentuh hati rakyat ialah keikhlasan. Curahan bakti yang dilakukan dengan penuh kesungguhan atas rasa kasih sesama insan akan memancarkan rasa ikhlas di hati sanubari kita. Sesungguhnya, masyarakat boleh menilai setiap khidmat atau sumbangan yang disampaikan. Walau sekecil mana pun sumbangan itu, sekiranya dilakukan dengan niat yang suci, pasti akan dihargai. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya amal perbuatan itu tergantung kepada niatnya, dan seseorang akan memperoleh apa yang diniatkannya”

 

Kesatuan Amal (Wahdatul Amal)

Dengan memperteguh kesatuan amal, kita rangka dan laksanakan pendekatan yang lebih mesra rakyat untuk memenangi hati dan perasaan mereka, terutama sekali golongan muda. Kita tampilkan wahana komunikasi politik yang lebih berkesan untuk mendekati rakyat. Wahana baru yang telahpun kita gunakan ialah media baru dan asas rangkaian sosial yang bersifat interaktif.  Kita manfaatkan wahana ini bukan sahaja untuk berinteraksi tetapi untuk menampilkan idealisme, pemikiran, nilai, budaya dan jiwa UMNO yang baru.

Program mendekati masyarakat mesti diperhebatkan supaya kita benar-benar dapat merasai denyut nadi mereka. Jadilah mata, telinga dan suara hati masyarakat. Fahami permasalahan masyarakat dan bantulah mereka mencari jalan penyelesaian. Sentiasalah turun padang agar kehadiran kita dirasai, diri kita mudah didekati. Sentiasalah berada bersama masyarakat dan bersedia untuk membantu mereka. Ini adalah terjemahan tradisi perjuangan kita membela rakyat.

Untuk itu, kita mesti perkukuhkan asas kekuatan UMNO iaitu ahli dan organisasinya. Kedua-dua modal politik ini mesti terus diperkasa dan disiapsiagakan untuk menggalas perjuangan parti. Kita persiapkan ahli-ahli UMNO dengan ilmu dan kemahiran politik yang mantap melalui program pendidikan dan latihan sepanjang hayat. Dengan melaksanakan program tarbiah siasah ini kita pastikan ahli-ahli UMNO menghayati erti perjuangan UMNO dan erti menjadi pejuang UMNO yang sejati.

Kita persiapkan organisasi UMNO untuk memacu gelombang perubahan. Pindaan perlembagaan yang akan dibentangkan esok bakal membuka jalan kepada proses transformasi sistem politik UMNO yang lebih demokratik dan inklusif. Peremajaan parti menerusi penyertaan pimpinan muda dan wanita yang lebih ramai di semua peringkat akan menyuntik semangat perjuangan yang lebih bertenaga dan segar. UMNO adalah sebuah parti dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

 

Kesatuan Matlamat (Wahdatul Hadaf)

Dengan membulatkan kesatuan matlamat, kita jayakan hijrah jiwa dan sikap. Kita lahirkan para pejuang UMNO yang kukuh imannya kepada Allah s.w.t, yang utuh nilai moral dan etikanya, yang mengutamakan hubungan sesama manusia dan yang memahami realiti semasa. InsyaAllah, dengan melakukan hijrah jiwa ini, yang akan terpancar daripada diri peribadi para pejuang UMNO ialah sifat-sifat terpuji seperti yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Para pejuang kita akan sentiasa berani menyatakan kebenaran (siddīq), bukan dusta, sentiasa amanah (amānah), bukan curang, sentiasa menyampaikan seruan kebenaran (tablīgh), bukan menyembunyikannya, dan sentiasa berfikiran cerdas (fatānah), bukan dungu.

Sebaiknya kita melakukan hijrah jiwa dan sikap dengan menghayati semangat hijrah Rasulullah s.a.w. Baginda Rasulullah s.a.w berhadapan dengan suasana yang amat getir sebelum berhijrah ke kota Madinah. Baginda dicaci, dihina, dicerca, diherdik malah disakiti oleh para musyrikin dan pemuka Arab jahiliyyah. Namun kecekalan baginda mengharungi keperitan perjuangan berbekalkan kekuatan iman melakar titik perubahan besar dalam sejarah kebangkitan Islam. Islam yang mulanya sukar diterima oleh masyarakat Arab jahiliyyah, telah bertapak di bumi Madinah dan kemudiannya tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Saya ingin mengajak seluruh warga UMNO untuk merencana hala tuju perubahan dengan wahdatul fikr; menjiwai keikhlasan perjuangan dengan wahdatul qalb; mendekati rakyat dengan wahdatul amal; dan bergerak sederap selangkah untuk mencapai kegemilangan UMNO dengan wahdatul hadaf. Sekiranya kita dapat menghayati dan melaksanakan keempat-empat rukun ini, kita pasti akan melahirkan generasi pemimpin Ulul Albab yang teguh imannya, tajam ilmunya dan berkat perjuangannya.  

