Mungkinkah skandal ‘Blok L & M’ sebab rasuah?

The 'Golden Goose' PM 'Flip-Flop' Abdullah Badawi gave away: Blocks L & M and disputed claims over Limbang

Semenjak pendedahan Perdana Menteri Malaysia IV Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai skandal ‘Blok L & M’ jauh diluar persisiran pantai Brunei ‘hilang’ dari penguasaan Petronas dan masa yang sama, tuntutan kepada Limbang tidak digugurkan oleh Brunei, tidak sebagaimana persepsi sebilangan rakyat Malaysia semasa PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sekembali dari lawatan tersebut Mac 2009, maka timbul  pula pelbagai spekulasi.

Mungkinkah berlaku rasuah mengakibatkan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah di’nasihat’kan untuk ‘mengadaikan hak keatas Blok L & M’ tersebut dan Petronas sebagai pembangun utama projek hidrokarbon lumayan tersebut jatuh sebagai ‘sub kontraktor’?

Jika berlaku rasuah, angkara siapa? Siapa yang beroleh begitu besar ganjaran dan mendapat kelebihan dalam pengadaian taraf Petronas sebagai pembangun utama projek? Tidakkah tindakan ini, walaupun ‘tidak sengaja’ wajar dilihat sebagai ‘Mengkhianati Negara’?

Sebagai sub-kontraktor, hasil dari pendapat jangkaan USD 100 billion dari ‘Blok L dan M’ itu semestinya makin berkurang sebagai imbuhan kepada Petronas. Ini masih lagi merugikan negara dan kemungkinan besar ada pihak yang beroleh secara peribadi dari kegagalan Petronas ini.

Walaubagaimanapun, PM Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak wajar menasihatkan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong agar satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja diujudkan segera, untuk menyiasat sepenuhnya apa yang telah berlaku dan siapa perlu bertanggung jawab.

*Perkembangan dikemas kini Ahad 9 Mei 2010 1000am

Ini penjelasan mantan Menteri Luar Negeri Dato’ Seri Utama Dato’ Dr Rais Yatim mengenai isu Limbang:

Penjelasan Rais isu Limbang

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

 
 

PUTRAJAYA 8 Mei – Rakyat tidak perlu bimbang dengan isu kedudukan Limbang yang dijamin akan selesai dengan sendirinya setelah lima perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan dan Brunei antara 1920 hingga 1939 diakhiri dengan kerjakerja mengukur sempadan.

Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau terpanggil membuat penjelasan itu ekoran ‘kontroversi’ penyerahan dua kawasan blok minyak, blok L dan M kepada Brunei baru-baru ini kerana terlibat secara langsung selaku Menteri Luar pada Mac 2009 bersama Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam rundingan dan proses diplomasi dengan kerajaan Brunei.

Malah, kata beliau, persefahaman yang dicapai hasil Pertukaran Surat yang ditandatangani kerajaan dengan Brunei pada Mac 2009 sebenarnya turut menyebabkan Brunei kehilangan 5,165 kilometer persegi kawasan maritim zon ekonomi eksklusifnya.

Kawasan maritim negara kesultanan itu menguncup berbanding sebelum 1984.

”Saya dengar (dibangkitkan di Sibu dan diungkit pelbagai pihak termasuk akhbar pembangkang) seolah-olah Malaysia bodoh serahkan seluruh hak wilayah kita sedangkan ia (blok L dan blok M) tidak pernah menjadi milik kita.

”Silapnya pada tahun 1979, pemeta kita sekadar memasukkan tanggapan itu padahal ia terletak dalam Pelantar Benua Brunei dan diiktiraf Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

”Begitupun Pertukaran Surat ini ada imbasannya (kaitan) pada Limbang. Apabila lima perjanjian berkenaan diselesaikan kehendak pengukurannya, soal Limbang tidak timbul lagi dan berhasil bagi Malaysia,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Lima perjanjian berkenaan ialah:

i. Perjanjian Mengenai Sungai Pandaruan dan daerahnya pada 4 Februari 1920.

ii. Perjanjian Sempadan Sungai Belait dan Sungai Baram 25 Ogos 1931.

iii. Perjanjian Antara Brunei dan Sarawak mengenai Trusan dan Temburong.

iv. Perjanjian Antara Brunei dan Sarawak mengenai Sempadan Limbang dan Brunei dari Pantai ke Bukit Gadong 24 Februari 1933.

v. Perjanjian 4 November 1939 antara kedua-dua pihak.

