Isu ‘Kalimah Allah’: Raja Raja wajar bersidang dan memutuskan

Isu ‘Kalimah Allah’ yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi kegunaan Catholic Herald bagi gantinama Tuhan pada 31 Disember 2009 dan menerima reaksi negatif dan kemarahan memuncak dikalangan orang Melayu-Islam Malaysia. Kini, ianya menjadi bertambah rumit dan runcing, semenjak percubaan membakar tiga gereja semenjak malam Khamis dan memberikan imej buruk mengenai Malaysia, dari sudut toleransi ugama, menghormati hak orang lain, mematuhi undang undang  dan ujud elemen ekstremism.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmood bertitah agar semua rakyat Malaysia bertenang dan menghormati hak semua pihak beribadah. Baginda juga mahukan Kerajaan mengambil tindakan sewajarnya untuk merayu melalui proses perundangan dan semua pihak menghormati kedudukan Islam sebagai ugama Persekutuan Malaysia.

Laporan Bernama.com:

08 Januari, 2010 22:30 PM

Agong Titah Semua Pihak Bertenang, Hormati Tempat Ibadah

 

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan seluruh rakyat Malaysia supaya saling menghormati tempat-tempat ibadah tanpa mengira kaum.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Seri Paduka amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Tuanku Mizan menitahkan semua pihak terutamanya umat Islam agar bertenang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Seri Paduka menzahirkan harapan itu memandangkan kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu berikutan keputusan mahkamah itu dan semua pihak sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

“Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sekian lama telah diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia,” titah Tuanku Mizan.

Menurut kenyataan itu, Tuanku Mizan memandang serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rabu lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah “Allah” oleh majalah mingguan Katolik, Herald, berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katholik Malaysia berdasarkan kepada kepentingan negara.

— BERNAMA

************

Peristiwa percubaan membakar tiga buah gereja ini dikecam pelbagai pihak, termasuk Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak. Beliau yang telah mengumumkan bahawa langkah Kerajaan ialah untuk merayu keputusan Hakim Lau Bee Lan ini dan telah mempersembahkan kepada SPB YDP Agong pada hari Rabu 6 Januari 2010, mengesa semua pihak bertenang dan tidak bertindak secara tidak rasional dalam meluahkan perasaan dan menangani isu sensitif ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri IV Tun Dr. Mahathir Mohamad memberikan pandangan mengenai isu yang amat sensitif ini yang disifatkan “Tidak boleh diselesaikan melalui proses Mahkamah”. Walaupun tidak menjelaskan pendekatan paling sesuai, difahamkan beliau mahukan perkara ini diselesaikan pada peringkat yang lebih tinggi dari Mahkamah: Majlis Raja Raja.

Walaupun Kerajaan mengambil keputusan untuk merayu dan menyelesaikan perkara rumit dan amat sensitif ini melalui proses Mahkamah, berkemungkinan ianya bukan tindakan paling sesuai dan bijak. Ini kerana apa pun interpretasi Perlembagaan Persekutuan dan keputusan yang bakal dibuat, oleh mana mana konfigurasi Jemaah Hakim yang bersidang, akan mendapat reaksi negatif  pihak yang kalah dan ketidak puasan hati itu akan mengundang hujah dan pendebatan yang berpanjangan dan tidak berkesudahan. Ianya mungkin juga akan mengundang lebih banyak proses Mahkamah lagi dan makin merumitkan keadaan.

Pada ketika itu, Islam dan pentadibran Islam dalam Malaysia berkemungkinan akan disifatkan sebagai tidak progressif, persepsi negatif yang makin kompleks dan tidak memberikan keadilan dan menganiayai kepentingan bagi Bukan Islam.  Setakat ini, masyarakat Bukan Islam antarabangsa sudah pun mengecam isu pentadbiran Islam dalam Malaysia, terutama bagi kes seperti murtad ‘Lina Joy’ dan komplikasi kes Bukan Islam ingin kembali keugama asal mereka setelah memeluk Islam.

PM Dato' Seri Mohd.Najib Tun Razak dan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmood

Oleh demikian, PM Najib wajar menimbangkan bagi Kerajaan mengambil pendekatan lain untuk menyelesaikan isu yang amat sensitif dan rumit ini. PM Najib wajar mengadap dan mempersembahkan kebawah duli SPB YDP Agong agar satu persidangan khas Majlis Raja Raja diusahakan dengan kadar segera. Sebagai perdana menteri, ini merupakan nasihat yang paling berkesan kerana memandangkan Islam iaitu ugama Persekutuan Malaysia ialah hak mutlak Raja Raja. Beliau juga wajar mengarahkan semua Menteri Besar mengadap sekelian baginda  DYMM Sultan dan mempersembahkan nasihat yang sama agar sekelian baginda DYMM Tuanku memperkenankan persidangan khas Majlis Raja Raja untuk membincangkan isu ini.

Persidangan Khas Majlis Raja Raja ini dicadangkan untuk menimbangkan bagi membincangkan keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 82 yang membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah” pada 5 Mei 2008 dan telah membuat ketetapan:

Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, SPB YDP Agong ialah Ketua Ugama Islam bagi Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, sekelian baginda DYMM Sultan ialah Ketua Ugama Negeri bagi negeri negeri beraja. Majis Raja Raja berhak mutlak menentukan apa apa keputusan mengenai Islam sebagai ugama Persekutuan Malaysia. Ini bermakna baginda sekelian DYMM berhak memutuskan bahawa “Allah” itu merupakan terma eksklusif ugama Islam dan tidak boleh digunakan oleh ugama lain. Keputusan ini akan sekaligus melenyapkan apa apa debat dan jhujah yang bakal akan timbul dari proses Mahkamah.

Inilah masa dan keadaan paling sesuai dan berharga bagi seorang Perdana Menteri untuk menasihatkan DYMM SPB YDP Agong dan mengarahkan semua Menteri Besar (termasuk negeri bukan BN sebagai parti pemerintah Kerajaan Pusat iaitu Kedah dan Kelantan) untuk mengadap sekelian baginda DYMM Sultan dan memberikan nasihat yang sama agar Majlis Raja Raja bersidang dan memutuskan.

Apabila krisis ini diselesaikan oleh Majlis Raja Raja, ianya akan menjadi precedence untuk mana mana pihak atau anasir (termasuk orang Islam sendiri) yang akan cuba membuat sebarang sudut ‘provokasi’ atau lebih buruk lagi ‘menghina’ terhadap Islam (dengan bertopengkan “wacana ilmiah” dan “hak asasi manusia”) sebagai ugama majoriti warga Malaysia dimasa akan datang. Kedudukan dan peranan DYMM Raja Raja sebagai Ketua Ugama Islam sebagaimana yang diperuntukan Perlembagaan Persekutuan akan diperkukuhkan lagi dalam minda setiap warga Malaysia.

 

Published in: on January 9, 2010 at 02:02  Comments (28)