 

Peranan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara dan saudari,

Saya amat bertuah kerana berpeluang untuk bersama dengan saudara saudari hari ini. Saya yakin di hadapan saya adalah wira dan wirawati UMNO yang akan menyusuri arus perubahan. Ketiga-tiga sayap ini merupakan wadah penting untuk melahirkan pemimpin Melayu yang kental, tangkas, berani dan berjiwa besar dalam menggerak panji-panji perjuangan agama, bangsa dan negara.

Pergerakan Wanita sentiasa berdiri kukuh dalam setiap episod perjuangan parti. Ahli-ahli Pergerakan Wanita merupakan penggerak parti yang sentiasa setia dengan perjuangan dan bersedia untuk berada di lapangan pada setiap waktu ketika tenaga dan bakti mereka diperlukan. Syabas saya ucapkan kepada Pergerakan Wanita.

Kita berharap agar Pergerakan Wanita di bawah kepimpinan YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan terus perkasa dan  menjadi cerminan kepada usaha kita untuk mengangkat martabat kaum wanita di negara ini. Justeru, menjadi harapan kita agar lebih ramai pemimpin Pergerakan Wanita terlibat secara aktif dalam proses membuat keputusan parti, samada melalui Pergerakan Wanita atau Majlis Tertinggi. Biarlah parti kita menjadi contoh teladan sebagai sebuah institusi yang benar-benar serius dalam menghargai dan mengiktiraf sumbangan golongan wanita kepada pembangunan bangsa dan negara.

Begitu juga dengan Pergerakan Pemuda. Semangat daya juang tinggi yang dizahirkan semasa siri-siri pilihanraya kecil membuktikan jiwa Pemuda UMNO masih kuat mendaulatkan perjuangan parti. Syabas Pergerakan Pemuda. Manakala Puteri UMNO pula tetap setia berada di mana jua meskipun di tengah-tengah cabaran pembangkang. Syabas Puteri UMNO.

Kedua-dua sayap UMNO ini —Pemuda dan Puteri— berada di barisan hadapan perjuangan parti dan menjadi cerminan kepada citra politik masa depan. Amanah besar yang digalas oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri di bawah kepimpinan YB Sdr. Khairy Jamaluddin dan YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ialah untuk meraih semula sokongan generasi muda melalui pemugaran idealisme perjuangan parti.

Generasi muda pada hari ini adalah generasi yang mengutamakan cetusan akal, bukan letusan emosi. Justeru, tidak ada jalan pintas bagi kita untuk menyantuni generasi muda melainkan kita dapat meyakinkan mereka dengan asas-asas perjuangan kita secara tuntas dan rasional.  Untuk itu, Pergerakan Pemuda dan Puteri perlu bangkit sebagai satu wadah pemimpin muda Melayu yang petah dan tangkas untuk mengenengahkan citra perjuangan UMNO.

Hari ini meskipun kita mulai menyaksikan kebangkitan semangat Wanita, Pemuda dan Puteri untuk memperkasa perjuangan parti, namun semangat ini perlu dikentalkan lagi. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri mesti mara ke hadapan sebagai satu pasukan yang mantap dan padu untuk memikul amanah perjuangan. Setialah kepada prinsip, satukanlah hati-hati, bulatkanlah tekad, bergeraklah dalam satu wadah menuju satu matlamat. Hindarilah kemilau harta dan permata yang melemahkan daya juang, jauhkanlah diri daripada perebutan kuasa yang membinasa, jadilah juru bicara hati nurani rakyat yang berkat.