Kelima-lima perjanjian inilah meletakkan Limbang dan dipersetujui bahawa terusan-terusan Pagalayan hingga ke Bukit Traja ditentukan oleh perjanjian tersebut.

Rais yang kini menyandang Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berkata, dakyah kononnya Malaysia kehilangan wilayahnya telah dibangkitkan menjelang pengundian Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu 16 Mei ini dan justeru beliau terpanggil untuk menerangkan beberapa aspek justifikasi demi kenegaraan dan hubungan diplomasi dengan Brunei.

“Brunei dengan rela hati bersetuju bahawa kawasan maritimnya menguncup selepas Pertukaran Surat 2009. Ini keikhlasan tidak ternilai dan Malaysia tahu jika dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (di The Hague, Belanda) kemungkinan kita beroleh hasil lebih positif lebih jauh kes Batuan Tengah di Batu Putih,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum ini perairan di blok L dan M dikenali CA1 dan CA2 mengeluarkan hasil minyak dan hidrokarbon digunakan oleh rakyat Malaysia untuk mencari nafkah dan berniaga.

Namun secara tiba-tiba Petronas menganggap ia perairan negara dan mewujudkan kerjasama carigali dengan Murphy Oil di Sabah.

“Bagaimanapun Brunei dalam perbincangannya bersetuju untuk berusahasama dalam kedua-dua petak komersial tadi termasuk minyak di bawah tajuk Perolehan Kerajaan untuk Malaysia bagi tempoh 40 tahun bermula dari tarikh Production Sharing Contract (PSC).

“Juga dipersetujui oleh Brunei tentang hak laluan kekal bagi rakyat Malaysia dan Sarawak melintas dan menggunakan perairan itu untuk mendarat atau pergi ke kawasan sempadan Sarawak dan Brunei. Pendek kata, ia tidak boleh ditarik balik…berterusan,” kata beliau.

Pada masa sama Malaysia diberi 10 peratus faedah melalui kontraktor yang dipilih sendiri (iaitu Petronas) dalam hak dan obligasi yang sama.

Seterusnya Malaysia juga akan beroleh melalui Petronas 75 peratus dari hal dan obligasi

******************

Sekiranya sebelum pertukaran suratcara pada Mac 2009, Blok CA 1 dan 2 (L & M) dianggap Petronas sebagai hak untuk meneroka dan membangunkan eksplorasi hidrokarbon tanpa halangan dan kejadian diplomatik, mengapa Petronas perlu beralah pula sekarang?

Implikasinya sebenarnya lebih jauh merangkumi. Sekiranya perjanjian eksplorasi dan pembangunan kawasan hidrokarbon seperti ‘Blok L & M” boleh dibatalkan atau terbatal sebegitu sahaja, bagaimana reputasi Petronas sebagai salah satu syarikat pemaju pembangunan minyak milik negara paling disegani ini akan dilihat selepas episod ini?

Apakah ada pihak yang mahu membuat perjanjian lagi dengan Petronas, terutama sekiranya kemampuan syarikat ini menentukan hak untuk membangunkan kawasan operasi mempunyai risiko ‘hak daulat’ (soverreign right)?

Sekiranya reputasi Petronas mula menurun, maka pihak pembiaya projek seperti bank dan institusi kewangan dan pasaran modal dan sekuriti akan mengambil perkiraan risiko yang lebih besar kepada mana mana pembiayaan projek melibatkan Petronas akan datang. Ini semestinya akan mengakibatkan kos pengeluaran yang meningkat dan mungkin tidak akan menjadi kompetitif. Akibatnya amat buruk bagi Petronas, selaku pencari ‘sumber rezeki’ paling penting bagi Kerajaan Malaysia mewakili negara.

Persoalan kami di BigDogDotCom sekali lagi, apakah ujud unsur rasuah yang menungkinkan pihak berkepentingan memperolehi kelebihan dengan menafikan kedudukan Petronas dalam ‘Blok L & M’ ini?

Published in: on May 8, 2010 at 17:59  Comments (13)