Si Tanggang Melayu moden

Sehari dua ini, Perdana Menteri Malaysia IV dan Presiden UMNO V Tun Dr. Mahathir Mohamad menerbitkan dua artikel yang amat mendalam maksudnya, mengingatkan bahawa orang Melayu walaupun berada dalam jumlah majoriti sebenarnya diancam dengan bahaya sebagai kumpulan minoriti yang mungkin akan ditindas dalam tanahair sendiri sekiranya perpecahan Melayu akibat politik ini tidak diperbetulkan dalam kadar segera.

‘Melayu Liberal’ yang kini makin meningkat jumlahnya dan menyesuaikan diri mereka kepada arus dunia moden dengan nilai nilai universal dan pemikiran berpaksikan Barat dan kefahaman liberal (dan mungkin Bohemian), dewasa ini mula mempersoalkan kedudukan bangsa mereka dengan hujah hujah ‘keterbukaan’. Ini termasuk mempersoalkan kewajaran peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan sedikit kelebihan kepada orang Melayu sebagai kaum Bumiputera dalam Nusantara, penduduk asal perairan ini sebelum penjajah membawa masuk dengan ramainya kaum immigran kerana kepentingan politik dan sosio-ekonomi mereka semata mata.

‘Melayu Liberal’ seperti ini secara terbuka dan lantang mempersoal sehingga tahap memomokan peruntukan khusus bagi orang Melayu dan Bumiputera seperti peluang mendapat pelajaran sehingga peringkat menara gading dengan pembiayaan langsung Kerajaan, berbanding Bukan Melayu. Begitu juga peruntukan khusus lain seperti peluang perniagaan yang dijana secara langsung oleh Kerajaan.

Profil ‘Melayu Liberal’ ini ialah mereka yang menjawat kedudukan selesa dalam sektor swasta, berpendidikan tinggi (berkemungkinan besar dari luar negara terutama negara Barat dan maju), berpengalaman luas dan menimba pelbagai pendedahan termasuk peluang keluar negara, menguasai Bahasa Inggeris dengan amat baik dan membudayakan gayahidup moden, liberal dan mirip kepada arus perdana Barat. Mereka juga secara langsung dan terancang, cuba menghilangkan kesan kesan nilai asas asal mereka yang dianggap sebagai ‘kolot’ dan ‘kekampungan’. Pendekata, mereka sebenarnya malu dengan asal usul mereka dan masyakarat dimana mereka ujud.

Namun golongan ini sebenarnya gagal menimbangkan kemampuan mereka bertapak ditahap ini hari ini tidak datang secara ‘diparachutkan’ turun dari langit dalam kemewahan hari ini. Mereka sebenarnya pada satu peringkat melalui proses pembangunan affirmatif yang dikhususkan kepada rakyat Malaysia melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dirangka khas sebagai program transformasi dan penstrukturan semula kedudukan dan kemampuan sosio-ekonomi dan masyarakat, terutama program pelajaran dan pembangunan ekonomi. Kesanya, sebilangan besar majoriti masyarakat desa (terma pada tahun 1971 menggambarkan ‘luar bandar’) terutama orang Melayu berjaya dibangunkan dan menguasai pelbagai kecekapan dan tahap pelajaran, termasuk sebagai golongan professional dan ikhtisas.

Ekonomi negara juga diperlebarkan dengan penjanaan program program tertentu seperti industrialisasi (termasuk subsektor industri elektronik, pembuatan dan kapasiti tinggi dan berat), pembukaan sektor sektor kommersial, pengembangan pasaran termasuk sektor perbankan, modal dan pelaburan dan sekuriti, percambahan sektor perkhidmatan dan program program khusus pembangunan fizikal seperti pembinaan, pemajuan hartanah dan sebagainya. Peluang ini dijana lebih pesat lagi dengan kemasukan pelaburan asing secara banyaknya. Kesannya ialah peluang pencernaan pembangunan modal insan dibuka dan ada yang mengambil kesempatan untuk berniaga, terutama dengan pelbagai insentif dan imbuhan langsung dan tidak langsung Kerajaan, khususnya kepada Bumputera bawah DEB.