Saudara dan saudari telah menyumbang bakti kepada parti dan orang Melayu, sentiasa berada di barisan hadapan mengarak panji-panji parti. Semua ini masih belum memadai sekiranya rakyat belum merasai. Pilihanraya ke 12 yang lalu menjadi bukti generasi muda yang masih belum menghayati perjuangan UMNO sepenuhnya. Manakala UMNO pula tidak dilihat memenuhi aspirasi generasi baru dengan pemikiran yang segar. UMNO dilihat sebagai parti eksklusif yang semakin renggang daripada massa. Gerak kerja parti dalam hal penambahan ahli dan pengundi baru pula kelihatan lesu. Inilah antara contoh-contoh cabaran yang belum ditangani.

 

Penunjuk Prestasi Utama Politik

Walaupun begitu, saya yakin kepimpinan ketiga-tiga sayap yang ada pada hari ini mampu untuk mendepani cabaran. Maka garaplah segala potensi, gilaplah kerohanian diri, tingkatkanlah ilmu, kuasailah kemahiran, manfaatkanlah kecerdasan minda dan perkukuhkanlah kualiti kepimpinan supaya UMNO kembali menjadi wadah perjuangan orang Melayu yang memberi harapan kepada segenap lapisan rakyat jelata. Bagi memastikan agar UMNO kembali menjadi parti yang memberi harapan baru, saya ingin mengajak ketiga-tiga sayap untuk menetapkan Penunjuk Prestasi Utama Politik, atau Political Key Performance Indicator iaitu menambah ahli baru, mendaftar pengundi baru dan membentuk jaringan dengan pertubuhan bukan kerajaan.  Saya memberi tempoh masa dua tahun untuk saudara saudari mencapai sasaran. Kita sudah tidak ada masa. Gerakan ini mesti bermula sekarang.  

 

Memacu Perubahan

Saudara dan saudari sekalian,

UMNO di bawah teraju YAB Presiden sudah memulakan langkah tegas untuk memacu perubahan, sekaligus memenangi semula hati dan jiwa rakyat. Kita sudah mengambil langkah untuk melakukan proses penilaian semula secara serius tentang cara dan kaedah mendepani rakyat. Kita juga sudah menjadikan kehendak, aspirasi dan keperluan rakyat sebagai teras komitmen kita. Kita mengutamakan rakyat. Rakyat kita dahulukan.

Maka itu semangat dan hala tuju baru ini mesti segera digarap dan digembeleng agar menjadi arus dan gelombang yang lebih besar, yang nantinya akan melonjakkan perjuangan parti kita ke mercu kejayaan dan kegemilangan. Namun begitu, saya ingin tegaskan bukan UMNO sahaja yang perlu berubah. Parti-parti komponen Barisan Nasional juga perlu berubah. Kita perlu bersedia untuk melakukan transformasi yang lebih mendalam termasuk mencapai muafakat baru dalam hubungan antara parti-parti Barisan Nasional. Muafakat baru ini mestilah berlandaskan kepada semangat penerimaan antara kaum dan penyanjungan terhadap kepelbagaian sebagai sumber kekuatan kita sebagaimana yang telah digariskan oleh YAB Presiden dalam gagasan 1Malaysia.

 

Saudara dan saudari sekalian,

Gema seruan perubahan dan pembaharuan ini mesti segera disahut dengan hati yang cekal dan dada yang terisi dengan obor perjuangan. Jadilah pendokong parti yang bersatu, bersetia dan berkhidmat.

Jadilah pemimpin sejati yang tinggi akal budi, suci jiwa rohani, berani menghadapi cabaran dan cekal memacu perubahan sepertimana yang digambarkan dalam ungkapan Melayu ini.

 

Memakai syarak lahir dan batin

Imannya tebal adat pun kental

Takwanya nampak ilmu pun banyak

 

Berdada lapang berfikiran panjang

Bermuka jernih berlidah fasih

 

Berpendirian kukuh berakal senonoh

Berpijak tidak berkisar

Bercakap tidak beralih

 

Beraninya menahan uji

Setianya tahan dicuba

Taatnya tahan dilipat

 

 

Hayatilah firman Allah s.w.t. mengenai kecekalan iman para pemuda al-Kahfi yang oleh kerana keimanannya itu, mereka ditambahi petunjuk oleh Allah s.w.t.

