Sumpah Raja Raja Melayu

Desakan agar Majlis Raja Raja bersidang dan mengeluarkan ketetapan mengenai isu ‘Kalimah Allah’ yang begitu senstitif sekarang ini walaupun proses untuk rayuan Mahkamah sedang berjalan kini menunjukan hasil. DYMM Sultan Selangor Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kini bertitah bahawa tanggung jawab sekelian baginda untuk mempertahankan kesucian Islam.

Dipetik dari Utusan Malaysia:

Sumpah Raja-raja Melayu pertahankan kesucian agama Islam

Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada semua pihak umat Islam yang bernaung di bawah negeri itu supaya berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam diharap turut memberi mesej kepada kerajaan negeri yang mempunyai Sultan masing-masing.

Ini kerana kesucian agama Islam bukan sahaja wajib dipelihara oleh Kerajaan Pusat tetapi juga semua kerajaan negeri.

Sebagai Ketua Agama Islam negeri, apa yang dititahkan oleh Sultan Selangor itu adalah tepat. Martabat dan kesucian agama Islam tidak patut direndah-rendahkan oleh sesiapa pun.

Apatah lagi jika ada pihak yang sengaja hendak menyelewengkan penggunaan kalimah suci ‘Allah.’

Kita sudah melihat kesan tidak baik hasil tercetusnya gerakan yang cuba melakukan penghinaan kepada agama rasmi negara serta Perlembagaan Persekutuan.

Semua pihak berasa tidak selesa dan tenteram. Ancaman dan pembakaran gereja tidak patut berlaku. Golongan yang cuba mencemarkan nama baik Islam ini perlu diburu dan diambil tindakan undang-undang.

Alangkah baiknya jika sebelum kejadian Jumaat lalu, ada pihak yang memahami dan menghormati agama Islam, maka tiada apa yang hendak dibimbangkan. Semua kaum boleh menjalankan amalan agama masing- masing tanpa ragu-ragu soal keselamatan.

Kini terjemahan kepada perkataan Tuhan telah mengundang kekeliruan dan sensitiviti keagamaan serta mengundang perasaan tidak harmoni di kalangan umat Islam dan Kristian.

Kini, rakyat mengharapkan agar Sultan- sultan sebagai Ketua Agama Islam negeri turut berpendirian seperti Sultan Selangor.

Malahan, amat penting pada masa ini majlis-majlis agama negeri memaklumkan kepada rakyat sama ada wujud atau tidak undang-undang menghalang penggunaan kalimah Allah dalam agama bukan Islam.

Kita yakin, jika maklumat ini ada, ia harus diterima dan difahami oleh semua rakyat berbilang kaum dan agama. Jadi tidak timbul usaha untuk mempertikaikan penggunaan kalimah ‘Allah’ yang khusus untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan atau dimasukkan dalam agama lain.

Perlembagaan menetapkan Islam agama rasmi Persekutuan dan keputusan membenarkan penerbitan Herald – The Catholic Weekly mengguna perkataan ‘Allah’ jika diteliti sebenarnya bertentangan dengan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang digubal berasaskan Perkara 11(4) Perlembagaan negara.

Semua pihak diharap sentiasa ingat bahawa penggunaan kalimah Allah bagi merujuk agama bukan Islam sepatutnya tidak dibicarakan di mahkamah kerana institusi itu bukan forum sesuai. Perkara melibatkan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa Raja-raja Melayu.

Jadi kalau mahu dikatakan Sultan Selangor telah campur tangan dalam isu ini, tindakan itu adalah wajar kerana tanggungjawab baginda selaku Ketua Agama Islam negeri dan selaras dengan sumpah Raja-raja Melayu untuk mempertahankan Islam pada setiap masa.

******************

Kini menjadi tanggung jawab Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak untuk mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan mengarahkan semua Menteri Besar untuk mengadap DYMM Raja Raja agar merafak sembah menasihatkan satu persidangan khas Majlis Raja Raja dipanggil dan memutuskan ketetapan bagi merungkai dan menyelesaiakn masalah amat sensitif ini.

Ramai pihak berpendapat, isu amat sensitif dan berkemungkinan akan melarat kepada keadaan yang lebih buruk lagi akan berpanjangan sehingga tidak ditangani dan selesaikan segera. Setakat ini, sembilan buah gereja dan sebuah surau telah cuba diserang. Penylesaian melalui proses Mahkamah bukanlah cara yang paling baik kerana mana mana pihak yang gagal akan tidak puas hati dan berusaha untuk meluahkan kekecewaan dengan cara sendiri. Oleh demikian, penyelesaian melalui ketetapan Majlis Raja Raja merupakan cara paling sesuai dan menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan kerana isu ugama Islam merupakan hak mutlak Raja Raja.

Daulat Tuanku.

Published in: on January 13, 2010 at 08:47  Comments (41)