9 Bulan: Aspirasi akar umbi UMNO dan rakyat belum diterjemah lagi?

 

Hari ini merupakan genap sembilan bulan kami diBigDogDotCom membuat posting “Pembaharuan bermula: Segunung harapan atas bahu Najib”. Ini merupakan genap sembilan bulan PM Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak mengambil alih Kepimpinan UMNO sebagai Presiden UMNO VII dari Presiden UMNO VI PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Antara yang digariskan PM Najib dalam ucapan pengulungan pertama sebagai Presiden UMNO ialah “Memerangi Politik Wang (Rasuah)”. Ianya merupakan bukan sahaja asprirasi akar umbi UMNO, malah menjadi aspirasi orang Melayu dan rakyat Malaysia untuk melihat gejala buruk amalan segelintir pemimpin dan ahli UMNO yang menjadi sebab utama mengapa rakyat Malaysia menolak BN dalam Piliharaya Umum (PRU) 12 pada 8 Mac 2008. Ketidak puasan hati majoriti yang sebelum ini menyokong BN di translasikan dalam kegagalan BN mempertahankan 5 + 1 buah negeri dan pertama kalinya dalam sejarah, gagasan kongsi-kuasa antara kaum dan etnik yang diterajui orang Melayu hilang kuasa 2/3 Dewan Rakyat.

Namun begitu, sepanjang sembilan bulan ini UMNO secara total gagal mengheret pemimpin dan ahli yang mengamalkan ‘politik wang’ dibawa ke muka pengadilan dan di jatuhkan hukum. Ini menjadi ‘kegusaran’ ramai pihak kerana rata rata, akar umbi dan rakyat mempunyai persepsi yang ramai pemimpin dan penyokong calon calon yang menawarkan diri untuk pelbagai jawatan dalam pelbagai sayap dan peringkat mengamalkan gejala jijik ‘politik wang’.

Hujah mengenai ‘kegagalan’ ini ialah proses mengheret (witch hunting) mereka yang mengamalkan dan terlibat dalam ‘politik wang’ akan “melemahkan parti”. Parti akan di lihat sebagai “Membuka pekung di dada” dan mengundang begitu banyak kritikan dan kecaman pelbagai pihak, terutama pengundi.

Kami di BigDogDotCom berpendapat sebaliknya. UMNO perlu berani mengambil pilihan drastik untuk memulihkan keyakinan dan akhirnya sokongan bukan sahaja akar umbi dan orang Melayu, malah seluruh warga pengundi. Kesungguhan UMNO untuk berani menolak secara terbuka pemimpin dan ahli yang mengamalkan ‘politik wang’, gejala jijik yang akan membawa parti nasionalis dan kerajaan yang di pimpini kearah kehancuran.

Inilah anjakan paradigma yang UMNO berani ambil secara total dan tindakan ini perlu di laksanakan dengan kadar segera. Tidak dapat tidak, proses untuk membuat ‘pembedahan dan membuang barah (penyakit)’  dalam UMNO ini akan meninggalkan ‘luka’. Sebarang ‘luka’ perlu masa dan rawatan untuk di pulihkan. Oleh demikian, lebih awal ‘pembedahan dan membuang barah’ ini di lakukan, lebih cepat ‘luka’ dapat di pulihkan. Maka lebih awal ‘organ’ tersebut akan beroperasi sebagaimana sebelum ianya ‘di jangkiti’.

TEPUK DADA, TANYA SELERA!

Published in: on December 29, 2009 at 07:54  Comments (5)