  

نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّ‌ۚ إِنَّہُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَـٰهُمۡ هُدً۬ى

 

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat petunjuk

(al-Kahf: 13)

 

 

Penghargaan Kepada YAB Presiden

 Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih saya yang setulusnya kepada YAB Presiden yang kita hormati dan sanjungi, di atas sokongan dan kepercayaan beliau kepada saya untuk menjalankan tugas dan kewajipan sebagai Timbalan Presiden. Iltizam saya ialah untuk membantu YAB Presiden dalam menyusuri haluan perubahan yang telah digariskan.

YAB Presiden sebenarnya telah meletakkan penanda aras yang tinggi ketika beliau menyandang jawatan Timbalan Presiden. Justeru, bukan mudah bagi saya untuk mencapai penanda aras itu tanpa sokongan YAB Presiden dan saudara-saudari sekelian.YAB Presiden kita juga telah memacu perubahan dan pembaharuan di peringkat kerajaan, yang kini Alhamdulillah telah diterima baik oleh rakyat. Bukti terjemahan sokongan rakyat kepada UMNO ialah kemenangan besar kita dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang. Sebagai ahli UMNO, kita semua mesti menyambut semangat perubahan yang telah dimulakan oleh YAB Presiden di peringkat kerajaan sambil memacu gelombang perubahan di dalam parti.

  

Penutup

 Saudara dan saudari,

Yakinlah, perubahan pucuk pimpinan parti, kesediaan untuk meminda perlembagaan dan semangat kental pimpinan baru ketiga-tiga sayap, adalah petanda bahawa UMNO sedang menuju ke ufuk kegemilangannya semula. Dari wajah saudara-saudari yang berada dalam dewan perhimpunan malam ini terpancar sebuah harapan baru bahawa UMNO akan bangun semula dengan lebih bersiap-siaga, lebih perkasa.

 Marilah kita mempertautkan hati, memperkukuhkan tekad, memperteguhkan itizam untuk menyemarakkan terus api perjuangan parti. Marilah kita rapatkan saf, gerakkan kesatuan minda, pertautkan kesatuan hati, dan laksanakan kesatuan amal bagi mencapai kesatuan matlamat. Ayuh kita jayakan cita-cita wahdah ini. Sesungguhnya masa depan agama, bangsa, dan negara tercinta ini berada dalam genggaman tangan kita sekalian. Maka laksanakanlah semua ini dengan satu tekad perubahan agar UMNO tetap relevan sepanjang zaman. Marilah kita menggalas tuntutan perubahan.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Persidangan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2009.

 

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Published in: on October 13, 2009 at 21:00  Comments (9)  

The URI to TrackBack this entry is: https://bigdogdotcom.wordpress.com/2009/10/13/muhyiddin-menggalas-tuntutan-perubahan/trackback/

RSS feed for comments on this post.

9 CommentsLeave a comment

  1. Ini merupakan ucapan sulung YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO, merasmikan mesyuarat serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

  2. Ucapan yg penuh keilmuan dan perancangan, semoga kita melihatnya dgn mata hati dan mengamalnya dgn dasar iman yg suci

  3. eksen orang muo …

    • Mestilah eksen.

      Kali pertama orang Muo sampai ke Timbalan Presiden UMNO.

      Setakat MB Johor tu biasa sangat dah…. 🙂

  4. Rakyat menangkan PR kerana benci BN bukan kerana jatuh cinta pada politik PR.

    Rakyat kaum bukan melayu bukan benci rasuah yang diamalkan pemimpin BN tetapi benci kerana ketidak-adilan terpaksa menjadi mangsa racist, diskriminasi dan rasuah harian yang amat berleluasa dilakukan oleh golangan makan gaji kerajaan.

    Kalau BN mau sokongan padu kaum bukan melayu pada PRU13, BN perlu maju kehadapan menubuhkan jawatankuasa di setiap negeri untuk menyelesaikan masalah serius yang dihadapi kaum bukan melayu. Anggota jawatankuasa perlu dianggotai sama rata 3 kaum terbesar dari golongan yang berwibawa (bukan golongan politik) untuk menerima ADUAN kaum bukan melayu kerana:

    1. SPRM tidak dipercayai oleh kaum bukan melayu.

    2. Polis kini sudah tidak boleh diharap walau apa sekali pun dengan lencana dan slogan-slogan nya.

    3. Wakil kepada Wakil raykat UMNO buat tak tau kalau masalah kaum bukan melayu.

    4. Wakil dan Wakil Rakyat bukan UMNO yang terkenal sebagai Penjilat hanya lalat perosak bukan pembina.

    5. Wakil Rakyat UMNO dan Bukan UMNO mengangihkan bantuan rakyat secara tersembunyi hanya kepada sesama makluknya sahaja.

    Apa makna 1Malaysia kalau hanya nama dan tabur duit.