Kini apabila mampu berdikari, golongan minoriti ‘Melayu Liberal’ ini mula lupa daratan dan asal keujudan dan perjalanan kehidupan mereka dari permulaan hingga saat ini. Mereka ini mula mengkritik secara terbuka dan lantang program yang sebenarnya menyediakan asas dan peluang untuk memungkinan mereka sampai ketahap ini. Mereka mula rasa teruja ‘diangkat’ oleh Bukan Melayu (yang sememangkan menguasai ekonomi, industri dan kommersial) dan orang luar apabila menjadi ‘Pejuang’ mempersoalkan dasar dasar tindakan affirmatif seperti DEB dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Akta 153 yang disifatkan sebagai ‘kolot’, ‘tidak lagi relevan’ dan paling dasyat, ‘Menghalang arus pembangunan perdana’ sesuai dengan Globalisasi. Kemampuan mengkritik secara lantang atas nilai universal walaupun ‘menyakitkan’ warisan keujudan asal mereka adalah ‘pembebasan’ (emancipation) golongan minoriti Melayu Liberal’ ini untuk keluar dari stigma ‘kekampungan’ yang pada perasaan mereka membelenggu keujudan dan penerimaan dalam arus perdana dunia moden, terutama dikalangan Bukan Melayu yang lebih tinggi kedudukan sosio-ekonomi mereka.

Sejarah telah merakam bahawa penjajah British sendiri yakin dengan peranan dan kedudukan orang Melayu sebagai Bumiputera tanahair ini dan memberikan peruntukan khusus kedudukan mereka, terutama apabila British sendiri secara terancang membawa masuk immigran bagi keperluan sosio-ekonomi mereka. Ini merupakan sebahagian dari asas Perjanjian Tanah Melayu pada 1 Februari 1948, sebagai ganti kepada Malayan Union dan perjanjian ini merupakan asas Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang berkuat kuasa pada 31 Ogos 1957 apabila Kemerdekaan dicapai.

Antara mereka ini ialah Prof. Madya Azmi Shahrom. Beliau menyifatkan ingatan Tun Dr. Mahathir itu sebagai “Tidak matang”. Mereka ini layak dan wajar digelar dan sifatkan sebagai ‘Tanggang Moden’. Mitos Melayu menggambarkan orang yang lupa daratan dan menjadi angkuh sehingga malu mengaku bondanya sendiri yang miskin yang dianggap hina dan rendah martabat itu. Akibatnya, Tanggang disumpah oleh bonda sendiri yang amat kecewa sehingga berubah menjadi batu. Metafor penentangan dan penafian asal usul ini sendiri ini mengambarkan bahawa ‘Pengkhianat’ akan akhirnya dihukum dengan sebegitu rupa: Dari seorang hartawan, rupawan, produktif dan berkedudukan di’turun’kan martabat dan sifat sehingga paling bawah sebagai batu yang tidak membawa apa apa menafaat.

Kegagalan dan penafian mereka ‘Melayu Liberal’ yang angkuh dan lupa daratan ini secara total dan holistik keengganan menyingkap sejarah perjalanan dan Perjuangan Melayu memartabatkan kedudukan Bumiputera Nusantara ini bagi menentukan keujudan mereka dalam tanahair sendiri akibat terbelenggu bawah penjajahan asing selama 450 tahun sebenarnya merupakan “Ketidak Matangan”yang amat kronik.  ‘Melayu Liberal’ seperti ini adalah agen menghancurkan Perjuangan memartabatkan Melayu, yang sebenarnya asas keujudan tanahair dan negara-bangsa Melayu Nusantara ini.

Published in: on June 18, 2010 at 14:41  Comments (22)