Model baru Petronas


Semenjak Dato’ Shamsul Azhar Abbas mengambil alih dari Tan Sri Hassan Merican pada bulan Februari 2010 kerana PM Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak enggan menyambung kontrak perkhidmatan Presiden dan CEO Petronas yang banyak berjasa itu, berlaku beberapa perubahan ketara dalam dasar dan arah tuju syarikat minyak bergelar “The New Seven Sisters” itu. Model baru Petronas diperkenalkan.

Persara MISC Bhd Dato' Shamsul Azhar Abbas kini diangkat sebagai CEO Petronas

Semasa bertemu pengurus kanan dalam bulan Mac, Shamsul mengariskan arah tuju, dasar dasar dan perubahan dalam pendekatan dan tumpuan aktiviti perniagaan Petronas. Pengurus pengurus Petronas diingatkan agar tidak alpa dan selesa (complacent) dan perlu berkerja lebih keras kerana menurut beliau, persepsi bahawa kedudukan dalam Fortune 500 itu bukanlah realiti malah persepsi yang mungkin akan ‘melekakan’.

Cabaran yang bakal Petronas, sebagai syarikat yang bergantung kepada 40% dari simpanan dan rizab minyak dan gasnya berada diluar negara itu akan tempuhi dan harungi ialah:

1. Operasi dan penyampaian kontrak baru di Iraq

2. Operasi gas di Eropah

3. Heavy oil di Venezuela

Beliau yang dikatakan telah berbincang dengan PM Dato’ Seri Najib, mengariskan beberapa pendekatan baru bagaimana Petronas akan beroperasi, walaupun sebenarnya merupakan sebuah GLC milik penuh negara. Perubahan yang paling ketara yang sudah pun terlaksana pada hari ini ialah komposisi ahli Lembaga Pengarah (Board of Directors – BOD). Hanya 2 wakil Kerajaan akan berada dalam BOD disamping kesemua Naib Presiden Eksekutif. Shamsul juga dikatakan menyebut bahawa PM Dato’ Seri Najib merestui BOD terdiri dari warga asing.

Satu perkara yang menarik ialah Shamsul juga dikatakan menegaskan bahawa PM Dato’ Seri Najib juga bersetuju sekiranya jawatan Presiden dan CEO Petronas itu dijawat oleh professional dari luar negara, sebagai contoh mereka dari Exxon atau Shell.

Untuk aktiviti eksplorasi dan produksi (exploration and productionENP),  pendekatan akan tertumpu kepada ‘innovasi, penstrukturan dan penjenamaan semula (rebranding)’. Shamsul mengingatkan semula ‘kegagalan’ dalam aktiviti ENP perlu dihentikan serta merta. Semua aktiviti eksplorasi diluar negara memerlukan ‘pengimbangan semula’ (re-balancing) atau ENP perlu menyusun dan pendifinisian (redefinition) semula kesemua model perniagaanya. Aktiviti eksplorasi dalam negara perlu memberikan fokus kepada perniagaan teras (core business), yang dikatakan tidak mampu memenuhi permintaan.

Model ENP baru untuk aktviti dalam negara dan luar negara perlu diasingkan antara satu salam lain. Syarikat asing bagi eksplorasi dan produksi, dan kedua aktiviti ini akan diuruskan secara berasingan dan tidak melibatkan antara satu dengan lain, dengan tatakerja operasi yang berbeza.

Mengenai perniagaan hartanah pula, Petronas tidak akan akan melibatkan dalam aktiviti ini lagi. Perniagaan ini akan dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Perkembangan terbaru dalam Petronas ini boleh dianggap sebagai pembaharuan yang belum jelas memjaga kepentingan negara. Semenjak Shamsul mengambil alih, pembaharuan seperti komposisi BOD dan eksekutif kanan Petronas terdiri bukan sahaja dari Bukan Melayu, malah professional yang diambil dari luar dengan cepatnya berlaku dan mengambil tempat. Moral warga kerja Petronas terutama mereka yang amat setia dalam perkhidmatan dijangkakan akan terjejas.

Kemungkinan membawa personaliti dari luar untuk jawatan Presiden dan CEO, terutama syarikat seperti Exxon atau Shell dan bukan warga Malaysia merupakan sesuatu yang memberanjatkan. Ini merupakan satu ‘penangan yang memalukan’ (humilating slap in the face) kepada professional dikalangan Petroas yang sudahpun berjaya membuktikan kemampuan mereka merancang, mengurus dan memperkembangkan sehingga Petronas sampai ketahap ini dan mampu membawa keuntungan sebelum cukai sebanyak RM 89 billion pada tahun kewangan lepas. Melantik bukan warga menunjukan keyakinan keatas kemampuan warga Malaysia amat rendah sekali.

Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. Ini merupakan kompleks pertama yang beroperasi, bermula Jun 1998.

Sekiranya Petronas tidak lagi berhasrat untuk menceburi bidangan hartanah, ini bermakna Petronas tidak lagi mahu menjadi tulang belakang dan penerajui pembangunan bandaraya pusat pentadbiran paling tersusun dan teratur dalam dunia yang begitu menjadi cemburu banyak negara termasuk negara maju; Putrajaya. Petronas melaburkan sejumlah wang dan kepakaran dari pengalaman pembangunan KLCC memungkinkan Putrajaya berjaya dibangunkan, walaupun mengharungi beberapa pusingan kitaran ekonomi yang merundum.

Hakikatnya, pelaburan dalam Putrajaya merupakan langkah strategik dimana negara beroleh pusat pentadbiran baru dan serba moden (sebagai langkah strategik Perdana Menteri Malaysia IV Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyediakan prasarana bagi jentera Kerajaan Persekutuan lebihh mantap, effissyen dan mampu menampung keperluan menjana negara kearah tahap maju dan indsutri yang disegani) dan Petronas sebagai pemilik hartanah mempunyai asset bernilai berlipat kali ganda dalam masa akan datang.

Perubahan yang digariskan Shamsul ini, tidak memaparkan bahawa Petronas bergerak kearah yang menguntungkan negara dan bangsa secara strategik dan komprehensif tetapi sebenarnya menjuruskan kepada memberikan tumpuan hanya spesifik kearah keuntungan fizikal, pulangan modal dan nilai tambah (value creation). Ini sebenarnya merupakan bahasa bahasa kapitalism dan setakat ini, Petronas dibawah Shamsul tidak menampakan peranan mereka sebagai ‘pemangkin negara’ (catalyst to the nation) dalam erti kata sebenar.

Pendekatan ini ialah cara  dan intipati ‘Budak Budak Tingkat Empat’ dan Menteri EPU dan Mantan Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yackop ‘menasihatkan’ PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memperlihatkan Khazanah Nasional Bhd. distruktur semula dan GLC bergerak kearah memenuhi tuntutan kapitalism dengan pendekatan ‘keuntungan, pulangan pelaburan dan modal dan peningkatkan nilai’ dan membelakangi peranan sebagai agen ‘pembina negara bangsa’, peranan asal GLC ujud setelah perkhidmatan asas dikorporatkan semenjak 1980an. Akibatnya, kepentingan strategik negara mula telerai kepada pegangan asing, termasuk  saham Telekom Malaysia dijual kepada Temasek Holdings pada awal 2006. Langkah silap ini dianggap ramai penganalisa sebagai amat sukar untuk diperbetulkan.

Setakat ini model Petronas telah pun berjaya membawa imbuhan kewangan kepada negara, semenjak penubuhan pada 1974. Petronas juga berjaya membangunkan modal insan, terutama dikalangan professional Melayu dan membuktikan kemampuan untuk meletakan syarikat kumpulan pembangun industri minyak 100% milik negara ini sebagai salah satu antara yang paling disegani, termasuk dikalangan syarikat gergasi yang sepenuhnya bukan milik negara. Perubahan model Petronas akan tentunya secara tidak langsung merubah seluruh lanskap sosio-ekonomi negara, terutama orang Melayu.

Published in: on May 13, 2010 at 14:18  Comments (17)