    Menang di BP tak genti menang PRU13 dan tabur duit pun tak gerenti BN menang seperti pada PRK yang lepas-lepas.

    BN perlu tangkas maju kehadapan membina rakyak SeMalaysia sebelum PR maju menbenamkan BN.

    Anak Malaysia.

    • Ada bukti kah bukan Melayu “benci kerana ketidak-adilan terpaksa menjadi mangsa racist, diskriminasi dan rasuah harian yang amat berleluasa dilakukan oleh golangan makan gaji kerajaan”? Sekurang kurang nya beri lah huraian.

      Saya sokong cadangan JK itu tapi ingin tahu butir butir lanjut atau contoh contoh berkenaan No. 5 juga untuk menyokong selanjut nya atau sebalik nya.

      • Kebanyakan Jabatan dan instituisi kerajaan pada masa kini telah di isi oleh kakitangan dengan nisbah yang amat jauh berbeza diantara rakyat berbilang kaum dibandingkan pada suatu masa dahulu.
        Walaupun bukan isu ketara dan kaum bukan melayu memahami peruntukan pekerjaan untuk kaum bumiputra tetapi dengan mengisi 100% kepada satu kaum sahaja adalah tidak sihat dan tiada saingan. Buktinya, kaum bumiputra yang berkhidmat beberapa tahun di syarikat swasta berbilang kaum berkebolehan berkali ganda dibandingkan dengan kakitangan bumiputra yang berkidmat berpuluh tahun di jabatan kerajaan.
        Masalah berlaku keciciran perkhidmatan saksama kepada kaum lain berlaku apabila arahan dan panduan yang dibuat oleh satu kaum untuk kebaikan kepada satu kaum sahaja. Huraiannya bertimbung tapi pemimpin yang buta dan pekat tak perasaannya. Contohnya yang paling mudah, bagaimana pandangan rakyat terhadap hanya satu yang disabitkan iaitu kebetulan satu diantara seribu yang sebangsa dengan simati Kugan.

        Adalah difahami UMNO melaung-laungkan keistiemawwan hak melayu hanya untuk mengambil hati kaum melayu menyokong UMNO tanpa niat mengabaikan kaum lain tetapi pihak atasan yang melaung, pihak bawahan tersalah menjalankan tugas mengikut hati menganggap kaum lain perlu disusahkan. Terlampau panjang untuk dicoretkan.

        No.5. Wakil Rakyat UMNO dan Bukan UMNO mengangihkan bantuan rakyat secara tersembunyi hanya kepada sesama makluknya sahaja.

        Contohnya: Lihat apa telah berlaku kepada MCA, MIC dan Gerakan?
        Pasukan ini telah dianggap tidak relevan lagi oleh rakyat bukan melayu.

        Adalah lebih pratikal, peruntukan kepada pasukan ini dibuka terus bagi rakyat bukan bumiputra. Adalah lebih pratikal, kerajaan menjaga segala kepentingan bukan melayu daripada diserahkan buta-buta kepada pasukan ini. Kenapa tidak kontrak kerajaan sederhana kebawah dibagi peluang kepada kaum bukan bumiputra. Kalau UMNO mengeplotasikan setiap kontrak kerajaan dijemput hanya dengan ayat ‘Bumiputra Sahaja’ kenapa tak diwujudkan 1% atau 2% kontrak tahunan disemua jabatan hanya untuk “Bukan Bumiputra Sahaja”.

  5. […] “Kita perlu bersatu, untuk kebaikan dan kemajuan” apabila ditanya keperluan bagi UMNO bersatu “Semangat berpasukan perlu ujud untuk berusaha untuk kebaikan”. Beliau membuat gesaan ini senada dengan ucapan dasar Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin ‘Menggalas Tuntutan Perubahan’. […]

  6. […] semangat dan kesungguhan yang diluah dan tafsirkan sekitar Dewan Merdeka dan kompleks PWTC. Amanat Timbalan Presiden dan Presiden perlu dihayati dan diterapkan oleh seluruh warga UMNO secara total dan […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: